BAB 13
Raina menghenyakkan punggungnya dengan kasar di atas sofa
empuk buatan Itali yang menjalar di ruang tamu. Hilang seketika lelahnya.
Memang padanlah dengan harganya yang boleh mencecah hingga belasan ribu dollar
Australia. Namun ia sesekali tidak menjadi kudis buat mamanya kerana
sesungguhnya Datin Khalida merupakan peminat tegar sofa buatan Itali sejak
dahulu lagi. Fikiran Raina masih lagi terawang-awangan. Penerbangan yang
memakan masa lebih dari dua puluh jam dari bandaraya New York ke Perth langsung
tidak merencatkan tenaganya. Minggu Fesyen New York yang di laluinya kali ini
benar-benar menerujakan! Untuk musim ini dia berpeluang untuk menggayakan
koleksi terkini Anna Sui yang mendapat inspirasi dari beberapa abad seperti
zaman pra-Raphaelite iaitu pergerakan ‘arts and crafts’ pada era 60-an dan gaya
‘hippie’ 70-an.
Bibirnya terukir sebuah senyuman penuh kepuasan. Kerjayanya
sebagai supermodel antarabangsa telah memberinya peluang untuk menyarung koleksi-koleksi
hebat dari pereka-pereka fesyen terulung di seluruh dunia. Bukan itu sahaja dia
juga turut berpeluang meneroka dan menjejaki ke seluruh pelusuk dunia di
samping menambah kenalan baru. Hatinya gembira dan puas dengan pencapaiannya
selama ini cuma papa dan mama sahaja yang tampak tidak berapa berkenan dengan
kerjayanya itu.
Papa lebih tegar sekiranya dia meneruskan legasi empayar
keluarga mereka dalam bidang perniagaan. Aurora Electrical Services Pty Ltd
milik Dato’ Khalid dan rakan kongsinya Mr Jones yang mempelopori bidang
elektrikal dan hartanah mewah yang sedang berkembang pesat ternyata memerlukan
Raina bagi meneruskan kesinambungan pencapaian cemerlang mereka. Namun jiwa Raina
nyata bukan di situ. Minatnya pada bidang peragaan mengatasi segala-galanya di
dalam dunia. Baginya Rayyan yang lebih sesuai menguruskan empayar keluarga mereka,
bukan dirinya.
Atas alasan itu jugalah lamaran dari kekasih hatinya Arif
Ilham telah di tolak mentah-mentah sebanyak tiga kali. Tidak sanggup Raina
melepaskan kerjayanya yang sudah berada di kemuncaknya semata-mata mahu
mendambakan diri kepada sang suami. Sungguhpun begitu Arif Ilham tidak pernah
sesekali berputus asa. Dia tetap menunggu Raina dengan setia kerana cintanya
yang terlalu mendalam buat gadis jelita itu. Arif Ilham bukan calang-calang
orangnya. Dia adalah seorang pengusaha mutiara bermutu tinggi di ladang
ternaknya yang terletak di Broome, Kimberley. Bila-bila masa sahaja Arif Ilham
bersedia menghamparkan kemewahan hidup buat Raina namun ternyata gadis itu
berpegang teguh pada kerjayanya. Sikap Raina inilah yang membuatkan Dato’
Khalid dan Datin Khalida makan hati di buatnya.
“Cik Raina, ini airnya.” Lamunan panjang Raina terhenti
seketika. Makcik Roza menghulurkan segelas jus oren sambil tersenyum simpul. Pantas
Raina menyambut gelas tersebut. Di teguknya jus oren itu dengan perlahan-lahan.
Matanya meliar memerhatikan sekeliling.
“Makcik Roza, sunyi je rumah ni. Diorang semua belum balik
dari Malaysia lagi ke?”
“Diorang dah balik semalam, Cik Raina. Semua ada kat atas
tu. Tapi sejak balik dari Malaysia, muka masing-masing macam cekodok basi je.
Risau pulak makcik di buatnya,” adu Makcik Roza sambil mengeluh.
Berkerut dahi Raina. “Kenapa pula jadi macam tu? Setahu saya
diorang pergi sana untuk tetapkan perkahwinan Rayyan, kan? Ada apa-apa yang
berlaku ke kat sana?”
Makcik Roza menjongket bahunya. “Entahlah, Cik Raina. Saya
pun tak tahu. Eh, dah pukul lapan dah ni. Saya nak panggil diorang turun dulu.
Cik Raina pun jemputlah ke meja makan. Saya dah sediakan makan malam.”
Terkocoh-kocoh Makcik Roza berlalu. Raina bangun dengan malas. Langkah kakinya
di talakan ke meja makan. Menu ayam masak kuzi, daging masak hitam dan sayur
campur yang terhidang terus membuatkan kecur air liur Raina.
“Ishh Makcik Roza ni. Kenapalah selalu masak sedap-sedap
macam ni? Hai macam manalah aku nak jaga badan kalau macam ni?” sungut Raina
dalam hati. Segera di tariknya kerusi dan terus di labuhkan punggungnya. Tidak
berapa lama selepas itu Dato’ Khalid, Datin Khalida dan Rayyan turun dan
melangkah menuju ke meja makan. Benar sekali kata-kata Makcik Roza. Wajah
masing-masing suram bagaikan ada sesuatu perkara buruk yang telah menimpa.
Sengaja Raina berbasa-basi dengan Datin Khalida. “Mama,
macam mana dengan trip ke Malaysia tu? Ada apa-apa cerita menarik yang mama nak
kongsi ke?”
Datin Khalida mencebik. “Kamu tanyalah dekat adik kamu tu sendiri.”
Selamba Rayyan menceduk makanan ke dalam pinggannya tanpa sebarang perasaan
bersalah di wajahnya.
Raina bertambah pelik. “Rayyan, apa cerita? Ok tak majlis
kamu aritu? Lama dah akak tak jumpa dengan Tipah. Rindu pulak dengan dia. Macam
mana dengan dia sekarang? Cantik tak dia?” Serta-merta imbasan wajah Tipah yang
kemas dalam rangkulannya tempohari terimbau semula di minda Rayyan. Renungan
dari sepasang mata bundar hazel kecoklatan itu masih segar di pemikirannya.
Entah mengapa Rayyan terasa sesuatu di hatinya. Takkanlah dia sudah jatuh hati
pula dengan perempuan ‘low class’ tu? Tak mungkin, tepisnya sendiri dalam hati.
Rayyan bersuara lemah. “Tak jadi kahwinlah, kak. Dah tak ada
jodoh.”
Raina tersentak. “Hah! Tak jadi kahwin? Biar betul? Apa yang
dah jadi ni?”
Dato’ Khalid mendengus kasar. “Tak ada jodoh kepala hotak
kamu! Elok-elok orang buat majlis untuk dia, senang-senang je dia rosakkan
majlis tu. Memang dasar anak tak mengenang budi!” Rayyan menjeling tajam ke
arah Dato’ Khalid. Bingkas dia bangkit dari meja makan dan berlalu ke biliknya.
Dato’ Khalid bertempik. “Rayyan! Tunggu dulu! Papa belum
habis cakap lagi. Mari sini!” Serta-merta langkah kaki Rayyan terhenti. Namun
dia hanya tegak kaku di situ.
Dato’ Khalid menggeleng-gelengkan kepala melihat kedegilan
anak terunanya itu. “Rayyan, papa dan mama cuma mengharapkan yang terbaik dalam
hidup kamu berdua. Kalau boleh sebelum menutup mata, papa dan mama nak tengok
kamu berdua melangkah ke jinjang pelamin kerana papa takut kami berdua tak
sempat nak menyaksikan semua tu.” Tersentak Rayyan dengan kata-kata Dato’
Khalid.
Raina segera mencelah dengan wajah yang gusar. “Papa! Kenapa
papa cakap macam tu? Janganlah cakap yang bukan-bukan!”
Datin Khalida segera memeluk bahu Raina dengan erat. “Raina,
betul lah apa yang papa cakap tu. Ajal, maut, jodoh kan di tangan Allah. Kita
takkan tahu bilakah saatnya kita akan di jemput untuk mengadapNya.” Raina terus
terdiam. Suasana jadi hening seketika tatkala itu. Tiba-tiba telefon bimbit
Dato’ Khalid menjerit-jerit dengan nyaring. Pantas Dato’ Khalid menekan punat
kekunci telefon bimbitnya.
“Hello! Ini Dato’ Khalid bercakap. Apa? Jangan risau saya ke
sana sekarang juga!” Talian segera di matikan. Dato’ Khalid mengerling ke arah
Datin Khalida dengan wajah yang gusar.
“Ida, ikut saya ke South Perth sekejap. Ada masalah sikit di
tapak pembinaan di sana.”
“Baiklah, abang. Saya pergi salin pakaian sekejap.” Datin
Khalida segera menaiki tangga menuju ke biliknya.
“Kenapa tu, papa? Macam serius je bunyinya,” soal Rayyan
ingin tahu.
Dato’ Khalid mengeluh. “Projek kediaman mewah kita di Corner
Hardy Rd tuler. Banyak sangat masalahnya sejak dari mula lagi. Papa nak pergi
jenguk sekejap.”
Entah mengapa Rayyan mula berasa tidak sedap hati. “Papa,
kenapa tak pergi esok pagi je? Tempat pembinaan tu kan jauh dari rumah kita ni?”
Dato’ Khalid tersenyum lebar. “Tak boleh, Rayyan. Papa kena
pergi sekarang juga. Esoh dah tak sempat. Rayyan, Raina, jaga diri baik-baik.
Ingat pesan papa dan mama tadi.” Rayyan dan Raina saling berpandangan.
Kata-kata Dato’ Khalid itu menyentakkan mereka. Buat pertama kalinya Dato’
Khalid menitipkan amanat buat mereka sebelum keluar dari rumah.
Dato’ Khalid segera melangkah keluar dan menuju ke keretanya.
Sejurus selepas itu Datin Khalida menyusulinya dari belakang. Baru sahaja Datin
Khalida ingin melabuhkan punggungnya apabila tiba-tiba dia keluar semula dan
berlari-lari anak ke arah Rayyan dan Raina. Di peluk dan di ciumnya mereka
berdua dengan sepuas-puasnya.
Bingung seketika Raina. “Kenapa ni mama?”
Datin Khalida menyeka air matanya yang berjuraian halus di
pipinya. “Tak ada apa-apalah. Jaga diri baik-baik Raina, Rayyan. Mama dan papa
pergi dulu.” Rayyan dan Raina terpempan seketika. Hati masing-masing berasa
sebak dengan perlakuan Datin Khalida sebentar tadi. Kereta Dato’ Khalid
meluncur laju meninggalkan perkarangan kediaman mewah mereka di McRostie
Residence, Nedlands.
“Pelik pula kelakuan papa dan mama malam ni, kan?” tingkah
Raina kehairanan.
Rayyan juga berasakan begitu namun dia cuba menyedapkan hati
kakaknya. “Alah, kakak jangan risaulah. Mama tu rindu sangat dengan kakak kot.
Kan dah dekat tiga minggu kakak ada kat Kota New York tu.”
Raina menganggukkan kepalanya. “Betul juga tu. Dahlah jom
masuk dalam. Akak pun dah letih ni.” Rayyan sekadar memerhatikan sahaja Raina
berlalu dari situ. Ingatannya tiba-tiba terimbau kepada seseorang. Pantas dia
mengeluarkan telefon pintar. Segera dia membuka akaun facebook ‘RAYYAN DATO’
KHALID’. Kehampaan menerjah di jiwa apabila mendapat tiada sebarang mesej baru
yang di terima dari akaun ‘TIPAH CANTIK’.
Rayyan menggerutu sendiri. “Hmm kenapa aku tertunggu-tunggu mesej
dari dia pulak ni? Haish tak boleh jadi ni! Baik aku pergi hiburkan hati kat kelab!”
Pantas Rayyan melangkah ke arah kereta Porche 911 Carrera 4S kesayangannya.
Tidak lama selepas itu kereta tersebut laju meluncur membelah malam yang hitam
pekat.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Zeta rancak meliuk lentuk tubuhnya mengikut alunan lagu di
atas lantai tarian. Terpesona seketika Rayyan melihatnya. Terus sahaja dia
menghampiri gadis jelita tersebut. Di rangkulnya Zeta kemas dalam pelukannya.
Dengan tidak semena-mena Zeta telah bertukar menjadi Tipah!
Rayyan terus menolak Zeta dengan kuat. “Hei, macam mana awak
boleh ada kat sini, hah? Awak datang dengan siapa?”
Zeta kehairanan. “Kenapa dengan you ni? Kan tadi I datang
dengan you. Takkanlah you dah lupa?” Bayangan Tipah segera menghilang. Rayyan
mengurut-ngurut kepalanya. Kenapa bayangan Tipah tidak henti-henti
mengganggunya?
Tiba-tiba telefon pintarnya berdengung bertalu-talu. Nama
‘Pakcik Halim’ tertera di skrin telefon pintarnya. Berkerut dahi Rayyan. Apa
yang peguam keluarga mereka mahukan darinya lewat-lewat malam begini? Rayyan
bergegas keluar dari kelab tersebut.
Pantas tangannya menekan punat telefon pintarnya. “Hello.
Ya, Pakcik Halim. Ada apa hal telefon saya lewat-lewat malam begini?”
Suara Pakcik Halim kedengaran cemas. “Papa kamu, Rayyan.
Papa kamu...”
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Pagi yang suram. Gerimis yang membasahi di Tanah Perkuburan
Islam Rockingham Regional Memorial Park bagaikan menangisi pemergian Dato’
Khalid dan Datin Khalida buat selama-lamanya. Kemalangan maut lewat malam
semalam telah mengorbankan nyawa mereka berdua. Atas permintaan Rayyan dan
Raina jasad kedua-dua mereka telah di kebumikan dalam satu liang lahad. Bacaan
talkin telah di sempurnakan oleh Ustaz Iqbal Samnakay selaku Pengerusi
Persatuan Sukan Dan Sosial Islam Perth.
Raina menangis semahu-mahunya di pusara tersebut. Rayyan
pula hanya mampu menahan sebak di dada. Setiap bait-bait perkataan terakhir
yang terbit dari bibir arwah papa dan mama masih terngiang-ngiang di
telinganya. Rayyan tertunduk pilu. Airmatanya yang cuba di tahan akhirnya gugur
jua menyembah bumi.
“Sabarlah Rayyan, Raina. Semua yang terjadi ini adalah
ketentuan dari Allah SWT. Bersabarlah banyak-banyak, ya.” Rayyan mengangkat
wajahnya. Wajah tenang Pakcik Halim mengisi ruangan matanya.
“Rayyan, Raina, sebenarnya ada perkara yang pakcik nak
bincangkan dengan kamu berdua. Ianya mengenai wasiat papa dan mama kamu.”
Berkerut dahi Rayyan. “Wasiat? Kenapa pula dengan wasiat tu?
Ada apa-apa masalah ke?”
Pakcik Halim menelan air liurnya. “Tak ada apa-apa masalah
cuma dua hari sebelum papa dan mama kamu meninggal dunia, mereka telah meminda
wasiat itu dan ada dua nama baru yang di masukkan ke dalam wasiat tersebut. Pertukaran
wasiat terbaru ini adalah sah mengikut peruntukan undang-undang. Ini bermaksud
kamu dan Raina tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan wasiat ini. Kamu
berdua bacalah dulu salinan petikan wasiat terbaru ni. Ini salinannya.” Pakcik
Halim menghulurkan sekeping sampul surat bersaz A4 yang berwarna kuning. Dengan
hati yang berat Rayyan menyambut sampul surat tersebut. Sekeping kertas yang
terdapat di dalam sampul tersebut di keluarkan. Matanya terus tertancap pada
setiap baris-baris perkataan yang tertulis di kertas tersebut.
‘ SURAT WASIAT
Hari ini, bersamaan
dengan 14 Mei 2014 bertempat di Perth, Australia, saya yang bernama Dato’
Khalid bin Haji Abdul Rahman dengan ini menyatakan; saya mewasiatkan
keseluruhan harta saya kepada kedua-dua anak saya iaitu Rayyan Haikal dan Raina
Hasyira dengan bersyarat :-
1) Rayyan Haikal mestilah mengahwini Latifah
binti Saad. Jikalau mereka bercerai sebelum genap setahun maka semua harta yang
di warisi oleh Rayyan Haikal akan menjadi milik mutlak Latifah binti Saad.
2) Mulai dari saat ini segala perbelanjaan
pembelajaran dan kos sara hidup Raimi Asyraf bin Abdullah akan di tanggung
sepenuhnya oleh Aurora Electrical Services Pty Ltd
Kegagalan dalam
mematuhi syarat-syarat tersebut di atas akan membuatkan kedua-dua penama di
atas gugur tuntutannya terhadap keseluruhan harta saya.’
Rayyan terduduk sambil meratap hiba. “Macam mana nama Raimi
dan Tipah boleh masuk sekali dalam wasiat ni? Papa, sampai hati papa buat kitorang
macam ni!”
P/S : Tragedi melanda Rayyan...pilihan harus segera dibuat olehnya...apakah yang bakal di lakukan oleh Rayyan? Sama-sama kita nantikan....