Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 58

DARA harap sangat dia sekadar bermimpi. Dia hampir tidak mahu celik mata, kerana takut dengan hakikat yang perlu dia tempuhi. Dia takut kalau tidak mampu mengawal emosi dan Haris yang bakal menerima tempiasnya. Kalau tidak Haris, boleh jadi keluarganya sasaran seterusnya.


Sengaja Dara mengunci diri di dalam bilik berjam-jam lamanya. Berjam-jam itulah pandangan dia jatuh pada perutnya yang tidak memboyot lagi. Rasa sedihnya kembali bertandang. Mulalah dia beremosi.


“Jangan menangis Dara…” Tangan Dara rakus menyeka pipi. Dia sudah berjanji tidak akan menangis lagi.


Hari ini merupakan hari tujuh pemergian anak mereka. Hari ini juga awal-awal Haris sudah beritahu ingin mengadakan kenduri arwah. Pemberitahuan suaminya mengundang tanda tanya dia. Serasa Dara, sudah tiga hari berturut-turut majlis kenduri arwah Lukman dijalankan. Hanya Dara yang tidak terlibat secara langsung.


Lukman Haris.


Nama itu kembali menyapa. Ya. Lukman Haris nama pilihan buat anak syurga kami. Siapa sangka firasat Haris bahawa mereka bakal menimang anak lelaki benar. Memikirkan hal tersebut buatkan Dara mengukir senyuman tipis. Dalam waktu yang sama, tubir mata terasa hangat. Beberapa hari ini mata dia terlalu banyak bekerja. Dipaksa bersenam untuk menghalang empangan matanya pecah. Apa lagi dia banyak menghabiskan masa sendirian di dalam bilik. Semakin cepat air matanya muncul.


“D…”


Duvet yang menutupi seluruh tubuhnya ditolak. Terkejut dengar suara garau yang sangat dekat. Tadi Dara memang sengaja kunci pintu. Dan dia juga tahu, yang berani munculkan diri menggunakan kunci pendua hanyalah Haris seorang.


“Buat apa? Tengah main sembunyi-sembunyi, hurm?”


Hilang sepasang mata Dara. Dia sedang paksa diri tersenyum pada Haris. Dia semakin benci akan dirinya bila Haris turut membalas senyumannya biarpun jelas suaminya nampak kepenatan dan tidak terurus.


Dara bangkit dari perbaringan.


“How are you today?”


Haris sengaja nak menambahkan rasa serba salah dia. Lihatlah, kalau emak yang datang, sudah lama telinga dia bernanah dengar leteran tiada penghujung gara-gara mengunci diri dalam bilik seharian. Sebaliknya, Haris langsung tidak bertanyakan mengapa dia berbuat demikian. Malah, Haris buat seperti tiada apa yang berlaku.


“Abang nampak penat. Abang perlukan rehat.”


Bukan Haris saja terkejut, Dara juga merasakan hal yang sama. Rasanya ini pertama kali dia ingin bercakap dengan Haris setelah sekian lama berkabung. Selalunya dia lebih mendiamkan diri atau mengusir terus Haris keluar dari sini. Tidak mahu diganggu.


Dara abaikan muka terkejut Haris. Dia berjaya mengembalikan senyuman dia yang telah hilang selama beberapa hari ini. Hari ini Dara ingin bangkit dengan azam baru setelah bermimpikan bayi mereka malam tadi. Ajaibnya, bayi mereka sudah besar. Sudah pandai ketawa. Dan tangan kecil itu tidak henti-henti mengusap pipinya yang basah.


Sekarang, dia masih terbayang-bayang wajah ceria bayi mereka biarpun wajah itu samar-samar. Tapi Dara yakin, anak lelaki mereka itu sama tampannya dengan Haris. Dia nampak sendiri berapa ramai anak-anak kecil lain yang mengelilinginya. Bukan main gembira anak syurga mereka main bersama-sama sehingga membuatkan Dara ikut tersenyum. Perlahan-lahan bayang Lukman menjauh. Meninggalkan Dara yang masih tersenyum sebelum bayang tersebut menghilang d isebalik kepulan asap putih.


“You make me jealous, Dara…”


Dara terpinga-pinga. Hilang terus bayangan mimpi malam tadi. Terkejut bila dengar Haris mengakui dirinya sedang cemburu. Sudah lama rasanya dia tidak berborak dengan Haris. Dalam waktu yang sama Dara sedang mencari dimana silapnya sehingga mengundang cemburu Haris.


“Did I? D mana ada lelaki lain? Sini je tempat D berapa hari ni.” Jawab Dara polos.


Jawapan Dara bukannya mengundang amarah Haris. Sebaliknya, ketawa Haris sampai ke pendengarannya.


“Abang dengar D sebut nama lelaki masa mengelamun tadi.”


Kelip-kelip Dara pandang Haris. Bila dia berbuat demikian? Sungguh! Dia tidak sedar kalau ada menyebut nama lelaki. Kalau ada pun, dia tidak sedar langsung. Dan Dara tidak sengaja.


Tangan Dara diraih. Wajah bingung isterinya ditatap lembut. Seperti selalu, Dara tidak pernah menolak sentuhan dia. Perlahan-lahan buku lima isterinya diusap.


“Abang dengar D panggil Lukman Haris.”


Haris tadinya ingin menduga reaksi Dara. Sebaik melihat seraut wajah isterinya, Haris rasa dia baru saja membuat keputusan yang salah. Tadi elok Dara tersenyum, sekarang perlahan-lahan dia sedang kehilangan senyuman tersebut. Jika dia tahu keadaan bertukar begini, dia akan diam saja apa yang dia dengar sebentar tadi.


“Forget it.” Haris ingin menjernihkan keadaan semula. Dia ingin hapuskan segera suasana canggung tersebut.


“Jom…” Dia perlu bawa Dara turun ke bawah. Dia ingin isterinya melihat dunia luar buat seketika. Belum sempat dia menarik Dara bangun, tangan dia terlebih dahulu ditarik untuk duduk semula.


“Lukman datang mimpi D.”


Sekali lagi Haris tergamam. Dia menjangkakan air mata Dara yang mengalir. Dia sangka, dirinya membuatkan Dara kembali bersedih kerana mengingatkan isterinya pada arwah anak mereka. Dia menyesal sangat-sangat bila terpandang wajah sugul Dara tadi.


Siapa tahu kalau sekarang Dara berubah sangat drastik. Tiba-tiba isterinya tersenyum lebar menceritakan tentang mimpinya. Isterinya nampak sangat gembira.


“Lukman besar dengan cepat. And guest what…”


“What? Did he grow well? Did he handsome like me?” Jangan kata Dara juga teruja, Haris juga sama bila melihat isterinya bersemangat cerita tentang anak mereka.


“Of course, Haris! His just like you.”


Bola mata Dara bersinar menceritakan bagaimana dia bertemu dengan anak syurga mereka.


“Dia ada ramai kawan dekat sana. Lukman gembira sangat!”


“D dah pesan tunggu kita dekat sana. Kita akan jumpa dengan dia nanti.”


Haris gagah mengukir senyuman bila suara Dara kembali bergema di dalam bilik mereka. Kembali ceriakan suasana bilik yang ikut sama berkabung.


“D pun bagi tahu dekat Lukman, daddy sayangkan dia. Daddy sentiasa temankan mommy. D pesan dekat Lukman juga, jangan risaukan mommy. I’m fine.”


Kerdipan Haris daripada dua kali, bertukar ke lima dan enam kali. Dia dan Dara berjanji tidak akan menangis. Entah kenapa, menjadi pendengar setia cerita isterinya buatkan dia sebak dan hampir menitiskan air mata.


“Lukman is a good boy…” Hanya itu mampu Haris katakan. Haris diam sejenak, menutup rasa sedih.


“Esok abang bawa D pergi tengok rumah Lukman. Abang dah hias rumah Lukman cantik-cantik.”


“Janji?!” Dara tidak mampu menahan rasa teruja dia.


Haris mengerdip mata sekali sebagai janji. Sememangnya, Dara teringin ke kubur Lukman. Atas faktor keadaan isterinya yang masih belum stabil dia terpaksa menangguhkan terlebih dahulu. Setelah melihat perubahan Dara, Haris rasa sudah masanya dia bawa isterinya berjumpa dengan Lukman.


“I love you abang!” Dara menerpa ke dalam pelukan Haris. Sejurus itu dia menerima kucupan hangat bertali arus di kepala. Dia mendongak bila merasakan ada sesuatu hangat yang menitis di kulit kepalanya.


“Did you cry, Haris?”


“Nope! Abang rasa syiling bilik kita bocor. I need to check it.”


Haris mendongak, mencari-cari di mana datangnya kebocoran tersebut. Malah suaminya bangun mendadak hingga Dara tidak tahu ingin memberi reaksi apa. Nak ketawa, boleh jadi dia sedang memalukan Haris.


Dara mengekori langkah Haris yang menuju ke muka pintu. Cukup selangkah lagi untuk keluar, Haris menoleh padanya sambil bercekak pinggang.


“Buat apa lagi? Jom!”


Kelip-kelip Dara pandang Haris. Dia belum siap. Dan kenapa dia perlu ikut Haris?


“Cepat tolong abang pegang tangga.”


Setakat pegang tangga, mana mungkin Dara nak bantu Haris. Kalau syiling bilik mereka betul-betul bocor, sudah lama bilik ini banjir. Tentunya tempat ini tidak selamat lagi buat dia. Tapi, rasanya Dara tahu dari mana datangnya kebocoran tersebut.


“D rasa, abang patut buat cermin mata. Sekurang-kurangnya kalau mata abang bocor, ada yang menghalang. Syiling bilik pun tak jadi mangsa dituduh. Betul tak?”


Dara menahan ketawa bila tangan Haris masih saja di pinggang, cuma renungan suaminya yang berubah. Tidak terima bila ayat dia mengena pada batang hidung suaminya. Cepat-cepat Dara turun dari katil. Dia ingin mandi. Sebelum dia meloloskan diri ke dalam, suara Haris itu bergema. Memberi peringatan mesra pada dia.


“Jangan lama-lama. Saudara mara abang ada dekat bawah. Dia orang tunggu D.”


Panjang helaan nafas Dara. Sudah masanya dia turun dan berhadapan dengan mereka semua. Sejak dari semalam lagi dirinya berada dalam radar mereka semua, menunggu-nunggu dia munculkan diri. Bagusnya, Haris tidak pernah memaksa dia untuk turun berjumpa dengan kaum kerabat dia. Itu yang Dara bangga dengan suaminya yang cukup memahami.


Selesai saja majlis tahlil, Dara sengaja sibukkan diri di dapur biarpun ditegah keras oleh mama Haris. Ini saja cara yang dia ingin mengelakkan diri daripada bertembung dengan sanak saudara Haris. Sejujurnya, Dara gementar berhadapan dengan mereka semua.


Perlahan-lahan lengan baju jubahnya disinsing sedikit untuk mula mencuci pinggan yang ada di sinki. Ketenangan Dara terganggu bila terdengar suara yang kedengaran sayup-sayup. Dan suara tersebut semakin lama, semakin jelas kedengaran


“Macam mana dia boleh tak sedarkan diri? Dah tahu badan tu tak berapa kuat, makan banyak-banyak sebelum bersalin. Baru ada tenaga. Ini tidak, boleh pengsan. Macam mana nak teran? Mati la budak tu!”


Pergerakkan tangan Dara terhenti. Seketika cuma sebelum dia teruskan kerja mencucinya biarpun tidak selaju tadi. Dia akan pekakkan telinga.


“Na tahu, macam-macam dah doktor buat nak selamatkan budak tu. Tapi nak buat macam mana kan...Umur tak panjang.”


Suara yang sama riuh bercerita.


Pergerakkan tangan Dara juga kian perlahan. Cerita itu juga yang Haris sampaikan padanya. Dia yang sengaja tidak mendengar cerita Haris. Sekarang dia perlu dengar kembali cerita yang membuatkan dia merasa serba salah atas kematian Lukman.


“Eh, Dara?!"


Segera Dara menoleh, dia melorek senyuman tipis. Raut wajah mereka-mereka yang terkejut itu diabaikan. Dara membasuh tangan dan mengelap sehingga kering lalu menghampiri mereka. Mungkin inilah makcik-makcik Haris yang teringin sangat berjumpa dengannya.


Dara menyalami ketiga-tiga makcik Haris.


“Buat apa dekat sini? Baru bersalin, mana elok buat kerja-kerja rumah?”


Pandangan Dara jatuh pada wanita yang sedikit gempal, berada di tengah-tengah antara mereka. Wanita itulah yang banyak bersuara sejak dari tadi. Yang banyak bercakap tentang dirinya.


“Jangan layan sangat Mak Long ni…Dara pergi depan. Orang tengah pantang, tak boleh buat kerja-kerja berat.” Wanita di sebelah kirinya pula bersuara sambil memaut lengan Dara lembut. Tak lupa juga dia menitip senyuman.



Bibir Dara turut membalas senyumannya. Sekadar senyuman tipis. Jiwa dia sudab melayang entah ke mana.


“Jaga diri elok-elok. Pantang kena jaga. Takut nanti-nanti susah nak melekat lagi. Tu…Badan tu pun…Nak pakai lama. Nak kena cantik-cantik luar dalam untuk suami. Barulah suami tak cari lain. Nanti dah tua-tua, tak ada lah sakit-sakit badan. Jangan cakap jadi suri rumah tangga malas nak buat semua tu.”


Rasanya, bukan Haris saja yang lancang bersuara. Seluruh kaum kerabatnya juga begitu. Kelancangan itu diwarisi turun temurun.


“Apa Kak Long cakap macam tu? Dara tu tengah bersedih. Kak Long nak tambahkan lagi kesedihan dia?” Wanita yang membela Dara tadi mencelah.


“Betul la? Kita orang tua-tua ni dah banyak makan garam. Nasihat untuk kebaikkan dia juga.”


“Tapi kasar sangat cara Kak Long nasihat.” Wanita lembut peribadinya terus-terus membela Dara.


“Mak Long tak tahu ke?” Muncul satu suara garau menyapa.


Tiga kepala menoleh serentak pada suara yang baru muncul kecuali Dara. Dia tahu siapa yang datang. Dan dia tahu, Haris pastinya akan berpihak pada kaum kerabatnya.


“Semua Mak Long tahu…Kamu yang muda-muda ni mana tahu.” Jawab Mak Long Haris yakin.


Bahu Haris berlaga dengan bahu Dara. Dia biarkan saja tangan kekar suaminya memaut bahu dia.


“Isteri saya ini bekas polis.”


Kali ini, tiga pasang mata tertumpu padanya. Tidak percaya dengan pengakuan Haris. Atas bawah dirinya ditilik.


 


“Beritahu dia orang cepat...Sebelum ni D bukan suri rumah tangga. Tapi bekas pegawai yang cengey." Haris berbisik pada telinga Dara. Dia mahu Dara tunjukkan pada mereka semua siapa dirinya.


Dara senang bila Haris berada dipihaknya. Malah suaminya memberi lampu hijau untuk bersuara.


“Biasa lah mak long…Orang tua-tua memang banyak makan garam. Lebih faham asam garam dalam berumah tangga. Tapi sayang, garam tu yang tak baik untuk kesihatan. Garam tu yang wujudkan darah tinggi. Dah kena darah tinggi, mula lah marah-marah tak tentu pasal. Kemudian lepaskan pada orang tak bersalah…Macam saya.”


Dara perasan raut wajah Mak Long daripada merah jambu, bertukar kemerah-merahan. Perlahan-lahan dia menapak. Selama ini dia tidak pernah terkesan dengan kata orang. Yang membuatkan dia terkesan, bila kata-katanya mengingatkan dia pada Lukman yang telah pergi meninggalkan mereka buat selamanya. Bukan niat dia ingin berkurang ajar. Tetapi dia terluka teruk.


“Saya boleh terima kalau nasihat tu kena dengan cara dan tempatnya...Saya juga tahu, Mak Long sayangkan Haris macam anak sendiri. Mak Long nak Haris bahagia.” Tangan Dara mendarat pada lengan Mak Long Haris.


“Jadi…Saya terima nasihat Mak Long dengan hati terbuka demi membahagiakan anak buah Mak Long tu.”


Dara melukis senyuman buat Mak Long Haris biarpun dia mungkin akan menerima amarah daripada wanita ini gara-gara kelancangan mulutnya.


Siapa sangka, senyuman Dara dibalas. Malah tubuhnya di bawa rapat ke tubuh gempal wanita di depannya. Semakin lebar senyuman Dara. Malah dia ikut sama membalas pelukkan Mak Long Haris.

Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.