Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
234,349
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 23
BAB 23

Lembaran manuskrip yang sudah kekuningan dan lusuh di beleknya berkali-kali. Kisah cinta yang meruntun hati. Tersentuh di jiwa. Biarpun hampir lima dekad sudah berlalu. Namun aura cintanya masih pekat membara. Daud mengeluh. Entah mengapa malam ini otaknya tepu. Mindanya celaru. Berbondong-bondong idea datang menyerbu namun sepatah ayat pun tidak berjaya di lakar ke atas kertas.

Bunyi ketukan bertalu-talu di pintu merenjat ketenangannya. Nampaknya malam ini agendanya terpaksa di tangguhkan dahulu. Manuskrip usang yang tergenggam kemas dalam pegangan di letak ke atas meja. Pantas kakinya melangkah ke pintu. Tersembul seraut wajah yang langsung tidak di jangkanya sebaik sahaja daun pintu terkuak.

“Masri! Ya Allah, tak sangko eh dapek jumpo ekau kek sini! Jomputlah masuk,” sapa Daud mesra. Sudah bertahun mereka tidak berjumpa. Kali terakhir mereka bersua muka lima tahun yang lalu. Tangan berjabat, rindu kian terubat. Masri tenggelam seketika dalam dakapan erat Daud. Sudah sekian lama tidak ketemu, hiba datang bertamu. Namun terjejaknya kaki Masri ke sini bersebab. Bukan calang-calang bingkisannya.

Punggung di labuhkan. Nafas kasar di hela. Apa, bagaimana dan bila, Masri sendiri tidak tahu caranya perkhabaran ini harus di sampaikan. Bimbang Daud tersilap tafsir pula.

Kerutan terlukis di dahi Masri. Kian pekat dan likat. Hairan Daud melihatnya. “Kenapo ni, Masri? Rungsing ajo nampaknyo? Ado apo-apo yang den buleh bantu ko?”

Masri mengeluh. “Den pun tak tahu nak cerito macam mano. Tapi ekau pongkaji riwayat dan al kisah nenek moyang kito yang terdahulu, bukan? Memang botul ko porcintaan di antaro Panglimo Awang dongan Miriam pornah torjalin dan torkubur suatu ketiko dulu?”

Musykil timbul di benak Daud. “Yolah, dah bortahun-tahun pun den mongkaji. Sebelum ni ekau asyik bonar dongan lakaran-lakaran kek kanvas tu. Apa sobab eh tibo-tibo ekau tanyo bogini?”

Imbasan pemuda tinggi lampai, kacak dan berkulit gelap siang tadi terus sahaja bermain-main di layar fikiran Masri. “Siang tadi rasonyo den torsorompak dongan Panglimo Awang kek Kualo Lumpur. Masih hidup, sihat dan segak orangnya. Saling tak tumpah macam gambor kek dalam ni.”

Daud tersentak. Tergeleng-geleng kepalanya. “Ekau ni bior bonar, Masri. Dah lebih 400 tahun borlalu. Mano mungkin wujud manusio sotua tu kek dalam dunio ni.”

“Botul jugo kato ekau tu. Hmm...mungkin den yang torbawo-bawo sangat. Hah, macam mana dengan perkembangan manuskrip ekau tontang Panglimo Awang, Pelayar Melayu Terulung tu? Ado apo-apo porkombangan ko?”

Daud mengeluh. “Entahlah. Malam ni buntu pulak otak den ni hah. Sobaris ayat pun langsung tak muncul-muncul dalam minda den ni. Sobab tuloh den mentelaah manuskrip lamo ni. Kot-kot boleh bagi ilham kat den ko.”

Mata Masri terus tertancap pada manuskrip usang yang terjelepuk di atas meja. Sifat ingin tahu berlari-lari datang ke hati. Pantas tangannya menyambar manuskrip tersebut. Helaian demi helaian mula di selak satu-persatu. Jiwanya mula larut dalam kisah cinta yang tidak bertepian itu...

1516. Lisbon, Portugal.

Ladang epal yang merah meranum santun menyapa pandangan si jelita bermata biru. Rambut hitam ikal mayangnya turut sama berpupuk lembut dek deruan sang bayu. Bibir merah mungil yang di ketap berkali-kali tampak sungguh mengiurkan sehingga sang suria juga malu untuk menonjolkan diri. Bimbang tidak mampu menyaingi kecantikan asli milik si jelita ini, barangkali.

Enrique menghembus nafas berat. Kasar dan kesat. Terselit seribu satu perasaan yang tercakna di sebalik keluhan itu. Cintanya memang menggunung pada wanita berketurunan Portugis itu. Namun cinta semata tidak cukup untuk menyelindungi titik-titik perbezaan yang ketara terlihat di antara mereka. Benar, secara lahiriahnya langsung tiada perbedaan di antaranya dengan rata-rata jejaka tempatan di sini. Pakaian dan cara pertuturannya saling tidak tumpah seperti mereka. Namanya juga sudah lama berkubur.

Panglima Awang. Kali terakhir nama itu di dengari adalah sepuluh tahun yang lepas. Arahan terakhir Sultan Mahmud Shah masih terngiang-ngiang di telinga. Ketika itu dia bersama-sama teman-teman seperjuangannya sedang bermati-matian mempertahankan bumi Melaka tercinta daripada Alfonso de Albuquerque, Wizurai Perang Portugis. Akhirnya dia kecundang. Bumi Melaka jatuh ke tangan Potugis manakala dia dan ratusan pemuda telah di jadikan tawanan.

Dalam keterpaksaan mereka menjejakkan kaki ke sini. Bumi Lisbon menjadi saksi betapa rendahnya maruah dan harga diri. Agama nenek moyang yang tersanjung tinggi terpaksa di selindungi. Agama sang penjajah meniti di bibir tanpa sekelumit pun keikhlasan di hati. Semua ini terpaksa di lakukan demi meneruskan kelangsungan hidup di sini.

Kafirkah aku, getus Enrique saban waktu dalam hati. Namun pilihan yang ada seakan-akan menutup peluang baginya. Sementalah Tuan Ferdinand, pelayar tersohor Portugis sudah mula mengiktiraf kedudukannya selaku jurubahasa dan pembantu khas. Jadi ruang lingkup untuk menjelmakan diri semula sebagai Panglima Awang bagaikan sudah terkatup rapi.

“Enrique sayang, haruskah kamu pergi di saat-saat bahagia yang sedang kita lewati? Kamu jangan khuatir, akan ku pohon pada kandaku Ferdinand agar melepaskanmu dari pelayaran kali ini,” ungkap Miriam. Tidaklah menghairankan apabila dia yang berasal dari sini bisa sahaja menuturkan bahasa melayu dengan fasih. Kemahsyuran dan keagungan empayar Melaka tentu sahaja berjaya menobatkan bahasa melayu sebagai lingua franca di kalangan pedagang-pedagang Eropah yang datang berdagang di situ. Secara tidak langsung pedagang-pedagang tersebut juga berperanan menyebarkan keunikan dan keistimewaan bahasa melayu itu sendiri ke negara asal mereka.

“Tidak sesekali aku akan mengingkari perintah kekandamu, Miriam. Kamu harus sedar akan kedudukan aku di sisinya. Aku hanyalah hamba sahayanya.”

“Tapi kamu harus ingat juga kedudukan kamu sebagai hamba cintaku. Sebetulnya berat rasa hatiku untuk melepaskan kepergianmu kali ini. Cintaku tidak mampu mekar tanpamu di sisi,” rintih Miriam sayu.

“Sematkanlah puing-puing cintaku ke dalam hatimu, sayang. Namun jangan sesekali cinta itu melebihi cintamu pada Tuhan. Kerana bila kamu mula mengagungkan cinta sesama manusia, Tuhan akan mula hilang jejakmu nanti. Kamu juga yang sering bicara, serahkan segalanya pada lantai takdir. Tuhan kan ada.”

Miriam berjeda. Ya, setiap bait kata-kata tersebut masih subur indah di minda. Memang acapkali ayat-ayat tersebut di ungkapkan pada Enrique setiap kali gundah melanda di jiwa jejaka itu.

“Baiklah, Enrique sayang. Kalau itu mahumu. Aku tidak bisa menukar pendirianmu. Cuma janji pada aku, perginya kamu kali ini hanya untuk sementara. Walau apa pun yang terjadi aku tetap menantimu di kaki langit pabila ufuk timur mula melabuhkan tirainya.”

Enrique menyeluk koceknya. Dua keping syiling emas berbentuk heksagon tergenggam kemas dalam tangannya. Sekeping dari syiling itu di unjurkan pada Miriam.

“Apa ini, Enrique?” soal Miriam sambil membelek-belek syiling tersebut.

“Ini lambang cinta kita. Tanda hati kita. Andai kita terpisah jiwa dan minda, syiling inilah yang akan mengembalikan semula ingatan cinta kita. Walau ke mana sahaja kamu pergi, simpan dan bawalah syiling ini mengikut langkah kaki. Bila mana jejakku menghilang di sapu awan, carilah aku di tempat asal-usul syiling ini. Mungkin aku sudah sampai ke Melaka, tanah tumpah darahku.”

Berubah air muka Miriam. “Kamu mahu pulang ke tempat asalmu? Jangan Enrique. Jangan! Jangan sesekali kamu hilangkan jejakmu dari tatapan hatiku. Ke mana sahaja kamu pergi, bawalah daku sekali. Jangan pernah kamu tinggalkan aku sendirian di sini.”

“Jangan risau, Miriam. Pemergian ku kali ini hanya sekadar meneman kekandamu ke Sepanyol buat seketika. Jangan risau, suatu hari nanti akan ku bawamu ke bumi Melaka, tempat asal usulku.”

Namun sama sekali Miriam tidak menyangka itulah kata-kata terakhir yang di dengarinya sebelum Enrique pergi jauh dari sisi. Hasad dengki dan iri hati menyebabkan Ferdinand dan Enrique mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Sepanyol. Hancur dan luluhnya hati Miriam tidak terperi. Hanya janji yang terpatri menjadi pengubat dukanya.

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.