Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 46

NAZRIN serta Hasrul tiba di hospital dan menemui Faizal di sana. Khabar mengenai Rina menusuk perut sendiri telah diceritakan kepada mereka berdua. Faizal sebenarnya tidak berapa tahu apa yang dibicarakan oleh Rina sebelum berkelakuan demikian. Tetapi apa yang pasti dia seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang. Setakat ini Hanim mahupun Imran tidak mengetahui keadaan Rina walaupun mereka kini sedang dirawat di hospital yang sama.

            “Nazrin, kau cakap Imran lari dari hospital? Kau pasti?” Tanya Faizal separuh bisik. Dia tidak mahu orang di sekitarnya mendengar perbualan mereka. Nazrin pantas mengangguk kepala sambil diikuti Hasrul.

            “Masa aku cuba cari dia kat rumahnya, dia tak ada pun. Bila aku jumpa Rina, dia cakap Imran masih ada kat hospital. Yang mana satu sebenarnya?” Luah Faizal hairan. Nazrin dan Hasrul saling berpandangan. Mereka sekadar mendengar khabar dari jururawat sahaja tanpa memastikannya terlebih dahulu.

            Lantas mereka bertiga melawat wad yang didiami Imran. Apabila melihat Imran yang sedang tidur di katilnya, Nazrin mahupun Hasrul terdiam tanpa suara. Sekali lagi, mereka saling berpandangan antara satu sama lain. Sementara Faizal mengeluh panjang. Sebenarnya dia masih memikirkan siapakah yang telah memukulnya ketika di rumah Imran tadi. Perkara tersebut sengaja tidak diceritakan kepada mereka berdua.

            “Takkan jururawat tu nak tipu kita pulak?” Soal Hasrul berbisik.

            “Tapi aku rasa jururawat cakap benda betullah. Tengok dari reaksinya pun aku dah tau,” balas Nazrul yang masih keliru itu.

            “Kalau macam tu, kita tanya dia sekali lagi. Mungkin betul lari dari hospital dan lepas tu dia berjaya ditemui dan balik ke sini semula,” ujar Hasrul. Nazrin pantas bersetuju dengannya lalu kembali ke kaunter pertanyaan semula untuk menanyakan jururawat tersebut.

            Faizal hanya diam memerhatikan gelagat mereka. Seolah tidak berpuas hati dengan perkara yang berkait dengan Imran tadi. Bagi menjawab persoalan dalam fikirannya, dia berjalan menghampiri wad Imran. Secara kebetulan remaja itu tersedar dan menyedari kehadiran bekas gurunya di situ. Senyumannya dilemparkan tatkala wajah yang masih kantuk itu.

            “Kamu okey?” Sapa Faizal tersenyum. Imran hanya membalasnya dengan anggukan kepala. Mata Faizal memerhatikan kaki kiri Imran yang berbalut tebal itu. Bagaimana mungkin Imran didakwa lari dari hospital dalam keadaan sedemikian?

            “Imran, saya nak bagitau sesuatu kat kamu. Mesti kamu terkejut bila dengar ni,” kata Faizal. Imran hairan mendengarnya. Perkara apa yang ingin disampaikan oleh bekas gurunya itu?

            “Rina tertusuk perutnya dengan pisau. Dia mengalami pendarahan teruk dan sekarang dirawat kat hospital ni.” Memang terkejut Imran dibuatnya setelah mendengar khabar tersebut. Dia ingin melawat keadaan Rina sekarang tetapi dihalang oleh Faizal kerana masih tidak diizinkan lagi oleh doktor.

            “Kenapa dia tusuk perutnya sendiri?” Soal Imran hairan.

            “Tak taulah. Memang saya mengaku ada kat rumah Rina masa tu tapi saya tak sempat nak menghalangnya. Ia berlaku dengan cepat. Lagipun saya dengar dia macam bercakap dengan seseorang. Tapi tak ada sesiapa di sekelilingnya. Cara dia cakap tu, macam marahkan seseorang,” jelas Faizal. Imran terdiam seketika. Dia tertanya mengapa Rina bertindak demikian. Ada masalah yang sedang ditanggungkah?

            “Saya tengok kamu rapat dengan Rina. Mesti kamu tau segala masalah dia,” sua Faizal. Sebenarnya dia ingin tahu masalah apa yang sedang dialami Rina.

            “Aku tak rapat sangat dengan dia. Abang pun tau kan dia masih trauma untuk kembali berkawan dengan orang lain? Masalah dia pun tak bagitau kat aku. Manalah aku tau pasal masalah dia,” balas Imran mengeluh. Entah bagaimana keadaan Rina sekarang.

            “Dia ada bagitau kat saya yang dia pernah bermimpi buruk pasal kematian ahli sihir kejam pada abad ke-19. Ahli sihir itulah penyebab sumpahan maut pada rantai kunci dan juga penyebab kematian manusia sekarang.”

            Setelah diam seketika, Faizal memberitahu serba-sedikit masalah yang melanda Rina kepada Imran. Imran sekali lagi terdiam. Baru dia teringat! Dia pernah diceritakan perkara yang sama. Tidak disangkanya mimpi yang disangka bertemu dengan wanita berjubah hitam, rupa-rupanya sosok tersebut merupakan ahli sihir kejam.

 

RAFEEQ juga tiba di hospital yang sama lalu menanyakan di mana wad yang menempatkan Rina. Jururawat memintanya supaya bertenang kerana Rina masih tidak boleh dibenarkan dilawati oleh sesiapa. Namun Rafeeq sangat terdesak untuk berjumpa dengannya sehingga menyebabkan situasi menjadi kecoh. Nazrin serta Hasrul yang masih berada di situ segera menenangkan keadaan sambil memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis dari ibu kota.

            Rafeeq kembali menenangkan diri selepas mendapat tahu identiti mereka berdua. Terpaksa dia mendiamkan diri sambil menunggu waktu sesuai untuk menziarahi Rina. Jika boleh dia tidak mahu melibatkan anggota polis dalam perkara yang berkait dengan Rina. Kerana ia merupakan perkara abnormal bagi mereka.

            Nazrin mahupun Hasrul penasaran dengan kelakuan aneh dari lelaki berkulit cerah itu. Mengapa dia terdesak mahu bertemu dengan Rina? Kawan rapatkah mereka berdua? Namun begitu, mereka tidak berhak untuk menanyakan soalan bersifat peribadi kepadanya. Biarlah ia menjadi pertanyaan kepada mereka berdua.

            Beberapa jam telah pun berlalu. Waktu siang semakin tiba ke penghujung. Rafeeq hampir kepenatan menunggu lama di ruang menunggu. Akhirnya dia mengeluh kehampaan tatkala diberitahu oleh jururawat bahawa Rina masih belum boleh menerima pelawat sehingga hari esok. Keluhannya dilepaskan secara kasar lalu beredar dari situ tanpa berkata apa-apa. Nazrin dan Hasrul hanya diam memerhatikannya.

            “Oh, ya! Dah nak lewat petang ni. Faizal masih ada di wad Imran ke?” Tanya Hasrul hairan. Nazrin sekadar mengangkat bahu tanda tidak tahu. Lalu meminta Hasrul untuk memastikannya. Dia kembali ke tingkat satu semula dan berjalan menuju ke wad Imran. Ketika itu dia tidak merasai apa-apa yang pelik.

            Namun saat dia membuka pintu wad, satu tembakan kuat dilepaskan tepat mengenai dahi Hasrul. Tubuhnya menjadi ringan lalu rebah ke lantai. Bunyi tembakan tersebut mencetuskan suasana kecoh di tingkat satu sebelum ‘merebak’ ke tingkat bawah. Salah seorang petugas jururawat memberitahu ada orang telah mati ditembak. Nazrin pantas menuju ke tingkat satu sebaik diberitakan berkenaan.

            Nazrin menjadi terpaku saat melibat tubuh kaku di hadapannya adalah rakannya sendiri, iaitu Hasrul. Matanya tertancap ke arah pintu wad Imran yang terbuka luas itu. Suasana kian bertambah kecoh apabila Imran didapati hilang lagi dari wad. Begitu juga dengan Faizal. Fikiran Nazrin menjadi celaru dengan perkara yang telah berlaku. Apakah yang telah berlaku sebenarnya? Siapa yang telah menembak mati Hasrul? Faizal atau Imran? 
Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura