GILIRAN Dara pula menunjukkan skill memasaknya setelah menerima sesi kuliah selama sebulan secara paksa. Banyak yang emak titipkan sampai Dara hampir lupakan kesemuanya. Dalam banyak-banyak titipan itu, hanya satu saja yang Dara ingat sampai sekarang. Perut suami kena jaga.
Selama satu jam berperang, Dara berjaya juga siapkan makan malam yang telah lewat gara-gara drama tidak terduga mereka sebentar tadi.
Puas Haris menghulurkan bantuan. Tetapi Dara lebih selesa bekerja di dapur sendiri. Gigih juga Dara mengusir Haris keluar dari zon dapur, sehingga dia lupa seketika persengketaan yang terjadi.
Dara rasa, bukan dia saja suka sendirian. Dia berani jamin semua para wanita di luar sana sukakan privasi ketika di dapur tanpa sebarang gangguan. Kerja pun lebih lancar dan bebas dari segala komen juri tidak berbayar.
Kini dia pandang Haris yang sedang membuat penilaian secara luaran masakan dia. Adalah dalam lima minit Haris begitu.
“Rupa tak penting. Yang penting sekarang ini perut saya...Perut saya dah mula ajak bergusti, Haris.” Ujar Dara dengan muka menahan geram.
Haris angkat ke dua tangan. Sedia untuk membaca doa. Selesai saja meraup wajah. Dara tanpa berlengah menjalankn tugasnya. Lincah tangan dia mencenduk lauk lalu diletakkan atas pinggan Haris. Dia tidak pedulikan renungan pelik lelaki ini.
Bagi Dara, gaduh-gaduh juga. Tanggungjawab tidak boleh dilupakan. Dia pun bukanlah anak kecil. Pemikiran dia perlu seiring dengan usia. Apatah lagi dia baru menyandang gelaran isteri orang.
Bagus Haris. Lelaki itu tidak merasa was-was langsung untuk mencuba masakan dia. Apa yang mampu dikatakan, Haris nampak teruja untuk mencuba.
Dia menjeling Haris yang nampak terdiam setelah suapan pertama selamat masuk ke dalam mulutnya. Dia perasan Haris sedang mengawal reaksi sebaik mungkin.
“Kenapa? Ada yang tak kena?” Soal Dara. Dia berharap Haris memberi pujian positif hasil kerja kerasnya. Atau dia bakal mengalami kemurungan selama satu minggu.
“Tak sedap?” Desak Dara lagi bila nampak betapa payahnya Haris untuk bersuara.
Malah dia nampak halkum Haris bergerak sekali hasil daripada usaha gigih suaminya menelan suapan pertama. Dan Haris seperti sengaja mengelak pandangan matanya.
Rasa kecewa terus menyapa. Perut dia terus sepi. Tiada bunyi-bunyi bergusti. Selera dia mati serta-merta.
“Sekarang saya faham. Ini lah perasaan isteri-isteri dekat luar sana. Penat-penat masak, senang je lelaki cakap tak sedap. Tak kena dengan tekak dia orang lah…Tak macam mak dia orang masak lah. Langsung tak jaga hati isteri yang penat masak…Apa saya boleh cakap, semua lelaki sama je.” Luah Dara. Wajahnya menunjukkan betapa terkilannya dia.
“Siapa cakap tak sedap?” Pangkah Haris laju.
Sepasang mata Dara mengecil. Percakapan Haris itu kedengaran tidak ikhlas. Semalam pujian diberikan datangnya dari hati dia yang ikhlas. Haris sendiri melihat betapa bersinarnya wajah dia. Malah dia makan sampai licin. Bukan dia tak nampak senyuman lebar Haris bila pinggannya kosong.
“Sedap.” Puji Haris yang meneruskan suapan ke dua.
Dara tersenyum puas. Reaksi ke dua Haris jauh lebih baik. Lebih memberangsangkan. Semakin lebar senyumanya.
“Lain kali saya masak lagi.” Ujar Dara yang menyambung santapannya yang tergendala gara-gara fokusnya pada Haris.
Hati siapa tidak berbunga-bunga bila Haris tetap memuji masakan Dara biarpun dia dengan sengaja menumpahkan lebih daripada lima sudu besar garam. Tidak hairanlah kalau esok Haris bakal menghidap tekanan darah tinggi. Itu lebih baik daripada dia berikan Haris ubat penenang.
Dia menjeling lagi Haris. Dia perasan suaminya mencapai gelas berisi air oren hasil daripada bancuhan dia juga. Dua kali teguk, dia perasan Haris tidak mampu meneguk lagi. Dan semestinya komen Haris diraih.
“Not bad.” Itulah Komen Haris.
Merekah lagi senyuman Dara. Tak teruk mana bukan? Seingat Dara, ada lebih kurang setengah kilo gula yang dia tertumpahkan dalam jug itu. Dan rasanya, hasil bancuhan dia jauh lebih hebat daripada ujian air gula ibu-ibu mengandung.
Hati Dara bukan main lagi bersorak gembira. Kalau Haris bagi dia tidur. Dara bagi dua dalam satu. Cukup tiga hari, Dara boleh bawa Haris untuk lakukan pemeriksaan. Dara sangat yakin kalau Haris bakal mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Memikirkan kesan sampingan Haris makan hasil masakannya, selera Dara berganda-ganda biarpun hanya makan telur dadar. Dia makan tanpa menghiraukan Haris lagi.
“Lain kali…Nak masak, saya akan turun padang.” Ujar Haris dengan tekak masih perit.
Jelingan Haris singgah pada isterinya. Bukan dia tak nampak mulut Dara yang terjuih. Pada mulanya, dia hairan melihat menu Dara hanya telur dadar bersama kicap. Rasa hairannya terjawab bila dia merasa sendiri masakan isterinya. Memang makanan ini disediakan khas untuk dia seorang sebagai serangan balas dia semalam.
Haris berusaha menjaga mulutnya sepanjang acara makan malam. Demi menjaga hati isterinya, dia gagah juga menelan tanpa marah mahupun menyindir. Janjinya selepas ini, dia akan turut serta di dapur bagi memastikan kerja-kerja jahat Dara itu gagal. Dia akan pastikan tiada lori gula mahupun lori garam yang terbalik dalam hidangan mereka. Perkara tersebut tidak baik untuk kesihatan dia mahupun Dara.
“TEPI, Haris.”
Dara ke kanan, Haris juga begitu. Tak perlu dia berganjak lagi, Haris pasti akan menjadi penghalang. Lalu dia panggung kepala, menatap Haris sambil berpeluk tubuh.
“Awak nak mulakan lagi?” Kalau Haris nak ajak dia bergaduh, tunggu dia belajar dulu ilmu mempertahankan diri. Biar adil. Dia akan jemput juri sekali untuk mengadili perlawanan mereka berdua.
“I need treatment.” Haris menyelak baju, menampakkan dadanya.
Dara mendekat. Dia akan berikan rawatan terbaik yang dia pernah ada. Bibir dia mendarat pada dada Haris sekilas. Diberikan juga tepukkan lembut.
“Get well soon!” Titip Dara.
Haris pandang Dara tanpa berkedip.
“Esok baik lah tu.” Ujar Dara dengan muka selamba.
Haris cuba menjernihkan kembali hubungan mereka. Dia cuba sehabis baik untuk mengajak Dara berbual. Siapa tahu, Dara itu sedang menguji keimanannya. Hilang semua susunan ayat dia karang sejam lalu. Semuanya gara-gara rawatan spontan isterinya.
“Tak cukup, Dara.”
Tangan Dara yang baru mendarat pada tombol pintu, terhenti. Dia menoleh. Tak cukup? Luka Haris itu tidak separah mana pun. Luka pun, sekadar luka dalaman. Bukan luar luaran yang boleh dirawat oleh mata kasar.
“Awak nak saya buat apa?” Soal Dara acuh tak acuh.
“Sini.” Jari Haris lurus pada dada kirinya pula.
Dara picing mata. Kurang mengerti.
“It’s hurt more.”
Takkanlah sebab tumbukkan rambang dia? Penumbuk dia tidak sebesar Haris yang mampu memecah setiap inci wajah. Ah, mana mungkin! Dara berteka teki. Namun dia perlu mencari tahu mengapa dada kiri Haris merasa sakit.
Dara mara selangkah. Tangan dia menyelak baju t-shirt Haris lebih luas, lebih mudah dia memeriksa. Dada suaminya bebas dari segala luka torehan. Lebam-lebam juga tiada. Seminit kemudian barulah dia tersedar sesuatu. Jangan cakap jantung Haris itu menunjukkan simptom-simptom awal serangan jantung? Jarang-jarang penyakit jantung beri petanda awal. Selalunya, serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba.
Mendadak tangan Dara memaut lengan Haris. Dia perlu bawa Haris segera ke klinik untuk dapatkan rawatan segera sebelum terlambat.
“It’s need more than a kiss.”
Tak jadi Dara ingin melangkah. Dia pandang Haris dengan kening bertaut. Pastinya wajah dia berkerut teruk ketika ini.
“It’s need forgiveness.”
Dara sedia memberi cop mohor kekal di dada kiri Haris. Biar berbekas. Berdarah pun tidak mengapa. Biar padan dengan muka Haris.
“Selagi awak tak maafkan saya, jantung saya tak keruan. Hati saya turut terkena tempias. Semuanya jadi sakit.”
Tangan Dara jatuh perlahan-lahan.
“Sorry about yesterday.”
Lembut suara Haris menyapa. Namun itu belum mampu melembutkan hatinya.
“Salah awak bukan semalam saja, Haris. Sejak dulu lagi.” Kalau Haris lupa, dia sedia ingatkan lelaki ini. Ajaibnya, suara dia ikut sama lembut. Mungkin penat bertelagah.
Mengendur bahu Haris.
“Kes tu tak pernah tutup, Dara.” Haris tahu. Isterinya tidak akan memaafkan dia selagi masalah dalaman mereka tidak selesai.
Dara picing mata. Tidak percaya dengan kata-kata Haris. Boleh jadi Haris sedang berbohong padanya.
“Kalau emosi awak dah stabil. Cari saya. Saya akan cerita habis-habisan. Biar jelas. Biar awak faham. Dan selepas tu, awak bebas untuk berpihak pada sesiapa pun.” Haris tidak mahu perbincangan mereka melibatkan emosi. Semua itu hanya memburukkan lagi keadaan.
Anak mata Dara bergerak-gerak. Dia mencari sejauh mana kejujuran Haris. Paling penting, mampukah dia percayakan Haris?
“Saya tak sepatutnya dedahkan sebarang maklumat, sebab itu semua sulit Dara. But, I’ll do all of this because I love you. Saya tak nak salah faham ini yang jadi penghalang untuk kita bahagia macam semua pasangan di luar sana.”
Diam di pihak Dara. Dia tak suka bila Haris meluahkan rasa cinta. Haris seperti sengaja nak buatkan dia merasa serba salah. Rasa serba salah itu akan menular dengan cepat, dan akhirnya dia kecundang.
“Saya tunggu.”
Haris berlalu pergi, dan hilang di sebalik pintu bilik paling hujung sekali. Bilik yang Dara tidak dibenarkan masuk sama sekali tanpa kebenaran Haris. Itu yang dipesan suaminya berkali-kali.
Dara masih kaku di situ. Hatinya masih berbolak-balik. Masih meragui suaminya. Takut Haris sengaja nak perangkap dia pun ya.
Setelah satu jam membuat pertimbangan. Akhirnya Dara menemukan senyuman Haris. Ya! Dia kini sudah berada di dalam bilik kerja Haris dek rasa ingin tahu yang tidak mampu dibendung lagi.
“Duduklah.” Mata Haris menjeling sekilas pada kerusi didepannya.
Dara menurut. Ini bukan masa yang sesuai untuk dia mulakan perang. Peperangan bakal dia lancarkan setelah mendengar semua penjelasan Haris. Itupun selepas beroleh keputusan kes.
“Saya tahu awak akan datang.”
Haris suka panaskan hatinya. Saja nak mengejutkan kemarahan dia yang sedang elok diulit mimpi indah.
Sekeping gambar diletakkan di atas meja. Mata Dara auto cerun. Dia memandang gambar tersebut dengan Haris silih ganti. Dan Haris perlu baca pandangan dia yang jelas-jelas meminta penjelasan.
“Bukan saya yang handle kes tu, Dara. Tapi dia.”
Membesar sepasang mata Dara. Berkedut seribu dahi dia. Kepala dia diserang soalan yang datangnya dari semua arah secara serentak.
“Tapi dia beritahu perkara sebaliknya? Yang saya handle kes ayah awak, begitu?” Haris mengutarakan soalan yang berada dalam kepala Dara. Dan kebisuan Dara, meyakinkan Haris itu yang mahu diluahkan isterinya.
Dara cuba kekal tenang biarpun dada dia sudah merasa sempit. Tiada udara mengalir.
“Dia pakcik Umairah.” Kata Haris.
Nafas Dara putus seketika. Dia berusaha menghadam apa yang baru dikatakan oleh Haris. Agak sukar untuk menerima hakikat mengenai hubungan mereka berdua.
“Pakcik Umairah terima habuan besar untuk tutup kes tu.”
Sejurus itu, sekeping kertas ditunjuk pada Dara. Jari Haris lurus pada nama dan tandatangan pada hujung bahagian bawah kertas. Laju Dara membaca nama pegawai penyiasat yang tertera. Dia tak kenal. Yang pasti itu bukan nama Haris!
“Dia gunakan nama saya untuk kaburkan mata semua. Dan saya perlu menerima kesalahan yang bukan datangnya dari saya.”
Bukan main laju mata Dara berkedip. Dia sendiri tak tahu maksud kerdipan dia sama ada dia saja nak menggedik atau kerana salah faham dia selama ini? Terus kepala teringatkan ayah. Ayah sering menegaskan bahawa Haris itu tidak salah. Ini ke yang ayah cuba sampaikan padanya?
“Masa ni saya baru putus tunang dengan Umairah. Awak rasa dia akan cari saya lepas dia sendiri buat keputusan untuk putuskan hubungan kami? Dan dia pasti tahu, saya tak akan berpihak pada dia.” Terang Haris.
Dara hanya tunduk membaca isi kertas yang elok tersusun di depan matanya. Apa yang dia tahu, semua bacaan tersebut tidak mampu dihadam lagi. Dia bingung. Tahu-tahu saja, Haris itu sudah duduk di atas meja, badannya dijatuhkan dekat pada dia.
“Sekarang, saya akan ambil alih kes ni…Dan saya sedang bekerjasama dengan pihak JIPS untuk siasat secara menyeluruh. Terutamanya kes melibatkan orang dalam yang melindungi kesalahan Emir selepas dia berjaya memperdayakan mangsa.”
Jeda. Dara mati ayat.
“Saya dah terangkan hal ini pada ayah awak sejak dari dulu lagi. Dan saya yang suruh ayah awak sembunyikan diri buat sementara waktu, sehingga kes ini selesai sebagai langkah berjaga-jaga.”
Hampir luruh rahang Dara. Tak perlu Haris terangkan lagi. Dia sendiri dapat mengagak siapa lagi yang terlibat. Semestinya emak tidak terkecuali.
Otak Dara ligat membuat rumusan. Dia menyusun semua puzzle sejak dari awal, lalu dicantumkan. Dipendekkan cerita, dia memang sengaja meletakkan surat tawaran kerja dari keluarga Haris di bawah bantal. Dia memang nak emak nampak surat tersebut. Dan dia yakin emak akan lakukan apa saja supaya dia berhenti kerja. Dara pula berbuat demikian, berdasarkan maklumat yang dia terima daripada Naim. Ya, Naim. Duda anak satu. Bekas kekasih dia.
Kata Naim, Hilman Haris merupakan pewaris kepada syarikat tersebut. Hanya itu maklumat yang dia terima daripada Naim. Itu pun secara kebetulan dia berjumpa dengan lelaki itu di Balai Polis setelah berulang-alik hampir setiap hari.
“Any question?” Haris membuka soalan pada Dara. Dia tahu, isterinya pasti tidak sabar untuk bertanyakan soalan padanya.
“Awak sengaja nak perangkap saya?”
Dara benci bila soalan dia dibalas dengan senyuman smirk Haris.
“Nope!”
Haris masih nak menafikan? Berapa banyak komplot yang lelaki ini cipta? Berapa ramai orang yang terjebak dalam komplot Haris termasuk orang tuanya?
Dara bangun mendadak. Begitu juga Haris.
“Tak payah nak pura-pura, Haris.” Geram bila Haris masih tidak mahu mengaku.
“Okey, alang-alang...Biar saya bocorkan satu rahsia.” Sepasang tangan Haris jatuh dari memeluk tubuhnya sendiri. Kemudiannya, tangan Haris itu mencengkam bahu Dara. Lalu tubuh isterinya dibawa rapat. Bibirnya mencari cuping telinga Dara.
“Kalau awak nak tahu, saya ni spesis jerung yang hanya pandai perangkap manusia. Bukan setakat cinta saya dapat, saya akan pastikan setiap inci tubuh dia juga akan menjadi hak milik saya. Hanya saya."
Sepasang bibir Dara bertemu setelah mendengar bisikan Haris. Dia tidak mahu mencarut. Cuma satu yang ingin dia katakan.
Dasar jerung licik!
Sedang Dara marah, sepasang tangan kasar Haris melekap di pipi lalu dipaksa mata mereka bertentang. Bahkan Haris merapatkan wajah sehingga dia dapat merasakan setiap hembusan nafas lelaki itu.
“Saya akan pastikan nasib ayah awak akan terbela dan bersih dari segala tuduhan palsu."
Separuh hati Dara percaya dengan janji Haris.
"Berikan saya sedikit masa, Dara."
Tak salah jika Dara berikan Haris peluang. Setakat ini, belum Haris menghampakan dia.
"Awak percayakan saya?"
Perlahan-lahan kepala Dara turun naik. Reaksi dia mengundang senyuman lebar Haris. Bibir lelaki itu juga bergerak-gerak mengucapkan terima kasih.