Terangkat kening Tengku Fariz memandang anak sulungnya itu. Tengku Mariam pula tersenyum lebar.
"Siapa gadis tu?" soal Tengku Fariz. Pulang sahaja dari bercuti Fuadzi terus menemui mereka. Lelaki itu teruja memberitahu yang dia sudah menemui calon isteri.
"Fuad akan bawa dia jumpa mama dan papa," balas Fuadzi dengan senyuman lebar. Dia tahu yang dia terlalu terburu-buru memberitahu kedua orang tuanya itu. Dia juga sedar akan risiko yang berlaku jika Izdan mengetahui siapa gadis yang telah mencuri hatinya. Apa yang lebih menakutkan adalah jawapan daripada Adwa Riana. Namun dia tidak akan pernah berputus asa selagi gadis itu bukan milik sesiapa.
"Fuad jangan tunggu lama. Fuad tu bukannya muda lagi," celah Tengku Mariam yang jelas teruja. Dia tidak ada masalah siapa pun pilihan anak-anaknya. Pada usia yang semakin meningkat ini, impiannya cuma mahu melihat kebahagiaan mereka sebelum dia menutup mata.
"Insya Allah, mama," balas Fuadzi dengan senyuman.
"Iz tak balik rumah?" tanya Tengku Fariz apabila hanya melihat Fuadzi seorang yang keluar dari kereta sebentar tadi.
"Iz balik ke rumahnya pa. Esok malam dia akan datang makan malam kat sini?" beritahu Fuadzi. Sejak balik ke Malaysia setahun yang lalu, Izdan langsung mengambil keputusan untuk membeli rumahnya sendiri. Alasan Izdan dia sudah biasa hidup sendiri. Fuadzi tahu yang kedua orang tua mereka agak kecewa dengan keputusan lelaki itu. Namun mereka juga tidak mahu memaksa.
"Mama tengok Iz tu macam ada masalah aje. Sudah setahun kita balik Malaysia, tapi keadaan Iz tetap sama ketika sampai kat Itali beberapa tahun yang lalu. Fuad tahu apa yang berlaku pada Iz?" soal Tengku Mariam. Sudah lama dia ingin bertanyakan hal tersebut dengan Fuadzi namun dia tidak tahu bila masa yang sesuai. Izdan tidak mungkin akan berkongsi dengannya. Dia tahu walaupun lelaki itu sudah mampu menerima mereka, namun Izdan masih sukar berkongsi sebarang masalah dengan mereka. Izdan lebih suka menyelesaikan masalahnya sendiri. Tengku Fariz turut memandang wajah Fuadzi menunggu jawapan daripada lelaki itu. Fuadzi mengeluh perlahan. Masalah Izdan kini telah menjadi masalahnya. Belum tiba masanya dia perlu beritahu kedua orang tuanya itu akan hal tersebut.
"Nanti Fuad tanya Iz. Mama dan papa jangan lah risau sangat. Setakat ni Iz okay," jawabnya dengan senyuman hambar. Tengku Mariam dan Tengku Fariz hanya mengangguk.
“Fuad tolong jaga Iz tu. Papa memang risau selagi Iz tinggal sendiri. Lepas Fuad kahwin nanti, papa lagi risau. Kalau boleh papa nak Iz kahwin dulu sebelum Fuad,” kata Tengku Fariz separuh meminta. Fuadzi agak terkedu mendengar permintaan papanya itu. Lidahnya kelu untuk menjawab.
*****
Tengku Hadwan hanya terdiam mendengar kata-kata ibunya itu. Tengku Jasmine mengeluh perlahan.
"Ibu tak paksa kalau Wan tak nak ikut sekali. Ibu dan ayah faham. Sebenarnya ibu lagi suka kalau Wan tak pergi," katanya jujur. Dia tidak mahu melihat lelaki itu terseksa lagi.
"Wan akan pergi ma. Nanti apa kata aunty Garia kalau Wan tak datang,” jawab Tengku Hadwan dengan senyuman. Tengku Jasmine agak ragu-ragu melihat wajah tenang lelaki itu.
"Betul ke ni? Ibu bukan apa Wan. Perempuan tu kawan baik Gina. Mesti dia ada sekali masa tu. Ibu tak sanggup tengok muka perempuan tu," balasnya dengan perasaan geram.
"Cerita lama ibu. Wan dah belajar lupakan dia. Ibu jangan risau. Sekarang Wan dah kuat," kata Tengku Hadwan dengan senyuman. Tengku Jasmine agak lega melihat senyuman lelaki itu.
“Elok lah kalau Wan datang sekali. Gina tu awal lagi dah pesan supaya Wan datang. Dia sengaja tak call sebab tahu Wan sedang bercuti,” celah Tengku Kamal yang baru turun dari tingkat atas lalu menyertai mereka.
“Gina tu memang manja dengan Wan. Jangan pula dah nak tunang masih nak melekat dengan Wan. Wan tak boleh layan sangat Gina tu,” pesan Tengku Jasmine.
“Nak buat macam mana ibu. Gina tu anak tunggal. Sejak kecil memang dah manja dengan Wan. Ibu bukan tak tahu,” balas Tengku Hadwan dengan senyuman.
“Tak apa lah. Bukannya orang lain,” celah Tengku Kamal pula.
“Ibu tahu. Cuma tak manis orang pandang,” balas Tengku Jasmine sambil menjeling suaminya itu. Tengku Hadwan menarik nafas dalam. Dia agak berdebar menunggu majlis tunang sepupunya itu.
*****
Tengku Hadwan merenung lama foto gadis itu. Dia tersenyum hambar.
Nadia Alora…,
Tiga tahun yang lalu adalah masa yang sukar baginya. Gadis itu meninggalkannya tanpa sebab. Dia hampir putus asa untuk meneruskan hidup. Tengku Hadwan menggeleng perlahan.
Masa tu aku memang bodoh. Masa tu aku hanya fikir yang kau seorang aje yang faham aku. Tapi aku silap. Aku sia-siakan masa tiga tahun meratap hanya sebab kau langsung tak beri aku peluang.
Tengku Hadwan tersenyum sinis. Dia mencapai foto tersebut lantas memasukkan ke dalam laci mejanya semula. Dia tidak akan membuang foto Nadia kerana mahu mengingatkan dirinya yang dia pernah terseksa hanya kerana mengejar cinta yang tidak pasti. Dia memang serik. Tiga tahun bukan satu tempoh yang mudah untuk dia bangkit semula. Dia hampir gila. Hidupnya tidak tentu arah. Tanpa sokongan ibu dan ayahnya sudah pasti dia tidak mampu melalui kesukaran itu. Tengku Hadwan mengeluh. Tahun ini dia sudah mulakan hidup baru tanpa bayangan masa lalu. Biar masa lalu menjadi pengajaran buat dirinya.
*****
"I'm sorry Iz," ucap Balqish sambil memegang erat telefon bimbitnya. Air matanya menitis perlahan. Izdan mengeluh.
"I'm sorry. I love you so much. Sampai saat ni pun Qish tak mampu lupakan Iz. I'm really sorry," sambung Balqish sambil mengesat air matanya. Dia sudah cuba menahan dirinya namun dia tidak berjaya. Dia gagal untuk mengawal perasaannya selepas pertemuannya dengan Izdan di Istanbul.
"Qish, please, " balas Izdan dengan suara bergetar.
"Qish akui apa yang berlaku empat tahun yang lalu memang salah Qish. But I can't control myself. Masa tu Qish tak nak kehilangan Iz. Tapi Qish silap. Qish tak sedar. Rupanya Qish langsung tak ada tempat di hati Iz. Am I right?" soalnya dengan perasaan kecewa.
"Soal hati tak boleh dipaksa Qish. Iz maafkan Qish. Cuma Iz tak nak jumpa Qish lagi. Sebab Qish dah buat Adwa bencikan Iz,” balas Izdan dengan perasaan kecewa. Balqish tunduk meraup wajahnya.
"Sampai hati Iz," katanya sambil mengesat air matanya.
"Iz yang salah. Qish boleh maki hamun Iz. Tapi bukan Adwa. Dia tak bersalah, " balas Izdan. Balqish pantas menutup telefonnya. Sakit telinganya mendengar kata-kata lelaki itu. Izdan hanya mengeluh memandang telefon bimbitnya.
Apa lagi yang perlu dia katakan supaya gadis itu memahaminya?
*****
Adwa tersenyum sinis memandang emel daripada Izdan.
-Adwa apa khabar?
Adwa mendengus geram. Dia memandang skrin laptopnya semula. Ada lagi emel baru daripada lelaki itu.
-Iz minta maaf kalau dah ganggu percutian Adwa baru-baru ni. Ad, terima kasih sebab dah maafkan Iz. Iz dah jumpa Qish. Iz dah tahu apa yang berlaku empat tahun yang lalu. Maafkan Iz. Sebab Iz dah buat Ad menderita. Iz tak pernah terfikir keputusan Iz untuk berpisah dengan Qish dah beri impak yang besar dalam hidup Ad. Iz memang pentingkan diri sendiri. Tapi Ad, kali ni Iz masih nak pentingkan diri. Iz tak mampu ikut permintaan Ad. Kalau diberi kesempatan, Iz nak jumpa Ad lagi.
Adwa menutup laptop tersebut. Dia bangun lalu melangkah ke balkoni biliknya.
Kau memang tak faham bahasa Iz!
*****
"Selamat pagi sayang," ucap Tania sambil mengucup dahi gadis itu. Adwa tersenyum sambil menarik kerusi. Maria yang sedang membancuh kopi kegemarannya turut tersenyum memandang cucu kesayangannya itu.
"Pagi ma, nek. Semua orang nampak happy aje. Ada apa-apa ke?" soalnya dengan senyuman lebar.
"Hari ni nenek nak ajak kita shopping. Esok majlis anak angkat kesayangan nenek," beritahu Tania sambil tergelak kecil. Adwa ikut tergelak. Memang neneknya itu agak rapat dengan jiran mereka.
"Wah, nenek nak belanja ke?" soal Adwa separuh mengusik.
"Mama kamu yang belanja. Ad tu tak masuk office lagi. Lepas ni nak bercuti ke mana pula?" soal Maria separuh menyindir. Adwa menggigit bibir. Tania sudah tergelak kecil.
"Minggu depan Ad masuk office. Hujung tahun Ad sambung hobi semula," jawab Adwa dengan senyuman nakal.
"Suka hati Ad lah. Yang penting Ad jaga diri,” kata Maria separuh menasihati. Adwa mengangguk dengan senyuman.
"Lama lagi lah nak dapat cucu kalau asyik nak melancong," celah Tania.
"Mama!" Adwa sudah menarik muncung panjang. Tania dan Maria ketawa serentak. Seronok mengusik gadis itu.
*****
Adwa keluar meninggalkan Maria dan Tania yang masih leka memilih pakaian yang sesuai untuk majlis esok. Ikutkan hati dia sebenarnya tidak mahu menghadiri majlis di rumah Garia. Namun apabila melihat neneknya yang beria-ria, dia turutkan juga. Dia tidak suka dengan sikap Gina yang agak sombong. Sebelum ini dia pernah beberapa kali menegur gadis itu namun hanya jelingan tajam yang diterimanya. Entah apa yang gadis itu tidak puas hati dengannya.
“Adwa,” tegur seseorang. Adwa berpaling menoleh. Dia terkedu. Tengku Hadwan membuka kaca mata hitamnya.
“Awak sihat?” soal Tengku Hadwan. Entah apa yang membuatnya asyik kalah jika melihat gadis itu. Adwa berdehem perlahan sambil mengangguk. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak sanggup dia membalas renungan redup lelaki itu.
“Seorang?” soal Tengku Hadwan lagi.
“Tak. Saya datang dengan my mom and grandma,” jawab Adwa. Dia mula rimas dengan kehadiran lelaki itu.
“Saya pun datang dengan ibu,” beritahu Tengku Hadwan sambil tersenyum melihat Adwa yang berusaha tidak mahu bertentang mata dengannya.
“Tak ada soalan untuk saya?” soalnya sengaja ingin mengusik gadis itu.
“Tak ada,” jawab Adwa pendek.
“Saya tanya boleh?” soal Tengku Hadwan lagi. Adwa menggeleng pantas.
“Maaf, saya tak senang,” katanya sebelum berlalu. Tengku Hadwan hanya tersenyum melihat langkah gadis itu.
“Siapa tu?” soal Tengku Jasmine yang sudah berdiri di sisinya.
“Kawan. Jom lah kalau ibu dah selesai,” ajak Tengku Hadwan sambil mengambil beg berisi barang dari tangan Tengku Jasmine.
“Okay,” jawab Tengku Jasmine sambil tersenyum.
*****
Adwa hanya mengikut Tania dan Maria dari belakang. Mereka disambut oleh Garia dengan senyuman lebar.
“Terima kasih sebab sudi datang. Jemput masuk ibu,” ajak Garia yang jelas teruja. Wanita itu memang sudah lama memanggil Maria dengan panggilan ibu. Sikap Maria yang penyayang menyebabkan Garia tidak segan silu memanggilnya dengan panggilan tersebut. Maria pula memang tidak ada masalah dengan perkara itu. Garia memeluk Maria dan Tania. Dia beralih memandang Adwa yang hanya tersenyum memandangnya.
“Tahniah aunty,” ucap Adwa agak kekok. Dia dan ibunya memang jarang bertegur sapa dengan wanita itu. Hanya neneknya yang rapat dengan Garia.
“Adwa, cantiknya anak awak Nia. Kalau saya ada anak lelaki dah lama saya berbesan dengan awak,” katanya separuh bergurau. Dia memeluk Adwa. Tania hanya tersenyum mendengar pujian wanita itu.
“Masuk lah. Tak ramai sangat jemputan. Keluarga dengan kawan-kawan Gina aje yang kami jemput,” beritahu Garia. Masuk sahaja mereka di dalam halaman rumah, Adwa terkejut melihat Diana yang sedang tersenyum menuju ke arahnya.
“Nenek, aunty apa khabar?” tanya Diana sambil bersalam dengan Maria dan Tania.
“Sihat alhamdullillah,” balas Maria.
“Diana pun ada kat sini?” soal Tania yang agak terjeut melihat gadis itu.
“Gina is my friend aunty,” balas Diana dengan senyuman. Tania mengangguk faham.
“Aunty, saya bawa Adwa kat depan ya,” pinta Diana sambil mula menarik lengan Adwa.
“Sesuai lah tu. Adwa tu jadi bisu kalau duduk dengan orang tua,” sokong Maria. Tania sudah tergelak.
“Nenek,” berkerut kening Adwa memandang Maria dan Tania yang sudah berlalu ke meja lain.
“Jom,” ajak Diana dengan senyuman lebar.
“Sejak bila kau jadi kawan baik si Gina tu?” soal Adwa sambil melangkah seiringan dengan Diana.
“Aku tak lah rapat dengan dia. Gina tu sepupu Wan,” jawab Diana. Langkah Adwa terhenti apabila melihat meja yang bakal didudukinya. Tengku Hadwan juga agak terkejut melihat kehadiran gadis itu. Sebenarnya bukan kehadiran Tengku Hadwan yang membuat Adwa terkejut. Tapi Izdan. Fuadzi juga ada.
“Jom lah,” ajak Diana sambil menarik tangan gadis itu. Adwa tidak ada pilihan apabila semua di meja tersebut mula memandangnya. Dengan berat hati dia mengikut langkah Diana. Diana menarik kerusi kosong di sebelah Tengku Hadwan. Adwa duduk dengan perasaan berbaur. Di hadapannya Izdan yang sedang merenungnya tajam.
“Tak sangka jumpa awak kat sini,” tegur Tengku Hadwan. Adwa hanya tersenyum pahit. Kelu lidahnya untuk berkata-kata apabila perasan Izdan masih merenungnya.
“Adwa sihat?” tegur Fuadzi. Rindunya dia pada gadis itu. Adwa hanya mengangguk. Tengku Hadwan memandang Fuadzi.
“Kau kenal Adwa?” soalnya.
“Of course,” jawab Fuadzi dengan nada serius membalas pandangan Tengku Hadwan. Tengku Hadwan mengangguk. Dia kurang senang apabila melihat Izdan yang leka merenung Adwa. Tengku Hadwan menoleh ke arah Adwa. Gadis itu kelihatan kurang selesa.
“Ad, kalau kau nak tahu mereka ni sepupu,” beritahu Diana apabila suasana sepi seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Adwa menjeling geram ke arah gadis itu.
“Aku pun baru tahu,” kata Diana sambil tersengih. Dia tahu gadis itu sedang menahan marah saat ini. Tengku Hadwan mendekatkan dirinya dengan Adwa lalu membisikkan sesuatu.
“Awak, senyum lah.”
Adwa membalas pandangan lelaki itu. Dia menarik nafas dalam untuk menenangkan dirinya. Perlahan senyuman terukir pada bibirnya.
“Boleh tak jauh sikit?” pinta Adwa separuh berbisik. Jaraknya dengan lelaki itu agak rapat membuatnya semakin tidak selesa. Tengku Hadwan menjarakkan semula dirinya. Pandangannya bertembung dengan seseorang. Dia terkedu. Kelihatan Nadia sedang berjalan perlahan ke arah mereka. Izdan masih merenung Adwa. Pakaian gadis itu sangat tidak kena pada pandangannya. Fuadzi menoleh memandang Izdan sebelum beralih memandang Adwa yang langsung tidak mengendahkan kehadiran mereka. Dia mengeluh berat.