Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 16

BAB 16

Pak Saad benar-benar buntu. Dia mengerling ke arah Rahim yang asyik menghirup kopi yang masih bersisa dalam cawan dengan wajah yang kusut.

“Macam mana ni, Pak Saad? Kita kena ganti balik lembu-lembu yang sudah di tempah tu. Ada lebih kurang RM 10,000 ringgit juga nilai lembu-lembu yang terjejas dengan penyakit Hawar Berdarah ni.”

Terkedu Pak Saad mendengarnya. Fikirannya terawang-rawang seketika. Di manakah hendak di cekaunya duit sebanyak itu?

“Macam mana lembu-lembu tu boleh terkena jangkitan penyakit Hawar Berdarah? Bukankah lembu-lembu kita telah mendapat suntikan vaksin dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan?” soal Pak Saad dengan nada kehairanan.

Rahim menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Maaf Pak Saad. Ini semua salah saya. Saya terlepas pandang. Sebenarnya...sebenarnya memang lembu kita ada terima suntikan vaksin tu tapi itu tahun lepas. Tahun ni belum ambil lagi.”

Pak Saad melontarkan buah fikirannya. “Lah, iye ke? Duit dalam akaun kita takkan tak dapat menampung kerugian ini?”

“Duit dalam akaun kita tak sampai RM 7,000 pun. Kan kita baru gunakan duit tersebut untuk membina petak ragutan baru tempohari. Kalau kita gagal menyerahkan lembu-lembu itu dalam tempoh tujuh hari, ada kemungkinan kita akan di saman, Pak Saad. Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar pasti akan menarik balik bantuannya pada kita kalau hal ini di ketahui oleh mereka.”

Pak Saad bungkam. Terasa dadanya bagaikan di himpit batu berat. Projek ternakan lembu ini sudah menjadi nadi dalam hidupnya. Tidak sanggup rasanya dia menyaksikan projek ini musnah begitu sahaja.

Makcik Rosnah terkedek-kedek datang dari dapur sambil menatang sepiring biskut kering. Terus sahaja di labuhkan pungungnya ke sebelah Pak Saad.

“Sudah-sudahlah tu, bang. Hentikan jelah projek mengarut tu. Sejak dulu lagi saya dah cakap, abang tak sesuai berkecimpung dalam bidang ternakan lembu tu,” bangkang Makcik Rosnah dengan bibir yang terjuih-juih.

Pak Saad tersentak. “Apa yang awak cakap ni, Rosnah? Kan awak tahu saya memang minat bidang ternakan lembu ni...”

Pantas Makcik Rosnah memintas. “Memang saya tahu tapi masalahnya saya tak pernah sokong abang terlibat dengan semua ni. Sibuk sangat dengan lembu-lembu kat ladang tu sampaikan kebajikan anak bini langsung tak terjaga.”

Mencerlung mata Pak Saad mendengarnya. “Hai, selama ni pernah ke saya biarkan kita anak beranak mati kebulur? Awak jangan nak main serkap jarang je, Rosnah!”

Bunyi riuh-rendah di atas rumah segera menggamit perhatian Tipah yang baru tiba di halaman rumah. Pantas Tipah berlari ke atas rumah. “Kenapa ayah dan makcik bertekak ni?”

Buntang biji mata Makcik Rosnah melihat keadaan Tipah yang basah kuyup. Dia bingkas bangkit. “Hah, baguslah! Tu, cuba awak tengok anak kesayangan awak tu! Malam-malam buta macam ni sempat lagi berendam kat terusan tu. Eei, anak dengan bapak sama-sama suka menyusahkan orang!” Makcik Rosnah terus berlalu ke biliknya dengan wajah kelat.

Rahim juga pantas memohon diri. “Pak Saad, esok jelah kita bincang. Saya balik dululah.” Dia segera menyalami Pak Saad sebelum berlalu pergi dari situ.

Tipah terus mendapatkan Pak Saad dengan wajah yang bingung. “Kenapa dengan makcik tu, ayah? Meroyan tak tentu pasal pula malam-malam buta camni.”

Pak Saad mengeluh. “Kenapa kamu buat perangai lagi, Tipah? Kan kamu dah tahu makcik kamu tak suka kamu buat perangai pelik-pelik macam ni.”

Tipah menyengeh. “Mana ada, ayah. Ni semua si Tijah dan Lili punya pasal tadi. Ada ke patut di jurusnya Tipah dengan sebaldi air. Ayah tak jawab soalan Tipah lagi. Kenapa ayah dan makcik bergaduh?”

Pak Saad merenung jauh ke luar jendela. “Makcik kamu marah pasal ayah lebihkan urusan ladang. Tapi ayah bukan sengaja, Tipah. Ladang tu tengah bermasalah sekarang ni.”

Berkerut dahi Tipah mendengarnya. “Bermasalah? Kenapa pula dengan ladang ayah tu?” tebak Tipah bertubi-tubi.

“Lembu-lembu yang telah di tempah terkena jangkitan penyakit Hawar Berdarah. Sekarang ni ayah kena ganti semula lembu-lembu yang mati tu. Semuanya dalam RM 10,000. Masalahnya sekarang duit dalam akaun ladang cuma ada RM 7,000 je.”

Terbeliak biji mata Tipah mendengarnya. “Hah! RM 10,000? Fuh! Mana nak cari duit banyak tu, ayah?”

“Tu yang ayah tengah buntu ni. Ayah sendiri tak tahu mana nak cekau duit sebanyak tu dalam masa terdekat ni,” tukas Pak Saad dengan nada sedih.

Namun sebaliknya pula bagi Rayyan yang sedang asyik memasang telinga dari celah pintu. Mungkin ini bala bagi Pak Saad sekeluarga namun ianya merupakan rahmat baginya. Segaris senyuman sinis segera terukir di wajahnya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Pagi itu dapur rumahnya menjadi milik mereka. Kebetulan Pak Saad dan Makcik Rosnah keluar ke bandar untuk satu urusan penting. Kesempatan ini di pergunakan sepenuhnya oleh Tipah untuk mengimport kawan-kawannya bagi menjalankan misi penting mereka; mengumpul dana bagi ladang Pak Saad!

“Telur letak berapa biji ni, Tipah?” soal Tijah yang sedang sibuk mengayak tepung gandum.

Tipah yang sedang sibuk memukul mentega dan gula kastor dengan senduk menjawab dengan acuh tak acuh sahaja. “Tiga biji cukup kot.”

Melah segera mencelah. “Kau jangan nak main kot-kot je, Tipah. Karang kalau tak jadi, sia-sia jelah usaha kita ni.”

Pantas Tipah mencantas keraguan Melah. “Wei, aku google resepi ni dalam You Tube, tau tak? Siap ada video cara-cara nak buat lagi dari mula sampai habis.”

Riuh-rendah di dapur pagi-pagi buta begini berjaya menarik perhatian Rayyan. Pantas kakinya melangkah menuju ke dapur. Sengaja dia bertempik sekuat hatinya.

“Woi!! Buat apa tu, hah?” Terkejut mereka berempat di buatnya. Serta-merta pandangan mata mereka terlayang ke arah Rayyan yang sedang menyerigai.

“Nasib baiklah muka kau hensem. Kalau tidak dah lama aku lempar senduk ni kat muka kau,” gerutu Tipah dalam hati.

Seperti biasa Melah yang lurus bendul akan membuka segala cerita. “Kitorang nak buat cupcake. Petang ni kitorang nak pergi jual kat...”

Pantas Tipah mencelah. “Kitorang saja nak buat makan-makan petang ni. Betul tak, kawan-kawan?”

Serentak Tijah dan Lili mengiakan. “Aha, betul tu.”

“Dahlah! Blahlah dari sini! Jangan sibuk hal orang perempuanlah!” halau Tipah sambil bercekak pinggang.

Rayyan tersenyum sinis. Dia menuntas di dalam hati. “Takpe! Kau halau aku, ya? Kau tunggulah nasib kau kejap lagi!” Terus sahaja Rayyan melangkah pergi dari situ dengan hati yang bengkak. Otaknya mula ligat merangka strategi untuk menjahanamkan rancangan mereka berempat.

Rancangan itu mula menampakkan petandanya tatkala sebuah van poslaju muncul di halaman rumah sejurus selepas itu. Bunyi hon nyaring yang bertalu-talu segera menggugat fokus Tipah dan kawan-kawan. Pantas mereka berempat berlari ke arah muka pintu. Tipah segera menuruni tangga dan maju ke arah van poslaju tersebut.

“Ini rumah Cik Latifah binti Saad ke?” soal abang poslaju sambil tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Tipah hanya menganggukkan kepalanya. Meluat pula dia melihat gelagat abang poslaju tersebut.

Semakin lebar sengih di bibir abang poslaju tersebut. “Lah, ingatkan makcik mana punya nama tadi. Muka sikit punya comel tapi nama ala-ala awek zaman purba.”

Panas hati Tipah di buatnya. “Bagilah cepat bungkusan tu! Nak kutuk-kutuk nama orang pulak!”

Serba-salah abang poslaju di buatnya. “Sorilah dik, abang bergurau je. Adik sign kat sini, ye.” Dengan wajah masam mencuka terkocoh-kocoh Tipah menurunkan tandatangan sebelum meregut bungkusan itu dengan kasar. Rupa-rupanya bungkusan itu datangnya dari Raimi!

Pantas Melah, Tijah dan Lili berlari-lari anak ke arah Tipah. Terus sahaja Melah merampas bungkusan itu dari tangan Tipah. “Wah! Tipah dapat hadiah dari Abang Raimilah!”

Serentak Tijah dan Lili menerpa ke arah Melah. “Nak tengok! Nak tengok jugak!” Tersenyum lebar Rayyan tatkala melihat mereka berempat terlalu sibuk dengan bungkusan tersebut sehinggakan terlupa pada projek cupcake mereka di dapur. Ini satu peluang yang baik buatnya!

Langkah kaki Rayyan di hayunkan laju menuju ke dapur. Dia terus menuju ke arah oven yang sedang menerbitkan aroma enak dari cupcake yang sedang elok melata di atas dulang pembakar. Tertera suhu 170 darjah celcius dengan masa yang sudah di tetapkan selama tiga puluh minit. Ligat jemari Rayyan menggodek punat di oven tersebut. Suhu di naikkan sehingga ke paras 260 darjah celcius. Masa di panjangkannya pula sehingga ke empat puluh minit!

“Habislah kau kali ni, Tipah. Kejap lagi projek cupcake kau ni bakal jadi projek kebabom ler jawabnya,” getus Rayyan sambil ketawa kecil. Kemudian dengan senang hati dia berlalu pergi dari situ.

Tipah, Melah, Tijah dan Lili sedang berebut-rebut membuka bungkusan tersebut apabila sebuah teksi muncul secara tiba-tiba di halaman rumah. Terpacul kepala Pak Saad dan Makcik Rosnah dari balik pintu teksi.

Tipah terus kaget. “Alamak! Cupcake kita!”

Belum sempat Tipah berlari masuk ke dalam, Makcik Rosnah sudah menerpa ke arahnya. Bungkusan di tangan Tipah terus di rampas dengan kasar. “Apa pasal korang terkinja-kinja depan rumah aku ni, hah? Apa benda ni?” Bungkusan tersebut akhirnya lunyai di tangan Makcik Rosnah. Tersembul sekeping poskad bersama beberapa ‘key-chain’ patung beruang koala berwarna kelabu dari bungkusan tersebut. Terjegil biji mata Makcik Rosnah membaca baris demi baris ayat yang terukir di poskad tersebut.

“Oh, pandai-pandai kau minta si Raimi belikan kau barang-barang ni semua, ye? Apa, kau ingat Raimi kat Australia tu pergi berjimba-jimba ke?”

Pantas Tipah membela diri. “Mana ada Tipah suruh abang belikan semua ni? Tipah tak tahu-menahulah!”

Makcik Rosnah mencebik. “Tak tahu konon! Kau tak payah nak berdalihlah, Tipah! Pantang aku...” Bau-bauan hangit segera menerpa ke rongga hidung Makcik Rosnah.

“Eh, bau apa yang hangit sangat ni?” Pantas Makcik Rosnah menerpa ke arah dapur. Tipah, Melah, Tijah dan Lili saling berpandangan dengan wajah yang cuak. Suatu letupan yang kuat yang datang dari arah dapur berkumandang di gegendang telinga mereka. Terus sahaja mereka berempat dengan di sertai oleh Pak Saad bergegas ke dapur. Seluruh tubuh Makcik Rosnah sudah di selaputi oleh serpihan cupcake yang berderai akibat letupan dari oven. Tipah, Melah, Tijah dan Lili ketawa terbahak-bahak sampai terguling-guling di atas lantai melihatkan keadaan Makcik Rosnah yang tidak ubah seperti marshmallow bersalut coklat!

Mengamuk sakan Makcik Rosnah melihat gelagat Tipah dan rakan-rakannya. “Kurang ajar punya budak-budak! Korang gelakkan aku, ya? Nah, ambik kau ni!” Makcik Rosnah sudah mencapai senduk. Di ligannya Tipah dan rakan-rakan. Bertaburan mereka lari menyelamatkan diri.

Bergegas Rayyan keluar dari bilik. Dia pura-pura terkejut. Segera di hadangnya Makcik Rosnah. “Makcik, apa dah jadi ni? Kenapa makcik kejar Tipah?”

Makcik Rosnah bertempik. “Kamu jangan masuk campur hal makcik dengan Tipah! Nahas kamu nanti!”

Rayyan menahan rasa geli hatinya jauh-jauh di sudut hati. Dia melemparkan sebuah pandangan yang penuh keprihatinan pada Makcik Rosnah. “Makcik, saya takde niat nak masuk campur. Macam nilah, kalau ada barang-barang makcik yang rosak angkara Tipah dan kawan-kawannya, saya sanggup gantikan semuanya dengan yang baru.” Tertib dan sopan sekali Rayyan mengatur kata-katanya. Makcik Rosnah terpesona seketika dengan lakonan bertaraf A yang di pamerkan oleh Rayyan.

“Ganti dengan yang baru? Betul ke ni, Rayyan? Kamu tak bohong?”

Rayyan tersenyum lebar. Jarumnya tampak kian mengena. Mula-mula ambil hati ibunya dahulu, kemudian baru tawan hati anaknya pula! “Betul, makcik. kalau makcik nak, hari ni pun saya boleh belikan.”

Makcik Rosnah sudah tersenyum girang. “Kalau macam tu bolehlah kamu belikan makcik ‘microwave oven’ jenama Panasonic yang canggih tu. Dah lama makcik mengidam nak pakai oven tu. Tapi harga dia mahal ler sikit. Takpe ke?”

Rayyan menelan air liurnya. Memang dasar mata duitan betul Makcik Rosnah ni! “Boleh makcik. Takde masalah,” sahut Rayyan dengan wajah yang sengaja di maniskan.

Dalam misi menawan hati Tipah, segala-galanya perlu di pertaruhkan walaupun nilai yang tinggi harus menjadi cagarannya!

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.