Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
29,302
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 2

TATKALA azan maghrib berkumandang, barulah Dilaila menjejakkan kaki di ambang pintu rumahnya. Biarpun dia berusaha untuk tidak bertembung dengan ibunya tetapi wanita itu terlebih pantas mencium bau kehadirannya.

“Kau dari mana, Dilaila?”

Wajah bujur dengan dagu berlekuk itu terkejut dan dengan gugup dia menjawab, “Rumah Jessila...” Kata-katanya tergantung di situ sahaja kerana seboleh mungkin dia tidak mahu menipu.

“Kenapa lambat?”

“Hujan lebat. Dilaila tunggu hujan teduh baru balik.”

“Pergi mandi. Lepas tu kau tanak nasi dan panaskan lauk. Mak ada kenduri kat rumah Mak Cik Leha.”

“Habis tu mak tak makan kat rumah?”

“Tak.”

Dilaila hanya mengangguk. Lega kerana ibunya mahu keluar dan tidaklah akan memanjangkan soal selidik tentang pemergiannya petang tadi. Mungkin ibunya sudah berpuas hati dengan jawapannya. Memang benar hujan lebat dan atas alasan itu dia terselamat.

Usai mandi, dia melakukan kerja yang diarahkan ibunya. Perutnya masih kenyang dan dia tidak berhasrat hendak makan. Selesai memanaskan lauk dan menanak nasi, dia menutup lampu dapur agar tidak membazirkan elektrik.

Cuma lampu ruang tamu dan lampu luar sahaja yang terpasang. Bila bersendirian begini, gadis bermata galak ini lebih gemar memerap di dalam bilik sambil mendengar radio.

Sambil meniarap di atas katil Dilaila mencapai begnya lalu mengeluarkan buku-buku rujukan yang dipinjam daripada Jessila. Buku itu sudah tidak digunakan oleh Jessila yang dua tahun lebih tua daripadanya. Jessila sudah pun masuk UiTM. Manakala dia pula bakal menduduki SPM tahun ini.

Dilaila mahu mengikut jejak Jessila. Malah kalau boleh dia mahu ke luar negara. Dia mahu belajar di Korea Selatan. Biarlah orang lain sibuk ke Amerika Syarikat, Australia atau Eropah, namun si gadis periang, cekal dan bercita-cita tinggi itu tetap mahu ke negara Asia Timur yang semakin popular.

‘Kalau kahwin dengan orang Korea pun apa salahnya,’ fikiran nakal terlintas di benaknya. Malah, setakat ini pun belum ada jejaka Melayu yang berjaya mencuit hatinya.

‘Ah... lelaki Melayu tak boleh dipercayai,’ suara dalamannya terus berperang. Contoh terdekat yang melekat dalam fikirannya ialah bapanya sendiri dan Gaban, adik angkat a.k.a kekasih ibunya sekarang.

‘Tetapi bagaimana dengan jejaka yang duduk di sebelah Razak tadi? Bukahkah dia tampan mengalahkan Aaron Aziz? Kulitnya putih, alis matanya tebal, bibirnya merah. Ah, rambutnya... yang jatuh menutup dahinya nan luas. Aduh... boleh buat hidup tak keruan bila mengenangkannya.’ Dia terus berangan.

Seketika mengelamun, akhirnya dia tersedar dan mengeluh keras sambil menepuk-nepuk kepalanya sendiri, ‘Hish, apa yang aku mengarut ni? Fokus Dilaila, fokus! Kau nak periksa!’

Gadis beralis mata tipis runcing itu pantas mencapai buku latihan Matematik. Matanya sengaja dibulatkan dengan harapan dia akan lebih fokus. Diselaknya halaman buku itu sehelai demi sehelai. Setelah tiba di bahagian Statistik, dia segera memulakan latihan untuk memperbaiki kelemahannya. Dilaila tidak mahu mengalah sebelum berjuang, sesuai dengan bentuk alisnya yang melambangkan dia seorang yang kuat semangat dan pada masa yang sama, tegar berdebat.

Hampir sejam dia mengulang kaji, kelopak matanya terasa berat dan dia mula menguap tidak henti-henti. Akhirnya si gadis mengalah. Otaknya meminta direhatkan. Sebaik kepalanya disorong pada bantal dia terus terlelap keletihan.

PINTU yang tidak berkunci dikuak. Derap kaki diperlahankan dan terhendap-hendap memasuki ruang tamu. Matanya melingas ke kiri dan kanan sebelum tertarik pada daun pintu berjurai manik. Pintu yang sedikit ternganga segera ditolak perlahan. Dia mengintai. Kelihatan sekujur tubuh meniarap dengan buku-buku sekolah yang berserakan.

Senyuman terukir di bibir. Raut wajah itu merona merah menahan nafsu. Anak matanya rakus meratah tubuh yang masih kaku di situ lalu berhenti pada kaftan batik yang terselak hingga mendedahkan paha nan putih gebu.

Dia melangkah masuk. Memerhatikan dengan penuh asyik panorama di depannya hingga merangsang suatu perasaan aneh dalam dirinya. Semakin lama, nafasnya semakin deras. Tangannya pula merayap ke celah pahanya sendiri.

Terdengar bunyi merengus yang kuat di sisi, Dilaila terjaga. Perlahan-lahan dia cuba mencari dari mana datangnya bunyi ganjil itu. Seketika kemudian, matanya bulat merenung wajah penuh nafsu Gaban. Saat matanya jatuh ke tangan pemuda itu, terus dia menjerit tetapi dengan pantas sebelah lagi tangan sasa itu menekup mulutnya hingga suaranya tenggelam kembali.

Dia cuba meronta dan mencakar pipi lelaki itu dengan kukunya yang agak panjang. Namun, dia tidak mampu meloloskan diri, tenaga jantan Gaban begitu kuat menindih tubuhnya.

“Kau jangan beritahu mak kau. Kalau hal ni bocor, aku kerjakan kau!” Dengan nada keras pemuda itu memberikan amaran sebelum segera menghilangkan diri.

Melihat Gaban pergi, Dilaila bangkit sambil tangannya terketar-ketar mengunci pintu. Dalam keadaan masih panik, dia sedar yang tubuhnya terkena sesuatu yang melekit. Dengan pantas dia mengesat lengannya dengan selimut daripada lendir putih yang menjijikkan. Baunya yang asing membuatkan tekaknya mual dan loya.

Dilaila menggigil dan mula seram sejuk. Kehormatannya sebagai wanita telah dicabul! Dia malu! Ironinya, bolehkah ibunya mempercayai ceritanya itu? Bukankah lelaki itu kekasih ibunya?

Pada Salimah pula, 1001 janji manis ditaburkan oleh Gaban. Benar Gaban memang cakap tak serupa bikin. Gaban hanya mahu mempergunakan Salimah yang dahagakan perhatian dan kasih-sayang.

Salimah menjadi ‘pelindung’ buat Gaban. Tidak suka kalau ada yang berprasangka pada Gaban. Dia sanggup mempertahankan lelaki itu dan menempelak sesiapa sahaja yang cuba bercerita tentang hal buruk Gaban termasuk Nek Tijah.

Dilaila buntu. Kejutan yang diterima sebentar tadi benar-benar membuatkan jiwanya separuh melayang. Bermacam-macam perasaan berlegar-legar dan berlari-lari keluar masuk ke dalam benaknya.

DI LUAR bilik, gelombang frekuensinya pun tidak kurang hebat. Gaban gelisah menunggu Salimah. Dia tidak berganjak dari sofa. Wajahnya menghadap kaca televisyen tetapi ekor mata mengawasi pintu bilik. Sesekali dia berdehem keras sebagai isyarat amaran buat Dilaila yang masih berteleku di biliknya.

Akhirnya suara Salimah memberi salam mengejutkan tetamu tanpa diundang itu yang sejak tadi membisu melayan perasaan. Wanita itu menguak daun pintu hadapan dan sebaik terjengul, hatinya berombak bila ternampak Gaban sedang duduk di depan televisyen. Jarang lelaki itu berada di rumahnya kalau tanpanya di sisi.

Salimah mengerling ke arah bilik anak gadisnya. Gelap! Biarpun agak pelik, namun dia membuat andaian yang Dilaila sudah tidur. Lalu dia menuju ke dapur dan meletakkan bungkusan di atas meja makan.

“Kamu dah makan?” soal Salimah sekadar berbasa-basi.

“Dah,” balas lelaki itu bersahaja.

“Dah lama kamu sampai?”

“Baru,” jawab Gaban sepatah sedang mata tetap tidak berkalih dari televisyen.

Salimah berasa cuak. Rasa kurang enak melihat perangai lain macam lelaki itu. Selalunya dia mesra dan mengada-ngada. Dijelingnya lelaki itu, terlihat rambutnya yang agak panjang tidak terurus sebelum jatuh ke pipi dan matanya tertancap pula pada kesan palitan merah yang agak panjang.

Hati kecil Salimah terdetik, ‘Kenapa pipi dia bercalar ni?’ Malangnya, tidak dilayannya rasa sangsi itu sebaliknya dia terus masuk ke bilik untuk menyalin pakaian lalu keluar semula di ruang tamu, namun Gaban sudah ghaib. Bunyi enjin motosikal seketika kemudian memberikan isyarat pemergiannya.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh