“MACAM ni, bukan macam tu. Angah suruh kau
buat jantan, bukannya betina!” Berkerut-kerut dahi angah melihat simpulan
ketupat aku yang sudah hampir lunyai.
Ini
yang aku malas ni! Aku dah cakap tak nak buat, dia paksa juga. Lepas tu nak
marah-marah. Mulalah aku nak jadi platipus balik ni!
“Kau
janganlah nak marah Yana tu sangat Izal, dia kan memang jarang buat ketupat
ni…” Suara ummi bergema lembut di gegendang telinga. Sejuk hati aku mendengar
suara bonda tercinta. Jenuh tangan aku menganyam ketupat daun palas. Rasa pelik
ketika kali pertama dengar, ketupat ini ada berbentuk jantan dan berbentuk
betina. Haaa, cuba tanya orang yang tahu pasal ketupat ni kalau nak tahu lebih
lanjut.
Hari
ini hari terakhir puasa! Yang paling tak best
bila aku sendiri dah mula beraya. Sudahnya aku menjadi mangsa untuk merasa
rendang buatan angah, kek hasil tangan mak su Fiza, adik bongsu ummi dan yang
paling penting, aku yang banyak dikerah mengemas rumah. Sebab apa? Sebab aku
boleh makan minum bila penat. Tak aci kan?
“Mana
nak letak ni angah?” Alang muncul dengan seluar pendek paras lutut dan t-shirt
kusam kegemarannya. Di tangannya penuh dengan balang kuih.
“Letak
di depan televisyen kat ruang tamu tu.” Panjang muncung Angah menunjukkan ruang
tamu depan disebabkan sepuluh jarinya sedang ligat menganyam ketupat.
“Ummi,
along mana?”
“Dia
ke pekan dengan ayah. Cari pelita.” Ummi menjelaskan keadaan. Dia sedang sibuk
mengacau kuah laksa di dalam periuk besar. Harum bau daun kesom semerbak di
ruang dapur kami yang besar itu. Mujurlah aku tak puasa, kalau tidak dah tentu boleh
terbatal dengan sendirinya.
“Nak
buat apa cari pelita?” Aku bertanya, keliru pula. Esok dah nak raya. Takkan
malam ni baru nak pasang?
“Nak
bakar baju...”
“Yelah…”
Aku menjeling tajam angah yang mula mahu menyakat. Sudahnya aku dan angah
menganyam ketupat dalam keadaan sunyi sepi. Cuma sesekali kedengaran batuk alang
daripada luar rumah.
Hanya
sejam selepas itu barulah aku boleh menarik nafas lega. Kami perlu menunggu ummi
menanak pulut sehingga tiga suku masak. Selepas itu tunggu sejuk sedikit, baru
masukkan pulut tersebut ke dalam daun palas yang sudah dibentuk sebelum di
rebus kembali.
Dengan
rasa malas dan penat, aku menuju ke sofa di ruang tamu lalu merebahkan diri. Oh
nikmat! Tetapi tidak lama…
“Yana!”
Jeritan suara angah kedengaran betul-betul di cuping telinga.
“Apa?”
Aku membalas dengan jeritan yang sama.
“Tolong
angah buat rendang ni!”
Aku
membuka mata. Rendang apa pula ni? Semalam dah buat rendang daging. Berapa banyak
rendang orang tua ni nak buat? Sambil membebel dalam hati, aku menuju ke arah
dapur.
Terbeliak
mataku melihat seberkas besar kepingan ayam yang terletak cantik di sebelah
sinki dapur. Parti raya ke ni? Aku membetulkan seluar pendek longgar paras lutut
sebelum bersila menghadap angah yang sedang memotong bawang merah dengan rasa
gembiranya.
“Apa
ni…”
“Rendang.”
“Angah
nak buat rendang banyak-banyak buat apa?”
“Esokkan
raya…”
“Taulah,
tapi apa pasal banyak sangat?”
“Ada
orang nak datang meminang esok.”
“Hah???”
Bunyi
ketukan pintu dapur mematikan perbualan kami. Aku memandang daun pintu yang
terkuak dan along muncul di situ bersama ayah.
“Yana,
tolong ayah angkat barang-barang ni…” kata ayah sambil membawa masuk beberapa
beg plastik yang mengandungi barang-barang yang dibeli daripada pekan.
Sepantas
kilat aku bangun membantu ayah. Syukur juga aku mempunyai abang-abang yang
ringan tulang. Kalau berat, memang habis hidupku jadi hamba abdi abang-abang
aku. Isk… Isk…
“YANA!!” Aku menjelirkan lidah ke arah alang
yang sedang mengejar aku dengan dua tangkai bunga api berwarna warni di
tangannya.
“Along!!!”
Abang sulungku yang sedang leka memasang pelita di tepi rumah terkejut dengan
jeritan aku yang seperti orang gila itu.
Aku
berlari mendapatkan along untuk dijadikan benteng perlindungan. Aku tahu alang
takkan berani ke sini. Apatah lagi ayah ada bersama.
Tshirt along aku tarik dengan
kasar, mujur juga sempat aku pegang tshirtnya, kalau kain pelikat? Tak
pasal-pasal dapat tengok drama 18SX percuma kat sini! Awww tak rela you!
“MasyaALLAH!
Dah umur berapa budak-budak ni Ashraf?” tegur Pak Cik Adam, jiran sebelah rumah
kepada ayah aku yang mula menggelengkan kepalanya.
“Yang
abang tu tujuh tahun, yang adiknya enam tahun…” Aku ketawa besar mendengar kata
ayah. Dah kurang dua puluh tahun umur aku dan alang.
Setelah
penat berlari ke sana sini bersama alang, aku terduduk keletihan di pangkin
rumah. Sungguh bosan rasanya tiada saudara kecil untuk bermain.
Nak tunggu along kahwin, entah
bilalah agaknya. Usahkan nampak bayang bakal isteri, asyik terperuk sahaja di
rumah dah menandakan tiada temujanji yang dibuat diluar.
Suasana
raya sudah mula terasa. Kadang kala bunyi meriam buluh berdentum di sana sini.
Mujur tiada sakit jantung. Kalau ada? Tak berayalah aku jawabnya. Telefon
bimbit yang terletak di sebalik tiang pangkin mula bernyala.
“Hello
Zafran!”
“Assalamualaikum
Yana!” Aku tersenyum mendengar suara Zafran yang kedengaran tidak sedap
langsung di pendengaranku.
Agaknya
benarlah ada orang kata, aku sendiri tak tahu orang mana yang kata tetapi yang
aku dengar, jika lelaki itu kacak, suara mesti tak sedap. Namun, jika lelaki
tersebut memiliki suara lemak manis, gerenti muka tak handsome. Eih, boleh percaya ke?
“You
tengah buat apa?”
“Main
bunga api.” Tercetus tawa Zafran. Dia ingat aku tipu ke? Anak mataku mengekori
langkah alang yang sedang mengacah cucu Pak
Cik Adam di sebelah rumah dengan bunga api di tangan.
Anak kecil berusia dua tahun itu
hanya terkebil memandang alang. Pasti anak itu sedang keliru, mengapakah wujudnya
clown di malam-malam buta begini.
“I
rindulah dekat you.” Kata-kata Zafran meremangkan bulu roma aku. Eh, malam raya
begini syaitan dah terlepas daripada ikatankan? Aku memegang pangkal leher yang
terasa kembang dek perkataan lelaki itu.
“Baru
jumpa sekali dah rindu.” Sengaja aku mengusik Zafran, lelaki yang pernah sekali
bertakhta di hati sewaktu aku masih hingusan.
“You
dah makin lawa Yana. You dah ada boyfriend
belum?” Kalaulah Zafran boleh nampak rupa mimik aku ketika ini, mesti dia
sanggup bergirlfriendkan hantu Kak
Limah daripada aku.
“Ada.”
“Serious?”
“Ya,
ada tiga.”
“Banyaknya?”
“I
tengah plan nak tambah seorang lagi.
Cukupkan empat. You mahu?” Aku mengusik Zafran.
“I
rela…” Aku ketawa besar. Yalah, kau rela. Aku? Tidak!!
Melalui
ekor mata, aku nampak alang menghampiri pangkin. Ah, aku harus mematikan
perbualan ini. Aku tak mahu alang tahu kerana dulu dia pernah buat hal dengan
Zafran.
Dek
kerana terlalu sayangkan aku, wah gitu! Alang dengan beraninya menghadap Zafran
di sekolah, walhal alang setahun muda daripadanya. Alang memberi amaran keras
supaya jangan mengganggu aku lagi kerana ketika itu aku akan menghadapi PMR..
Namun,
Zafran buat tidak peduli. Begitu juga dengan aku. Cinta monyet yang berputik
kami mekarkan diam-diam sehinggalah Zafran tamat sekolah.
Setelah Zafran berpindah daripada
bumi Perlis ini, dia langsung tidak menghubungi aku. Sedihkan? Cinta pertama
walau cinta monyet sekalipun tidak akan dilupakan kerana ketika itulah kita
mengenali cinta.
Biarpun semasa di sekolah,
universiti ataupun di mana-mana kita jatuh cinta, cinta itu adalah anugerah
daripada Ilahi dan kita sendiri yang akan mencorakkan cinta tersebut menjadi
acuan yang sama ada akan terbentuk cantik serta suci ataupun sebaliknya.
----------------------------------------------------------------
ZAFRAN sedang menolong aku membawa sebeban
buku rujukan yang baru sahaja dipinjam daripada perpustakaan. Kami bercadang
untuk pulang bersama-sama setelah selesai mengulangkaji pelajaran.
“Takpe
ke abang tolong bawa ni? Tak berat?” ujar aku yang semakin tertawan dengan
sikap Zafran.
Zafran
menggeleng perlahan. Daripada raut wajahnya, aku pasti ada banyak perkara yang
sedang bermain di fikirannya. Selain SPM yang menanti, sudah tentu perkhabaran
berita tentang perpindahannya ke Kuala Lumpur nanti sudah mengganggu.
Lelaki
berusia tujuh belas tahun itu tidak tahu bahawasanya aku yang patut lebih
merana. Dia bakal meneruskan pengajian ke alam universiti, sedangkan aku masih
di sini, masih menghadap buku-buku yang sama.
“Apa
yang abang fikir?” tanya aku, tidak puas hati kerana sejak tadi Zafran
mendiamkan diri. Sesekali aku memandang ke kanan, berharap agar bas yang
dinanti tidak kunjung tiba. Bukan apa, terasa gelisah jika hanya dapat
berbicara hanya seketika. Kalau boleh, sampai esok pun aku tak nak balik rumah.
Persahabatan
adik angkat dan abang angkat yang terjalin di antara aku dan Zafran sebelum ini
menyebabkan perasaan kami terangkat dengan sendirinya ke suatu paras yang baru.
Biarpun muda setahun jagung, nasib jugalah aku sudah boleh berfikir mana yang baik
dan mana yang buruk.
Mungkin
sikap kasarku sejak kecil lagi, ditambah pula dengan kehadiran abang-abangku
yang memang semulajadinya kasar, menyebabkan aku menjadi seorang yang tegar dan
tidak tahu takut.
“Abang
kasihan pada Yana. Lepas ni siapa yang nak jaga Yana.” Sayu benar bunyi nada
suaranya.
“Alah,
Yana ada tiga orang abang. Jangan risaulah.” Aku tersengih memandang Zafran
yang sudah bermuram durja.
Kerisauan
aku bertambah dalam setelah pemergian Zafran. Aku ingatkan aku mampu bertahan
kerana perasaan aku hanyalah suka-suka sahaja tetapi tidak sangka pula ianya
berlarutan sehingga aku demam buat beberapa lamanya.
Ketika
itu puas abang-abang aku memberi semangat. Memang bila teringat, rasa sungguh
lucu kerana kami masih terlalu mentah untuk tahu apa itu cinta. Sungguh,
mentah! Aku sendiri selalu ketawa apabila teringatkan insiden tersebut.
Sejak
itu, aku nekad untuk belajar tinggi-tinggi dan mencari Zafran di Kuala Lumpur.
Memang itu niatku kerana aku mahu tahu apa yang terjadi kepada lelaki tersebut
dan mengapa dia meninggalkan aku tanpa berita.
----------------------------------------------------------------
LAMA aku termenung mengenangkan tujuan asal
aku belajar tinggi-tinggi selama ini. Bodoh? Ya memang. Bodoh kerana belajar
kuat-kuat kerana lelaki itu, bukannya kerana keluarga tetapi bagusnya kerana
dia, aku berjaya kini.
Apabila
sudah bertemu Zafran, hatiku mula ragu-ragu. Aku seakan sedar, tiada gunanya
aku mencari dia jika dia sendiri tidak memulakan langkah mencari diriku. Namun,
hati seorang wanita sangat rapuh. Aku tahu, lama kelamaan, kenangan itu pasti
menjelma dan aku pasti ketika itu hati aku akan mulai memekar.
“Hoi!
Cepat salam!” Huluran alang di depan mata hanya kupandang sepi. Aku membetulkan
baju baru kebarung warna jingga bersulam di tangan dan kaki baju sebelum bangun
dan buat tidak tahu kepada alang.
“Adoi
sakitlah!” Alang ni memang nak kena! Dah cantik rambut panjang mengurai aku ni
disikat 44 kali pagi ini, ditariknya dengan rasa suka hati. Sudahnya berperang
lagilah aku dan alang di dalam rumah pusaka.
“Pagi-pagi
raya dah buat hal budak-budak ni. Kamu tengoklah anak-anak kamu ni Dayana…” Ayah
bercekak pinggang. Baju Melayunya yang berwarna jingga dan dikenakan dengan
kain pelikat berwarna jingga pekat nampak begitu janggal sekali.
Kata ayah, pelik sungguh. Namun,
kata angah, lain sikit daripada yang lain. Asyik warna kelabu sahaja setiap
tahun. Memang tema tahun ini berwarna jingga. Seperti biasa, angah selaku
konduktor fesyen setiap tahun yang menguasai takhta fesyen hari raya.
Manakala along dan alang hanya
mengikut. Tak kuasa mahu bertekak. Keindahan pagi raya mula dirasai apabila aku
mencium tangan ummi Dayana dan ayah Ashraf memohon keampunan daripada mereka.
Along Affizam, angah Affizal dan alang
Affiqal yang sentiasa berada di belakang aku, menahan sabar serta menjaga aku
selama ini juga turut aku memohon maaf. Maafkan adindamu Aryana Shafnie ini!
Oh,
syahdunya!