Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 10

RINA sudah berasa kenyang setelah menjamah makanan serta minuman. Kedengaran bunyi sendawa kecil dari mulutnya. Malu seketika dibuatnya di hadapan seorang lelaki berjaket fabrik tebal itu. Lelaki itu pula ketawa setelah mendengarnya.

            “Jangan ketawa boleh tak? Benda ni bukannya lawak pun!”

            “Okey, okey. Aku minta maaf,” balas Imran. Masih tersisa lagi suara ketawanya. Perasaan Rina mula bercampur malu dan geram.

            “Apa-apapun terima kasih sebab belanja makan hari ni. Balik dulu,” katanya. Namun Imran pantas menghalangnya dan meminta Rina untuk duduk semula. Banyak perkara yang ingin dibualkan setelah lama mereka berdua tidak saling bertemu.

            “Ada apa nak cakap lagi?” Rungut Rina sambil memandang ke arah lain. Imran tersenyum seketika memandang wajah gadis itu. Seakan-akan masih tidak mempercayai bahawa dia bertembung dengan Rina di universiti.

            Imran bukan seorang pelajar di universiti yang sama, malah dia tidak berniat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Setelah tamatnya persekolahan, dia yang aktif bermain bolasepak telah ditawarkan memasuki sebuah kelab amatur. Dari situ, bakatnya semakin terserlah sehingga sering bermain di kesebelasan utama pasukan bolasepak.

            Dan pada hari ini, dia bersama rakan-rakannya mengadakan perlawanan persabahatan dengan pasukan bolasepak universiti tersebut. Sememangnya dia tidak menyangka universiti tersebut menjadi tempat belajar Rina sekarang.

            “Oi, pekak ke?! Aku tanya ada apa kau nak bual dengan aku?” Soal Rina lagi setelah Imran mendiamkan diri seketika.

            “Ah! Aku saja nak berbual dengan kau. Maklumlah, dah lama kita tak berjumpa sejak kita tamat sekolah. Macam mana dengan keadaan kau sekarang?” Tanya Imran tersenyum.

            Rina diam seketika. Dia cuba mengambil masa untuk menjawab pertanyaan Imran. “Macam biasalah. Kepala aku masih pening tanpa sebab. Sampai sekarang aku masih melukis orang yang sama. Kau pun tau, kan?”

            Rina pantas menunjukkan lukisan wanita berjubah kepadanya. Imran mengangguk faham. Sejak Rina berjaya menenangkan dirinya dan tidak berasa trauma lagi, dia mula sering melukis sosok wanita memakai jubah lusuh berwarna hitam. Apabila ditanya, Rina sendiri tidak tahu siapa dan lansung tidak pernah berjumpa. Akan tetapi dia mengakui asyik bermimpikan wanita tersebut yang dibakar hidup-hidup.

            “Maknanya sampai sekarang jugak kau masih bermimpikan wanita tu?” Rina menganggukkan kepala. Imran mengeluh panjang. Wajah Rina kembali tampak sedih dan beremosi. Dia mula tertanya, apa yang sedang dihadapi oleh Rina sekarang?

            “Imran...”

            “Ya?”

            “Sebenarnya aku masih lagi trauma.” Akhirnya Rina meluahkan isi hatinya yang asyik dipendam itu. Imran tersentak mendengarnya.

            “Setiap kali tengok berita orang mati di kaca tv, baca berita tentang orang mati kat laman sosial, aku jadi trauma. Terus aku teringat kat kejadian hari tu. Aku rasa aku tak boleh tengok orang mati atau dengar pasal orang mati,” luah Rina lagi. Hatinya terasa sebak namun cuba untuk bertahan.

            “Bertenang, Rina. Jangan biarkan diri kau terus diselubungi perasaan trauma. Baik, kalau kau rasa itu saja caranya, kau lakukan saja. Aku akan sokong kau dari belakang. Aku percaya kau akan berjaya mengatasi perasaan trauma kau sendiri,” kata Imran lalu tersenyum. Rina hairan melihatnya. Mengapa mudah sahaja dia berkata demikian? Senyumannya asyik melekat di bibir setiap kali memandangnya.

            “Kenapa kau masih lagi nampak tenang?”

            “Agaknya kenapa ya? Aku sendiri pun tak tau.” Rina sekali lagi naik hairan dengan jawapan yang didengar.

            “Mungkin sebab ni.” Lalu Imran menunjukkan seutas rantai kunci berlian kepada Rina. Dia tersenyum lagi. Kali ini agak lebar hingga ke pipi. Sengaja dia menggoncangkan rantai kunci itu sehingga mengeluarkan bunyi loceng yang sedikit nyaring itu.

            “Kau masih menyimpannya?” Soal Rina ingin tahu.

            “Mestilah. Rantai kunci pembawa nasib tuah ni. Aku percaya kau pun masih menyimpannya juga, kan?”

            Rina tertawa kecil sebaik mendengarnya. Ada sebab sebenarnya mengapa dia masih menyimpan rantai kunci itu. Antara sebabnya adalah ia menyimpan seribu banyak kenangan bersama orang tersayang termasuk dua orang rakan baiknya.

 

Pada masa yang sama, di ibu kota,

NAZRIN kelihatan sedang duduk seorang diri di ruang tempat perbincangan. Sepertinya sedang menunggu seseorang di situ. Sementara menunggu, dia mengeluarkan sebungkus plastik yang mengandungi rantai kunci berlian di dalamnya. Rantai kunci tersebut adalah milik mangsa budak yang baru mengalami kemalangan tadi dan meninggal dunia serta-merta.

            Dia tidak pasti apa yang telah berlaku sebenarnya tetapi akal fikirannya kerap mengatakan terdapat kaitan antara rantai kunci tersebut dengan kes-kes yang melibatkan kematian. Itu hanya pendapatnya sahaja dan tidak mahu memikirkan dengan lebih panjang lagi.

            Tidak lama kemudian, orang yang ditunggu sudah pun tiba. Hasrul memohon maaf kerana terlewat. Dia baru sahaja pulang dari hospital untuk mendapatkan laporan kematian budak yang mati tadi. Siasatan terhadap pemandu mabuk tadi juga telah selesai apabila si pemandu tersebut telah mengaku bersalah dan dikenakan denda.

            “Mangsa, seorang budak berusia 12 tahun telah mengalami pendarahan teruk pada otaknya dan menyebabkan komplikasi teruk. Ini punca sebenar kematiannya,” jelas Hasrul. Lalu memberikan laporan tersebut kepada Nazrin untuk dibaca selanjutnya.

            “Kau ada tanya kepada ibu mangsa mengenai tingkah laku mangsa sebelum ni?” Tanya Nazrin ingin tahu.

            “Aku ada sempat tanya tadi. Katanya mangsa tak ada tunjuk sebarang apa-apa perubahan. Cumanya dia...” Hasrul terhenti seketika. Nazrin hairan melihatnya.

            “Cuma apa, Hasrul?”

            “Mangsa dikatakan terlalu seronok lepas terjumpa rantai kunci berlian di tepi jalan di kawasan rumahnya. Ibu mangsa mendakwa anaknya tak pernah rasa seronok macam tu sebelum jumpa rantai kunci tu,” jawab Hasrul.

            Nazrin diam seketika sambil melepaskan keluhan. Sekali lagi bungkusan rantai kunci diperhatikannya. Dia sudah mula mengagak sesuatu tetapi tidak dapat disahkannya lagi.

            “Hasrul, cuba tanya kawan kau pasal rantai kunci ni. Ada apa-apa kaitan tak dengan kes-kes yang melibatkan kematian?”

            Pertanyaan Nazrin sedikit menghairankan Hasrul. Mengapa pula dia mengatakan demikian? “A-apa maksud kau, Nazrin? Aku tak faham.”

            “Dengar. Ini sekadar pendapat aku saja. Terserahlah kau nak percaya atau tak. Aku merasakan rantai kunci berlian ni ada kaitan dengan kes-kes kematian selama ni. Mungkin lebih tepat lagi, ia pembawa nasib malang kepada orang yang memilikinya.”

            Hasrul diam terpaku. Walaupun diterangkan sebagai pendapat yang tidak dapat disahkan, namun dia agak terkejut dan tergamam. Zaman sekarang sudah pun memasuki zaman moden. Namun anehnya masih wujud lagi sesuatu yang dianggap sebagai pembawa nasib malang pada era moden ini. Andai kata pendapat Nazrin benar-benar berlaku, sejauh mana rantai kunci itu membawa nasib malang kepada pemiliknya?

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura