Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 12

Tania menghampiri Adwa yang sedang duduk bersendirian di halaman rumah. Gadis itu kelihatan sedang leka dengan telefon di tangannya.
“Sayang,” sapanya sambil mengambil tempat di sisi Adwa.
“Mama, bila sampai?” soal Adwa sambil tersenyum lebar. Dia memang tidak sedar akan kepulangan wanita itu.
“Baru aje. Buat apa?” soal Tania.
“Buang masa tengok drama korea ni,” jawab Adwa sambil tergelak kecil. Tania tersenyum nipis.
“Boleh mama tanya?” soal Tania lagi. Dia sebenarnya sudah lama tidak berbual dengan Adwa. Apatah lagi ia mengenai perasaan gadis itu. Tania jadi serba salah. Dia risau kalau gadis itu akan terasa dengan soalannya nanti.
“Mama nak tanya apa?” soal Adwa kini duduk berdepan dengan wanita itu.
“Adwa masih sayangkan Iz? Maksud mama, sayang lebih daripada seorang kawan,” soal Tania dengan perasaan berdebar. Adwa terdiam mendengar soalan wanita itu. Dia faham mama dan neneknya itu risaukan dirinya. Mereka berdua juga tahu perasaannya terhadap Izdan. Namun dia sudah lama nekad untuk tidak meneruskan perasaan tersebut.
“Mama, saya dan Iz cuma kawan. Hubungan kami tak lebih daripada tu. Kalau mama nak tanya lagi soalan yang sama pada masa akan datang, jawapan Adwa tetap akan sama. Tak ada apa-apa yang berlaku antara kami,” jawabnya dengan nada tegas. Tania mengeluh.
“Adwa, tak semua lelaki tu berniat nak lukakan hati kita,” katanya dengan senyuman hambar.
“Maksud mama?” soal Adwa agak keliru.
“Adwa takut sebab dah nampak macam mana hubungan mama dan papa berakhir. Betul tak?” soal Tania separuh meneka. Naluri hatinya kuat mengatakan yang gadis itu cuba menafikan perasaannya kerana trauma dengan hubungannya bersama Uqash. Adwa tersenyum.
“Mama rehat dulu, Adwa pun nak tidur awal. Jumpa esok,” katanya sambil mengucup pipi kanan wanita itu. Adwa bangun dari kerusi lantas berlalu masuk ke dalam rumah. Tania hanya memandang langkah gadis itu. Tanpa sedar dia mengeluh lagi.

                               *****

Adwa memandang agak lama fotonya bersama Izdan. Foto tersebut diambil semasa dia, Lufia dan lelaki itu menyambut ulang tahunnya. Dia sendiri tidak sedar bila Lufia mengambil gambar tersebut kerana dia sibuk mahu melarikan diri daripada Izdan yang mahu mencalit kek pada wajahnya. Dalam foto tersebut kelihatan Izdan sedang memaut pinggangnya erat sambil tangan kanannya bersedia mahu mencalit wajahnya. Dia pula sedang tergelak besar. Sekilas pandang memang kelihatan seperti pasangan kekasih. Memang patut Diana dan Rania terkejut apabila dia mengatakan mereka cuma kawan. Adwa mengeluh perlahan. Dia ada sebab mengapa sehingga kini dia masih mahu menafikan perasaannya terhadap Izdan. Jika dia mampu, dia ingin lupuskan terus perasaan tersebut dari hatinya. Adwa memandang telefon bimbitnya yang berdering. Nama Lufia terpampang pada skrin. Adwa mencapai telefonnya lalu menekan punat hijau.
“Ad, aku rasa Qish dah mula tak senang dengan tingkah laku Izdan,” kata Lufia tanpa sebarang salam. Nada suaranya kedengaran serius.
“Maksud kau?” soal Adwa dengan perasaan berdebar.
“Qish tak senang bila Iz semakin rapat dengan kau. Tadi aku terserempak dengan dia. Dia tanya kau kat mana? Aku jawab lah dah balik. Lepas tu dia tanya Iz ada tak pergi rumah kau. Aku jawab tak tahu. Dia pergi macam tu aje,” beritahu Lufia. Adwa mengeluh berat.
“Tak apa, esok aku jumpa Qish,” balasnya dengan nada perlahan.
Ni semua Iz punya pasal!
Marah Adwa dalam hati.
“Iz?” tanya Lufia.
“Kau nak aku hempuk mamat tu?” sambung Lufia separuh bergurau.
“Tak apa. Aku cari dia sendiri. Iz memang nak kena dengan aku,” balas Adwa.
“Aku nak tidur ni,” katanya lagi sebelum menekan punat merah tanpa menunggu balasan daripada Lufia. Giliran Lufia pula yang mengeluh. Dia risau memikirkan apa akan berlaku dengan hubungan Adwa dan Izdan nanti.

                               *****

Diana menyiku lengan Lufia sambil memandang ke arah Adwa yang duduk di hadapan mereka.
“Serius aje. Kenapa?” soalnya ingin tahu. Dia agak takut melihat riak wajah Adwa yang serius.
“Emosi tak stabil,” jawab Lufia separuh berbisik. Berkerut kening Diana memandang gadis itu. Dia jelas tidak puas hati dengan jawapan Lufia.
“Atau gaduh dengan Iz?” celah Rania separuh meneka.
“Tak lah. Korang boleh senyap tak? Nanti tak pasal kita bertiga kena dengan dia,” balas Lufia sambil memandang sekilas ke arah Adwa.
“Nia, kau pun sibuk nak menyampuk,” kata Diana yang geram tidak mendapat jawapan daripada Lufia. Rania sekadar tergelak kecil.
“Korang, boleh tak diam? Pensyarah tu dah jeling kita kat sini. Nanti kena soal, padan muka nanti,” pinta Lufia lagi dengan kening berkerut. Diana mengangguk dengan senyuman. Rania pula tersengih. Lufia menggelengkan kepalanya. Dia memandang ke arah Adwa semula. Sejak masuk ke dalam kelas, gadis itu hanya mendiamkan diri. Lufia tunduk semula memandang bukunya dengan perasaan bimbang yang tiada kesudahan.

                                 *****

“Qish, aku ada buat silap ke?” soal Adwa sambil menarik kerusi di hadapan gadis itu. Balqish yang sedang menikmati makan tengah hari agak terkejut dengan kehadiran gadis itu. Dia memandang sekeliling. Risau jika tiba-tiba Izdan muncul.
“Qish, aku tanya,” ulang Adwa apabila melihat Balqish yang hanya diam membisu. Balqish meletakkan sudu di tangannya.
“Tak ada,” balasnya pendek. Berkerut kening Adwa.
“Tak ada? Tapi kenapa kau nak mengelak daripada aku?” soalnya jelas tidak puas hati.
“Mengelak? Mana ada. Buat apa aku nak mengelak,” balas Balqish selamba. Adwa menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.
“Aku dan Iz tak ada apa-apa,” katanya dalam nada tegas. Balqish tersenyum sinis.
“Aku tak kata apa pun,” balasnya kini memandang tajam ke arah Adwa.
“Aku tahu kau tak suka aku rapat dengan Iz. Tapi kau sendiri tahu yang…,”
“Tak payah sambung. Aku dah muak. Kawan? Kau ingat aku bodoh? Come on, Adwa. Aku tak rasa kau anggap Iz macam tu. Kau cintakan dia kan?” pintas Balqish separuh menyoal. Adwa tidak terkejut dengan soalan gadis itu. Dia sudah menjangka soalan itu akan keluar dari mulut Balqish.
“Kau jangan rosakkan hubungan aku dan Iz. Aku dan Iz cuma kawan. Kalau kau tak nak percaya, terserah. Aku pun penat lah nak buat semua orang percaya. Buang masa,” balasnya dengan nada keras. Adwa bangkit dari kerusi lantas berlalu.
Buat apa aku nak buang masa kalau orang tak nak percaya!
Balqish hanya memandang langkah Adwa yang semakin menjauh. Dia mengeluh perlahan.

                               *****

Rania memandang Diana yang sedang leka memandang laptop di hadapannya.
“Qish tu dah kenapa? Sejak akhir-akhir ni dia asyik nak mengelak daripada kita,” soalnya ingin tahu.
“Mengelak? Aku tak perasan pun,” balas Diana tanpa memandang wajah rakannya itu. Dia sibuk menaip sesuatu.
“Kau tu memang lah tak perasan. Asyik sibuk dengan kamera,” perli Rania. Diana tergelak kecil.
Sorry. So, kenapa? Kita ada buat silap ke?” soalnya sambil memandang Rania.
“Aku tak tahu. Seingat aku, tak ada. Tak tahu lah kalau dia…,” Rania berhenti sejenak. Agak ragu-ragu meneruskan kata-katanya.
“Apa?” soal Diana mula tidak sabar.
“Kau pun tahu. Adwa dan Iz tu rapat. Aku kalau kat tempat Qish mungkin aku pun boleh marah kot. Kau tengok aje cara Iz layan Adwa tu. Aku kadang-kadang lupa Qish tu teman wanita Iz,” jawab Rania sambil tersengih. Diana terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
Balqish cemburu?
“Iz dan Adwa tu cuma kawan. Bukan mereka berdua aje. Lufia pun membesar dengan mereka berdua. Biasa lah, perempuan memang kuat cemburu,” balas Diana selamba. Bulat mata Rania memandang gadis itu.
“Kau tu apa?” soalnya. Diana tergelak besar. Rania menampar lengan gadis itu.
“Tak pernah serius,” rungutnya. Diana mengangkat bahu sambil memandang laptopnya semula. Rania hanya menggeleng melihat telatah rakannya itu.

                                 *****

Izdan tersenyum memandang Adwa yang sedang menunggunya di luar perpustakaan.
“Ini pertama kali kau sendiri nak jumpa aku. Biasanya aku yang cari kau,” katanya dengan riak wajah yang teruja.
Come here,” ajak Adwa sambil berjalan agak jauh dari kawasan perpustakaan. Izdan hanya mengikut dengan perasaan berdebar. Dia agak takut melihat wajah serius gadis itu.
“Kenapa ni?” soalnya apabila sudah berdiri di hadapan Adwa.
“Kau ada masalah ke dengan Qish?” soal Adwa tanpa bertapis. Izdan terdiam.
“Aku tanya ni,” kata Adwa separuh mendesak.
“Kami okay. Kau tak payah risau,” balas Izdan cuba mengelak. Adwa tersenyum sinis.
“Kau ingat aku baru kenal kau? Iz, please. Qish dah tak macam dulu. Aku tahu dia marah kat aku. Kau dah beritahu apa dengan dia?” soalnya dengan kening berkerut.
“Beritahu apa? Tak ada. Aku dan dia cuma gaduh biasa aje,” balas Izdan dalam nada tegas. Adwa mengeluh.
“Aku tak nak selalu jumpa dengan kau lagi. Kau faham kan maksud aku? Aku ni kawan baik kau. Qish tu teman wanita kau. Kau jangan kata pula tak ingat. Sebelum ni aku dah pernah ingatkan kau. Tapi kau tak pandai nak jaga hati Qish,” katanya dengan perasaan kecewa. Izdan merenung lama wajah gadis itu.
I’m sorry,” ucapnya perlahan.
“Iz, kat sini rupanya. Jom, abang dah lewat ni,” tegur satu suara. Adwa dan Izdan serentak berpaling. Kelihatan seorang pemuda tinggi lampai sedang berdiri tidak jauh dari tempat mereka. Lelaki itu memandang Izdan kemudian beralih memandang Adwa. Dia terpaku memandang wajah Adwa yang serius tanpa senyuman.
“Aku balik dulu,” kata Adwa sebelum berlalu tanpa sempat Izdan menahan. Izdan mengeluh.

                                  *****

“Kau buat apa kat sini?” soal Balqish sambil memandang sekilas ke arah Lufia yang sedang menarik kerusi di sebelahnya.
“Aku rindu kat kau,” jawab Lufia selamba. Balqish mengeluh.
“Qish, aku tak berpihak pada sesiapa. Kau, Adwa dan Iz adalah kawan baik aku. Aku datang cari kau sebab nak tolong selesaikan apa yang tak selesai antara korang. Tak ada sesiapa yang kenal dan faham korang selain daripada aku kat sini. So, tolong beritahu aku apa yang berlaku,” kata Lufia separuh meminta.
“Kau pun tahu Luf. Iz tu sayangkann Adwa. Lebih daripada sayangkan aku,” balas Balqish tanpa memandang wajah gadis itu. Lufia terkedu.
“Kau ingat aku tak perasan? Sejak kita kat sekolah menengah lagi, aku dah perasan Luf. Cuma aku bertahan semampu yang boleh. Setiap masa aku ingatkan diri. Iz dan Adwa cuma kawan. Sama seperti kau dan Iz. Tapi sampai bila? Sampai bila aku seorang aje yang terluka?” sambung Balqish dengan perasaan sebak. Lufia mengeluh berat.
So, kau nak buat apa?” soalnya dengan kening berkerut.
“Aku memang tak nak Iz pergi dari hidup aku. Apa yang aku nak, dia jauhkan diri daripada Adwa. Kalau boleh, aku tak nak mereka bertemu langsung,” balas Balqish dengan nada tegas.
“Kau nak pisahkan mereka?” soal Lufia lagi. Dia faham maksud gadis itu. Namun dia kurang setuju dengannya. Bukan dia sahaja. Kalau Izdan tahu pasti lelaki itu menolak keras.
“Aku dah ingatkan Iz pasal ni. Dia setuju,” balas Balqish dengan riak wajah serius. Lufia terkedu lagi.
Setuju? Izdan? Fine!
“Aku balik dulu,” katanya sambil bangun dari kerusi.
“Kau tak marah aku kan?” tanya Balqish agak sayu. Lufia memandang semula ke arah gadis itu.
“Kau tak salah. Tak ada siapa yang patut dipersalahkan. Jaga diri. Aku balik dulu,” balasnya sebelum berlalu. Balqish mengeluh. Dia meraup wajahnya.
Aku tak nak kehilangan Iz.

                                *****

Izdan memandang skrin telefonnya. Dia agak buntu.
Siapa patut aku call dulu? Adwa atau Qish?
“Kau okay ke?” soal Fuadzi sambil duduk di sofa yang terletak di hadapan Izdan. Izdan hanya memandang sekilas ke arah abangnya itu. Dia tidak akan pernah lupa dengan apa yang berlaku antara dia dan lelaki itu. Mama dan papa mereka sanggup menghantarnya balik ke kampung hanya kerana lelaki itu. Sehingga saat ini, dia masih terasa hati dengan sikap orang tuanya itu. Setelah bertemu semula dengan Fuadzi dan kedua orang tuanya, mereka berusaha mengambil hatinya semula. Namun dia masih belajar untuk menerima semula kehadiran mereka.
“Kau ada masalah?” soal Fuadzi lagi prihatin.
“Tak payah nak sibuk lah,” balas Izdan dengan nada keras.
“Masih marahkan abang?” soal Fuadzi yang tenang memandang Izdan.
“Sebab?” soal Izdan dengan senyuman sinis. Dia bangun dari sofa.
“Seingat aku, kita berdua tak lah rapat sangat sampai nak kongsi masalah. Aku tak suka bila kau masuk campur dalam hidup aku,” katanya separuh memberi amaran sebelum berlalu. Fuadzi hanya memandang langkah lelaki itu. Dia bersandar pada sofa sambil mengeluh perlahan. Memang silap dirinya yang tidak pernah cuba memahami Izdan sedari dulu.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.