Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 57

BAB 57: Kekeluargaan


               Nadirah, Daniel dan Mak Esah berada di hadapan rumah Nadirah di kampung. Mereka sibuk mengemas dan mengangkat barang untuk dimasukkan ke dalam kereta. Kelihatannya sudah mahu pulang ke bandar.

               “Hebatlah Danny… terima kasih bagi anak buah”, usik Fauzi bersembang dengan Daniel

               “Hahaha ayat lain macam Abang Fauzi…”, ketawa Daniel.

               “Wahh banyak barang kau Kiah! Macam nak pindah rumah”, kata Mak Esah terhibur.

               “Yalah… 9 bulan kan kita rancang nak duduk dengan anak-anak kita tu”, sengih Puan Kiah.

               “Ibu… barang ada lagi ke yang Danny nak tolong angkat?”, kata Daniel kepada mak mertuanya.

               “Tak ada dah…”, geleng Puan Kiah.

               “Telefon, cas telefon dan dompet semua ada ya ibu?”, tanya Nadirah pula.

               “Ada-ada”, angguk Puan Kiah sambil melihat isi beg tangannya.

               Kemudian, mereka saling bersalam-salaman antara mereka. Di situ ada Fauzi dan Pak Hamid juga.

               Sewaktu Daniel bersalaman dengan bapa mertuanya, Pak Hamid sempat berpesan, “ini Nad mengandung ni jaga Nad elok-elok ya. Jaga diri kau juga… jangan nak berburu ke memancing ke… takut anak tu kena badi binatang mana-mana”.

               “Heshh abang ni… itu semua bid’ah tu. Lagipun Si Danny ni mana nak berburunya? Dia ada periksa akhir lah. Kalau lapar ya pergi beli bahan dekat pasar raya”, kata Puan Kiah.

               “Yalah… orang tua-tua kata begitu…maksudnya jangan berkasar dengan binatang je. Bukanlah berburu yang betul-betul berburu tu pun. Lagi-lagi ni waktu isteri mengandung ni sensitif dalamannya tu. Jangan banyak pasang muzik lagha-lagha, bersiul, main seruling ke apa… banyak dengarkan ngaji. Yalah kita nasihatkan ni sebolehnya janganlah terhadkan masa isteri mengandung saja, biar sampai bila-bila. Insyaallah rumah sejuk”, nasihat Pak Hamid lagi panjang lebar. Lagipula perasaannya juga berdebar saat mengetahui diri bakal menjadi atuk.

               Daniel dan Nadirah senyum.

               “Baik abah… terima kasih. Saya ingat pesan abah sampai bila-bila”, angguk Daniel.

               “Okaylah… abah… abang Fauzi”,Daniel pinta izin untuk masuk ke dalam kereta untuk menghidupkan enjin.

               “Haa kau pun kak. Jaga diri…jangan sibuk kerja sangat. Kalau tak larat tu kau minta cuti je. Jaga kandungan elok-elok, aku pun tak sangka dah jadi pak cik dah hahahah”, seronok Fauzi.

               Nadirah tersengih melihat gaya adik lelakinya, “ya ya… doakan akak”.

               “Abang jaga rumah ni elok-elokya… Kalau nak masak-masak, jangan tinggal api menyala dekat dapur. Fauzi pun tengok-tengokkan abah kau dengan rumah ni”, pesan Puan Kiah. Encik Hamid hanya mengangguk.

               “Ya ibu…”, angguk Fauzi.

               Kemudian Nadirah, Mak Esah dan Puan Kiah masuk ke dalam kereta.

               “Bye… Assalamualaikum”, masing-masing melambai antara satu sama lain.

               “Ingat pesan saya tau bang!”,panggil Puan Kiah mengingatkan lagi suaminya.

               “Jaga diri!”.

               Daniel memandu dengan perasaan lega. Urusan pemberitahuan Nadirah mengandung kepada keluarga diterima dengan meriah. Malah mak dan ibu mertuanya menawarkan diri untuk menetap di rumah mereka bagi membantu apa yang patut.

Daniel terkenang beberapa hari yang lalu…

**

               Balik sahaja dari hospital dan restoran, Daniel duduk sebentar di ruang tamu. Nadirah pula ke dapur untuk minum air kerana haus.

               Tanpa berfikir panjang, Daniel langsung menelefon maknya.

               “Assalamualaikum Danny”, Mak Esah sudah mengangkat panggilan.

               “Waalaikumsalam mak”, jawab Daniel.

               “Macam mana pembentangan dah habislah? Dengan Nad ke tu dekat rumah?”, tanya Mak Esah.

               “Haah mak… Emm orang ada nak beritahu mak ni, tapi mak jangan terkejut”, kata Daniel.

               “Apa dia? Kau buat mak takut pula… Pensyarah ada cakap apa-apa ke pasal pembentangan kau? Kenapa? Hal periksa ke apa?”, risau Mak Esah.

               “Bukan itu… pelajaran semua okay saja”, kata Daniel.

               “Habis tu pasal apa ni?”, berkerut dahi Mak Esah tidak tahu.

               “Tadi Nad pengsan dekat tempat kerja”, belum sempat Daniel menghabiskan kata-katanya.

               “Ya Allah!!! Nad pengsan! Habis tu macam mana keadaan dia?!”, risau Mak Esah.

               “Yalah kita pergi hospital jumpa doktor apa semua… Lepastu doktor cakap Nad mengandung mak. Dua mingu dah”, senyum Daniel berbicara.

               Mak Esah terdiam.

               “Mak?...”,Daniel mengerutkan kening saat maknya terdiam.

               “YaAllah! Alhamdulillah!!!... Alhamdulillah… syukur ke hadrat Allah. Mak terkedu tadi… rasa macam keajaiban. Nad mengandung cucu mak!”, teruja Mak Esah. Entah kenapa Mak Esah berasa sebak. Dahulu dia hanya ada dua orang anak dengan ketiadaan suaminya, kini keluarganya mengembang dengan rezeki cucu yang diberikan Allah.

               ‘Lepasni adalah budak-budak kecil panggil aku nenek’, getus hati Mak Esah gembira.

               “Tulah…Alhamdulillah. Rasa bertambah kekuatan Danny ni mak, nak periksa akhir kan”,kata Daniel lagi.

               “Aah…ibu dan abah mertua kamu dah tahu ke hal ini?”, Mak Esah teringatkan besannya.

               “Belum lagi… mak lah yang pertama-tama sekali tahu. Lagipun kami memang baru sangat balik dari hospital tadi. Danny duduk rehat kejap dekat ruang tamu ni, ada rasa nak beritahu mak pula”, kata Daniel.

               “Waah mak orang pertama tahu ni?! Gembiranya mak!!”, Mak Esah bertambah gembira.

               “Ya…hahaha ya Nek Esah… Eh? Hahahahahaha”, ketawa Daniel.

               Mak Esah rasa terhibur dengan seloroh anak lelakinya, “pandai je kamu ni Danny! Usik mak macam tu… Kakak kamu yang dekat oversea tu pun mesti lagi terkejut dari mak. Dia nak jadi makcik. Yalah adik lelaki yang langkah bendul dia ni nak jadi ayah dah. Hahaha”.

               Daniel ketawa juga.

               “Haa…mak ingat mak nak duduk rumah kamu sepanjang Nad mengandung ni. Boleh mak tolong apa yang patut dekat rumah kamu”, satu idea diutarakan Mak Esah.

               “Ehh Danny tak nak susahkan mak… Mak rehatlah”, kata Daniel. Maknya kalau buat kerja rumah tak berhenti. Kalau Mak Esah duduk di rumahnya, nanti menyusahkan maknya pula. Fikir Daniel.

               “Mak tak kata nak buatkan… mak kata nak tolong je. Kalau mak penat mak berhenti. Lagipun isteri kamu tu mengandung kali pertama kan, tak boleh buat kerja rumah banyak sangat. Potensi nak gugur tu banyak. Rahim mengandung kali pertama ni sensitif”,kata Mak Esah.

               “Yeke mak?”, berkerut Daniel.

               “Ya…lagipun tak susahlah. Mak rasa tua-tua ni mak kena lagi banyak bergerak. Kalau asyik berehat baring je, kepala mak lagi pening”, kata Mak Esah.

               “Okaylah kalau begitu, nanti Danny beritahu Nad. Terima kasih mak… Mak lah mak paling terbaik sekali dekat dunia ni”, senyum Daniel.

               “Ya ya… ini semua untuk cucu mak. Tak ada apa sangatlah. Jangan lupa beritahu mertua kamu juga”, Mak Esah mengingatkan lagi.

               “Baik…Assalamualaikum mak”.

               “Waalaikumsalam…”.

               Panggilan mereka selesai. Daniel berasa teruja maknya ingin duduk sekali bersama mereka. Dia terasa lebih selamat dengan ada maknya yang ingin membantu. Maklumlah orang perempuan lebih faham orang perempuan. Daniel juga tidak tahu apa yang berubah saat wanita mengandung ini.

               “Sayang…tadi saya dah beritahu mak”, kata Daniel kepada Nadirah yang menghampirinya.

               “Ehh dah beritahu mak dah? Mak cakap apa?!”, teruja Nadirah ingin tahu.

               “Mak terkejut sangat! Dia gembira sangat-sangat sampai nak duduk dengan kita sepanjang awak mengandung ni”, kata Daniel.

               “Tak susahkan mak ke? Mak kalau duduk dengan kita mesti buat banyak kerja rumah ni. Tak berhenti punya…”, fikir Nadirah. Maklumlah Nadirah bekerja Daniel pula belajar. Kadangkala kerja rumah boleh ditangguh kerana kesibukannya dan suaminya. Tetapi kalau ada mak, pasti semua mak rasa nak buat. Fikir Nadirah.

               “Mak kata tak apa… Mak buat untuk cucu dia. Mak kata kalau penat dia berhenti la”,kata Daniel.

               Nadirah senyum, “mak… baiknya”.

               Nadirah rasa sangat menghargai pengorbanan mak mertuanya. Nadirah rasa terharu dengan sokongan yang diberi. Nadirah merasakan hubungan mereka bukan seperti mertua dan menantu tetapi seperti ibu dan anak perempuan sendiri.

               “Mak pesan jangan lupa beritahu ibu dan abah juga”.

               “Ohh ya ya”, Nadirah mengangguk.

               Pada malamnya, usai sahaja solat isya’ berjemaah Nadirah menelefon keluarganya di kampung.

               “Assalamualaikum abah…”, kata Nadirah saat mendengar suara ayahnya menyahut.

               “Waalaikumsalam Nad…”, jawab abahnya.

               “Abah…kakak nak beritahu berita gembira ni… Kakak mengandung abah”, Nadirah terus memberitahu.

               “Eh?!!Kakak mengandung?!! Abah nak jadi atuk la ni?!”, terkejut Pak Hamid.

               “Ya…abah”, senyum Nadirah.

               Puan Kiah yang terdengar suara suaminya yang terkejut itu menarik perhatiannya, lantas Puan Kiah meminta telefon yang dipegang suaminya itu.

               “Apa Nad? Nad cakap Nad mengandung?!”, tanya ibunya.

               “Ya ibu… orang pergi hospital siang tadi. Doktor kata kakak mengandung dua minggu dah”.

               “Ya Allah syukur Alhamdulillah!”, teruja ibunya.

               Fauzi pula terdetik hati untuk mengetahui apa yang mak ayahnya gembirakan di panggilan telefon itu.

               “Kakak kau mengandung”, bisik Pak Hamid kepada Fauzi.

               Fauzi membulatkan mata, ‘uuu hebat Danny…’. Getus hatinya.

               “Tahniah kak! Cakap kat Danny tahniah!!”, sampuk Fauzi dari belakang.

               “Ehh kau ni ganggu ibu nak sembang dengan kakak kau!”, Puan Kiah acah-acah hendak memukul. Fauzi hanya sengih.

               Nadirah dapat mendengar pesanan adik lelakinya. Nadirah ketawa.

               “Ini mak mertua kamu dah tahu?”, tanya Puan Kiah.

               “Dah…Mak Esah kata dia nak duduk dengan kakak sepanjang kakak mengandung ni. Nak tolong-tolong”, beritahu Nadirah.

               “Wahh baguslah kalau macam tu. Untung dapat mak mertua macam Mak Esah… Alang-alang tu ibu pun nak ikut sekalilah… Ibu duduk dengan kamu juga sepanjang kamu mengandung ni. Mak Esah ada kawan”, kata ibunya membayangkan keseronokan tinggal bersama besan di rumah anak.

               “Yeke mak!! Boleh sangat!! Dah lama tak makan masakan mak”, teruja Nadirah.

               “Eh eh budak ni… hahaha”, ketawa Puan Kiah.

               Pada hari yang dirancang, Daniel, Nadirah dan Mak Esah pergi ke kampung Nadirah untuk mengambil Puan Kiah. Mereka bersembang dan berbual sesama mereka. Nadirah teruja menceritakan bagaimana emosinya sebelum mengandung. Ibu, abah dan mak mertuanya memberikan falsafah nasihat dan pandangan masing-masing. Manakala Daniel bersembang bersama Fauzi di luar rumah. Kemudian Pak Hamid pula keluar bersembang bersama anak dan menantunya tatkala di dalam rumah sudah menjadi perbualan wanita-wanita.

**

               Mak Esah dan Puan Kiah rancak bersembang di belakang dalam kereta.

               Nadirah pula hanya tersenyum memandang tingkap.

               Daniel senyum lalu tangan kirinya mencapai tangan kanan isterinya. Tangan isterinya dibelai-belai. Nadirah tersedar dari lamunan dan membalas genggaman suaminya lembut. Daniel dan Nadirah, masing-masing berasa tenang.

               Saat rancak bersembang, Puan Kiah dan Mak Esah perasan dengan suasana diam anak menantu yang berada di hadapan, disertai dengan genggaman tangan dan senyuman yang terpamer di wajah Nadirah dan Daniel.

               Puan Kiah senyum lagi lalu berbisik kepada Mak Esah, “mulut tak cakap, tapi hati berbicara ya tak”.

               Mak Esah ketawa, terhibur dengan seloroh Puan Kiah berkenaan anak menantu mereka dihadapan itu.

               Nadirah dan Daniel sedar akan suasana di belakang yang semakin meriah dengan ketawa kecil mak-mak mereka, tetapi mereka hanya diam saja seakan berada di dalam dunia mereka sendiri.



Previous: Bab 56
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.