4
DERINGAN yang bertalu dibiarkan sahaja. Asyraf sudah tahu siapakah gerangan si pemanggil. Dia pantas memulas tombol pintu di hadapannya.
Pintu terbuka luas. Asyraf mempersilakan insan di belakangnya masuk, “Silakan masuk, Juliana.”
Juliana masih teragak-agak. Diriannya tegak. Tubuhnya masih tidak bergerak.
“Awak janganlah risau. Saya takkan berlama-lama di kondominium ni.” Asyraf cuba meyakinkan Juliana.
Lambat, barulah Juliana menganggukkan kepalanya dan memulakan langkahnya.
“Awak duduklah dulu dekat sofa tu. Saya nak masukkan barang-barang yang kita beli tadi dalam peti ais,” arah Asyraf.
Juliana hanya menuruti sahaja arahan Asyraf. Dia melangkah ke ruang tamu sebelum melabuhkan punggungnya di sofa berukiran kayu itu. Dia melilau-lilaukan pandangannya ke sekeliling. Terlihat kondominium itu tetap jua kemas dan bersih biarpun sudah lama tidak diduduki sesiapa.
“Bersih ya kondominium ni,” jujur Juliana saat melihatkan Asyraf menghampiri dirinya. Lelaki itu duduk berhadapan dengannya.
Senyuman terukir di bibir Asyraf saat telinganya menjamah pujian itu, “Seminggu sekali saya akan datang ke sini untuk bersihkan sendiri kondominium ni. Tapi mulai sekarang saya dah tak perlu bersusah payah dah, sebab akan ada orang yang sudi menjaga rumah ni untuk saya.”
Juliana membalas senyuman Asyraf. Rasa syukur terus memanjat dirinya kerana dipertemukan dengan lelaki sebaik insan di hadapannya itu.
“Ada apa-apa yang awak nak tanyakan pada saya?” soal Asyraf. Dia yakin yang wanita di hadapannya itu sedang menanggung pelbagai persoalan di mindanya.
“Banyak. Tapi apa yang penting... saya nak tanya berapa sewa kondominium ni? Kalau mahal sangat... saya tak mampulah.” Polos Juliana.
Asyraf tertawa. Geli hatinya dengan sikap polos wanita berkebaya nyonya itu.
“Kenapa awak gelak? Apa yang kelakarnya? Saya serius ni. Kalau mahal sangat, saya tak mampulah,” ulang Juliana lagi.
“Maaf. Saya tak berniat nak ketawa tapi... saya cuma kelakar je sebab awak masih tak faham tentang apa yang telah kita persetujui tadi. Kan, saya dah cakap yang saya akan sediakan tempat tinggal untuk awak selagi awak bekerja dengan syarikat saya,” tutur Asyraf setelah tawanya terhenti.
“Ya... itu saya tahu. Tapi awak tak kata pun yang tempat tinggal ni harus dibayar sewanya atau pun free?” Laju Juliana bersuara.
Asyraf terdiam. Mula mengakui kekhilafan diri, “Emm... betul juga tu. Baiklah...”
Baru sahaja Asyraf hendak menjelaskan secara terperinci, handphone miliknya berdering semula. Dia menyeluk kocek seluarnya. Gajet itu diambil sebelum dibisukan deringannya.
“Kenapa awak tak jawab?” soal Juliana, tanpa sengaja.
Asyraf bisu. Langsung tidak menjawab apa. Riak wajahnya juga sudah mencuka.
‘Alamak! Apa aku dah buat ni? Apa hallah mulut aku ni kepohci sangat!’ marah Juliana pada dirinya sendiri.
“Maaf... saya tak patut menyibuk tadi.” Lembut Juliana bersuara.
“Eh... tak adalah. Awak tak salah apa. Saya cuma dah bosan dengan semua gangguan ni. Kadang-kadang saya jadi menyampah! Menyampah nak dengar suara perempuan tu!” Sedikit tinggi suara Asyraf saat mengakhiri kata-katanya.
“Maksud awak... Melisa? Model terkenal tu?” Perlahan, Juliana menyoal.
Asyraf mengeluh dan menganggukkan kepalanya, “Entahlah. Saya sendiri tak faham kenapa model terkenal macam dia tu masih belum berputus asa untuk mendapatkan saya.” Bukan berniat untuk membangga diri, tetapi itulah kenyataannya.
Juliana membisukan mulutnya. Simpatinya meluruh buat si penyelamatnya itu.
“Dahlah. Kita lupakan jelah pasal minah ngok-ngek tu.” Selamba Asyraf mengejek Melisa.
“Minah ngok-ngek? Dah lama saya tak dengar perkataan tu,” tawa Juliana, lepas.
Asyraf terkesima melihat tawa yang tidak dibuat-buat itu. Entah mengapa dirinya berasa senang dengan wanita kacukan di hadapannya itu.
“Maaf... saya tak patut ketawa macam tu. Emm... so, macam mana dengan tempat tinggal ni? Saya perlu bayar sewa ke tidak?” soal Juliana sambil menutupi rasa malunya.
“Ooo... pasal tempat tinggal ni. Okey, saya akan jelaskan dengan lebih terperinci kali ini.” Asyraf cuba menstabilkan emosinya. Biarpun getaran halus sudah hadir di jiwanya, namun dia harus pandai menyembunyikannya.
“Untuk pengetahuan awak, kondominium ini akan menjadi tempat tinggal buat awak selagi awak bekerja dengan syarikat SCA Sdn. Bhd. dan awak tidak perlu mengeluarkan wang satu sen pun. Ini bermakna tiada bayaran sewaan untuk kondominium ini,” terang Asyraf.
“Alhamdulillah. Terima kasih, awak dah banyak sangat membantu saya. Terima kasih banyak-banyak.” Kegembiraan jelas terukir di wajah putih milik Juliana.
Asyraf sekadar membalas ucapan itu dengan segaris senyuman, “Ada apa-apa lagi yang awak nak tanya?”
“Ada. Macam mana pula dengan pinjaman wang saya tu?” Laju, Juliana menjawab.
“Pinjaman wang?” Berkerut dahi Asyraf. Tidak mengerti dengan kata-kata insan di hadapannya itu.
“Maksud saya, tadikan awak tolong saya bayarkan ganti rugi untuk patung kristal tu. Berapa jumlah yang awak bayar dekat tauke mereng tu?” Rasa marah masih bersisa di hati Juliana saat dia teringatkan peristiwa di kedai kristal itu.
“RM 4444 lah saya bayar dekat tauke kedai tu,” jujur Asyraf.
“Ha?! Kenapa awak tak minta diskaun? Teruk betullah tauke tu! Bukan ke pekerja dia ada berikan diskaun sebanyak 30% pada saya. Kenapa dengan awak dia tak berikan potongan harga pula?!” Terkejut Juliana dengan jumlah yang telah dibayar oleh Asyraf.
“Manalah saya tahu. Awak tu pun kenapa tak ada sama, waktu saya buat bayaran?” soal Asyraf di hujung kata-katanya.
“Malaslah saya... buat sakit hati saya je tengok muka ‘singa-singa’ betina tu! Kiranya saya kena bayar dekat awak RM 4444 lah ya? Boleh tak kalau saya bayar secara ansuran?” Perhatian diberikan semula ke arah Asyraf. Rasa marahnya terhadap empunya kedai kristal dengan pekerjanya itu, diperapkan seketika.
“Tak.” Sepatah jawapan Asyraf.
“Tak boleh? Habis tu mana saya nak dapatkan duit sebanyak tu? Awak pun tahukan keadaan saya sekarang?” sayu suara Juliana memohon simpati.
“Bukan. Maksud saya bukannya tak boleh bayar secara ansuran. Tapi tak payah bayar langsung.” Laju, Asyraf menerangkan kekeliruan Juliana.
“Betul ke ni?” soal Juliana bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
Asyraf menganggukkan kepalanya.
‘Kenapa pula mamat ni baik giler dengan aku? Ada apa-apa ke yang dia nakkan daripada aku?’ curiga pula hati Juliana dengan sikap terlampau baik lelaki yang baru dikenalinya itu.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal Asyraf saat dilihatnya pandangan Juliana penuh dengan ‘ukiran’ syak wasangka.
“Kenapa awak baik sangat dengan saya?” Soalan berbalas dengan soalan. Juliana kian menetapkan pandangannya ke atas figura kacak itu.
Asyraf membetulkan duduknya. Sandaran tubuhnya kini, kian tegak, “Sebab saya nak awak jadi kekasih olok-olok saya!”
“Apa?! Saya ingat awak main-main tentang perkara tu,” terkejut Juliana.
“Tak. Saya tak pernah main-main tentang perkara tu. Tolonglah... tolonglah Juliana! Tolong jadi kekasih olok-olok saya. Saya janji, bila Mel sudah berputus asa terhadap saya... saya takkan ‘ikat’ awak lagi. Awak tak perlu menjadi kekasih olok-olok saya lagi. Bolehkan?” pinta Asyraf.
Juliana menarik nafasnya dalam. Otaknya kini bertindan-tindan dengan jawapan yang berulang-ulang. Mahu menerima atau menolak sahaja cadangan lelaki itu. Tetapi seandainya dia bersetuju untuk menjadi kekasih olok-olok lelaki itu, mampukah dirinya untuk menyempurnakan watak itu? Andai ditolak pula, di manakah dia hendak bermalam pada hari ini dan bagaimanakah pula kehidupannya selepas ini? Tidak mungkin dia akan berpatah balik ke pangkuan ayahnya dan bersetuju dengan tindakan ayahnya itu. Tindakan yang benar-benar mengetepikan dirinya dan langsung tidak mengendahkan perasaannya!
“Macam mana Juliana? Awak sudi tak untuk menjadi kekasih olok-olok saya?” Harapan ditindankan tinggi.
Juliana tertunduk. Tidak sanggup untuk menatapi kesayuan yang terukir di sepasang mata milik penyelamatnya itu.
‘Ya ALLAH... apakah yang harus aku lakukan?’ gusar hati Juliana.
“Juliana tolonglah... kalau saya tak terdesak... saya takkan libatkan awak dalam hal ni. Saya janji yang saya akan ‘lepaskan’ awak bila Mel sudah tidak lagi mengganggu hidup saya.” Janji diukir sekali lagi.
“Baiklah. Saya setuju.” Perlahan Juliana menuturkan kata-kata itu. Wajahnya masih tertunduk ke lantai. Cuba menyembunyikan seraut wajah yang penuh dengan kesedihan.
Sedih kerana di saat dia cuba untuk melepaskan diri daripada perancangan ayah kandungnya, kini dirinya ‘dibeliti’ pula dengan sebuah perancangan yang diatur oleh lelaki di hadapannya itu. Lelaki yang sedang tersenyum kesyukuran kerana apa yang dirancangnya sudah berjaya disempurnakannya.