22
TELEKUNG ditanggalkan
dari tubuh dan kain suci itu dilipat sebelum diletakkan di tempatnya. Juliana
melangkah perlahan ke katilnya dan merebahkan tubuh yang sedikit kelesuan. Lesu
kerana kepenatan bertungkus-lumus mengemas kondominum yang didiaminya itu.
“Ah... selesanya,” omel
Juliana saat tubuhnya sudah dibaringkan dengan sempurna.
Dia mengerling handphone yang diletakkan di meja sisi
katilnya dan semerta imbauan sebentar tadi menjelma. Imbauan mengenai
perbualannya dengan Asyraf. Mujur jua doa di hujung solat isyaknya sudah
diaminkan. Andai tidak, pasti dibiarkan sahaja panggilan daripada majikan yang
merangkap kekasih olok-oloknya itu.
“Rajin juga mamat tu call aku semenjak kebelakangan ni.”
Juliana bermonolog sendirian.
“Ah! Dahlah... malaslah
aku nak fikirkan pasal mamat tu. Aku tahu yang dia ambil berat dekat aku pun
sebab dia berasa sangat bersalah dekat aku.” Yakin Juliana sambil mengerengkan
tubuhnya. Matanya pula ditutup serapat-rapatnya dengan harapan agar lena dapat
menghimpit kepenatannya.
Namun apa yang dipinta
tidak menjadi nyata. Apa yang dilarang pula berlumba-lumpa memenuhi fikirannya.
Wajah Asyraf yang sedang tersenyum silih berganti menampilkan diri.
“Arghhh!!! Apa kena
dengan aku ni?! Kena santau ke apa, tak pasal-pasal pula muka mamat tu yang
melayang-layang dalam kepala otak aku ni,” bebel Juliana sambil bangkit dan
menyandarkan tubuhnya ke kepala katil.
“Juliana... stop! Jangan fikir lagi pasal kekasih
olok-olok kau tu!” Peringatan Juliana tegaskan kepada dirinya.
Tetapi ibarat menyiram
air pada daun keladi. Segala ketegasannya langsung tidak memberikan kesan apa.
Senyuman lahir tiba-tiba saat mindanya sudah berterbangan mengingati kebaikan
dan keikhlasan Asyraf terhadap dirinya.
“Tak... tak, aku tak
boleh angau macam ni. Aku tahu yang Asyraf bukannya sukakan aku. Dia cuma
kesian je dekat aku.” Juliana menampar-nampar perlahan pipi gebu miliknya.
“Baiklah. Aku kena settingbalik minda aku.” Tubuh yang
tersandar di kepala katil ditegakkan. Dia kini duduk bersila betul-betul di
tengah-tengah dada katil. Dia menarik nafasnya dalam dan dihembuskannya
perlahan. Matanya juga sudah dirapatkan. Persis beryoga tampaknya.
“Juliana... cuba kau
ingat kembali kenapa kau mendiami kondominium ini?” soal Juliana pada dirinya
sendiri dan semerta jawapan terukir di ruangan mindanya. Puas dengan jawapan
itu, Juliana meneruskan terapinya.
‘Kau tahukan kenapa kau
sanggup menerima tawaran Asyraf untuk menjadi kekasih olok-oloknya?’ Soalan
yang dilahirkan oleh hati jua segera diberikan jawapannya oleh minda.
‘Kau masih ingat lagi
saat pertemuan pertama kau dengan Asyraf?’ Soalan secara bisikan dijawab oleh
lisan, “Ya. Aku masih ingat. Di kedai kristal di Klang Parade… Demi untuk
membayar ganti rugi terhadap patung kristal
yang pecah itu... aku sanggup mengakui bahawa Asyraf adalah kekasih aku sewaktu
di hadapan Melisa.”
‘Bagus! Kau harus sedar
bahawa hubungan yang terjalin di antara kau dengan Asyraf hanyalah sekadar
kekasih olok-olok! Dan bukannya berlandaskan rasa cinta yang nyata. Jadi,
hentikan apa jua rasa yang sedang menjalar di jiwa kau! Asyraf bukannya
mencintai kau. Dia hanya sekadar melahirkan rasa bersalahnya terhadap apa yang
telah dilakukan oleh Melisa terhadap kau! Ingat tu! Asyraf tidak menyintai
kau!’ Tegas terlahir di akhir bisikan.
Terbuka sepasang mata
yang tadinya tertutup rapat. Terlihat berkaca mata sayu itu, mungkinkah kerana
kata-kata akhir bisikan itu penyebabnya?
“Betul! Asyraf tidak
menyintai aku. Dia sekadar melahirkan rasa bersalahnya melalui sikap ambil
beratnya dan... dia hanyalah kekasih olok-olok aku! Tidak mungkin rasa yang
bercambah di jiwaku ini akan mendapat semaian kasih dan cintanya.” Biarpun
perit untuk melahirkan kata-kata itu, namun dipaksa jua bibirnya menuturkan
kenyataan itu. Kenyataan yang harus dibenamkan di minda agar dapat menghalang
rasa bahagia yang kian berkembang di jiwa.