Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 68

BAB 68: Sarah dan Laila II


               Fauzi bermundar-mandir dengan hati yang gundah. Kata-kata Laila pada petang tadi sangat merisaukannya. Dia bingung kepada siapa dia harus menceritakan masalah ini. Jika diceritakan kepada keluarganya, pasti hal-hal lampau boleh terbawa sekali. Boleh jadi kecoh kekeluargaannya. Jika beritahu kepada Kak Nad, mahu Kak Nad terkejut besar. Dia ada terfikir hendak memberitahu Sarah, tetapi Fauzi pantas menggeleng saat terkenangkan orang itu. Dia tidak mahu mengganggu kehidupan Sarah lagi disaat mereka sudah menyelesaikan salah faham.

               “Aduh!...Laila ni pun satu. Macam mana dia boleh terfikir macam itu?”, Fauzi berkerut kening saat terkenangkan peristiwa petang tadi.

*

               “Kenapa dengan hal nikah?”, tanya Fauzi dengan sengihan.

               “Kita tangguh lagi dua bulan lah…”, kata Laila.

               Fauzi berkerut, “aik? Dua minggu jadi tangguh sampai dua bulan? Ketara lamanya itu! Dah kenapa? Kita dah siapkan kad kahwin apa semua… Keluarga semua dah tahu lagi dua minggu. Kenapa tiba-tiba jadi dua bulan ni? Banyak kerjanya itu”.

               “Biar banyak kerja sebelum kahwin, daripada banyak hal selepas kahwin nanti!”, sindir Laila dengan suara yang keras.

               Fauzi berkerut hairan, “kenapa cakap macam itu? Boleh beritahu saya apa yang mengganggu fikiran awak?”.

               “Perempuan yang awak cerita dekat saya… yang reject dan kononnya meninggalkan impak yang besar dalam hidup awak itu dalam kalangan saudara mara awak sendiri kan?! Saya nampak awak bermesra-mesra dengan dia tadi… Awak sebenarnya masih ada perasaan dekat dia kan?! Awak jangan nak tipu sayalah! Saya dah selalu nampak benda-benda macam ini jadi dekat orang lain…dan saya takkan biarkan hal macam itu jadi kepada saya! Mentang-mentang awak tak dapat dia, awak jadikan saya ni pengganti jekan!!”.

               “Eh?!Laila… awak salah faham ni. Okay saya akui dia perempuannya tapi sekarang dah jadi keluarga ipar. Saya dah tak ada rasa apa-apa dah… macam keluarga dah. Itu keluarga ipar kakak saya kot. Kitorang memang rapat dari kecil lagi. Dia macam kakak-kakak kot. Lagi tua daripada saya…”.

               “Alasan! Saya tak percaya! Sebab orang macam ini… selalu bagi alasan! Tapi hati dia cakap lain… Saya takkan mudah percaya!”.

               “Astaghfirullahalazim Laila… Apa cakap macam itu?! Sumpah saya dah tak ada apa-apa… Saya nak kahwin,kumpul duit susah-susah nak kahwin dengan awak, macam mana saya suka orang lain pula? Saya ni bukannya orang kaya sangat yang boleh senang nak kahwin. Kalau saya suka dia dan tak suka awak… baik saya tak payah kahwin. Jimat pun jimat… hati pun tak pening…”, bersungguh-sungguh kata Fauzi.

               Laila terdiam saat Fauzi berkata begitu. Dia mengeluh dengan keningnya yang masih berkerut kecil itu.

               “Okay fine! Awak tahu kan saya ni macam mana? Saya ni cepat cemburu dan selalu berhati-hati kalau bab-bab perasaan ni sebab tak nak kecewa. Awak cakap awak dengan perempuan tu rapat sejak kecil lagi. Saya sangsi. Hati manusia boleh berubah… bagi saya masa untuk berfikir dan tenangkan fikiran”.

               “Laila…”.

*

               “ARGHHHHH!!! Aduh…”, tertekan Fauzi memikirkannya. Mungkin inilah dugaan sebelum nikah.

               Apa yang dikatakan Laila tentang hati manusia berubah itu memang tidak mustahil,tetapi bukan kepada dirinya. Kerana hati manusia berubahlah, dia ingin berkahwin dengan Laila. Seberapa lama dia sanggup menunggu. Sehingga Laila betul-betul bersedia pun, dia sanggup tunggu. Kerana hatinya sudah pada Lailalah, dia sanggup mengorbankan masa. Dia tahu kesabaran itu penting.

               Dia tahu Laila memang jenis berhati-hati. Nak berkenalan dahulu pun, Laila asyik tidak faham saja. Sekarang sudah hampir dapat pun masih ada halangannya. Fauzi mengeluh. Tetapi apakan daya kerana hatinya dah suka, dia sanggup. Fauzi menggeleng lagi dan menenangkan fikiran untuk berfikir.

               ‘Tak boleh jadi ni…’, fikir Fauzi.

               Fauzi mengambil telefon dan cuba mencari-cari kalau dia ada menyimpan nombor Sarah.Dia menggaru-garu kepalanya yang serabut tatkala tidak menjumpai nombor Sarah. Dia cuba berfikir lagi.

               ‘Ohh!!’.

               Fauzi cuba menelefon Sarah melalui Messenger,memandangkan Sarah rakannya di FB.

               Sarah yang sedang mengunyah kerepek di hadapan televisyen terdengar telefonnya berdering.

               “Hello?Assalamualaikum…”, Sarah mengangkat panggilan.

               “Waalaikumsalam Kak Sarah… Maaflah tiba-tiba call pakai Messenger. Fauzi ada benda mustahak nak minta tolong ni”.

               “Okay…Apa dia”.

               “Laila nampak kita… lepas itu dia salah faham”.

               “Hah?Maksudnya? Apa yang jadi ni? Cuba cerita keseluruhannya dekat Kak Sarah… Kak Sarah tak fahamlah kalau cerita macam ni je”.

               “Okay…ceritanya macam ni…”, Fauzi mula bercerita kepada Sarah tentang perbualannya dengan Laila.

               Setelah selesai bercerita Sarah berfikir sejenak. Sejujurnya dia ingin memarahi Fauzi, kenapa bercerita tentang kisah silam mereka kepada bakal isteri. Lebih-lebih lagi apabila bakal isteri jenis wanita seperti Laila. Tetapi apakan daya, dia juga bercerita tentang kisah silam mereka kepada James. Jadi dirinya dan Fauzi sama sahaja, cuma pasangan mereka berbeza pendapat.

               Sarah juga tidak boleh menyalahkan Laila kerana mempunyai prasangka kepada Fauzi. Perasaan itu wajar bagi perempuan yang ingin memelihara hati mereka dari disakiti oleh lelaki. Laila sememangnya ada hak untuk bertindak sedemikian rupa.

               Tetapi apa-apapun tindakan Laila itu, haruslah diputuskan setelah mengetahui kebenarannya. Jika kata-kata Fauzi tidak dipercayainya, Sarah harus masuk campur bagi menerangkan hal sebenar kepada Laila. Dia tidak mahu kerana salah faham yang ada kaitan dengan dirinya, menyebabkan satu pasangan tidak jadi untuk membina masjid.

               “Baiklah Fauzi… terima kasih beritahu Kak Sarah. Nanti Kak Sarah fikirkan macam mana.Tapi boleh tak beri nombor dia supaya, akak dapat hubungi”, pinta Sarah.

               “Baik-baik…”,jawab Fauzi dengan suara yang gundah.

               Setelah selesai Sarah berbual dengan Fauzi di telefon, Sarah kembali ke bilik tidurnya untuk berbaring. Berbaring sambil berfikir. Nombor telefon Laila sudah Fauzi berikan. Tinggal memikirkan cara sahaja bagaimana hendak berbicara dengan Laila.

               Pada esok paginya, Sarah menghantar pesanan ke nombor telefon Laila.

Sarah: Assalamualaikum… Ini Laila kan? Saya Sarah…Sayalah orang yang bercakap dengan Fauzi hari tu. Saya dengar yang Laila nak tagguh nikah sampai dua bulan. Sebelum menyesal dengan keputusan yang awak buat tu, saya harap awak jumpa saya dulu untuk saya terangkan hal sebenar.

               Sarah berhenti menaip, dia mengeluh. Sejujurnya dia bingung hendak menulis bagaimana. Nampak kasarkah ayatnya? Atau ayatnya pelik? Atau ayatnya tiada angin tiada ribut, tiba-tiba ajak jumpa? Sarah menekan kembali pesanan itu lama untuk dipadam. Baru sahaja hendak dipadam, Laila sudah membacanya dan ‘typing…’ kelihatan.

Laila: Mesti Fauzi beritahu kan?

Sarah: Fauzi beritahu saya baru saja semalam, masa malam-malam. Saya rasa bertanggungjawab untuk ceritakan hal sebenar sebab saya tak nak jadi penyebab penangguhan majlis nikah kalian.

Laila: Ini antara kami berdua saja. Tak apa… Awak tak perlu risau.

Sarah: Tak boleh macam itu. Saya kena risau. Selagi korang tak nikah cepat, saya tak boleh duduk diam. Saya akan pastikan pernikahan korang kembali ke perancangan asal, barulah saya lega.

Laila terdiam. Dia terpaku tidak tahu untuk menaip apa. Sementara dirinya sangsi untuk meneruskan pernikahan, tetapi perempuan yang dia sangsi pula seakan mendesaknya untuk mempercepatkan pernikahan. Laila berasa bingung.

Sarah: Laila… saya harap awak kena dengar dulu penjelasan Fauzi, kalau awak tak yakin dengan penjelasan Fauzi… Dengar penjelasan saya pula. Lepastu barulah awak boleh buat keputusan. Saya tak nak kerana keputusan awak yang tidak tetap ni, bukan saja membingungkan perasaan awak tetapi awak buat Fauzi menunggu lagi. Bukan hanya Fauzi keluarga awak pun sama. Sedangkan benda yang hendak dihalalkan dan yakni itu tidak elok dilambat-lambatkan Laila. Jumpa saya sekali saja di Kafe Coffee.

Laila berkerut. Dia berfikir. Betul kata Sarah itu,dia juga tidak sedar keputusannya yang berhenti tengah jalan itu bakal menyusahkan ramai orang kelak. Segala keputusannya haruslah diputuskan setelah mendengar kedua-dua pihak.

Laila: Baiklah.

               Pada petangnya, mereka berjumpa di sebuah kafe. Laila melihat Sarah sudah menanti.Sarah kelihatannya sedang menghirup kopinya sambil membelek telefon. Satu perasaan ‘insecure’ hadir apabila melihat perempuan yang Fauzi pernah bercinta dulu. Begini rupanya gaya wanita yang Fauzi pernah sukai. Gaya elegan ala-ala ‘clever girl’ style. Fikir Laila.

               “Hushhh…”,pantas Laila menggeleng kepala dan bergegas menuju kepada Sarah.

               “Jemput…”,ajak Sarah.

               Laila mengangguk dan duduk.

               “Em…order lah apa-apa dulu. Minum ke?”, kata Sarah.

               “Waiter!...”, panggil Laila.

               Setelah Laila berpesan, Sarah memulakan bicaranya.

               “Cantik wanita pilihan Fauzi ni… Em Laila…”, senyum Sarah.

               “Awak pun cantik…”, balas Laila spontan.

               Sarah tersengih dan memulakannya lebih serius.

               “Em…saya faham perasaan awak bila awak nak tangguh pernikahan tu. Saya dapat faham awak wanita yang berhati-hati. Sebab sekarang saya macam itu juga. Saya terus terang… saya dan Fauzi memang pernah bercinta, tapi itu masa sekolah dulu. Orang kata cinta monyet… memang ada sebablah kenapa gelarannya ‘monyet’. Sebab kitorang dua tak matang masa tu… baik saya dan Fauzi. Saya sakit hati dengan Fauzi dan saya pun sakitkan hati dia balik. Saya minta putus masa dia tengah nak SPM. Memang tinggalkan parutlah kan”, sengih bicara Sarah apabila mengungkit kembali kisah silam.

               “Sebab saya pernah bercinta dengan dialah, saya jadi wanita yang lebih berhati-hati dengan orang lain. Dan sebab saya minta putus dengan dialah, dia jadi lelaki yang lebih baik untuk Laila. Susah saya nak cakap, benda ni macam…. Emmm ada hikmahlah. Lagipun couple couple ni sepatutnya mana boleh... kan”, Sarah memikirkan perkataan.

               “Okay okay… saya cerita lagi. Kitorang putus dan memang perasaan masing-masing tu dah mati dan saya sangat geli rasa nak muntah bila ingat balik. Tapi hubungan kitorang berubah bila suatu hari tu… adik lelaki saya dan kakak dia kahwin. So,kitorang jadi keluarga ipar. Nak tak nak, akan bertembung juga lagi-lagi masa majlis kahwin adik saya dan kakak dia tu. Masa awal-awal, saya tak suka. Tapi Fauzi relaks je… jadi saya ingatkan dia ada nak balas dendam, tapi bila saya tengok… dia lebih memikirkan kebahagiaan kakak dia. Saya jadi terfikir… sampai bila nak berprasangka apa semua kan. Saya ingat balik saat-saat sebelum kami bercinta. Bila ingat balik, sebenarnya perasaan saya kepada dia tu bukanlah cinta… tapi cuma macam emm.. Saya anggap dan layan dia macam adik lelaki saya. Perasaan saya sebelum tu adalah anggap Fauzi tu macam keluarga sendiri juga…macam adik-adik. Dan itu jelah… sampai sekarang. Saya pun happy dia dah nak kahwin… Saya pun dah ada pilihan hati sendiri”.

               Laila masih diam. Panjang juga cerita Sarah yang dipendekkan itu kalau nak diikutkan. Sukar hatinya untuk terus menerima, kerana dia memang seorang yang begitu. Dia hendak berfikir sebentar.

               Sarah melihat Laila yang diam. Sarah memegang tangan Laila yang berada di atas meja.

               “Fauzi sayangkan Laila… Bila dah tahap nak kahwin tu, dia tak main-main Laila. Laila jangan jadi macam saya, yang pernah beri dia luka. Kalau Laila buat benda yang sama… saya tak tahulah Fauzi tu jadi apa. Kalau rasa ragu-ragu, ingatlah penantian dia, usaha dia kumpul duit untuk kahwin dengan Laila ni semua. Fauzi berusaha tu untuk halalkan hubungan dengan Laila. Dengan cara terhormat, nak tunjuk dia respect Laila”, Sarahmemujuk.

               Laila memandang Sarah dengan kening yang berkerut terpamer kebingungan.

               “Kalau perasaan ragu-ragu Laila tu lebih tinggi daripada kepercayaan kepada Fauzi… Itu semua mainan perasaan, ini ujian sebelum kahwin Laila. Paling penting sekali,banyakkan istighfar… jangan berprasangka buruk-buruk kepada orang yang bersungguh-sungguh untuk kebaikan. Laila buat solat istikharah…”, nasihat Sarah.

               Laila mengangguk.

               “Laila boleh panggil saya Kak Sarah… Kak Sarah doakan yang terbaik untuk Laila dan Fauzi…”, senyum Sarah ikhlas.

               Laila juga senyum dengan wajah sedih. Kata-kata Sarah itu memang menembus tembok hatinya. Selama ini dia asyik memikirkan tentang hatinya sehingga lupa hati orang lain juga. Laila sedikit sebak. Fikirannya berfikir yang dia memang perlu membuat solat istikharah untuk meminta petunjuk.




Previous: Bab 67
Next: Bab 69

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.