TELEKUNG bersih berwarna putih bersulam
benang emas, hadiah daripada ayahanda tercinta itu aku lipat dan sangkut di
tepi katil bersaiz permaisuri. Aku membetulkan baju kelawar merah tua yang
tersarung di tubuh.
Sekilas
pandangan, mataku tertumpu ke arah jarum jam dinding. Hampir jam sebelas malam.
Aku mencongak sendiri, mungkinkah semua kekandaku sudah pulang daripada masjid?
Belum
sempat mindaku menganalisa tindakan seterusnya, pintu bilik diketuk perlahan.
Sambil itu, aku mencapai getah rambut di atas meja tulis yang hampir separuh
dipenuhi alat tulis berwarna-warni.
“Yana!” Ini mesti abang Affiqal. Siapa lagi yang mempunyai
suara garau bak buluh terbelah dua itu.
“Apa?”
Malas benar aku mahu keluar daripada bilik. Sudah tentu ada kerja yang perlu dibuat.
Mentang-mentanglah aku saja puteri tunggal dalam rumah ni, bongsu pula tu.
“Alang ada beli supper ni.”
Dengan
langkah malas, aku menuju ke pintu bilik. Nah, wajah abang ketigaku yang punya
kulit sawo matang tetapi bersih itu sedang tersengih memandangku. Kopiah putih
masih terletak elok di atas kepalanya.
Aku
mencapai beg plastik sederhana besar daripada tangan kanannya tanpa berkata sepatah. Alang Affiqal beredar ke
bilik utama yang dikongsi bersama along atau nama sebenarnya Affizam.
“Kenapa
masam je muka ni? Nak cepat tua? Senyumlah sikit dik oii…” Hampir terkejut aku
disergah oleh abang keduaku pula, Affizal atau lebih mesra dipanggil angah di
dapur.
Nak
tak nak, aku hanya tersengih memandangnya sambil menarik isi plastik yang
dipenuhi lauk pauk untuk sahur. Sewaktu berbuka lagi tadi aku sudah pesan pada
abang-abang supaya beli sahaja lauk berbuka memandangkan aku benar-benar malas
untuk masak sahur nanti.
“Banyaknya
angah beli? Nak makan sampai lusa ke apa?” Bebelan aku tidak disambut angah.
Dia sedang leka membancuh kopi putih di dalam sebuah teko.
Nama sahaja
kembar abang aku ni, tapi sikap masing-masing macam langit dan bumi. Along
lebih bersikap kelelakian, itu normal lah kan? Angah mujur lagi tidak ke arah
keperempuan, tetapi sikapnya mengalahkan perempuan.
Sebut
sahaja, memasak, mengemas, menjahit, pendek kata semua kerja perempuan akan
dilakukan dengan pantas dan cekap! Pasang langsir pun handal! Tak macam aku,
nak cucuk dawai penyangkut langsir tu pun terkial-kial! Malu sungguh rasanya.
Nasib baik dia abang aku, kalau pakwe? Lagilah malu…
Namun yang
paling menarik, along tak pernah mempertikaikan sikap kelembutan angah.
Walaupun kadang-kadang bila aku tengok diorang jalan berdua macam pelik je,
seorang gagah, seorang lagi sopan, tetapi along tetap ambil berat dan sayangkan
kembarnya seperti kami adik beradik yang lain. Itu yang syahdunya…
Kata
ummi, agaknya dulu masa mengandungkan mereka, Ayah harap dapat anak lelaki
manakala ummi harapkan anak perempuan. Keluar dua-dua lelaki, cuma seorang je
lebih hormon testerone! Yang seorang lagi mujur tak sampai tahap hormon
oestrogen. Ish Ish…
“Angah,
along mana?” Kesemua plastik berisi lauk itu aku letakkan ke dalam peti ais.
Bangun sahur nanti akan kupanaskan semula. Kuih karipap di dalam plastik lain
pula aku letakkan di dalam pinggan.
“Pergi
jumpa kawan.” Angah mengangkat dan membawa dulang berisi teko dan cawan ke ruang
hadapan. Aku mengekori langkahnya sambil membawa sepinggan karipap.
Kelibat
alang tidak kelihatan. Mungkin masih di bilik, tetapi televisyen sedang terbuka,
menayangkan perlawanan bola sepak. Angah memulakan syarahannya tentang
kepentingan elektrik. Orang lain yang buat, orang lain yang kena.
Adus!
“Angah,
bagi sini remote tu.”
“Travel and Living!” ujar angah.
Aku
mencebik. Lagi-lagi siaran tu. Kalau tak pasal masakan, hiasan rumah, takpun
jelajah negara-negara lain. Namun,
aku turutkan hati juga. Daripada tengok orang berlari kejar bola, baik aku
tengok orang
potong steak.
Bunyi
jeriji pintu hadapan dibuka membuatkan aku dan angah memandang ke arah pintu
serentak. Manalah tahu, ada ketibaan tetamu tidak diundang. Sesaat kemudian,
muncul abang sulungku, Affizam.
Dia
hanya berkain pelikat warna ungu tua dan baju melayu ungu muda serta berkopiah
putih. Wajahnya banyak mengikut ummi, bermata kuyu dan berkulit cerah. Ini kalau
kawan-kawan aku tengok sekarang, gerenti masing-masing sibuk nak jadi kakak ipar
aku. No way!
“Lah,
sape beli karipap pula ni?” soal along. Dia terus duduk di sebelah aku yang
terpaksa mengesot sedikit ke arah kanan
untuk memberi ruang keselesaaan untuk kekandaku itu. Aku mencapai plastik yang
dibawa along dan melihat isinya.
“Cucur
udang? Masa macam ni pun ada orang
jual lagi ke?” Berkerut dahiku melihat cucur udang yang sangat banyak.
“Kata
bulan Ramadhan. Orang
makan waktu malam macam makan waktu siang!” Along menghamburkan tawa.
“Wei,
sape yang tukar channel ni?” Sergahan
alang mengejutkan kami semua. Dia sedang bercekak pinggang dan matanya yang
sepet itu dihalakan ke arah aku. Ni nak cari gaduh ke apa alang aku ni? Dengan
berani, aku mengangkat tangan kanan
sambil tersengih.
“Alang, along suruh ambil
pinggan. Ada
cucur udang.” Kasihan along! Tak pasal-pasal nama dia aku pergunakan. Aku tahu,
alang ikut cakap. Lagi-lagi kalau along yang suruh. Cepat je kerja. Punca?
Sebab tak mahu dengar along membebel sepanjang hari. Hahaha!
Aku
meneruskan tumpuan melihat pengacara si kacak Oli Pettigrew di kaca televisyen.
Tiada yang lebih membahagiakan apabila dapat menghirup kopi panas kaw bancuhan angah
dan karipap sardin serta yang paling penting tiada tekanan kerja yang perlu
dirasai.
“Adik,
dah dapat kerja dah?” Aisey, soalan along telah memotong kenikmatan yang aku
rasakan kini.
“Belum,
dah hantar tapi takde panggilan pun…”
“Takde
rezeki lagilah tu…” kata angah. Dia sibuk membelek majalah Maskulin baru
kepunyaan along. Rupanya masih ada unsur-unsur kelelakian dalam diri angah
biarpun tutur katanya masih mempunyai kelembutan, kesopanan dan kesusilaan.
Syukur alhamdulillah.
“Ke
malas?” Alang Affiqal yang baru tiba dengan pinggan dan mangkuk di tangannya
tiba-tiba mencelah.
“Taklah…”
Aku mencebik, bunga-bunga pergaduhan akan keluar kalau aku mula menjawab.
“Bagus
juga hidup macam ni. Ada ramai abang nak sara
hidup Yana.” Meletus ketawa evil aku. Mereka semua serentak
memandang dengan muka cemberut.
Alang
menarik pipiku dengan kuat. “Cakap sekali lagi!”
“Seronok!”
Aku menjelir lidah ke arah alang. Dia cuba menarik tocang rambut tetapi
tidak sampai. Aku cuba
mengelak dan sudahnya pergaduhan olok-olok kami turut mengheret along apabila
aku tertampar lengannya.
Wajah
along berubah. Aku menggunakan isyarat mata ke arah alang yang sedang ketawa.
Dia terus terdiam dan duduk di sofa sebelah kanan. Angah tergelak kecil melihat aksi tak
senonoh kami.
“Ni
pasal nak balik kampung ni. Apa cerita?” tanya along.
“Iqal
dapat cuti seminggu. Company bagi.
Nasib baik projek dah tak banyak.” Cerita Affiqal. Kerjayanya sebagai seorang
arkitek muda menyebabkan dia dipenuhi kekangan masa dalam soal melunaskan
projek baru dan mencari idea bernas.
Letih, tetapi itu dunia yang digemarinya sejak kecil.
Along
mengangguk. Dia sendiri sudah mendapat kelulusan untuk bercuti. Cuti Aidilfitri
tidak sesukar mana jika hendak dibandingkan cuti Raya Haji yang hanya
melibatkan sehari sahaja.
Tugasnya
sebagai pensyarah di Kolej Ones dalam jurusan Accountancy itu ada kalanya sibuk terutama ketika musim peperiksaan
tetapi berkurangan apabila sudah mula cuti semester.
Kedua-dua
abang kembarku ini mengabdikan diri mereka ke arah dunia pendidikan. Apa yang
membezakan, along menjadi seorang pensyarah, manakala angah lebih cendurung
menjadi pengajar di sekolah menengah walaupun mereka berpendidikan tinggi.
Aku
je yang masih terkapai-kapai mencari arah. Dah hampir 4 bulan aku menganggur
setelah tamat Ijazah Sarjana Muda jurusan Multimedia Graphic daripada MMU.
Kini, aku hanya sibuk menguruskan hidupku dengan mencari duit secara separuh
masa.
“Kita
balik hari Jumaat pagi, okey? Gerak
pagi-pagi. along malas nak sesak macam tahun lepas.”
“Kuih
raya macam mana?” Aku bertanya dengan rasa ingin tahu. Kalau tahun lepas, kami
semua pulang awal ke kampung dan semuanya sudah tersedia kerana aku pun ketika
itu masih sibuk dengan tugas sebagai pelajar.
“Angah
kata, dia uruskan.”
Along memuncungkan mulut menghala ke arah kembarnya. Tangannya tetap meneruskan
agenda mencecah cucur udang ke dalam sosnya.
“Angah
nak buat ke?” soalku lagi.
“Ada masa ke cik adik? Kuih
tunjuk sudah. Angah nak pergi Jalan TAR malam Jumaat tu. Nak ikut ke?” tanya angah.
Mataku
bersinar. Shopping? Oh Yeah! Mestilah mahu ikut. Apatah
lagi kalau bersama angah. Sudah tentu apa yang aku inginkan akan dibelinya. Angah
lebih pandai sikit bab-bab fesyen dan aksesori ni.
Walaupun
dia tak pakai, tetapi dia suka lihat dan beli untuk dihadiahkan kepada aku. Namun,
kadang-kadang angah bising juga sebab katanya aku tak sampai tahap feminin.
Maksudnya berskirt, berblaus bunga-bunga ataupun berkasut tumit tinggi 5 inci!
Yang aku suka hanyalah T-shirt dan jeans. Tak kisah, masa itu akan tiba juga
suatu hari nanti.
“Dah,
pergi tidur. Nanti sahur semua
terkulat-kulat.” tegur along seraya mengemaskan meja.
“Mana
boleh. Baru lepas makan, nanti buncit.” Alang
menepuk-nepuk perutnya
yang sudah mula menonjolkan diri. Selepas itu, semuanya pakat sibuk
membandingkan perut
masing-masing. Eih… Tak nampak ke ada perempuan kat sini? Tak malunya!