DI RUMAH, Salimah tenang menanti kepulangan anaknya
bersama jenazah Nek Tijah. Sesekali tangan-nya menyambut salam jiran tetangga
yang datang melawat. Seorang wanita sedang sibuk membentang kain kapan di ruang
tamu. Sesekali dia bersuara memberi arahan itu dan ini kepada pembantunya. |
Sebuah troli mandi jenazah sudah tersedia. Perancangan rapi sudah
diatur kemas dengan tirai pengadang dipasang buat sementara. Jenazah perlu
terus dimandikan dan dikapankan sebelum maghrib menjelang tiba.
Atas permuafakatan penduduk kampung, aturan ini tidak pernah
dibantah oleh tuan rumah atau keluarga si mati. Tiada urusan yang mahu
dilengah-lengahkan. Segala yang tidak ada akan diusahakan untuk diadakan. Jika
tidak ada di rumah si mati, jiran tetangga pula menawarkan bantuan untuk
mengadakannya.
“Jenazah dah sampai.” Kedengaran suara seorang lelaki memaklumkan
kepada yang kumpulan wanita di dalam rumah. Berbalam-balam kelihatan sebuah van
jenazah merayap masuk ke pekarangan rumah Salimah.
Jam sudah menunjukkan pukul 6.50 petang. Nampaknya urusan perlu
disegerakan. Tanpa berlengah jenazah dimandi dan dikapankan. Setelah sempurna,
ritual memberikan penghormatan terakhir dilakukan.
Tatkala itu, Luqman muncul sambil berteriak memanggil neneknya.
Salimah terkejut. Mahu sahaja ditempelaknya si tempang itu agar berlalu dari
situ tetapi hajatnya terbatal apabila dia ternampak Razak turut tercegat di
situ. Pantas Salimah memalingkan wajahnya ke arah lain.
“Nek!” jerit Luqman.
Wajah Salimah cemberut. Hatinya memang benci dengan suara itu.
Tidak sudi dia hendak menatap wajah Luqman yang terlampau buruk baginya.
“Nenek mana? Lama Man tunggu nenek kat rumah. Tapi nenek tak
balik.”
Berdesing telinganya mendengar suara itu. Dia meramas hujung
bajunya. Marah memuncak! Salimah berpaling lalu berteriak, “Dia dah mati sebab
kau bawa sial!”
Luqman terkesima. Jiran tetangga menganga. Ada pula yang hanya
menggeleng-geleng.
“Sabar Salimah, dia tak tahu apa-apa. Jangan marah dia macam tu.
Lagipun depan jenazah tak elok cakap kuat-kuat.” Salah seorang jiran bersuara.
Salimah bungkam. Dia bangkit menuju ke dapur. Mungkin mahu mencari
ketenangan yang bagaikan tidak bertembung. Entah mengapa marahnya makin membuak
dan mahu dilepaskan kesemuanya kepada Luqman, tetapi kerana malu pada jiran
tetangga dia cuba melarikan dirinya daripada khalayak ramai.
Luqman didorong oleh Razak agar ke hadapan supaya dia dapat
melihat tubuh siapa yang sedang terbujur dan dikerumuni orang ramai. Luqman
perlu tahu keadaan sebenarnya nenek kesayangannya.
“Eh, nenek kenapa tidur? Bangun nek, Man lapar. Nek janji nak
masak mi bandung Muar hari ni,” ujar Luqman sambil mendapatkan Nek Tijah. Saat
itu dia nampak adiknya sedang tunduk menahan esakan.
“Dilaila, kenapa kau nangis? Nenek, kenapa tak bangun-bangun?”
Dilaila mengangkat
wajahnya. Dengan mata yang merah dia menarik Luqman agar duduk di sisinya.
Tangannya terketar-ketar menyeka air mata sebelum mencium dahi wanita itu.
Luqman semakin gelisah.
Kemudian, Dilaila memandang abangnya lalu bersuara, “Nenek dah
pergi tinggalkan kita. Kau ciumlah dahi dia.”
Dahi Luqman berkerut. Razak merapatkan bibirnya ke telinga Luqman,
“Nenek kau dah meninggal.”
Luqman terdiam. Tubuhnya bergegar.
Dilaila segera mengengsot sedikit untuk memberi laluan kepada
Luqman agar memberi kucupan terakhir. Luqman menurut arahan adiknya.
Perlahan-lahan dia faham perkara yang sedang berlaku. Air matanya mulai
bercucuran. Tetamu yang berada di situ turut tidak mampu menahan air mata.
Mereka sepi seribu bahasa hingga yang kedengaran hanyalah esakan yang
ditahan-tahan sahaja.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, kita sembahyang maghrib berjemaah
kemudian kita solat jenazah. Urusan jenazah ini perlu disegerakan. Tak elok
kita lambat-lambatkan.” Suara Imam memecah kebisuan.
Saat jenazah diangkat untuk disembahyangkan, Luqman masih
terjelepok. Suaranya tidak kedengaran. Cuma tubuhnya sahaja yang bergegar
menahan esakan.
Usai solat maghrib dan solat jenazah, keranda diusung ke dalam van
jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan. Dilaila memapah abangnya untuk
menaiki van tetapi ditegah oleh Razak.
“Kamu naik kereta dengan Amer. Biar aku saja naik van.”
Gadis itu akur dan mengekori pemuda itu. Dia dan Luqman duduk di
bahagian belakang. Tiada siapa yang berani hendak duduk di sisi pemuda yang
belum dikenal rapat itu.
Dilaila lebih banyak tunduk daripada memandang persekitarannya.
Dia tidak memandang wajah Amer. Yang dia tahu pemuda itu berkaca mata hitam.
Memang pelik bila melihat orang berkaca mata hitam pada waktu malam. Mungkin
Amer sakit mata. Tetapi Dilaila terlalu sedih hendak mengambil pusing tentang
hal itu. Yang penting dia sampai ke tanah perkuburan.
Kira-kira lima minit kemudian, mereka tiba di tanah perkuburan
yang terletak hanya tiga kilometer dari rumah. Terkial-kial Luqman mendaki
lereng bukit di kawasan perkuburan kerana liang lahat Nek Tijah telah digali di
kawasan yang agak tinggi. Keadaan yang gelap membuatkan perjalanan tambah
sukar.
Dilaila memimpin tangan abangnya agar tidak hilang keseimbangan.
Amer sudah jauh meninggalkan mereka. Sebaik tiba, jenazah Nek Tijah sudah
dikeluarkan dari keranda. Jiran-jiran turut membantu segala yang patut. Razak
dan anaknya sudah berada di dalam liang lahat untuk menyambut jenazah. Lampu
kalimantang yang dipasang menjadikan tempat itu terang-benderang untuk
memudahkan urusan pengebumian.
Air mata Dilaila terhambur
lagi. Hiba melihat sekujur tubuh tua yang bersalut kain putih bakal disemadikan
hari ini. Namun, di hujung usianya Nek Tijah telah berbakti pada Luqman. Tiada
apa yang perlu dikesalkan kerana dia merupakan wanita yang pengasih dan
pelindung buat cucunya yang lemah. Dia berhak mendapat tempat yang terbaik di
sisi ALLAH S.W.T.
Luqman yang tidak mampu berdiri lagi terus terjelepok. Saat liang
lahat dikambus, dia mula meraung. “Nek, kenapa nenek mati? Siapa nak jaga Man?
Siapa nak masak mi bandung untuk Man?”
Hancur luluh perasaan Dilaila melihat keadaan abangnya. Dia
sendiri tidak tahu nasib Luqman selepas ini. Apakah ibunya sanggup memelihara
anak malang itu atau apakah dia akan hidup melarat sendirian di rumah usang
tinggalan Nek Tijah?
Suasana sayu menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu tatkala
talkin dibacakan. Salimah langsung tidak kelihatan. Dia tidak tega mengiringi
jenazah bekas ibu mertuanya di situ. Mungkin dia diselubungi oleh perasaan
bersalah atau sebal kerana persengketaan yang berlaku di antara mereka berdua
sebelum ini. Atau mungkin memang Salimah tidak selesa berada di tanah
perkuburan yang boleh menimbulkan 1001 perasaan yang meresahkan.
“Man nak tabur bunga?” soal salah seorang jiran yang sangat
bersimpati terhadap nasib anak muda itu.
Luqman bangkit menyambut bakul bunga yang diunjukkan padanya.
Terhincut-hincut dia berjalan merapati pusara Nek Tijah yang sudah menggunung
tanahnya. Razak dan Amer yang lencun dibasahi peluh hanya memerhati dengan
pandangan sayu.
Bulan yang tadinya bersembunyi kini mulai mencarak langit.
Jiran-jiran yang hadir sudah mula bersurai untuk pulang ke rumah masing-masing
meninggalkan keluarga si mati di situ. Dalam terang bulan, Luqman menangis
lagi.
“Man, mari balik.” Razak memujuk perlahan.
“Man nak duduk sini dengan nenek.” Luqman bersuara sambil
menggeleng. Dia sudahpun bersila di atas tanah merah. Kedudukannya pusara itu
sangat hampir dengan sebuah liang yang belum digunakan. Dilaila sempat
mengerling ke arah liang lahat yang baru digali itu.
“Yang itu untuk Gaban.” Razak pantas memberitahu tanpa dipinta.
Mungkin dia faham tanda tanya yang menujah ke benak gadis itu. Dia baru
dimaklumkan bahawa Gaban pun telah dijemput ILAHI.
Dilaila mengangguk. Gaban sudah jadi sejarah. Maka tamatlah satu
kisah seorangflasher(exhibitionism) atau istilah psikologinya,paraphilias. Ia merujuk kepada kecenderungan individu yang melepaskan nafsu
dengan cara menunjukkan alat sulitnya di khalayak umum khususnya gadis dan
kanak-kanak perempuan.