"Iz! "
Izdan berpaling apabila mendengar namanya diseru. Kelihatan Fuadzi sedang melambai ke arahnya. Izdan tersenyum lebar sambil melangkah menuju ke arah lelaki itu.
"Kau dah order makanan?" soal Izdan sambil menarik kerusi.
"Belum lagi. Kau nak makan apa?" tanya Fuadzi sambil memandang menu di atas meja.
"Tak kisah. Janji kenyang," balas Izdan sambil memandang sekeliling. Dia sangat berharap akan terserempak semula dengan Adwa. Fuadzi memesan makanan untuk dia dan Izdan.
"Aku jumpa Adwa tadi,” beritahu Izdan sambil memandang lelaki itu. Fuadzi terkedu. Dia memang tidak memberitahu Izdan mengenai pertemuannya dengan Adwa. Malah adiknya itu langsung tidak tahu semua rakan-rakannya ada di atas kapal itu. Pada mulanya dia juga terkejut. Kecil sangat dunia ini.
"So?" soal Fuadzi dengan nada perlahan. Kedengaran Izdan mengeluh berat.
"Aku tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mungkin Adwa marah sebab aku pergi macam tu aje. Tapi aku tak yakin tu sebab utama dia marahkan aku. Aku kenal Adwa," balas Izdan. Fuadzi merenung wajah Izdan. Sejak dari dulu dia sudah tahu perasaan lelaki itu pada Adwa. Jika dulu dia tidak merasa apa-apa. Tapi kini Fuadzi rasa agak tercabar. Dia bukan merampas Adwa daripada Izdan. Adwa bukan milik sesiapa.
“Kau dah tahu dia ada kat sini. Kau nak buat apa lepas ni?” soalnya agak resah.
“Aku akan pastikan Adwa tak marahkan aku lagi,” balas Izdan dengan senyuman lebar. Terangkat kening Fuadzi melihat senyuman lelaki itu.
"Kau tahu ke Qish ada kat sini?" soalnya sengaja ingin melihat reaksi Izdan. Perlahan senyuman Izdan menghilang. Fuadzi rasa bersalah pula melihat reaksi lelaki itu.
"Sorry," ucapnya. Izdan menggeleng.
"Aku memang ada terserempak dengan Qish," jawabnya.
“Makan dulu. Sejuk pula makanan tu,” kata Fuadzi separuh mengarah. Dia tidak sanggup melihat wajah keruh lelaki itu. Izdan hanya mengangguk dengan senyuman hambar. Sejak berpindah ke Itali, dia secara tidak langsung menjadi rapat dengan Fuadzi. Dia sudah boleh berkongsi apa sahaja dengan lelaki itu tanpa rasa ragu-ragu lagi. Izdan akui abangnya memang seorang yang penyayang.
*****
Adwa melangkah masuk ke dalam lif.
"Bila nak pulangkan jaket saya? " tegur lelaki di sebelahnya. Adwa menoleh pantas kerana terkejut.
Tengku Hadwan!
Adwa berdehem perlahan.
"Sorry, saya hampir lupa," balasnya perlahan. Dia memang sudah tidak ingat pasal jaket milik lelaki itu. Adwa memandang sekilas ke arah lelaki itu.
"Awak tak sihat ke?" soalnya tanpa sedar. Adwa menggigit bibir.
Ish, mulut ni!
Tengku Hadwan memandang gadis itu.
"Macam mana awak tahu?" soalnya pula tanpa senyuman. Seingat Adwa ini merupakan kali ketiga dia terserempak dengan lelaki itu. Namun dia belum pernah melihat Tengku Hadwan tersenyum
"Awak nampak pucat, " jawab Adwa perlahan. Tengku Hadwan hanya diam membisu. Apabila pintu lif terbuka, Adwa kaku melihat gadis yang ingin melangkah masuk ke dalam lif tersebut. Tengku Hadwan menoleh ke arah Adwa sebelum memandang Balqish yang masih tercegat di hadapan mereka.
“Jom,” ajak Tengku Hadwan sambil menarik jemari Adwa lalu menggenggamnya. Adwa terkedu. Dia terpaksa menurut apabila lelaki itu menariknya perlahan keluar dari lif. Adwa melepasi Balqish tanpa berkata apa-apa.
"Bilik awak kat mana? " soal Tengku Hadwan sambil memandang gadis itu.
"Dah sampai pun,” kata Adwa apabila mereka berhenti tepat di depan pintu biliknya. Tengku Hadwan melepaskan tangannya. Adwa tidak tahu dia harus berterima kasih pada lelaki itu atau memarahinya kerana menyentuhnya sesuka hati. Apa yang dia pasti lelaki itu sudah menyelamatkannya sebentar tadi. Adwa mengeluarkan kunci dari dalam begnya.
"Tunggu kat sini," katanya sambil membuka pintu. Dia masuk sebentar sebelum keluar semula. Adwa menghulurkan jaket pada Tengku Hadwan.
"Terima kasih. Awak jangan buat saya terhutang budi lagi," kata Adwa dengan nada tegas sebelum berlalu masuk. Tengku Hadwan memandang lama pintu bilik Adwa yang sudah tertutup rapat. Dia mengeluh perlahan sebelum berlalu.
*****
"Majlis sanding? " soal Tania.
"Tak lah. Majlis kecil aje. Anak dia nak bertunang. Tapi Garia tu jemput kita sekeluarga," balas Maria. Tania terdiam sejenak memikirkan jemputan jiran mereka itu. Dia sebenarnya bukan tidak mahu memenuhi permintaan wanita itu. Namun dia agak segan kerana keluarga Garia itu semuanya orang berada.
"Nia segan lah ibu, “ kata Tania dengan kening berkerut.
"Nak segan apa? Kita bukannya datang sendiri. Ibu kasihan dengan Garia. Dia sampai ketuk pintu rumah ni semata-mata nak jemput kita," balas Maria.
“Bila majlis tu? " soal Tania.
“Minggu depan. Kita ajak Adwa sekali," jawab Maria dengan senyuman. Tania mengangguk. Fikirannya menerawang memikirkan anaknya yang seorang itu. Semalam Adwa memberitahunya yang dia akan pulang cepat. Nada suaranya seperti risaukan sesuatu. Bila dia bertanya, gadis itu mengatakan semuanya dalam keadaan baik. Tanpa sedar Tania mengeluh perlahan.
"Nia risau dengan Adwa tu. Susah sangat nak agak fikirannya. Ibu tak rasa dia masih sendiri sampai sekarang sebab Iz?” soalnya.
“Entah lah Nia. Ibu tak faham perangai budak zaman sekarang ni. Nak merajuk pun sampai bertahun-tahun,” balas Maria. Tania hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata wanita itu.
*****
"Awak kat sini rupanya. Puas saya cari awak," tegur Fuadzi sambil menarik kerusi dihadapan gadis itu. Adwa yang sedang tekun menghadap laptop hanya memandang sekilas ke arah lelaki itu.
“Kenapa seorang aje kat sini? " soal Fuadzi sambil menatap wajah tenang gadis itu. Adwa membisu. Langsung tidak mengendahkan kehadiran lelaki itu.
"Adwa..., " panggil Fuadzi lembut. Adwa mendengus perlahan.
"Awak boleh tak jangan ganggu saya? Apa masalah awak? Saya tak kacau pun hidup awak!" marahnya. Fuadzi agak terkejut dengan reaksi gadis itu. Adwa pantas berdiri dan mula mengemas barangnya.
"Sorry, saya tak berniat nak ganggu awak. Saya cuma nak berkawan dengan awak,” balas Fuadzi agak gelabah melihat tingkah laku gadis itu.
“Saya jenis yang tak perlukan ramai kawan. Kalau awak nak cari kawan, pergi cari tempat lain. Ini bukan tempatnya, " balas Adwa sambil menyandang beg laptopnya. Fuadzi turut bangun apabila melihat gadis itu ingin berlalu.
"Kenapa awak sombong sangat? Saya cuma nak berkawan dengan awak," soalnya dengan perasaan kecewa. Adwa meneruskan langkah tanpa mempedulikan kata-kata lelaki itu. Entah mengapa dia asyik geram apabila memandang wajah lelaki itu. Fuadzi mengeluh perlahan.
*****
Terangkat kening Lufia melihat lelaki itu.
"Hai Luf. Apa khabar? " soal Izdan dengan senyuman manis.
"Kau pun ada kat sini?" soal Lufia pura-pura tidak tahu. Dia sebenarnya tidak tahu mahu menunjukkan reaksi apa pada lelaki itu. Dalam masa yang sama dia turut rasa bersalah pada Izdan.
"Bila dengar korang ada kat sini, aku terus datang sini. Kau yang emel aku kan?" soal Izdan separuh meneka. Lufia mengangguk perlahan. Memang dia yang menghantar emel pada lelaki itu. Semuanya disebabkan terdorong oleh perasaan bersalah kerana selama ini dia terpaksa mengelak daripada Izdan untuk menjaga hati Adwa.
“Thank you,” ucap Izdan dengan perasaan terharu. Dia faham yang gadis itu tersepit antara dia dan Adwa.
"Kau datang dengan Qish?" soal Lufia apabila teringat Balqish. Izdan menggeleng
"Aku tak datang dengan dia. Aku rasa dia ada kat sini sebab Fuad yang beritahu," balasnya perlahan. Berkerut kening Lufia mendengar kata-kata lelaki itu.
“Fuad? How?” soalnya hairan.
“Selepas aku ke Itali, Qish selalu berhubung dengan Fuad tanya pasal aku. Mereka mula rapat sejak tu,” jawab Izdan dengan senyuman hambar. Walaupun dia tidak selesa dengan kehadiran Balqish, namun dia tidak menolak andai Fuadzi ada apa-apa hubungan dengan gadis itu. Lufia menarik nafas berat.
“Aku nak tanya. Apa yang dah berlaku selepas aku pergi hari tu? Memang aku mengaku silap sebab tak hubungi Adwa. Tapi kau pun tiba-tiba hilang macam tu aje. Aku cuba hubungi Adwa pun tak dapat. Semua orang tiba-tiba hilang macam tu aje,” kata Izdan separuh menyoal.
“Aku minta maaf. Tapi aku rasa kau perlu dengar sendiri dari mulut Adwa,” ucap Lufia dengan perasaan bersalah.
“Lufia!” tegur satu suara. Lufia menoleh. Bulat matanya memandang lelaki yang sedang menghampiri mereka dengan senyuman lebar.
“Kau pun kat sini?” soal Lufia sambil memandang Razi yang sedang menarik kerusi.
“Mesti lah. Aku dan Iz mana boleh berpisah,” katanya. Izdan hanya tersenyum mengangguk apabila membalas pandangan Lufia.
“Razi ikut aku ke Itali selepas tamat belajar,” beritahunya. Lufia mengangguk faham.
“Kau apa khabar? Kau semakin cantik sekarang ni. Kau dah kahwin ke? Kalau tak, aku masuk meminang,” gurau Razi.
“Ish, tak nak aku. Aku balik dulu. Adwa mesti sedang cari aku. Iz, kau kena cari peluang tu. Aku sebagai kawan bantu yang termampu aje,” kata Lufia separuh menasihati sebelum berlalu. Razi menepuk bahu sahabatnya itu tanda memberikan semangat kepadanya. Izdan hanya tersenyum hambar.
*****
Dari jauh lagi Tengku Hadwan dapat melihat Adwa yang sedang tergesa-gesa melangkah dengan wajah merah padam. Tengku Hadwan berhenti melangkah. Dia menunggu saja gadis itu sampai di tempatnya. Adwa terkejut melihat lelaki itu.
Kecilnya dunia ni!
Adwa berhenti melangkah.
"Saya tak sihat sangat hari ini,” adu Tengku Hadwan perlahan. Berkerut kening Adwa. Memang wajah lelaki itu kelihatan agak pucat.
"Maaf, tapi saya bukan doktor," balasnya dengan nada mendatar.
Dah tahu sakit kenapa nak jalan lagi? Ish! Tak faham aku.
Adwa merungut dalam hati. Agak lama Tengku Hadwan merenung wajah gadis itu sebelum tersenyum hambar. Adwa mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia tidak tentu arah dengan pandangan redup lelaki itu.
“Saya rasa lega bila dah jumpa awak,” kata Tengku Hadwan lagi. Adwa terkedu. Tengku Hadwan berundur memberi ruang untuk gadis itu berlalu. Adwa melangkah ingin berlalu namun dia memandang lelaki itu semula.
"Awak tak patut keluar kalau tak sihat. Nanti awak pengsan tak ada sesiapa yang tolong awak," nasihatnya sebelum berlalu. Tengku Hadwan hanya memandang langkah gadis itu. Dia tersenyum lebar.
*****
Balqish serba salah memandang pintu bilik yang tertutup rapat itu. Perasaan bersalah, malu dan takut menyelubungi dirinya.
"Kau buat apa kat sini? " soal satu suara. Balqish pantas berpaling.
Lufia!
Lufia memandang tajam ke arah gadis itu.
"Nak jumpa Ad? Buat apa? Nak minta maaf? " soalnya sinis.
"Luf, aku minta maaf, " ucap Balqish dengan suara sebak.
"Maaf? Cuba kau beritahu aku, apa silap kau sebenarnya," balas Lufia sengaja ingin menyakitkan hati gadis itu. Balqish tunduk.
"Kau sendiri tak mampu nak mengaku kejahatan yang kau dah buat. So, macam mana aku nak maafkan kau?!" herdik Lufia.
"Aku tahu aku bersalah Luf. Tapi aku dah sedar. Aku tak sepatutnya fitnah Ad. Aku menyesal. Tolong Luf, aku cuma nak peluang kedua, " balas Balqish separuh merayu. Matanya mula terasa pedih.
"Luf..., " Rania melangkah perlahan menghampiri kedua-duanya.
"Peluang kedua? Kau ingat masa tu boleh kembali? Kau ingat bila kami dah maafkan kau, semuanya akan baik-baik saja? Mungkin ya bagi kau, kita, tapi Ad? Kau kena ingat, kau adalah punca utama kenapa Ad dah tak nak fikir pasal hidup bahagia! Kau puncanya Balqish! Aku mohon sangat dengan kau, berambus dari hidup Adwa. Tolong!" balas Lufia dengan nada keras. Air mata Balqish menitis perlahan. Rania menyentuh lembut bahu Lufia.
"Luf, please,” pintanya dengan suara sebak. Balqish mengesat air matanya perlahan sebelum beredar tanpa berkata apa-apa lagi. Lufia memandang pintu bilik Adwa yang masih tertutup rapat. Dia menarik nafas perlahan sebelum turut beredar. Rania mengikut langkah Lufia dengan perasaan berbaur.
*****
Adwa yang bersandar pada pintu biliknya melangkah lemah ke arah balkoni. Dia dengar apa yang berlaku di sebalik pintu sebentar tadi. Adwa mengeluh perlahan. Memaafkan itu bukan sesuatu yang mudah. Empat tahun yang lalu Balqish telah memfitnahnya dengan mengatakan dia adalah punca gadis itu dan Izdan berpisah. Dia masih boleh terima fitnah tersebut. Namun apabila Balqish memfitnahnya dengan mengatakan dia terlanjur dengan Izdan benar-benar membuatnya hilang kawalan. Fitnah itu tersebar sehingga ke universiti barunya. Dia tidak tahu bagaimana gadis itu menyebarkan fitnah tersebut sehingga banyak mata yang memandang serong ke arahnya. Ibunya pernah mengusulkan untuk membuat laporan polis, namun dia menolak. Dia tidak mahu bertemu dengan Izdan semula. Adwa meraup wajahnya.
“Adwa, kau okay?” soal Diana yang baru melangkah masuk. Adwa berpaling menoleh. Dia tersenyum hambar.
“Kau dari mana?” soal Adwa. Dia memang tidak melihat gadis itu sejak dari pagi.
“Tadi aku pergi lawat Hadwan. Dia tak sihat,” jawab Diana sambil membuka jaketnya.
“Hadwan?” soal Adwa. Dia teringat semula Tengku Hadwan yang ditemuinya pagi tadi.
“Ya. Kau ingat tak model aku hari tu?” tanya Diana pula. Adwa mengangguk.
“Dia sakit apa?” soal Adwa ingin tahu. Dia sudah beberapa kali terserempak dengan lelaki itu. Hanya sekali dia nampak wajah lelaki itu berseri ketika menjadi model Diana.
“Dia tak beritahu. Aku tahu pun dari rakan-rakan model yang lain. Sebelum ni aku ada dengar juga dia selalu keluar masuk hospital,” cerita Diana. Adwa terdiam mendengar cerita gadis itu.
“Teruk sangat ke?” soalnya lagi. Diana membalas pandangan gadis itu.
“Kau macam berminat aje,” usiknya. Jarang sangat Adwa bertanyakan soalan kedua jika tidak menarik perhatiannya.
“Aku nak tau aje,” balas Adwa sambil duduk di sofa yang berhampiran dengannya.
“Tak teruk sangat. Dia tu jenis yang kuat Ad. Tengok lah baru 22 tahun dah berjaya,” jawab Diana dengan senyuman. Adwa mengangguk.
“Lelaki tu ramai kawan ke? Sebab aku tengok macam jenis pendiam aje,” soalnya lagi. Kali ini Diana tidak mampu menahan gelaknya. Dia tergelak besar. Terangkat kening Adwa memandang gadis itu.
“Kau minat Wan?” usik Diana lagi.
“Jangan nak merepek. Aku tanya je,” balas Adwa dengan nada tegas.
“Dia orangnya peramah Ad. Sebab tu dia ada ramai kawan.Tadi masa aku sampai kat biliknya, ramai kawan-kawannya yang aku tak kenal. Orang luar pun ada sekali. Kalau kau nak tahu lebih lanjut pasal Wan, kau boleh tanya dia terus. Tadi dia ada tanya pasal kau juga,” beritahu Diana dengan senyuman nakal. Diana dapat menghidu ada sesuatu antara Adwa dan Tengku Hadwan yang mungkin mereka tidak tahu. Sebelum kembali tadi, Tengku Hadwan bertanya dimana keberadaan gadis itu.
“Tanya pasal apa pula?” soal Adwa yang mula tidak selesa.
“Kau kat mana. Aku beritahu aje dalam bilik. Kau dan Wan…,”
“Tak ada apa-apa,” pintas Adwa sebelum berdiri lalu menuju ke arah katil. Diana hanya tersenyum. Dia sangat berharap ada sinar baru untuk sahabatnya itu selepas apa yang berlaku empat tahun yang lalu.