Home Novel Komedi/Romantik Komedi KAU CINTA AKHIR KU (PENGANTIN EKSPRES 2)
KAU CINTA AKHIR KU (PENGANTIN EKSPRES 2)
pitteriah abdullah
4/8/2013 08:56:09
310,630
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 23

Dia terlena selepas menelan ubat yang diberikan oleh jururawat sebentar tadi. Tetapi mimpi yang menakutkan datang bersama dengan rasa bersalah dan sesal di dalam dirinya. Tetapi semua itu hilang diganti dengan mimpi yang indah apabila dia bertemu dengan suami kesayangannya.

“Sayang!” panggil Rayyan ketika itu Aleeya sedang beradu. Melihat Aleeya di atas katil hatinya sayu. Saat diberitahu oleh papa tadi, dia membatalkan segala mesyuarat dan bergegas pulang. Membiarkan peluang perniagaan dengan syarikat terbesar di Singapura terlepas begitu saja. Dia tidak kisah kerana yang penting adalah nyawa insan kesayangannya apa tah lagi apabila di beritahu Aleeya keguguran. Waktu itu hanya wajah Aleeya di dalam ruang mata dan fikirannya. Dia harus cepat pulang untuk berada di sisi Aleeya, isteri kesayangannya ini.

Saat ini dia tahu Aleeya sedang bersedih hati atas kehilangan zuriat mereka tadi. Dia pun sedih juga tetapi sebagai lelaki dan suami, dia harus mengawal perasaannya. Bukannya menunjukkan kesedihan itu kepada Aleeya yang sedang berada di dalam kesakitan sekarang. Hatinya bertambah sakit apabila melihat luka yang panjang di lengan Aleeya. Razman memang cari nahas. Kau jangan harap boleh terlepas di tangan aku kerana telah menyakiti “nyawa” ku hari ini. Nekad Rayyan di dalam hati. Tak usah lari atau sembunyilah, aku akan cari sampai ke lubang cacing sekali pun. Jaga kau Razman!

Rayyan merenung wajah insan kesayangannya, bagaimana aku dapat menghapuskan luka di dalam hatinya? Bagaimana rasanya untuk aku menghilangkan duka di jiwanya? Aku hanya mahu melihat dia bahagia dan tersenyum di sisiku. Bukannya menangis dan bersedih hati. Aku ingin membahagiakannya dengan sepenuh jiwa dan ragaku sebagai suami, kekasih dan teman sejati. Tak akan kukirimkan penderitaan di dalam hatinya biar pun sekelumit cuma, biar pun sedetik ataupun sesaat sekali pun.

“Abang, maafkan saya dan Husna!” ucap Alvin ketika datang bersama Husna yang turut mengalami kecederaan kerana mempertahankan dirinya tadi. Papa dan Akma sudah menjelaskan apa yang berlaku. Husna tak bersalah tetapi Husna sebenarnya adalah mangsa keadaan.

“Abang, maafkan saya, kerana saya, Kak liya ditimpa musibah ini,” pinta Husna pula. Rayyan mengelengkan kepalanya. Ayah dan ceritakan apa yang berlaku. Begitu juga dengan papa. Jadi dia tahu siapa yang bersalah dan patut dihukum ketika ini.

“Bukan salah Husna atau pun Alvin. Abang tak akan salah kan kau orang berdua. Semua yang berlaku tentu ada hikmahnya,” ucap Rayyan. ALLAH mahu menguji aku dan Aleeya, itu yang sebenarnya. Kuatkah aku dan dia untuk menghadapi ujian yang berat ini. Atau pun aku dengan mudah mengaku kalah dan tewas kepada dugaan yang ALLAH berikan kali ini. Atau mungkinkah aku yang terlupa dengan kebahagiaan dan nikmat yang ALLAH berikan sehingga aku tidak pandai bersyukur kepada DIA yang MAHA MEMILIKI? Astagfirullahalazim, ampunkan dosa-dosa hambaMU ini ya ALLAH.

Ada kala kita alpa dengan rahmat yang ALLAH kurniakan kepada kita sehingga kita tidak pandai bersyukur kepada NYA. Kita ini hanya manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Dan ujian ini menyedarkan aku hari ini, bahawa aku hanya manusia kerdil di sisi ALLAH yang maha besar, maha pengasih dan maha penyayang.

“Abang, maafkan saya yer!” pinta Alvin sekali lagi. Rayyan tersenyum saja.

“Alvin, tolong ambilkan pakaian abang kat rumah boleh tak? Rasanya abang tak balik kat rumah hari ni, nak temankan kak liya kau kat sini!” arah Rayyan. Yang berlaku biarlah berlalu, kita bina hidup baru. Alvin, Husna, jadikan ini sebagai pengajaran yer.

“Baiklah,nanti saya ambilkan!”

“Husna, abang nak pesan sesuatu, lain kali kalau apa-apa berlaku jangan rahsia dari kita orang, kita dah jadi satu keluarga, abang akan tolong adik-adik abang!” pesan Rayyan ketika melihat Alvin dan Husna melangkah keluar dari situ. Husna mengangguk lesu.

Aleeya sudah lama tersedar tetapi masih berpura-pura pejamkan matanya. Rasa takut dan bersalah teramat sangat kepada suami yang dicintainya ini. Malah dia tidak sanggup melihat wajah suaminya ketika ini, biar pun dalam hati sudah timbul rasa rindu yang amat sangat. Rindu yang membara di dalam hati. Dia melihat dengan ekor mata saja, Rayyan bangun ke bilik air, mengambil solat dan menghamparkan sejadah yang tersedia di situ.

Apa aku nak cakap ni? Aku redha dengan kejadian ini tetapi bagaimana dengan dia, sedangkan aku sudah menghancurkan impian dan harapannya untuk memiliki anak lagi. Malah sudah kecoh dengan nama-nama yang mahu diberi tetapi sekarang???

Selesai solat Rayyan mengucup dahi Aleeya dengan sepenuh kasih sayang yang Rayyan miliki. Saat itu hati Aleeya tidak tentu arah. Rasa bersalah yang amat sangat. Saat Rayyan memegang tangan kanan Aleeya, lagilah membuatkan Aleeya tidak senang duduk. Rasa bersalah semakin menimpa dirinya. Dan kerana memikirkan hal ini membuatkan Aleeya menahan sebak di dalam dada. Semakin ditahan semakin tidak berdaya. Dan akhirnya empangan itu pecah berkecai di hadapan suaminya.

“Aleeya!” panggil Rayyan perlahan. Air mata menitis lebat.

“Liya bersalah pada abang...,” ucap Aleeya terharu. Rayyan meletakkan jarinya ke bibir Aleeya sambil mengelengkan kepalanya.

“Liya tak bersalah, sayang!” pujuk Rayyan sambil merangkul Aleeya di dalam pelukan. Saat itu Aleeya menangis sepuas hatinya. Air mata yang ditahan di hadapan Akma, papa, ayah, dan mak menitis di hadapan Rayyan. Sejak berkahwin dengan Rayyan, dia hanya pandai menangis di hadapan Rayyan saja. Rayyan membiarkan Aleeya menangis di dadanya, membiarkan Aleeya melepaskan segala perasaan yang terbeku sejak tadi di sisinya sambil dia membelai rambut Aleeya dengan manja.

“Abang akan berada di sisi Liya biar apa pun yang berlaku. Kita hanya merancang, sayang tetapi yang menentukan adalah ALLAH. Kita masih ada Adam dan Ain dan abang cukup bahagia dengan kehadiran baby kita tu,” pujuk Rayyan lagi, aku mahu melihat senyumannya kala ini tetapi rasanya dia menerima tamparan yang cukup hebat hari ini. Razman memang kurang ajar, kalau anak jantan kau sepatutnya cari aku, bukan cari Aleeya. Geram di dalam hati selagi tidak bersemuka dengan Razman tetapi ketika ini dia mahu memujuk hati Aleeya terlebih dahulu, sebelum dia membuat perhitungan dengan jantan tak guna itu.

“Tapi Liya gagal menjaga zuriat abang...,” ucap Aleeya tetap rasa bersalah. Rayyan mengesat air mata di pipi Aleeya. Dikucupnya pipi kanan Aleeya.

“Ini takdir lah, sayang. Takdir yang mahu menguji abang dan Liya. Takdir yang mahu menguji kekuatan cinta kita dan kasih sayang kita. Abang redha dengan kejadian ini dan Liya juga kena belajar redha menerimanya, faham tak sayang?” pujuk Rayyan lagi membuatkan hati Aleeya rasa bahagia yang teramat. Terima kasih ALLAH, kerana beri dia kepadaku, kerana dia terlalu memahami dan mengerti.

“Abang, Liya minta maaf sangat-sangat sebab Liya tak tahu Liya pregnant.. kalau Liya tahu...,” ini susahnya bila suami yang mengalami alahan. Rayyan sedar Aleeya mengandung sebab dia selalu pening ketika bangun awal pagi, lagi satu kerana sikap Aleeya yang terlampau manja dan terlalu sensitif itu. Sedangkan itu bukan lah sikap Aleeya yang sebenarnya.

Rayyan tersenyum. Jangan ungkit lagi, itu yang sepatutnya kita lakukan tetapi dia akan setia mendengar segala keluh kesah dari isterinya, kerana beban di hati Aleeya perlu diluahkan dan dikongsi bersama dengan dia yang bergelar suami.

“Abang sayangkan Liya, sayang sangat-sangat..,”

“Liya pun!”

“Jadi, boleh tak abang melihat senyuman mu sayang?” pinta Rayyan. Bagaimana aku mahu tersenyum setelah aku melukakan hati mu, abang!

“Abang ni, Liya nak senyum pun dah tak boleh, nak menangis adalah!”

“Senyum lah, abang rindukan senyuman Liya nih,” gurau Rayyan setelah melihat keadaan Aleeya yang semakin baik. Sudah boleh bergurau pun!

Bagaimana aku boleh tersenyum kembali? Soal Aleeya di dalam hati.

Lupakan apa yang berlaku, kerana semua ini ada hikmah yang amat besar untuk kita berdua. Jawab Rayyan di dalam hatinya.

Rayyan memeluk erat Aleeya. Aku mahu mengongsi derita dan kesakitan ini bersama mu sayang.

ALLAH mahu menguji kita setelah begitu lama kita melihat indahnya warna pelangi. Lalu ALLAH kirimkan hujan, dan hilangkan warna pelangi dan cahaya mentari yang selama ini menyinari kehidupan kita sekeluarga. ALLAH mahu kita ingat kepadaNYA bukan lupakan ALLAH kala ALLAH kirimkan ribut petir yang maha hebat. Liya pernah cakap, ingatlah ALLAH ketika kita senang, dan tentu ALLAH tidak lupa kan kita kala kita susah. Abang percaya semua itu, bisik Rayyan di tepi telinga kanan Aleeya.

Abang, Liya tahu warna pelangi ini akan muncul semula setelah hujan berhenti sekejap nanti. Dan mentari akan muncul semula setelah ribut petir itu berlalu pergi. Liya terima ujian berat hari ini kerana abang sentiasa berdiri di sisi Liya. Terima kasih abang kerana memaafkan kesalahan Liya yang begitu besar. Bisik Liya di telinga Rayyan pula.

Jangan cakap macam itu, sayang. Kerana bila Liya berkata begitu seolah kita tidak redha dengan ujian ini. Betul tak? Abang tak marahkan Liya, abang tak salahkan Liya, kerana belum rezeki kita lagi. Liya, kata ayah, empat perkara yang bukan ditentukan oleh kita tetapi ALLAH yang menentukan semua itu, salah satunya ada lah soal anak, selain jodoh, rezeki dan pertemuan yang semuanya diaturkan oleh ALLAH. Tentu ALLAH mahu berikan yang terbaik kepada kita berdua selepas ini.

Sebuah senyuman lahir dari bibir Aleeya membuatkan Rayyan bahagia dan senang hati. Jangan menangis lagi sayang. Abang akan tetap berada di sisimu!

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.