Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 51

BAB 51: Permulaan


Usai solat Asar, Nadirah membelek computer ribanya di ruang tamu rumah Liza. Sementara Liza pula di dapur, membelek isi peti ais. Di suasana tenang dua orang wanita itu tiba-tiba ada seseorang mengetuk pintu.


Liza dan Nadirah berhenti membuat kerja. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Mereka berpandangan seakan bermonolog antara satu sama lain di dalam hati.


‘Ada siapa-siapa nak datang rumah kau ke Liza? Saudara-mara ke?’.


Liza menggeleng, ‘tak adalah’.


‘Habis tu siapa?’.

Liza mengangkat bahu sambil menggeleng kepala lagi, ‘tak tahu’.


“Aku buka pintu eh”, kata Nadirah


“Haah”,balas Liza.


Nadirah bangun dari sofa dan pergi membuka pintu. Saat membuka pintu, wajah Daniel kelihatan. Nadirah membulatkan matanya dan automatik tangannya pantas menutup kembali pintu itu.


“Eh Nad… nanti”, Daniel menahan pintu.


Nadirah juga berusaha sesungguhnya agar dapat menutup pintu.


“Nad jangan macam ni… Saya nak berbincang… Saya masih lagi nak ada masa depan dengan awak. Awak tak boleh nak buat keputusan suka hati macam ni. Nad… Nad…”, kata Daniel.


Jantung Nadirah berdegup laju saat mendengar kata-kata Daniel. Keadaan yang tadinya tenang sekejap saja menjadi kacau-bilau dengan hadirnya Daniel. Belum sampai 5 hari lagi, Daniel sudah buat kecoh. Nadirah tidak mahu pening-pening sekarang. Sudahlah mereka di rumah orang pula tu. Dengan tekadnya, Nadirah berjaya juga menutup pintu. Nadirah menarik nafas lalu menghembus. Tarik nafas dan hembus. Debaran jantungnya masih laju lagi.


“Eh? Kenapa ni Nad? Apa ada dekat luar tu? Kecoh-kecoh semacam…”, Liza datang menghampiri Nadirah.


Nadirah pantas menghalakan jari telunjuknya ke bibirnya sebagai tanda menyuruh Liza diam. Wajah Nadirah juga jelas kelihatan cemas.


Liza berkerut kening lalu berkata secara berbisik, “eh… kenapa?”.


“Suami aku dekat luar… Jangan buka pintu…”, kata Nadirah berbisik.


“Berani dia datang sini! Bawa dia masuk! Biar aku bagi penumbuk keramat aku ni dekat dia!”, kata Liza sedikit beremosi.


“Kau tak tahu suami aku tu macam mana?”, kata Nadirah lagi.


Liza mengeluh lalu mengunci pintu selak di bahagian atas. Kemudian, dia menarik Nadirah untuk duduk di ruang tamu.


Suara Daniel memanggil-manggil di luar masih kedengaran.


“Sekarang kau cerita dekat aku… apa pula yang jadi? Dan kenapa suami kau boleh datang rumah aku? Kau jangan nak selindung-selindung… Cerita semuanya…”, wajah Liza serius.


Nadirah berkerut kening seakan enggan menceritakan.


“Nad…”,Liza merenung mata kawannya.


“Tapi ceritanya panjang…”.


“Pendekkan!”,tegas Liza.


“Okay…kan aku cakap suami aku ada perempuan lain. Lepas tu aku jumpa personal dengan perempuan tu. Aku cakap kalau nak dengan suami aku boleh… Cuma aku minta dia cakap dekat Danny yang aku nak berpisah. Itu yang tiba-tiba Danny datang sini…”.


Liza mendengar cerita Nadirah dengan wajah simpati.


“Aku takutlah Liza… tadi Danny kata dia masih nak bersama aku. Aku tak faham dengan Danny tu… Aku dah bagi dah kalau dia nak dengan perempuan tu… Kenapa dia masih nak dengan aku lagi? Aku takut je dia datang sini… dia paksa aku untuk berpoligami. Aku tak nak! Aku tahu hukum asal minta cerai tu berdosa besar… sebab tulah aku tak sanggup nak minta depan-depan. Aku suruh perempuan tu yang sampaikan”.


“Tapi still… Aku minta cerai bukanlah atas dasar emosi cemburu ke apa ke… Aku cuma tak nak rasa lebih tersiksa. Cukup-cukuplah hidup dengan dia saja pun aku dah rasa tertekan… dengan perangai dia yang aku dah tak tahu nak hadap macam mana. Sekarang ni nak tambah lagi seorang bini? Memang taklah! Boleh jadi gila aku dibuatnya… nak hadap perangai Danny, nak hadap perangai perempuan tu lagi. Eeeyy… tak boleh tak boleh”.


“Jadi kiranya kau dah memang betul-betul nekad nak pisah? Kau dah dengar ke penjelasan Danny betul-betul? Kau memang dengar betul-betul dia cakap depan-depan ke yang dia ada perempuan lain dan nak kahwin dengan perempuan tu?”, tanya Liza untuk meluaskan lagi skop pemikiran masing-masing. Jauh di sudut hatinya, dia turut berharap yang Nadirah hanya salah faham. Siapa saja yang suka kawan sendiri bercerai-berai dan rumah tangga hancur.


Nadirah terdiam, “kalau dengar dari tepi pun dah cukup buat hati aku rasa hancur. Inikan pula dengar dia cakap depan-depan muka aku. Agaknya aku akan terus pass out… Aku lebih rela tak dengar”,kata Nadirah. Lagipula, telinga dia jelas mendengarkan suaminya bertutur kata begitu di telefon tempoh hari.


“Aku tahu kau pun fikir yang terbaik untuk aku tapi… entahlah. Aku berdoa dekat Allah supaya tunjukkan jalan. Aku tahu Allah Maha Adil dengan semua hamba dia baik lelaki atau perempuan. Aku pun tak putus berdoa supaya ditunjukkan haluan untuk rumah tangga aku… dan semuanya lead ke arah ni… Semuanya tersusun cantik seolah-olah aku dengan Danny memang ditakdirkan jodoh tak panjang. Sampailah Danny datang ni… aku tak tahu dia nak apa”.


Liza mengeluh, “jadi kau nak buat apa sekarang ni?”.


“Aku tak tahu… aku boleh nak berbincang dengan dia tapi kalau memang betul dia minta poligami. Jawapan aku tak lain tak bukan adalah TAK”, jawab Nadirah.


Bunyi ketukan pintu kedengaran lagi diiring suara Daniel, “Nad tolonglah bagi saya peluang terakhir untuk jelaskan semuanya. Saya janji apa saja keputusan awak saya akan terima. Tapi saya nak awak tahu yang saya tak ada hubungan dengan Si Lina tu”.


Nadirah dan Liza memandang antara satu sama lain. Wajah masing-masing terdiam dan terkesima.


“Haa! Kau dengar Danny kata apa! Dia mana ada apa-apa dengan perempuan tu!”, tegas Liza.


Nadirah mengerutkan kening. Dia mengingat kembali apa yang didengarinya dari mulut Daniel tempoh hari.


‘“Aku akui aku memang gembira sikit masa kau accidentally kenalkan aku dengan Lina. Siapa je yang tak teruja bila dapat tahu kita ada peminat. Lebih-lebih lagi aku tengok Lina tu ala ala ustazah. Tudung labuh,ambil kos agama… bahasa arab bagai. Memang nampak macam bakal isteri solehah.Siapa je yang tak nak?”.’


Kening Nadirah semakin berkerut disertai dengan gelengan kepala. Hal ini kerana,telinganya jelas mendengar bait-bait kata Daniel saat Daniel sedang menelefon seseorang tempoh hari. Nadirah meragui kata-kata Daniel.


“Betul ke suami aku betul-betul maksudkan? Jangan-jangan itu semua taktik dia supaya aku keluar. Orang kalau nak berbini dua, tiga ni… lidahnya kena pandai temberang! Aku tak percaya!”, kata Nadirah nekad.


“Astaghfirullah Nad, kau jangan nak tuduh-tuduh suami kau macam tu… Jangan-jangan tanggapan kautu tak betul! Apa yang kau beritahu ni, kalau tak betul. Boleh jadi fitnah! Kau tahu dosa memfitnah orang ni azab dia berat… Lebih-lebih lagi suami sendiri. Silap hari bulan kau boleh jadi isteri derhaka kau tahu!”, beritahu Liza.


Mata Nadirah mula berair dan air matanya perlahan membasahi pipi. Keadaan ini sangat memberi tekanan buatnya. Dia hanya inginkan waktu yang tenang.


“Liza…aku datang rumah kau ni aku cuma nakkan kelapangan… aku tak nak…”, belum sempat habis Nadirah berbicara, Liza sudah menyampuk.


“Ini bukan soal kelapangan atau ketenangan… Kalau kau tak hadapi suami kau sekarang, kaulah yang sebenarnya lari dari masalah! Daniel tak boleh nak buat apa-apa pada kau selagi aku ada dekat sini!”, kata Liza lebih tegas. Niatnya hendak menyelesaikan masalah rakannya yang tergantung. Sekaligus menyedapkan hati Nadirah yang dia akan ada dengannya.


Dengan tersedu-sedan, Nadirah mengangguk. Kemudian Nadirah mengelap-lap tangisannya.Matanya masih memerah.


Saat Nadirah mengangguk, Liza membuka pintu rumah.


“Nad?”,suara Daniel kedengaran.


“Aku bukan Nad! Nad dekat dalam! Sebelum kau nak jumpa Nad! Kau berterus terang dengan aku… kau nak bincang apa dengan Nad!”, tegas Liza sambil matanya merenung tajam memandang anak mata Daniel.


Daniel agak kecut perut dengan renungan mata yang diberikan Liza. Namun demi mendapatkan isterinya, Daniel memberanikan diri. Kemudian Daniel berkata  dengan kuat agar suaranya boleh sampai kepada Nadirah yang berada di dalam rumah Liza.


“Nad…saya nak minta maaf dekat awak! Saya tahu saya salah! Saya tahu saya banyak sakitkan hati awak! Saya bandingkan awak dengan isteri orang lain! Saya buat awak macam pembantu rumah… Semua kerja rumah, jatuh dekat bahu awak. Saya tak pernah nak bantu awak buat kerja rumah! Saya selalu tak menjaga perasaan awak! Saya selalu tinggi suara dengan awak… Saya selalu tak sabar! Saya selalu cemburu buta! Saya…”, bersungguh-sungguh Daniel hendak meminta maaf. Namun kata-kata Daniel belum habis lalu dipotong oleh Liza.


“Hoii! SSHHHHH!!!!!”, Liza terasa sangat menganggu dengan pengakuan lantang Daniel itu.


Daniel terdiam.


“Heii! Kau jangan nak malukan aku ya! Aku ada jiran dekat sini! Nanti diorang ingat aku ni ada kait-mengait dengan masalah rumah tangga korang pula! Dahlah diorang tahu aku single! Hishhh serabut aku tengok kau ni! Kau masuk dalam jumpa bini kau! Kau cakap elok-elok…  bincang elok-elok dengan dia! Sekali lagi kau sakitkan hati dia… Kau nampak ni!! Sunat kang!!”, tegas Liza sambil menghunuskan kunci rumah yang dipegangnya.


Daniel terdiam. Saat itu, Liza berwajah sangat bengis… atau Daniel memanggilnya Kak Liza.


“Baik Kak Liza…”, takut-takut Daniel lalu masuk ke dalam rumah Liza.


Nadirah pula terkesima saat mendengar kata-kata pengakuan Daniel. Betul ke apa yang didengarinya? Daniel meluahkan segala salahnya dengan suara lantang sebegitu. Hati wanitanya sedikit tersentuh. Namun, perasaan berhati-hatinya masih ada. Nadirah berpaling melihat ke belakang dan tepat-tepat Daniel berjalan kearahnya. Jantung Nadirah berdegup laju dan pantas mengalihkan kembali pandangannya ke hadapan. Tiba-tiba Daniel duduk melutut di hadapannya dengan wajah yang resah.


Daniel juga meletakkan tangannya di lutut Nadirah yang sedang duduk di atas sofa.


“Nad…saya minta maaf sayang. Saya janji akan menjadi suami yang terbaik lepas ni. Saya tak pernah lena tidur malam sepanjang awak tak ada dekat rumah. Saya tahu saya tak layak untuk dapat peluang sebab awak dah beri saya terlalu banyak peluang. Tapi untuk kali ni… saya tak akan sia-siakan peluang yang awak bagi”,Daniel sunguh-sungguh berkata dengan nada rayuan.


Mata Nadirah kembali berair, “awak cakap betul-betul! Haritu saya dengar sendiri awak cakap dekat telefon yang awak gembira kenal dengan Si Lina tu! Siapa je yang tak nak perempuan bakal isteri solehah?! Awak kata macam tu… Pendengaran saya ni masih elok lagilah! Kalau awak masih ada sesipi perasaan dengan dia… memang tak ada perkataan peluang untuk awak! Saya nak kita clear and free antara masing-masing! Saya tak nak tersangkut dengan perasaan yang complicated”.


Nadirah bertegas. Dia mahu semuanya jelas. Jika suaminya betul-betul masih ada sedikit perasaan kepada Lina dan memilihnya kerana perasaan lebih kepadanya. Dia tidak mahu perkara sebegitu. Kalau suka seseorang biar jelas. Tidak mahu sekejap suka penuh orang ni, sekejap suka sikit orang ni. Nadirah merasakan perasaan sebegitu tidak selamat.


Tatkala mendengar keraguan Nadirah, Daniel teringatkan perbualannya dengan Rais dan langsung membalas, “Ya Allah Nad! Sumpah bukan itu maksud sebenar saya… Awak tak dengar saya cakap sampai habis”.


Nadirah masih menanti sambungan Daniel berbicara.


“Saya cakap yang Lina tu memang nampak macam bakal isteri solehah bagai… tapi! dia tak boleh tandingi awak Nad… Sehebat manapun perempuan lain, perasaan saya kepada awak tak boleh berubah. Perasaan sayang yang Allah bagi pada saya untuk Nad sorang! Perasaan seorang lelaki yang sayangkan perempuan dan halalkan dia sebagai isteri. Awaklah orangnya Nad!”, bersungguh-sungguh Daniel berbicara untuk menjelaskan keadaan.


Nadirah terdiam. Perasaan malunya mula memekar sikit demi sedikit. Mula-mula malu kerana tanggapannya salah. Kemudian perasaan malunya lebih memekar saat Daniel menuturkan bicara sebegitu untuk menjelaskan keadaan sebenar.


“Kecuali mak lah… Mak pun perempuan kan… Cuma mak tu lain cerita”, sambung Daniel lagi.


Nadirah tersenyum kecil. Kata-kata Daniel yang hujung itu agak mencuit hatinya. Memanglah mak lain. Kedudukan ibu sememangnya di tangga yang teratas sekali di dalam hati mana-mana lelaki pun.


“Nad dah senyum… jadi Nad terima lah maaf saya kan?”, kata Daniel dengan mata yang berharap.


“Saya terima maaf Danny… tapi tak bermaksud saya terima Danny! Saya beri satu peluang terakhir kepada awak untuk jadi suami yang baik kepada saya”, kata Nadirah.


“Baik sayang…”, akur Daniel.


**

Nadirah berkemas-kemas untuk mengikuti suaminya pulang.


Daniel pula kelihatannya menerima leteran daripada Liza agar menjaga dan melayan Nadirah lebih baik. Memandangkan Daniel tahu dirinya yang salah, Daniel mendengar leteran itu dengan hati yang terbuka. Malah dia turut mengambil nasihat-nasihat bernas yang dileterkan Liza.


Tak lama kemudian, Liza dan Nadirah bersalaman antara satu sama lain.


“Tadi kau cakap semuanya tersusun cantik seakan kau dengan Danny tak ada jodoh kan? Tapi kau tengok sekarang… memang semuanya tersusun cantik seakan-akan jodoh kau masih kuat. Malah suami kau nak jadi lebih baik pula tu! Perancangan Allah memang tersusun cantik. Dia beri kau kejutan di ambang klimaks rumah tangga kau! Jadi kau kena banyak-banyak bersyukur kepada Allah… Sujud syukur ke solat sunat apa-apa ke. Rumah tangga yang berpandukan agama adalah rumah tangga yang paling diredhai Allah!”, Liza mengingatkan.


Nadirah tersenyum mendengar nasihat Liza. Kemudian, mereka berpelukan.


“Dah dah… minggu depan jumpa lagi dekat pejabat. Kau ni!”, kata Liza.


Saat mereka bertiga di luar pintu rumah Liza, kehadiran Farid dari luar pintu pagar rumah Liza disedari.


“Eh kau Farid! Kau ye yang beritahu suami Nad rumah aku dekat sini?!”, panggil Liza.


Farid hanya senyum mengagguk.


“Kau kena belanja aku Farid sebab kau beritahu. Tak pasal-pasal dekat rumah aku ada drama laki bini”, seloroh Liza.


Farid ketawa kecil dengan kata-kata Liza.


Nadirah juga hanya senyum memandang Farid lalu melambai sambil memasuki keretanya. Farid juga membalas lambaian Nadirah.


“Ehem ehem!”, Daniel berdehem di sebelah Farid.


Farid memandang Daniel yang berdiri di sebelahnya.


“Kau nak apa? Aku ada janji yang aku akan beri kau apa saja kan”, beritahu Daniel.


“Ohh kalau aku minta… kau boleh ke beri apa yang aku nak?”, kata Farid dengan mengangkat kening sebelah.


Daniel boleh tersenyum senang hati. Jika Farid meminta Nadirah. Daniel boleh dengan yakinnya berkata.

‘Itu semua keputusan Nadirah. Nadirah pilih siapa? Aku ikut’, getus hati Daniel berangan. Lagipula dia berasa sangat yakin yang Nadirah akan memilihnya. Daniel dapat merasakan perasaan mereka masih utuh.


“Mestilah boleh! Dah janji kan?... Aku boleh tunaikan kalau itu bidang kuasa aku”, wajah Daniel yakin berbicara.


“Hahaha…”,Farid tergelak melihat riak wajah Daniel yang sok sok yakin berbicara.


Daniel berkerut kening saat melihat Farid ketawa, ‘dah kenapa mamat ni tiba-tiba ketawa?’.


“Aku minta supaya kau jaga Nad elok-elok. Itu je…”, senyum Farid memandang Daniel.


Daniel terdiam. Wajahnya terkesima. Bukankah Farid menggilai isterinya. Bak kata orang putih, head over heels.


“Kenapa muka kau macam tu?”, tanya Farid kepada Daniel. Farid ketawa lagi.


“Kau ingat aku ni lelaki macam mana? Rampas-rampas bini orang? Aku masih ada imanlah!”, beritahu Farid. Setelah Farid berkata begitu, Daniel tersenyum perlahan. Agak pelik dan agak lega. Dia hanya tersenyum saja kepada Farid.


Tidak lama kemudian, Daniel dan Nadirah pulang ke rumah dengan kenderaan masing-masing.




Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.