Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 22

BAB 22: Jadual Rumah Tangga                 

Minggu di mana mereka memulakan jadual kebersihan bermula. Nadirah bersiap pada paginya dan melakukan apa yang patut. Lagipula, memang tiada apa yang merubah hidupnya kerana memang itulah rutinnya sebelum inipun. Daniel pula pergi ke kelas dengan menaiki motor memandangkan isterinya akan balik lewat malam ini.


“Sayang…jangan lupa tau! Nanti tolong angkat kain dan jangan sepahkan rumah. Bila dah makan bersihkan”, beritahu Nadirah kepada suaminya.


“Ya…apa-apa saja untuk Nad”, sengih Daniel.


Nadirah tersenyum melihat sengihan suaminya lalu dia mencium kedua belah pipi suaminya yang hendak berangkat ke kuliah.


“Hati-hati sayang. Assalamualaikum”, Nadirah melambaikan tangan ke arah suaminya yang sudah mula beredar.


“Waalaikumsalam…”, Daniel pula membalas.


Setelah itu, Nadirah melihat jam tangannya. Masih ada lagi satu jam untuk masuk ke pejabat. Dia pula bergegas untuk bersiap.


**

“Sejak dah berbaik dengan isteri ni makin berseri-seri kau ya… dah tak dramatik macam dulu-dulu tu”, usik Rais.


“Entah! Aku ingat lagi masa dia teresak-esak waktu pensyarah ajar. Aku pun tak boleh nak concentrate…”, kata Jai pula.


Daniel memandang Jai sambil memuncungkan bibirnya seraya berkata, “maaflah Jai… aku emosi drama tv3 masa tu”. Daniel ketawa.


Jai tersengih lalu bertanya, “ya ya… kiranya dah tak lepak bilik kami dah lah ni?”.


“Tak... tapi insyaallah bila-bila lepak lagi”, jawab Daniel.


“Hah okaylah kalau begitu”, kata Jai.


“Aku balik dulu”, kata Daniel langsung menunggang motormya berlalu pergi.


“Haa bye”, rakan-rakannya hanya melambai.


Daniel menunggang motosikalnya sehinggalah tiba ke rumah. Masuk sahaja ruang tamu Daniel mencampakkan begnya di sofa dan ikut serta berbaring di atas sofa berkenaan. Jarum jam menunjukkan pukul 5.55 petang. Daniel melepaskan keluhan kepenatan dek kerana baru pulang dari kelas. Mujur juga dia sempat Solat Asar berjemaah di masjid bersama rakan-rakannya. Kini dia dapat melelapkan matanya sebentar dengan tenang.


Hampir setengah jam Daniel terlelap, dia terjaga tatkala perutnya berbunyi.


“Aduhhh malasnya nak bangun, tapi lapar ni hmmm maggi lah jawabnya”, Daniel bangun perlahan. Dia menggeliat sebentar dan pergi ke dapur. Sebelum mencari maggi dia membuka peti ais sebentar. Daniel tersenyum.


“Ada lauk… apa ni?”, senyum Daniel sambil membuka bekasnya.


“Ooh”.

Daniel mendapati ada lauk sambal ayam. Pasti isterinya meniggalkan bekal buatnya. Maklumlah isterinya pulang lambat. Mungkin risau kalau suami asyik makan mi segera saja. Senyuman Daniel makin lebar. Setelah itu, dia langsung memanaskan lauk dan nasi yang sedia ada dalam periuk di dapur. Tak sampai beberapa minit Daniel makan dengan selera sekali di dapur sehinggalah dia selesai makan.

“Kejap lagilah kemas ni semua”, Daniel berbicara sendiri.


Lantas dia membuka sekali lagi peti ais dan mendapati ada sebekas besar natade coco berperisa mangga. Daniel tersenyum lagi. Dia mengambil sudu dan dibawanya sekali ke sofa berdepan dengan televisyen. Daniel menonton televisyen sambil menikmati nata de coco dengan selera sekali.


Namun keadaan terasa sangat selesa sehingga dia terasa lupa akan sesuatu. Apa dia ya? Mungkinkah kerja kursus?Kemas dapur? Tapi Daniel berhasrat untuk mengemas kemudian. Daniel melihat keadaan rumah sekeliling. Bersih saja, cuma dapur bersepah sedikit.


Azan Maghrib di televisyen berkumandang. Langit di luar sudah makin menggelap. Bunyi guruh di luar juga kedengaran. Derauan bunyi angin di luar yang kuat serta diikuti pohon-pohon yang bergoyang kencang jelas menunjukkan waktu hendak hujan. Daniel berfikir sejenak. Dalam Daniel berfikir, apa yang kurang?


“BAJUUU!!!!!!!!!”, kata Daniel dengan cemas sambil matanya terbeliak.


Pantas Daniel mengambil baju-baju di ampaian luar rumah. Lalu, dia masuk kembali ke dalam rumah dan melonggokkan baju-baju itu di atas sofa. Daniel terpandang meja ruang tamu.


“Arghhh!... nata de coco”, Daniel mengeluh. Dia terlupa untuk meletakkan nata de coco ke dalam peti ais. Daniel langsung mengambil bekas besar yang berisi nata de coco itu ke arah peti ais dengan tergopoh-gopoh.


Saat dia tergopoh-gopoh itu, boleh pula kakinya tersadung meja kecil di tepi sofa. Dia langsung terjatuh ke lantai diikuti dengan bekas berisi nata de cocoyang dipegangnya. Nata de coco sudahpun bertebaran tumpah di lantai. Ada yang terkena karpet juga. Daniel masih terduduk di situ memegang jari kakinya yang tersadung.


“Aduhhh”, Daniel memegang jari kakinya. Kaki terasa kebas sedikit.


“Hiii kau ni!!!”, Daniel memukul meja yang membuatnya tersadung itu.


What the?... How is this happen??!!”, Daniel kesal dengan situasi yang dihadapinya. Dia mengeluh dan menjeling matanya ke atas melihat nata de coco yang sudah tertumpah banyak di lantai. Dia mengambil kain yang ada di sofa yang baru dilonggokkannya tadi, lalu mengelap lantai yang sudah melekit dengan kemanisan nata de coco tumpah bersungguh-sungguh. Kemudian Daniel tersedar sesuatu.


“Ishhh!!! Ya Allah… kenapa dengan aku ni?!! Ni baju Nad!”, Daniel tersedar yang dia tersalah ambil kain untuk mengelap lantai. Dia kembali meramas baju kemeja tersebut dan di bawa ke singki untuk di basuh.


“Errgh… tepi semua pinggan mangkuk ni!”, Daniel emosional apabila mangkuk dan pinggan-pinggan yang digunakannya tadi terlonggok tidak di basuh di dalam singki. Hal ini menyukarkannya untuk membersihkan baju Nadirah. Pinggan mangkuk yang terdapat di dalam singki dialihkan di tepi. Daniel sempat juga melihat pinggan dan cawan serta sudu yangdi atas meja pula.


‘Banyak nak kena basuh ni… kenapa aku ambil banyak sangat perkakas ni?’, getus hatinya.


Tanpa menunggu, dia membuka pili air singki dan membasuh baju Nadirah agar bau nata de coco berperisa mangga itu hilang. Sedang Daniel membersihkan baju Nadirah ala kadar, Daniel terpandang logo baju yang ada di bahagian tengkuk baju kemeja Nadirah itu. Mata Daniel membulat.


‘Logo ni?!!!!’, Daniel berdegup kencang.


Logo Ralph Lauren yang kemas terletak di bahagian tengkuk baju kemeja Nadirah diperhatikan Daniel lama.


“Arghh!!... ini yang Polo tu ke??!! Ahh”, Daniel cemas.


‘Macam mana baju mahal Nad yang jenama Polo ni aku boleh buat lap lantai!!’, Daniel kesal dan rasa bersalah kepada Nadirah.


“Mati aku kalau Nad tahu ni!”, Daniel berkata sendiri kepada dirinya. Setelah itu, langsung Daniel memasukkan kembali baju yang dibersihkannya secara ala kadar tadi ke dalam longgokan baju kotor yang ada di bilik dobi belakang dapurnya. Daniel menyorokkan baju Nadirah ke dalam longgokan baju kotor yang paling dalam agar Nadirah tidak menjumpai baju itu.


Jarum jam sudah menunjukkan 7.55 pm. Daniel mengeluh, dia baru sahaja selesai membasuh pinggan mangkuk yang digunakannya.


“Ehh dah lambat nak Maghrib ni…”,kata Daniel apabila melihat jam di dinding.


“Aduh…”, Daniel kembali mengeluh melihat lantai yang tertumpah dengan nata de coco.


“Macam mana boleh lupa nak sambung lap ni?”, Daniel langsung mengambil kain buruk yang ada di bilik dobi lalu diletakkan di kawasan nata de coco tumpah. Dia hanya mengelap sehingga tiada lagi air nata de coco tersisa. Setelah selesai mengelap lantai, Daniel bergegas naik ke bilik untuk menyelesaikan Solat Maghrib dengan tergesa-gesa.


Nadirah sudah tiba di rumah pada pukul 8.15 pm. Mujur dia sempat singgah di surau berhampiran untuk Solat Maghrib sebentar. Baju di ampaian yang berada di luar rumah juga sudah tiada. Nadirah tersyum kecil apabila mengenangkan, Daniel yang mengutip baju-baju itu.


Lalu, Nadirah mengetuk pintu rumahtetapi tidak disahut. Malas hendak menunggu lama, Nadirah langsung mengambilkunci rumah di dalam beg tangannya lalu membuka pintu rumah.


Rumahnya sunyi sepi.


‘Mana Danny?’, getusnya.


Baju-baju di ampaian terlonggok di sofa ruang tamu.


‘It’s okay…asalkan dia ambil baju’, getus Nadirah.


Mata Nadirah melirik di singki. Nadirah tersenyum lagi apabila melihatkan singki yang kosong dari pinggan mangkuk. Saat Nadirah leka berjalan, kakinya terasa melekit di suatu tempat.


“Eeeyh… apa melekit ni?”, ucap Nadirah perlahan seraya memandang ke bawah. Lantainya kelihatan bersih tapi permukaannya melekit.


Ada bau mangga pun ada.


Nadirah berjengket. Beg tangannya diletakkan di sofa lalu dia ke dapur mengambil sedikit air paip lalu dijirus sedikit ke lantai. Kain buruk yang terlihat dekat itu digapainya lalu dia menggosok lantai yang melekit itu dengan kain buruk yang ada di kakinya. Sambil menggosok lantai dengan kain di kaki, Nadirah bercekak pinggang.


Daniel yang sudah selesai solat Maghrib keluar ke ruang tamu.


“Sayang?!”, terkejut Daniel apabila melihat Nadirah yang bercekak pinggang mengelap lantai dengan kain buruk dikakinya.


“Hah… terima kasih ambilkan kain dekat luar”, senyum Nadirah.


“Ah haha sama-sama”, Daniel agak cemas melihat Nadirah sedang membersihkan lantai. Takut-takut Nadirah tahu yang dia telah menggunakan baju kerja isterinya yang mahal untuk lap lantai.


“Er… er.. sa”, Daniel baru hendakberbicara. Dia turut menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.


“Kenapa lantai ni melekit ya?”,Nadirah memotong dengan perasaan tertanya-tanya.


“Ohh melekit? Yeke? Dekat kawasan situ?”, tanya Daniel kembali dengan berpura-pura hendak membantu.


“Eh tak apa… Daniel tolong angkat baju-baju yang dekat sofa tu bawa ke bilik dobi dekat belakang”, kata Nadirah pula.


“Hah… baik sayang”, Daniel lega dan langsung berbuat seperti yang disuruh isterinya.


Pada esok paginya, Nadirah mencari-cari sesuatu dibilik dobi…


‘Mana baju mahal aku tu ye? Baju tu saja yang paling mahal aku ada. Rasa ada sidai semalam. Aduh janganlah hilang…aku ikat perut kut nak beli baju tu’, resah Nadirah. Apabila penat mencari, Nadirah ke ruang depan dan mendapati Daniel sedang bersarapan.


“Sayang ada nampak baju yang warna biru lembut macam kain silk tu tak?Ada logo Brand Polo yang Ralph Lauren tu? Itu baju kerja Nad”,tanya Nadirah dengan wajah cemasnya.


Daniel yang sedang menghirup kopi susunya terbatuk apabila mendengarkan pertanyaan isterinya. Daniel mula cemas. Pantas Daniel bangun seraya berkata, “maaflah sayang… saya tak nampak baju tu… emm saya nak pergi kelas ini. Saya gerak dulu ya”, sengih Daniel sambil melambai pergi ke arah pintu rumah. Niatnya ingin melepaskan diri dari situasi itu.


“Kejap!”, panggilan Nadirah menghentikan langkah kaki Daniel. Daniel berdiri kaku.


‘Sudah!... Nadirah suspek aku ke?!’, Daniel berasa takut.


Nadirah berjalan menghampiri Daniel. Setiap derapan tapak kaki Nadirah sememangnya menakutkan Daniel. Jantungnya berdegup. Takut-takut Nadirah mengatakan sesuatu tentang baju atau memaksanya mengaku. Daniel mengaku kalah dan berserah.


Setelah menghampiri Daniel, Nadirah menjengketkan kakinya dan mencium pipi suaminya di belah kiri. Daniel dapat merasakan ciuman daripada bibir hangat Nadirah di pipinya sebelah kiri. Bau-bauan parfum yang wangi juga dapat dihidu daripada isterinya.


“Hati-hati pergi kelas… bawa motor elok-elok”, pesan Nadirah.


Daniel terkesima. Matanya berkedip-kedip. Lalu, dia kembali tersenyum memandang isterinya seraya berkata,“terima kasih sayang”. Daniel langsung membuka pintu.


“Hah…”, Daniel terhenti seketika.


“Emm sayang cari baju sayang kan?”,tanya Daniel.


Nadirah mengangguk memandang Daniel.


“Cuba cari dekat longgokan baju kotor ke… mungkin Nad lupa nak basuh”, kata Daniel dengan wajahnya yang seakan-akan memberi cadangan. Padahal tuan punya badan yang meletakkan baju isteri di situ.


“Ohh nanti Nad cari dekat situ”, kata Nadirah lalu berpaling.


‘Aku rasa macam aku dah basuh baju tu?’, getus hati Nadirah dengan kerutan di keningnya.


Daniel keluar dari rumah dan kembali menutup pintu. Dia tercegat sebentar di hadapan rumah disertai dengan keluhan rasa bersalah. Peristiwa Nadirah menjengket dan mencium pipi kirinya juga terjengah di ingatan.


“Heshh…”, Daniel menggosok –gosok rambutnya. Tanpa membuang masa, Daniel pergi ke arah motosikal dan menghidupkan enjinnya. Wajahnya merona merah apabila asyik teringat ciuman isteri di pipi yang sememangnya memeranjatkannya.


Daniel ingatkan Nadirah menyuruhnya berhenti kerana sangsi dengannya, rupanya Nadirah hendak memberikan ciuman di pipi seperti biasanya. Tapi sungguh dirinya tidak bersedia saat itu. Lebih-lebih lagi melihat Nadirah menjengket.


“Hehehe… comel je”, Daniel cuba menahan sengihannya dari semakin melebar. Kalau tidak diikutkan rasa bersalah terhadap baju mahal Nadirah, mahu saja dia menerkam isterinya untuk memeluk erat.


Walau apa pun, Daniel sememangnya rasa bersalah kerana menipu isterinya di awal pagi lagi. 

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.