Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
234,361
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2
BAB 2
Hati Qisya berbunga riang. Dalam ramai-ramai wanita, dia yang jadi pilihan untuk menemani Arish ke kenduri doa selamat yang berlangsung di rumah atuk dan nendanya yang tercinta. Qisya amat teruja. Berjumpa dengan atuk dan nenda bermakna dia sudah melangkah ke frasa seterusnya dalam misi menakluki hati jejaka ini. Suatu pencapaian yang amat membanggakan dalam misinya memburu cinta inspektor muda yang tersohor di Malaysia.

Siapa yang tidak kenal dengan Arish a.k.a Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan? Kacak. Bergaya. Kemampuannya menyelesaikan kes-kes berprofil tinggi membuatkan namanya harum mewangi di kalangan masyarakat. Datang pula dari keluarga yang kaya dan terhormat. Tapi…sindrom ‘Obsessive Compulsive Perfectionists Behavior’ yang teguh menyaluti jejaka ini membuatkan sukar bagi mana-mana gadis yang bercadang mahu mendekatinya. Siapa yang boleh tahan perangai cerewet terlampau, sangat pentingkan kesempurnaan dan terlalu memilih sepertinya?

Qisya tidak peduli semua itu. Status sebagai bakal isteri Tuan inspektor popular lebih bermakna buat dirinya. Segala perangai tak berjenis jejaka itu sanggup di tolak ke tepi asalkan cinta Arish berjaya di miliki. Itu tekadnya.

Ketukan bertalu-talu di pintu mematikan lamunan Qisya. Mak Yam sudah terjegul di muka pintu. “Cik Qisya, Tuan Arish dah tunggu kat bawah.”

Qisya bingkas bangkit. “Kenapa Mak Yam tak cakap awal-awal, hah? Menyusahkan betullah orang tua ni!”

“Maafkan Mak Yam, Cik Qisya. Tuan Arish baru aje sampai. Tu yang...”

Pantas Qisya memintas. “Boleh tak kalau saya cakap, Mak Yam jangan menjawab? Sedarlah diri sikit. Mak Yam tu cuma orang gaji aje dalam rumah ni. Jangan sangka papa dan mama layan Mak Yam baik-baik jadi Mak Yam nak besar kepala pulak!. Dahlah! Saya dah lambat ni. Nanti jangan lupa kunci pintu rumah pula. Mungkin saya balik lewat.”

Mak Yam sekadar menganggukkan kepala. Tidak berani dia bersuara. Bimbang kalau-kalau Qisya marah lagi. Biarlah hati tuanya menelan segala kepahitan yang terlontar dari bibir gadis itu. Namun tidak sesekali dia akan menyakiti hati gadis itu. Tidak sama sekali!

Arish yang sedang enak bersandar di sofa terkedu melihat kelibat Qisya menuruni anak tangga. Buntang biji matanya melihat gaun merah hati yang tersarung di tubuh langsing itu.

“Mabuk ke apa ni? Awak ingat kita nak pergi dinner sempena Tahun Baru Cina ke? Kita nak pergi kenduri doa selamat kat rumah atuk dan nenda saya, ada faham? Pakailah baju kurung ke, kebarung ke, barulah kena. Dah tu, saya tak suka baju ni. Macam langsir kat bilik stor pejabat saya aje. Awak pergi tukar baju sekarang juga!”

Qisya tersentak. Selama ini tidak pernah sesiapa pun mempertikaikan cara pemakaiannya. Dah dua tahun berturut-turut dia tersenarai dalam majalah Eh! sebagai ‘Personaliti Wanita Berpakaian Paling Cantik.’ Selamba rock aje mamat cerewet ni cakap gaunnya macam langsir kat bilik stor pejabatnya?

Sedaya-upaya Qisya memekung amarahnya dalam hati. “Aha saya pun rasa gaun ni macam kain langsir. Kejap ye sayang. Saya pergi tukar lain yang sopan dan confirm meletup punya.”

Kakinya di tala laju. Anak tangga di naikinya satu persatu dengan hati yang membara. Ini bukan gaun meletup, silap-silap dia sendiri yang meletup nanti.

“Sabar, Qisya. Sabar. Kalau kau nak menang game ni, kau mesti tahan dengan segala perangai mamat ni. Dia kan bakal laki kau. You can do it, Qisya! Come on, Qisya!”

Kata-kata hikmat bertalu-talu di titip ke corong hati. Semangat yang kian merudum bagaikan mendapat suntikan penawar semula. Kali ini Qisya menyarung jubah satin rona putih susu yang menyerlah dengan taburan kristal swarozski di dada dan kedua-dua pergelangan tangan. Memang memukau setiap mata yang memandang.

Namun buat kesekian kalinya jubah ini gagal menambat hati Arish! Arghh!! Qisya terasa ingin menjerit namun suaranya sekadar berlegar-legar di ruangan kerongkongnya sahaja. Memang cerewet tahap gaban betul mamat ni!

Kurung moden unggu bersulam kerawang Qisya yang kesepuluh akhirnya berjaya menjentik minat Arish. Fuhh!! Qisya menarik nafas lega. “Jomlah kita gerak sekarang, sayang. Mesti atuk dan nenda awak dah tunggu lama.”

“Eh, nanti dulu. Saya nak kena tengok kasut awak pula. Saya kena pastikan kasut awak sepadan dengan baju awak ni,” tukas Arish selamba.

Rahang Qisya jatuh. Oh, tidak! Sekali lagi???

Mami Zai menjengah-jengah kepalanya ke luar. Hatinya gusar. Bacaan doa selamat akan bermula tidak lama lagi namun batang hidung cucunya langsung tak kelihatan.

“Tak payahlah risau sangat, Zai. Macam awak tak faham dengan perangai cucu awak tu. Mesti dia tengah pening nak pakai baju apa untuk datang ke mari. Tak faham betul saya. Cerewetnya mengalahkan orang perempuan!” dengus Walid Aziz.

“Itulah yang saya risaukan, bang. Perangai cerewetnya tu makin menjadi-jadi. Semuanya tak kena di mata dia. Tu yang sampai sekarang satu perempuan pun tak lekat dengan dia. Kalau perangainya berterusan macam ni, alamat tak merasalah kita nak menimang cicit,” ujar Mami Zai dengan wajah sedih.

Walid Aziz menghembus nafas kasar. “Habis tu apa yang patut kita buat, Zai. Abang pun dah naik buntu dengan perangai dia.”

“Walid dan Mami jangan risau. Saya ada satu rancangan. Serahkan aje pada saya. Insya-Allah rancangan ni pasti akan berjaya,” sampuk Borhan yang muncul tiba-tiba di situ.

Walid Aziz merenung muka Borhan dengan riak kurang percaya. “Biar betul kamu ni, Borhan. Rancangan apa pula ni? Kamu jangan nak pandai-pandai aje, Borhan. Macamlah kamu tak tahu perangai cucu aku tu. Nanti habis di amuknya satu rumah nanti.”

Borhan senyum sinis. “Jangan risaulah, Walid. Saya dah ada formula macam mana nak neutralkan perangai cerewet si Arish yang makin menjadi-jadi tu. Saya cuma perlukan restu dari Walid dan Mami aje.”

“Perlukan restu ke perlukan ongkosnya sekali?” sindir Mami Zai.

Borhan menyengeh lebar sampai ke telinga. “Mami ni memang bijaklah! Rancangan yang hebat pasti perlukan pengorbanan yang besar. Kita sama-sama melabur dalam projek ni. Saya curahkan idea saya, Walid dan Mami curahkan duit untuk menampung kosnya.”

“Amboi! Rancak berbual nampak. Projek apa ni? Idea apa? Kenapa saya tak tahu menahu ni?”

Sergahan Arish segera menyentak mereka bertiga. Mujur Mami Zai panjang akal. Kelibat gadis jelita di sebelah Arish terus sahaja menyalurkan idea buatnya. “Hah, baguslah kamu dah sampai. Mami dan Walid tengah bincang pasal perkahwinan kamulah. Kamu ni dah ada calon ke belum? Ke ni calon isteri kamu? Cantik orangnya. Kalau betul mudahlah kerja kami.”

Qisya dah tersengih-sengih macam kerang busuk. Ya, nampaknya peluang semakin terbuka luas buatnya.

Spontan Arish menangkis. “Bukanlah, mami. Ini kawan biasa Arish aje. Dia masih dalam pertimbangan lagi tapi kira dia ni calon peringkat akhirlah. Kalau dia nak jadi isteri Arish, dia harus lepasi tahap piawaian yang Arish dah tetapkan dulu.”

Qisya tersenyum sumbing. Pedih hatinya mendengar kata-kata Arish. “Kurang asam boi betullah mamat ni,” kutuk Qisya dalam hati.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.