Home Novel Komedi/Romantik Komedi CINTA SANG PENYAMAR HATI
BAB 9 : Ujian Cinta

BAB 9 : UJIAN CINTA

Petang semakin menginjak tua. Aku hanya bermalas-malasan di atas katil hotel yang empuk itu. Badan ini amat kepenatan sesudah seharian menghabiskan masa di Taman Tema Genting Highlands bersama Tengku Aidil. Ya..Tengku Aidil. Entah kenapa bila terbayangkan sahaja wajahnya jiwaku jadi tak keruan. Adakah aku sudah jatuh hati padanya? Wanita mana yang tak akan tergoda bila dapat berdampingan dengan jejaka yg kacak, kaya lagi budiman sepertinya? Sekali lagi aku mengingatkan diri ini supaya tidak terbawa-bawa dalam mainan perasaan yang tidak akan berkesudahan seperti ini. Lagipun tak mungkin Tengku Aidil akan menyukai gadis sepertiku; kasar, selamba malah yang paling penting tidak setaraf dengan kedudukannya.

“Woi Ira!! Saya ingatkan awak dah bersiap! Dah dekat pukul 7 ni. Cepat pergi mandi, kejap lagi majlis akan bermula.” Teriakan Linda bagaikan pontianak harum sundal malam segera menyedarkan aku dari lamunan. Terus sahaja aku bingkas bangun dari katil dan berlari-lari anak ke bilik air. Ya..malam ini adalah malam yg penting. Malam ini aku berikrar akan cuba melakukan yang terbaik demi kekasih samaranku itu…

Pengacara majlis sudah mula membuka bicara. Dewan yang boleh memuatkan 500 orang itu sudah mula dipenuhi oleh tetamu-tetamu yang terdiri dari pihak pengurusan Teguh Bina Sdn Bhd dan juga staf-staf beserta ahli keluarga mereka. Kelibat Ira dan Linda tidak kelihatan di mana-mana. Tengku Aidil nampak gelisah dan tidak senang duduk dibuatnya. Tengku Azman dan Tengku Ainun tampak kehairanan melihat gelagat anak bujang mereka itu.

“Kenapa ni anakanda? Mummy tengok nampak gelisah saja malam ni, macam tengah tunggu seseorang saja.”

“Biarlah darling, dia dah tak sabar nak berjumpa dengan bakal tunangannya Netty lah tu.” Usikan Tengku Azman itu disambut dingin oleh Tengku Aidil . Tiba-tiba dia terlihat kelibat seorang gadis yang nampak anggun lagi bergaya sedang menuju ke arah mereka. Netty! Tengku Aidil mula berasa tidak sedap hati. Tambah menyenakkan lagi perut Tengku Aidil apabila Netty berjalan sambil diiringi oleh tiga lagi susuk tubuh manusia yang tidak di undang sama sekali. Apakah agaknya agenda mereka? Apabila terlihat sahaja kedatangan mereka berempat, Tengku Ainun terus bangun dan berpelukan dengan mereka.

“Hai daddy Azman, mummy Ainun. Minta maaflah kami lewat sikit hari ini. Maklumlah dari siang tadi kami kena menunggu si Natalia ni pergi make over, set rambutlah, pergi fitting bajulah, maklumlah dia ada pesaing baru malam ni.” Selamba Tengku Amir bersuara sambil mengerling ke arah Tengku Aidil.

Tengku Ainun tersentak. “Pesaing? Siapa pula pesaing Natalia malam ini, Amir?”

Aku dan Linda melangkah masuk ke dalam dewan. Tengku Aidil terus sahaja bangun dari kerusi dan menyambut ketibaan kami berdua. Dia merenungku sampaikan tidak berkelip biji matanya. Apa tidaknya, buat pertama kali dalam hidupku Linda telah menghiasi wajahku dengan solekan yang indah hingga menyerlahkan lagi kejelitaan asli yang ku miliki. Gaun labuh dengan potongan duyung di padankan pula dengan tudung sedondon benar-benar menjadikan diriku bagaikan seorang puteri dari Arab!

“You dah bersedia? Jom, I nak kenalkan you dengan daddy dan mummy.” Berdegup kencang jantungku ini tatkala mendengar bisikan dari Tengku Aidil itu. Kami berjalan berdampingan sehinggalah tiba di ruangan meja VVIP yang terletak betul-betul di hadapan pentas. Wajah-wajah kebencian yang dilemparkan oleh mereka tidak ku hiraukan sama sekali. Malah dengan wajah selamba aku terus maju ke hadapan dan menyalami mereka semua. Netty yang hanya mencuka sejak dari tadi menepis tanganku dengan kasar sebelum dia berlalu pergi dari situ. Nampaknya ujian pertamaku sudah bermula!

“Daddy, mummy, kenalkan ini Safira, kekasih anakanda. Safira, ini my lovely daddy and mummy.” Tengku Aidil memberi isyarat kepadaku untuk bersalaman dengan mereka. Tengku Azman nampak teruja bila bersalaman denganku. Namun berlainan pula dengan Tengku Ainun yang menyambut tanganku dengan acuh tak acuh sahaja. Kelibat jejaka kacak persis Zain Saidin yang datang menghampiri menggusarkan jiwaku ini. Macam mana dia pun boleh berada di sini?

“Do I know you? Macam pernah jumpalah. Oh...I remember now. Tempohari dekat Teguh Bina Sdn Bhd, you yang bertengkar dengan Tengku Aidil kan?” Alamak! Macam mana boleh kantoi ni? Kaki ini sudah bersedia untuk memecut laju meninggalkan tempat ini namun kebijaksanaan Tengku Aidil berjaya menyelamatkan suasana.

“Biasalah Amir, adat orang bercinta, sekejap bergaduh, sekejap berbaik semula.” Terkedu Tengku Amir mendengar ungkapan yang keluar dari mulut Tengku Aidil.

“My dear son, kenapa tak pernah cakap dengan daddy dan mummy yang Aidil dah ada kekasih? Kenapa selama ini Aidil tak pernah bawa kekasih Aidil berjumpa dengan daddy dan mummy?” Pertanyaan demi pertanyaan dari Tengku Azman itu sedikit sebanyak menggetarkan hatiku ini. Namun seperti biasa Tengku Aidil kekal tenang dalam menangani situasi genting sebegini.

“Daddy, mummy, memang saja Aidil rahsiakan perkara ini dari daddy dan mummy. Aidil nak tunggu waktu yg sesuai untuk mengumumkan perkara ini and I think tonight is the right time.” Terdiam seketika Tengku Azman dan Tengku Ainun. Tengku Aidil mengarahkan aku supaya duduk di sebelahnya. Netty yang sedari tadi hilang entah ke mana muncul semula. Dia mengambil tempat di sebelah Tengku Amir dengan wajah yang masih masam mencuka. Suara pengacara majlis yang mula berkumandang segera menarik perhatian hadirin terarah ke atas pentas. Namun mindaku melayang-layang entah ke mana kerana perutku ini sudah mula berlagu riang.

Mujurlah tidak lama selepas itu makanan mula di hidangkan. Menu butter prawn yang dihidangkan itu benar-benar mencuit selera. Tidak sabar-sabar rasanya untuk ku terkam! Tapi alangkah hampanya hati ini apabila melihat sudu dan garpu di sajikan sekali bersama-sama dengan makanan tersebut. Nampak gayanya kebulurlah aku jawabnya malam ini. Ah! Aku tak peduli! Apa nak jadi pun jadilah! Ku ketepikan sudu dan garpu lantas ku pegang sahaja udang itu dengan tanganku. Perbuatanku ini menyebabkan Tengku Ainun membeliakkan matanya manakala Netty dan ibunya memandangku dengan sinis. Tamparan manja segera menyinggah di paha gebuku. Kerlingan tajamnya segera ku fahami! Dengan hati yang berat sudu dan garpu ku angkat semula. Ku cuba meleraikan kulit udang itu dari isinya namun malangnya tujahanku yang terlalu kuat menyebabkan sos butter prawn itu terbang melayang mengenai jambul dan pakaian Tengku Ainun! Ya Allah! Apa yang kau dah buat ni Safira? Bibir ku ketap rapat-rapat. Hampir sahaja hilai tawa meletus keluar dari bibir ini namun sedaya-upaya aku cuba menahannya. Dengan segera ku ambil saputangan yang tersedia di atas meja dan ku lapkan bahagian pakaian Tengku Ainun yang terkena sos itu namun dia menolak dengan kasar. Sahlah aku dah gagal dalam ujian pertama ini!

“Tengku, kebetulan pula warna sos butter prawn ni sama lah macam warna rambut Tengku tu yang agaknya sos tu suka lekat kat rambut Tengku tu.” Kata-kataku yang bersahaja itu segera mengundang gelak tawa dari Tengku Azman, Tengku Azlan dan Tengku Amir. Seraya itu Tengku Ainun bangun dan terkocoh-kocoh dia menuju ke tandas sambil di ikuti oleh Tengku Maria. Netty pula tersenyum mengejek ke arahku sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ciss! Mesti hatinya bersorak girang melihatkan aksi maharaja lawak megaku sebentar tadi.

“Please excuse us.” Tengku Aidil bangun dari kerusi sambil menarik tanganku. Terhoyong-hayang tubuh kecilku ini mengikut langkah kakinya. Marah sungguh Tengku Aidil kali ini. Aku sudah dapat membayangkan hamburan kemarahan yang akan dilemparkan terhadapku sebentar nanti…

SEMENTARA ITU DI MEJA VVIP...

“Rasakan! Biar perempuan gila tu kena marah dengan Tengku Aidil! Terbalas sudah dendam tempohari. Puas hati adinda.” Berkerut dahi Tengku Amir bila mendengarkan kata-kata Netty itu. Dia menagih penjelasan dari adindanya.

“Adinda kenal ke dengan Safira tu? Bila masa pula you all berkenalan ni?”

“Kanda jangan tak tahu, dinda pernah terserempak dengan perempuan tak sedar diri tu kat Pavilion. Adakah patut dia cakap dinda ni tak ada duit nak beli barang-barang kat butik tu? Ya, dinda tahu sekarang! Mesti dia gunakan duit Aidil untuk membeli-belah tempohari! Tak guna punya perempuan, berani dia kikis duit tunang dinda! Dinda nak pergi ajar dia!” Netty bangun dengan wajah yang merah padam. Belum sempat dia melangkahkan kaki Tengku Amir menarik tangannya sampaikan dia terduduk semula.

Tengku Amir berbisik. “Dinda, jangan buat kecoh kat sini. Kita ni kan dari keturunan yg baik-baik. Janganlah malukan diri sendiri di hadapan bakal bapa mertua.” Serta-merta air muka Netty berubah. Baru dia perasan yang Tengku Azman dan ayahandanya asyik memerhatikan gelagatnya sedari tadi.

“Kalau dinda nak kenakan perempuan tu, kita kena ada planning. Kita cari waktu dan ketika yang sesuai kemudian kita kenakan dia sampai terduduk, tak boleh nak bangkit semula. Adinda kan gadis yang paling anggun di Kuala Lumpur, kalau setakat perempuan kolot bertudung macam tu senang-senang je adinda nak kalahkannya.” Kembang hati Netty apabila mendengar kata-kata pujian dari Tengku Amir. Dia harus akui yang kata-kata kekandanya itu benar sama sekali. Kenapa dia harus takut dengan perempuan yang tak seberapa itu? Malam ini menjadi saksi kepada permulaan peperangan di antaranya dengan perempuan tak sedar diri itu. Terus terlintas idea kotor di dalam fikirannya. Tanpa berlengah Netty terus mendail telefon bimbitnya.

“Hello Radzi. You kat mana ni? Ada tugasan yang you kena buat.”

“Saya ada di meja di barisan belakang sekali.”

“Bagus. I datang sekarang.” Netty bingkas bangun. Tengku Amir hanya memerhatikan dengan ekor matanya sahaja.

MANAKALA DI LUAR DEWAN PULA…

“Kenapa you cakap macam tu dengan my mummy wahai Cik Safiraku sayang? Sekarang ni mesti dia marah giler.nI’m pretty sure that Netty will take this for granted. Habislah rancangan kita.” Keluhan Tengku Aidil itu membuatkan jiwaku semakin berkecamuk. Memang semua ini salah aku. Apa yang harus aku katakan untuk menghilangkan keresahan di hati Tengku Aidil?

“Tengku, saya minta maaf. Saya tahu saya tak layak untuk berdampingan dengan Tengku, apatah lagi berlakon sebagai kekasih Tengku. Saya sedar siapa diri saya. Saya ni golongan kebanyakan, tidak setaraf dengan kedudukan Tengku.”

“Enough Ira, enough! I tak suka you bangkitkan soal kedudukan ni. I dah bosan, faham tak??” Tersentak aku seketika dengan jerkahannya. Tidak ku sangka Tengku Aidil akan bersikap sedemikian rupa. Tiada gunanya aku memberi penjelasan kepadanya dalam keadaan dia marah-marah begini. Dengan perasaan yang bercampur-baur aku beredar dari situ. Sepantas itu juga Tengku Aidil mengejar aku dari belakang lantas di tariknya tanganku. Kami berdua bertentangan mata. Pam jantungku pula bagaikan terhenti seketika! Serta-merta dapat ku tangkap riak wajah serba salah yang terpamer di wajahnya.

“Ira, maafkan I. I tak bermaksud nak berkasar dengan you. Mungkin I terlalu terbawa-bawa dengan perasaan.” Tengku Aidil bersuara dengan nada penuh kekesalan. Aku hanya mampu mengukir sebuah senyuman hambar.

“Tak apalah Tengku. Memang saya yang salah. Saya yang mulakan semua ini. Lepas ini saya janji, saya takkan ulangi kesilapan saya yang sengal tu.” Tengku Aidil tertawa mendengar pengakuan jujurku itu.

“You ni kelakarlah, Ira. Tak perlulah you nak minta maaf. Benda dah jadi. Sekarang ni kita teruskan rancangan kita. I nak you lebih berhati-hati lagi selepas ini, boleh?”

“Baik, boss.” Kata-kataku itu nyata melegakan hatinya.

“Sekarang ini misi bersambung semula. Jom kita masuk ke dalam.” Aku hanya akur dengan arahan Tengku Aidil. Kemudian sambil berjalan beriringan kami berdua melangkah masuk semula ke dalam dewan. Sejurus sahaja kami menguak pintu masuk dewan itu, tiba-tiba pengumuman dari pengacara majlis terus sahaja menerjah ke gegendang telingaku.

“DI ATAS SOKONGAN RAMAI DAN PERMINTAAN TUAN PUNYA BADAN SENDIRI, KAMI DENGAN INI INGIN MENJEMPUT CIK SAFIRA RANIA UNTUK MENYAMPAIKAN SEBUAH LAGU BERTAJUK “MUARA HATI” DENDANGAN ASAL DATUK SITI NURHALIZA DAN HAFIZ. NAMUN KALI INI IANYA AKAN DISAMPAIKAN DENGAN GAYA TERSENDIRI OLEH CIK SAFIRA DAN MAT TOP!!! DIPERSILAKAN!!”

Aku tergamam. Sorotan lampu limpah betul-betul menjurus ke arah aku dan Tengku Aidil yang tampak kebingungan. Demi untuk tidak memalukan Tengku Aidil, aku memberanikan diri melangkah menuju ke pentas. Dia cuba menahanku.

“Tak apa Tengku, kan saya dah janji tadi yang saya tak akan malukan Tengku sekali lagi.” Nada keyakinan yang terpancar di sebalik kata-kataku itu membuatkan Tengku Aidil mengalah. Ku gagahi langkah kaki ini menuju ke pentas utama. Pengacara majlis dan Mat Top sudah bersedia menunggu kehadiranku. Sesampainya di atas ku lihat semua mata-mata yang memandang bagaikan tidak sabar-sabar untuk mentertawakanku. Aku terpaut pada pandangan mata Netty yang mengerlingku dalam nada mengejek. Ya, tidak syak lagi, ini mesti angkara dia! Silap besarlah wahai Tengku Natalia! Setakat menyanyi di atas pentas, aku dah biasa berbuat begitu sejak di alam persekolahan lagi. Pengacara majlis menghulurkan mikrofon kepadaku dan mengarahkan aku untuk memberi sepatah dua kata. Ku pendam debaran dalam hati yang semakin menggila dan aku pun mula berbicara.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Sri, Puan Sri, Dato’, Datin dan semua tetamu yang saya hormati. Saya akan menyampaikan lagu ini bersama-sama Encik Mat Top yg di sayangi oleh kalian semua dan lagu ini khas saya tujukan kepada Tengku Azman yang sentiasa segak, Tengku Ainun yang menawan dan tentu sekali kepada kekasih hati saya yang tercinta…Tengku Aidil. Terimalah dari saya.” Bagai nak terkeluar biji mata Netty mendengarnya. Muzik pun mula dimainkan. Aku dan Mat Top sudah mengambil tempat masing-masing. Kali ini aku sudah nekad untuk tidak memalukan Tengku Aidil lagi.

“Cinta terpisah ruang waktu
Tetap cinta bersatu dalam hatiku
Walau raga kita tak mungkin bersama
Ku yakini hati kan tetap setia

Ku percaya ke mana pun kau berjalan
Suara cinta menuntunmu kepadaku
Kerna bila cinta sudah bersemadi
Takkan terpisah hati
Demi cinta dalam hatimu
Ku yakin engkau untukku
Meski jejak pisahkan kita
Cinta kan bawa kembali padamu

Aku ada kerna kau ada
Dan cinta hatiku hanyalah untukmu

Jalanku tertuju padamu
Ke mana pun kan pasti kembali

Demi cinta dalam hatimu
Biarkan aku merasuk
Bersatu dalam hatimu
Hanya dirimu dan aku

Demi cinta dalam hatimu
Biarkan aku merasuk (merasuk dalam hati)
Cinta”

Tepukan gemuruh kedengaran sebaik sahaja kami menghabiskan bait-bait terakhir lagu yang indah itu. Terbetik rasa bangga di dalam hati ini apabila kami mendapat ‘standing ovation’ dari para tetamu yang hadir. Aku terus turun dari pentas utama. Tengku Aidil sudah sedia menungguku.

“Tak sangka buah hati I ni memiliki suara emas rupa-rupanya. Patutlah berani semacam masa dijemput naik ke atas pentas tadi.” Aku hanya tersipu-sipu malu. Semua orang mengerumuni kami sambil bertepuk tangan. Di saat itu sempat lagi aku mengerling ke arah Netty yang nampak berang. Pasti marahnya semakin membuak-buak terhadap diri ini kerana terkocoh-kocoh dia beredar dari situ. Renungan tajam Tengku Amir pula terus menangkap di ruangan mataku. Aku dapat rasakan yang Tengku Amir mempunyai agenda yang tidak baik ke atas diriku ini. Ah! Itu semua tidak penting bagiku kerana yang paling utama dalam hidupku sekarang adalah membanggakan Tengku Aidil dan ku berasakan misi itu berjaya malam ini. Tidak putus-putus Tengku Aidil menerima ucapan tahniah dari para tetamu dan jelas terpancar kegembiraan di riak wajahnya. Kegembiraanmu adalah kegembiraanku jua wahai Tengku Aidil Tengku Azman. Malam ini akan terukir di dalam diari hatiku sebagai malam yang paling hebat dalam hidupku.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.