Home Novel Komedi/Romantik Komedi CINTA SANG PENYAMAR HATI
BAB 10 : Sahabat Selamanya

BAB 10 : SAHABAT SELAMANYA

Suasana kelihatannya amat tegang dan panas di dalam suite mewah itu walhal hakikatnya penghawa dingin yang sedia terpasang sejak tadi menghasilkan aroma kesejukan yang bisa menerobos hingga ke tulang. Tengku Ainun merenung tajam ke arah Tengku Aidil yang sejak tadi berdiri di tepi tingkap sambil membuang pandangan ke luar jendela. Geram benar hatinya mengenangkan perangai anak sulungnya yang bertindak membelakangi mereka dalam memilih pasangan hidupnya.

“Mummy tak sangka Aidil boleh buat macam ni dekat mummy dan daddy. Apa kurangnya Tengku Natalia tu sampai Aidil sanggup memilih perempuan yg entah dari mana datangnya, siapa ibu bapanya. Yang paling utama, setaraf ke kedudukannya dengan kita?” Mendengar bait-bait terakhir yg keluar dari mulut bondanya menyebabkan Tengku Aidil terus berpaling dan segera menangkis kata-kata bondanya.

“Mummy, tahu tak Aidil dah bosan dengar benda yang sama. Sejak Aidil kecil lagi mummy terlalu mementingkan darjat dan kedudukan. Aidil tak nampak apa-apa kekurangan pun bila berkawan dengan golongan kebanyakan ni. Bonda tahu tak, bila Aidil dalam kesusahan, bukannya kawan-kawan dari lingkungan setaraf kita ni yang akan menghulurkan bantuan, sebaliknya Fikri, teman baik Aidil yg datang dari golongan kebanyakan sahaja yang sanggup membantu.” Hujah Tengku Aidil itu nyata tidak mampu meredakan kemarahan Tengku.

“Jangan nak samakan persahabatan dengan percintaan, Aidil. Fikri mungkin ikhlas berkawan dengan Aidil kerana dia tidak apa-apa agenda tapi siapa yang tahu apa agenda perempuan tu berkawan dengan Aidil. Mummy yakin perempuan itu hanya mengejar duit Aidil sahaja.”

Tengku Aidil membentak.“Tidak mummy, tidak mungkin. Aidil lebih mengenali Ira, dia bukan jenis begitu.” Tengku Ainun tampak tidak mahu mengalah dengan kata-kata anakandanya.

“Aidil, mummy nak tanya sesuatu kat Aidil. Berapa lama Aidil dah mengenali perempuan tu?” Tengku Aidil terdiam seketika.

“Aidil pun baru mengenali dia kan? Aidil, dalam jangka waktu yang singkat, kita takkan dapat mengenali hati budi seseorang itu apatah lagi kita nak menyelami apa yang tersirat di dalam fikiran mereka. Sedangkan Aidil sendiri, anak mummy yang dah 25 tahun mummy besarkan dengan penuh kasih sayang pun masih mummy tak dapat nak baca fikiran Aidil, inikan pula perempuan tu yang baru bebeberapa hari Aidil kenal, mustahil Aidil boleh memahami dan menyelami pemikiran dia?” Tengku Aidil terpana dek hujah dari bondanya. Memang tidak dapat dinafikan kata-kata bondanya itu benar belaka tetapi bondanya tidak faham akan situasi sebenar yang berlaku di antara dia dan Ira. Mereka hanya berlakon sahaja dan yang pasti, dia sanggup berbuat apa-apa sahaja asalkan dia dan Netty tidak akan berkahwin

Tengku Azman menyampuk.“Sayang, I tak pernah marah dan I tak kisah dengan siapa pun anak kita nak berkawan. Anak kita ni bukannya budak-budak kecil lagi, dah besar panjang dah pun. Terpulang kepadanya untuk memilih yang terbaik buat dirinya.”

Tengku Ainun menggerutu.“Eloklah tu, sokonglah sangat anak tu. Jangan sampai nanti bila dah berlaku sesuatu yang buruk, baru nak menyesal!” Terkedu seketika Tengku Azman apabila mendengar kata-kata isterinya.

“Sayang, I cuma suarakan isi hati I je. Tapi Aidil, apa yang mummy cakap tu betul. Aidil kena betul-betul mengenali Ira tu dulu sebelum Aidil menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan dia.”

Tengku Ainun bertempik.“Sudah! Mummy tak peduli, Aidil mesti berkahwin dengan Tengku Natalia juga. Mummy takkan terima perempuan lain sebagai menantu mummy, faham? Keputusan mummy muktamad!”

Tengku Aidil bingkas menjawab kata-kata ibunya.

“Baik, kita semua dah dengar keputusan mummy, sekarang dengar pula keputusan Aidil. Walau apapun yang terjadi, Aidil takkan berkahwin dengan Tengku Natalia. Kalau mummy berkeras juga, Aidil akan bawa Ira ke luar negara dan kami akan berkahwin di sana.” Merah padam muka Tengku Ainun mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh anakandanya. Tengku Azman pula hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat isteri dan anaknya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak meleraikan pertelingkahan di antara mereka berdua. Tiba-tiba Tengku Azman mendapat satu idea.

“Sabar…cuba bawa bertenang. Daddy dah ada cara bagaimana nak menangani permasalahan ini.” Ternyata kata-kata Tengku Azman itu memberi impak yang besar kerana kedua-dua mereka terus terdiam.

“Apa kata kita bagi peluang kepada Ira untuk membuktikan yang dia memang ikhlas dan layak untuk menjadi sebahagian dari ahli keluarga kita.” Berkerut dahi Tengku Ainun dan Tengku Amir.

“Maksud daddy?” soal Tengku Amir.

“Begini. Kalau Ira tu betul-betul ikhlas nak memiliki cinta Aidil, mesti dia sanggup buat apa sahaja untuk Aidil kan? Daddy nak Aidil bawa dia menyelami dunia dan cara kita sebagai golongan kerabat ni. Dia mesti belajar bagaimana nak bergaul dengan golongan kerabat dan mesti belajar bagaimana nak menghadiri majlis-majlis sosial. Kalau dia lulus ujian ini, daddy dan mummy tiada halangan atas perhubungan kamu berdua tapi kalau dia gagal, anakanda mesti berkahwin dengan Tengku Natalia. Bagaimana, anakanda setuju?”

Tengku Ainun menggeleng-gelengkan kepalanya.“Mummy tak setuju!”

Tengku Azman memeluk bahu isterinya dengan mesra.“Sayang, kita beri peluang kepada mereka dahulu untuk membuktikan samada cinta mereka tulus atau tidak. Tidak adil sekiranya kita memutuskan perhubungan di antara mereka tanpa ada sebarang alasan yang kukuh. Tak salah rasanya kita beri peluang kepada mereka, kan?” Tengku Ainun melepaskan sebuah keluhan yang berat. Nampaknya kali ini dia terpaksa mengikuti cadangan suaminya. Kemudian dengan riak perlahan dia hanya mengganggukkan kepalanya.

“Thank you daddy, I’m really appreciate it.” Tengku Aidil merangkul ayahandanya dengan erat. Kemudian Tengku Aidil meminta izin untuk beredar dari situ. Tengku Ainun hanya memerhatikan kelibat anaknya berlalu dengan ekor matanya. Sebaik sahaja kelibat Tengku Aidil tidak kelihatan, terus sahaja Tengku Azman menjadi sasarannya.

“Darling, kenapa you buat perjanjian macam itu dengan anak kita? Kalau nanti betul-betul perempuan tu berjaya mengatasi semua ujian tu, macamana? I tak sanggup bermenantukan perempuan tak tentu hala macam tu.” Tengku Azman hanya tersenyum lebar mendengar kata-kata isterinya.

“Sayang, you jangan risau. I yakin Ira takkan berjaya menjadi sebahagian dari ahli keluarga kita. You dah tengok sendiri tadi gelagat dia kan? I don’t think so she will make it.”

Tengku Ainun tersenyum lebar.“You ni memang genius lah darling. Ni yang buat I bertambah sayang kat you ni.” Usikan Tengku Ainun itu disambut dengan hilai tawa Tengku Azman yang memecah keheningan suite mewah itu.

Tengku Aidil berlalu keluar dari Hotel Theme Park Resort itu. Cuaca yang sejuk dan berkabus langsung tidak menghalang kakinya untuk terus melangkah. Dalam kesamaran dia terlihat sesusuk tubuh yang amat di kenalinya. Langkah kakinya semakin laju di atur menuju ke arah susuk tubuh itu.

“You buat apa kat sini?” Serta-merta aku berpaling. Tengku Aidil sudah berada betul-betul di sebelahku.

“Tak ada apa-apa. Saja nak merasai kabus malam di Genting Highlands. Belum tentu lagi lepas ini saya berpeluang untuk sampai ke sini lagi,” ungkapku jujur sambil membuang pandangan jauh ke bukit-bukau yang diselubungi oleh kabus.

“Hmm..kalau you nak, hari-hari pun I boleh bawa you datang ke sini.” Sengaja aku mendiamkan diri. Makin dilayan makin menjadi-jadi pula usikannya nanti. Suasana sepi seketika, hanya kedengaran deruan angin malam yang berhembus sepoi-sepoi bahasa. Sepasang mata yang tajam merenungku sejak dari tadi tepat menikam ke sukmaku ini. Wahai sang hati, janganlah dikau terbabas lagi!

“Tengku, saya nak tanya sikit, boleh?”

“Nak tanya banyak pun boleh. I sudi menjawabnya. Nak tanya berkenaan apa?” Soal Tengku Aidil.

Aku menelan air liur.“Saya cuma nak tahu, apa perasaan Tengku bila dilahirkan dan dibesarkan sebagai golongan kerabat diraja yang kaya-raya, mewah dan apa sahaja yg di hajati boleh didapati dengan sekelip mata?” Berkerut dahi Tengku Aidil apabila mendengar persoalan yang aku bangkitkan itu. Mungkin tidak terlintas di fikirannya yang aku akan bertanya soalan sebegini.

“Hmm…Rasa seperti I lah manusia yg paling beruntung dan bertuah di dalam dunia ini. Tetapi itu dahulu. Hakikatnya walaupun I hidup di dalam kemewahan tetapi jiwa I rasa kesepian dan kekosongan.” Ku tidak menyangka akan menerima jawapan sebegini darinya. Namun kata-kata yang terungkap dari bibir Tengku Aidil itu tampak jujur dan ikhlas dari hati sanubarinya. Aku cuba untuk menyelami isi hatinya.

“Peliknya. Saya nampak hidup Tengku cukup lengkap serba-serbi; dahlah kaya, kacak pula tu, mesti ramai perempuan di luar sana yang sudi untuk mengubat kekosongan di hati Tengku.” Tengku Aidil tertawa kecil. Kata-kataku itu berjaya menggeletek perasaannya.

“Kacak ke I ni? Hahahaha…Ira, memang I akui ramai wanita yang cuba untuk memasuki ruang hati I ni tapi semuanya tak berjaya. I memang menanti-nantikan siapakah perempuan yang akan berjaya mengetuk pintu hati I. Memang I sentiasa menunggu hari di mana gadis idaman I akan muncul. Apa kata kalau you cuba untuk mengisi kekosongan hati I ni? Itu pun kalau you sudilah. Ada berani?”

Aku menyerigai.“Pucuk di cita, ulam mendatang, Tengku. Saya sedia mengisi kekosongan hati Tengku tu cuma masalahnya, dah lama saya mencari-cari kunci pintu hati Tengku tu tapi hingga kini saya tak ketemu lagi.” Serentak dengan itu berderai ketawa kami berdua.

“I gembira bila bersama dengan you, Ira. You sentiasa ada idea lucu yang boleh menceriakan hati I,” luah Tengku Aidil sambil merenung wajahku dalam-dalam.

“Tengku, itulah gunanya kawan. Insya Allah saya akan sentiasa ada bila Tengku perlukan saya. Bila Tengku rasa sedih, perlukan sesorang untuk meluahkan perasaan, saya sudi menjadi pendengar setianya.” Aku sendiri tidak menyangka ayat-ayat jiwang sebegitu boleh terluncur keluar dari bibir ini.

“Terima kasih, Ira. Terima kasih kerana sudi menjadi pendengar setia I. So Ira, kita ni kawan kan?” ucap Tengku Aidil sambil menghulurkan jari kelingkingnya. Aku juga menghulurkan jari kelingkingku dan jari kami berdua berpautan. Tautan mata kami tertancap seketika. Terlenaku seketika di dalam dakapan asmara.

“Ira! Dekat sini rupanya awak! Puas saya cari di hotel tadi. Ingatkan dah sesat tadi. Oh, Tengku pun ada kat sini juga.” Kemunculan Linda secara tiba-tiba benar-benar memeranjatkan kami dan dengan segera tautan jari kelingking di antara kami terus terlerai.

“Hari pun dah lewat malam ni. Ira, Linda, baliklah ke bilik masing-masing. Esok kita dah nak bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Kita jumpa esok pagi .” Tengku Aidil berlalu pergi dari situ dengan tergesa-gesa. Linda pula hanya tersengih-sengih memandangku.

“Amboi, hebat sekarang ni ya? Dating tengah-tengah malam kat Genting Highlands lagi,” usik Linda sambil menampar lenganku.

“Mana ada dating, kitorang terserempak jelah tadi.” Percubaanku untuk berdalih tampak sia-sia kerana jelas terukir riak kurang percaya di wajah Linda.

“Sudah-sudahlah Cik Ira ku sayang, tak payahlah nak cover line. Saya dah skodeng korang berdua sejak dari tadi lagi.” Aku mencubit lengan Linda lantas dia menjerit kecil.

“Sakitlah!”

“Tulah, lain kali jangan nak pandai-pandai ya. Kan dah kene cubit. Dahlah, jom kita balik ke bilik, esok lewat pula nanti,” ujarku sambil menarik tangan Linda. Kemudian kami berjalan beriringan menuju ke hotel.

______________________________________________________________________________

“Tak guna punya perempuan! Tak berjaya juga rancangan dinda nak malukan dia!” teriak Netty sambil melontar handbag di atas katil yg serba mewah lagi empuk itu. Tengku Amir yang menurutinya dari belakang sejak tadi hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila melihat gelagat adindanya.

“Dinda, bawak bertenang dinda. Jangan marah-marah macam ini. Dinda terlalu ikutkan perasaan sangat. Sepatutnya dinda jangan terburu-buru nak kenakan perempuan tu.”

“Oh, sekarang ni kanda pula nak menyebelahi perempuan tak guna tu. Kenapa, kanda pun dah jatuh hati pada perempuan tu? Ishh tak fahamlah dinda kenapa semua lelaki harus jatuh cinta pada perempuan yang low class macam tu,” jerkah Netty sambil bercekak pinggang.

Sambil tersenyum Tengku Amir menjawab, “Kanda bukan jatuh hati pada dia cuma kanda dah ada satu rancangan yang hebat untuk mengenakan dia. Macam ni...”

Tengku Amir membisikkan sesuatu ke telinga adindanya. Berkerut wajah Netty pada mulanya namun akhirnya sebuah senyuman yang lebar terukir di bibirnya.

“Tak sangka dinda, kanda ini memang bijak! Macam manalah dinda boleh tak terfikir idea hebat sebegini.” Puji Netty sambil melemparkan senyuman manis kepada Tengku Amir.

“Mestilah, inikan Tengku Amir, lelaki yang paling bijak di atas muka bumi ini. Kita tengoklah siapa yang kena nanti.” Kata-kata Tengku Amir itu disambut dengan deraian ketawa mereka berdua yang memecah keheningan banglo mewah yang tersergam indah di atas bukit itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.