BAB 6 : SERAUT WAJAH ITU
Pagi yang sungguh indah. Burung-burung
riang berkicauan memecah keheningan subuh yang mendamaikan. Ku panjatkan doa
lewat solat subuhku agar ibuku akan cepat sembuh dan pulih seperti sediakala.
Usai solat aku bergegas ke dapur, hajat
di hati ingin membuat sarapan pagi ini. Ku lewati bilik Linda, gelap dan sunyi
kelihatannya, mungkin Linda masih enak diuliti mimpi. Kemudian sesampainya di
dapur segera ku selongkar laci dan peti ais. Minyak di dalam kuali ku panaskan,
sambil itu ku hiris nipis-nipis bawang besar, bawang putih dan cili api.
Sesudah itu ku campakkan semua bahan tersebut dalam kuali dan ku gaul hingga ia
rata dan garing. Ku capai periuk nasi, tiada bau yg kurang enak jadi ku kira masih
elok lagi nasi itu, bolehlah ku gunakan untuk menyediakan menu Nasi Goreng Cina
versiku sendiri. Aroma harum yg terbit dari kuali itu mengeluarkan bau-bauan yang
sungguh menggoda lagi mengiurkan sehingga mengejutkan Linda dari tidur. Tanpa
berlengah Linda mencapai teko minuman, diletaknya seuncang teh dan dicurahkannya
air panas yang ku jerang tadi ke dalam teko tersebut. Nasi goreng yang sudah
siap pula ku cedok dari kuali dan segera ku hidangkan di atas meja hadapan.
“DING..DONG..”
“Ira, tolong buka pintu tu. Siapa pula
yg datang pagi-pagi buta ni?” laung Linda dari dapur. Bingkas aku
menuju ke pintu. Sebaik sahaja daun pintu terkuak, tersembul seraut wajah yang
sudah mula menjadi igauan hati ini. Bermimpikah aku? Renungannya yang tajam
menikam terus tembus ke lubuk hatiku ini. Bebola matanya merenungku bagaikan baru
bersua dengan puteri kayangan sahaja lagaknya.
“Inilah ciptaan Tuhan yang cukup
sempurna yang pernah I jumpa selama ini.” Apa pula mamat ini merepek di pagi
hari ini? Ya Allah, baru aku perasan, rupa-rupanya aku membuka pintu tanpa
menyarung tudung di kepalaku!! Aku segera berlari masuk ke dalam bilik. Linda yang
baru datang dari dapur terpinga-pinga melihat aku berlari-lari masuk ke dalam bilik
bagaikan tak cukup tanah. Kemudian aku keluar semula dari bilik, kali ini
lengkap sekali dengan tudung. Aku berlagak selamba bagaikan tiada apa yang
berlaku namun di dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu betapa tebalnya
mukaku ini.
“Oh Tengku rupanya. Awalnya Tengku
datang. Memang langkah kanan, kami berdua baru je nak sarapan, ada menu nasi
goreng cina special dari Cik Ira kita. Jemput duduk Tengku.” Linda mengunjurkan kerusi buat Tengku
Aidil.
“Oh kalau begitu memang wajib I kena
breakfast kat sini. Bukan senang nak merasa air tangan Cik Ira ni.” Kenyitan mata dari Tengku Aidil ku
balas dengan jelingan tajam. Linda hanya tersenyum simpul melihat aksi kami
berdua. Tengku Aidil dan Linda menikmati hidangan pagi itu dengan penuh
berselera. Hanya aku yang tersekat selera untuk menjamah hidangan tersebut, ini
semua gara-gara kejadian yang tak di ingini tadi. Nasi di dalam pinggan ku kuis,
pandanganku pula jauh menerobos ke luar tingkap. Namun deria pendengaranku
masih berupaya menangkap setiap butir perbualan mereka. Tengku Aidil mengarahkan
Linda agar membantuku dari segi pemilihan pakaian, kasut dan aksesori yang
bersesuaian setaraf dengan kedudukanku sebagai kekasih seorang kerabat diraja.
Rupa-rupanya pada pagi sabtu itu Teguh Bina Sdn Bhd akan mengadakan hari
keluarga di Taman Tema Genting Highlands di susuli dengan majlis makan malam
pada sebelah malamnya. Gembiranya hati ini bukan kepalang! Seumur hidup tidak
pernah lagi aku menjejakkan kaki ke taman tema yg tersohor di Malaysia ini. Selama
ini aku hanya mendengar cerita tentang keseronokan dan kemasyhurannya, siapa
sangka akhirnya berpeluang juga untuk aku ke sana.
“Kenapa ni you ni, Ira? Dari tadi
terkuis-kuis nasi tu. Rindu dendam sangat ke dengan I?” Perasan betul mamat ni! Tanpa
sebarang amaran tamparan sulungku hinggap di lengannya.
“ADUH!! Hai apalah nasib, dapat awek
pun ganas semacam, tapi ganas pun ganaslah janji cun melecun.” Merah padam wajahku dibuatnya. Bergetar
jiwa ini saat kata-kata pujian itu melantun keluar dari bibirnya. Aduh, rasa
macam nak terjatuh hati pula! Bingkas aku bangun dari meja makan itu. Lebih
lama aku duduk di situ lebih parah lagi jiwaku di buatnya.
Setelah siap berkemas aku dan Linda
menaiki kereta Tengku Aidil yang meluncur laju ke destinasi pertama demi
menjayakan misi kami : PAVILION KUALA
LUMPUR !! Mujurlah Tengku Aidil tidak akan menyertai misi kami berdua. Tidak
pernah terjadi lagi di dalam sejarah hidupku pergi membeli-belah dengan seorang
jejaka. Tak dapat aku bayangkan betapa janggalnya kami kelihatan nanti. Sebelum
turun dari kereta, Tengku Aidil mengeluarkan sejumlah wang dari dompetnya dan
dihulurkannya kepada Linda. Wah, nampaknya hari ini sakanlah kami berdua! Kemudian
Tengku Aidil berlalu pergi dengan kereta mewahnya. Kami berdua melangkah masuk dengan
bergaya ke dalam pusat membeli belah tersohor itu.
Tengku Aidil terus melabuhkan
punggungnya di atas sofa buatan Itali yang empuk lagi selesa. Fikirannnya
menerawang jauh dan entah mengapa hatinya tiba-tiba rasa tak keruan dan
berdebar-debar bila teringatkan peristiwa pagi tadi. Masih terbayang-bayang di
fikirannya seraut wajah jelita tanpa segaris solekan pun di muka. Yang paling
melucukan, gadis comel itu lupa pula mengenakan tudungnya! Ternyata ia semakin
menyerlahkan kecantikan semulajadi yang dimiliki oleh gadis yg bernama Safira
Rania ini. Tengku Aidil keliru dalam perasannya sendiri. Adakah ini yang di
namakan cinta?
“KRING…KRING…KRING…
Deringan telefon di atas meja yg
menjerit-jerit minta diangkat sejak dari tadi tidak di sedari oleh Tengku Aidil
yg tenggelam seketika di buai perasaan. Secara tiba-tiba Mat Top masuk dan
mengejutkan Tengku Aidil dari lamunan yang panjang.
“Kenapa dengan kamu ni Mat Top? Tak
habis-habis dengan perangai kelam-kabut. Ada apa pula kali ini?” jerkah Tengku Aidil yang terus
berdiri sambil bercengkak pinggang.
“Tengku Natalia...”
“Kenapa dengan dia?”
Tengku Natalia muncul di muka pintu.“Darling…long time no see. I’m really miss you so much.” Dia bergerak menghampiri lantas terus memeluk bahu Tengku Aidil dengan
mesra. Spontan Tengku Aidil menepis tangan Tengku Natalia dengan kasar.
“Kenapa dengan you ni?? Tak romantik
langsunglah, menyampah I,” gerutu Netty. Wajahnya masam mencuka.
Namun begitu kejelitaannya masih terserlah. Tengku Aidil merenung si empunya rambut
ikal keperang-perangan melepasi bahu, tubuh tinggi lampai yang di baluti
persalinan indah dari Marc Jacobs di bumbui dengan solekan yang menawan. Sekali
pandang Netty bak persis model terkenal namun sayangnya bukan gadis sebegini yang
di dambakan oleh Tengku Aidil.
“Apa you nak ni? Berapa kali I dah
cakap jangan ganggu I kat pejabat ? I tengah banyak kerja ni.”
“Hei, you ingat I suka sangat ke nak
mengadap muka you tu !? Pleaselah…Untuk pengetahuan you Tengku Aidil bin
Tengku Azman, mummy you yang beria-ria suruh kita survey hantaran pertunangan
kita. Sekarang ni tak payah nak panjang cerita, you ikut I sekarang!” Lengan Tengku Aidil di rangkul kemas
sehinggakan tubuh tegapnya turut terdorong mengikuti jejak langkah Netty. Hanya
wajah Tengku Aidil yang masam mencuka mengiringi langkah kaki mereka berdua
menuju ke kereta. Ternganga seketika Mat Top apabila melihat adegan cerekarama
terkini yang sedang berlaku secara langsung di hadapan matanya
Tengku Aidil membentak.“Kemana you nak pergi ni?”
Netty mengerling manja.“Bawa I ke Pavilion, my dear darling.” Tengku Aidil bingung. Peluh-peluh
renik mula berjuntaian di dahinya. Tengku Aidil hanya mampu berharap agar dia
tidak akan terserempak dengan sang penyamar hatinya!
Sudah hampir satu jam aku dan
Linda meneroka butik-butik yg terdapat di dalam gedung beli belah. Kaki ini
sudah hampir kematu namun kami masih belum ketemu dengan apa yang kami cari.
“Ira, saya nak pergi tandas
sekejap, awak tunggu dekat sini tau. Lepas ini kita survey kat butik di hadapan
ni pula.” Aku sekadar menganggukkan kepala. Sambil itu mataku tertinjau-tinjau
butik yang di katakan oleh Linda itu. Tertera namanya : “HERMES - PARIS”; kelihatannya
amat indah dengan perhiasan-perhiasan yang mahal dan berkilau-kilauan. Patutkah
aku melangkah masuk dahulu tanpa menunggu Linda? Akhirnya perkiraan hatiku kuat
mengatakan yang sewajarnya aku melangkah masuk ke butik itu tanpa perlu menunggu
kehadiran Linda. Dengan wajah selamba aku terus melangkahkan kaki ke dalam butik
itu. Sebaik sahaja pintu masuk terkuak, serta-merta semua orang di dalam kedai
itu berpaling ke arahku dengan pandangan yg sinis. Ah, persetankan sahaja
mereka-mereka itu! Kaki ini terus menuju ke deretan pakaian-pakaian yg
tergantung di rak pameran. Ku belek-belek pakaian yang tergantung di situ; materialnya
nampak mahal dan eksklusif, harganya pula…memang di luar kemampuanku. Selang
beberapa minit kemudian muncul seorang gadis yang pada perkiraan mataku memang
cukup jelita lagi menawan. Pasti gadis jelita itu tergolong dari keluarga yang
kaya dan ternama! Sebaik sahaja pekerja-pekerja butik di situ meyedari
kemunculannya, dia terus mendapat layanan kelas pertama! Alangkah baiknya
jikalau aku juga punya karisma dan keanggunan sepertinya. Gadis jelita tersebut
menyedari sorotan mataku yang tidak putus-putus menyinggahinya. Dengan angkuh
dia melangkah menghampiriku.
“Hai, tak sangka pula I,
butik eksklusif macam ni dah jadi macam pasar malam pula ya sampaikan sesiapa
pun boleh masuk ke sini.” Berdesing cuping telingaku seketika. Sayang sekali,
wajahnya cantik tapi perangainya langsung tidak molek! Ternyata kecantikan yang
dimiliki oleh gadis tersebut tidak seiring dengan budi bahasa yang tampak sudah
pupus dalam dirinya. Gadis jurujual yang berada bersebelahan dengan gadis itu turut
sama ketawa mengejek.
“Maaf ya Cik, baju-baju di
sini bukan untuk pameran semata-mata ya. Ini untuk jualan sahaja,” dengan sinis
gadis jurujual itu menegurku sambil tersenyum sumbing. Pelanggan yang ada di
situ juga mengerlingku dengan pandangan yang sarat dengan kebencian dan
penghinaan.
“ Ooo..baju-baju ni semua
untuk jualan ya? Ingatkan tadi baju-baju ni semua nak peram sampai berhapak
macam dalam muzium tu. Aha saya memang tak mampu nak beli baju-baju ni semua,
maklumlah duit saya ada banyak ni je.” Selamba aku mengeluarkan segumpal wang
yang telah diserahkan oleh Tengku Aidil tadi dan menayangkannya di hadapan
mereka. Wajah gadis jelita dan jurujual itu terus berubah manakala
pelanggan-pelanggan lain di dalam kedai itu kelihatan bungkam dan tergamam.
“Hmm maafkan saya cik, saya
ingatkan tadi cik setakat nak tengok-tengok sahaja. Cik nak baju yang macam
mana? Saya boleh carikan untuk cik.”
“Tak apalah, saya dah tak
berminat nak membeli-belah kat sini. Cuma saya nak cakap sesuatu tapi saya
harap awak tak terasa ya. Lain kali, janganlah nilai seseorang tu dari luaran
saja. Tak bermakna kalau seseorang tu berpakaian simple macam saya ni tak ada
duit nak membeli-belah di butik gah seperti ini dan tak semestinya kalau
berpakaian cantik dan glamour seperti cik adik yg jelita ni bermakna dia ada
banyak duit. Entah-entah duit dalam poket tu cukup untuk bayar tambang teksi
je?” Geli hatiku apabila melihat wajah gadis jelita itu berubah menjadi merah
bagaikan udang dibakar.
“Hei perempuan! Jaga mulut tu
sikit tau! You tak tau I ni siapa. Ini Tengku Natalia Tengku Azlan tau! Daddy I
antara ahli perniagaan yg berjaya kat Malaysia ni. Jangan nak kurang ajar
dengan I!” Tengku Natalia Tengku Azlan? Nama ini macam mesra sahaja pada
pendengaran telingaku. Ya, baru aku ingat! Rupa-rupanya inilah bakal tunang
Tengku Aidil. Hmm, barulah aku tahu sekarang mengapa Tengku Aidil beria-ria tak
mahu berkahwin dengannya. Aku bercadang ingin menambahkan lagi kehangatan yang
sedang meruap-ruap di dalam hatinya.
“Oh, yeke? Tak pernah dengar pun nama Tengku
Azlan tu. Agaknya ayah cik ni orang kaya yang tak berapa nak glemer kot kat
Malaysia ni. Ok lah mungkin cik adik ni..opps Tengku ni anak orang kaya dan
mempunyai segala-galanya tetapi ada sesuatu yang Tengku tidak ada.”
Netty terpinga-pinga. “Apa yang
I tak ada hah?”
“Budi bahasa.” Pendek tapi
padat. Menyirap darah Netty apabila mendengar kata-kataku itu. Sebelum sempat
dia menyinga aku mengambil langkah bijak untuk bergegas keluar dari butik tersebut
sebelum pertelingkahan itu melarat. Rupa-rupanya Linda sudah berada di luar
butik.
“Awak memang berani lah Ira.
Bukan calang-calang orang boleh buat begitu kat Tengku Natalia tau. Salute
habislah.” Aku hanya tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Kembang seketika
hati ini mendengar pujian ikhlas dari Linda itu.
“Ala biasa lah tu Linda. Saya
cuma cakap benda yang benar. Ni puji-puji saya, nak suruh belanja makanlah ni.
Tapi minta maaf ya, saya tak ada duit.”
Linda mengeyitkan matanya. “Hai,
kan hari ini Cik Ira kita ni dapat banyak duit dari cik abang tersayang?
Takkanlah nak belanja makan pun tak boleh?”
“Boleh, bisa di atur. Jomlah
kita pergi makan, saya pun dah lapar ni.” Linda terus menarik tanganku menuju
ke Crystal Pavilion Food Court. Tekak ini terasa nak menjamah dengan sepuas-puasnya
selepas penat berperang dengan kekasih hati Tengku Aidil sebentar tadi. Selepas
ini aku kena bergegas ke hospital pula untuk menjenguk ibuku. Entah apalah
agaknya khabar ibu di sana? Tanpa ku sedari ada sepasang mata asyik
memerhatikan gelagatku sejak dari tadi.