LAMUNAN Salimah terhenti apabila seorang lagi
tetamu tak diundang muncul memberi salam. Dia bangkit dan menjenguk di muka
pintu. Di situ terjengul wajah Razak Saleh, pesara polis yang selalu mengambil
berat terhadap hal ehwal dia dan Dilaila. |
“Mah, kau kena ikut aku ke hospital
sekarang!”
“Sudahlah tu, Razak. Kalau dia dah mati,
kau hantar sajalah dia ke rumah mak bapak dia. Aku dah tak ada kena mengena
dengan dia lagi.”
“Eh, Mak Cik Tijah mana ada keluarga lain
selain kau?”
Salimah kaget. Wajah yang mula berkedut
itu ditatapnya dalam-dalam. Pada awalnya dia sangka orang yang dimaksudkan oleh
Razak ialah Gaban, “Kenapa dengan orang tua tu?”
“Mak mertua kau kemalangan di pasar tani.”
Bagai hendak gugur jantungnya mendengar
kata-kata yang terpacul dari mulut lelaki itu. Fikirannya bercelaru tidak tahu
apa yang hendak dibuat pada waktu itu. Dia berpaling semula hendak mencapai
tudung di biliknya tetapi kakinya terpaku apabila melihat Dilaila sudah tegak
di pintu bilik sambil memandangnya dengan muka pucat.
“Nenek kau kemalangan. Nak ikut ke
hospital?” soal Salimah.
Gadis itu tidak menjawab kerana dia sudah
mendengar perbualan Razak dan ibunya tadi. Dadanya berombak cemas. Pantas masuk
semula ke bilik untuk menyiapkan diri seadanya. Beberapa ketika sahaja mereka
sudah pun berada dalam perut kereta Razak menuju ke Hospital Pakar Sultanah
Fatimah, Muar.
“Macam mana nenek boleh kemalangan?”
Dilaila pantas menyoal.
Razak membuka cerita mengenai kejadian
yang berlaku di depan matanya, “Mak Cik Tijah dengan Luqman nak melintas. Aku
tolong pimpin Luqman. Mak Cik Tijah di
belakang. Bila sampai ke seberang jalan, baru aku perasan Mak Cik Tijah masih
berada di garisan tengah. Masa tu tiba-tiba plastik telur yang Mak Cik Tijah
bawa tu bocor, habis telurnya bertaburan. Dia berhenti nak kutip baki yang elok
lagi. Belum sempat aku nak tolong tiba-tiba muncul sebuah motosikal terlanggar
dia.”
Dilaila mencelah, “Keadaan dia?”
“Parah dan dah dibawa ke hospital,” balas
Razak ringkas.
Salimah pantas menyampuk, “Penunggang tu?”
“Parah juga. Orangnya kamu kenal sangat.”
“Siapa?”
“Gaban!”
Serta-merta jantung Salimah berdegup
kencang. Teringat dia tentang tali brek depan motosikal Gaban yang menjadi
mangsa kemarahannya. Tubuhnya menggigil dan dia terus membatu. Rahsia itu perlu
disimpan kemas dalam perutnya.
LAMA Salimah mengelamun sampai tidak sedar yang mereka
sudahpun berada di pekarangan hospital. Kakinya mengekori langkah Razak. Mereka
menuju ke kaunter pertanyaan. Salimah dan Dilaila yang masih terkejut tidak
mendengar soalan yang ditanyakan oleh Razak.
“Wad ICU Neurologi, tingkat dua.” Razak
kemudian memberitahu dua beranak itu tanpa ditanya. Mereka bergerak ke tempat
yang dinyatakan tadi.
Tiba di sana, Razak memberi laluan kepada
Salimah dan Dilaila untuk masuk dahulu. Di dalam wad, tubuh Nek Tijah bagaikan
prototaip robotTransformers, mesin-mesin di kanan dan kiri katil,
wayar-wayar bergantungan. Mukanya pula lebam dan membengkak.
Dilaila tidak dapat menahan diri. Dia
menangis teresak-esak hingga menarik perhatian jururawat bertugas, “Mak cik dan
adik, keluarga nenek Khatijah?”
Anggukan Salimah membuatkan jururawat itu
mengukirkan senyuman lebih lebar. Mungkin hatinya lega kerana kehadiran dua
manusia itu telah membantunya menyampaikan pesanan doktor kepada waris pesakit.
“Doktor nak jumpa mak cik. Nanti saya
panggilkan doktor sebentar.” Jururawat itu berlalu seketika untuk membuat
panggilan telefon.
Beberapa ketika kemudian, doktor datang
lalu mendapatkan Salimah dan Dilaila. “Mak cik mari ikut saya, ada perkara yang
hendak saya bincangkan.”
Sebaik duduk, Doktor Hasnul mencapai
sehelai filem x-ray. Diletakkan pada kotak lampu dan mula bersuara, “Kecederaan
dia sangat parah. Berdasarkan usianya, agak susah untuk dia pulih seperti sedia
kala. Yang paling kita takut ialah pendarahan pada bahagian kepalanya.
Tempurungnya retak. Pembedahan masih belum dapat dijalankan kerana keadaannya
tidak begitu stabil.”
“Ada harapan tak, doktor?” Lirih suara
Dilaila bertanya.
“Agak tipis. Keadaan dia kritikal dan
bergantung seratus peratus pada mesin bantuan pernafasan. Malah degupan
jantungnya pun sangat lemah. Berdoalah pada ALLAH. Semoga DIA kuatkan semangat
nenek Khatijah untuk hidup. Sekarang ni kita hanya bergantung pada takdir!”
Air mata Dilaila tumpah lagi. Tersengut-sengut
bahunya menahan esakan. Salimah pula masih mampu tenang. Air matanya mahal
tatkala itu. Entah kenapa perasaannya bercampur baur dan rasa sedih bagaikan
gagal menyerbu keluar melalui riak wajahnya. Begitu keras lantai hatinya.
“Beritahulah saudara mara terdekat.”
Nasihat doktor yang sudah begitu berpengalaman dalam situasi trauma sebegini.
Memang jarang warga tua yang mampu bertahan lama dengan kecederaan parah
begitu.
SELEPAS beberapa ketika, kedua-dua beranak itu keluar
lalu mendapatkan Razak. Salimah berjalan di hadapan sambil diekori oleh
Dilaila. Langkahnya terhenti apabila melihat Razak sedang berbual dengan
seseorang yang dikenali, ibu Gaban! Wanita itu turut berpaling dan mata mereka
bertatapan seketika sebelum masing-masing memalingkan wajah ke arah berlainan.
Dia terus berlalu kerana mungkin tidak
senang untuk berhadapan dengan Salimah yang pernah suatu ketika dulu diserang
dan dimaki hamun kerana menjalin hubungan dengan anak terunanya.
Razak yang menyedari kehadiran Salimah
segera menyapa, “Macam mana dengan Mak Cik Tijah?”
Salimah menjelaskan kepada Razak tentang
pendapat doktor. Razak menggeleng dan mengeluh.
“Kamu kena tunggu sini dan bersedia dengan
segala kemungkinan. Biar aku pulang dulu. Nanti petang aku datang balik. Ini
nombor telefon aku. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat bagi tahu aku.”
Salimah mengangguk sambil mengerling ke
arah ibu Gaban yang sudah pun berlalu dari situ, “Macam mana dengan anak dia?”
“Oh, dia masih koma.”
“Kan bagus kalau mati terus! Taklah
menyusahkan orang!” Tanpa mampu berselindung terpacul kata-kata sumpahan
daripada bibir Salimah.
Razak terkejut, “Eh... kenapa dengan kau
ni, Salimah? Bukan ke Gaban tu selalu ke rumah kau?”
Dilaila memandang ibunya. Salimah
pura-pura tidak mengerti, “Hmm... biar padan muka dia. Syaitan!”
Razak beristighfar. “Tak baik cakap macam
tu. Aku tak tahu salah apa dia pada kamu. Tapi pada saat macam ni, kau
doakanlah keselamatan dia. Buat apa nak bermusuh-musuh. Tak baik. Hidup kita
pun bukannya lama.”
“Cakap memang senang, Razak. Kau tak tahu
dosa apa yang dia dah buat.”
“Aku tak nak campur hal peribadi kau, tapi
tak elok kalau kau terus berdendam. Err... aku tak boleh lama di sini nanti Nor
bising.”
“Yalah... baik kau balik sebelum Nor tuduh
yang bukan-bukan nanti.”
Sindiran Salimah sangat terkesan di hati
Razak. Lelaki itu mengukir senyum pahit lalu beredar dari situ.
Sebaik Razak hilang, Dilaila bersuara pada
ibunya yang masih terpaku, “Mak buat apa pada Gaban?”
“Buat apa? Kau sendiri dengarkan dia yang
langgar nenek kau!”
“Tadi Dilaila dengar mak gaduh dengan dia.
Kenapa mak marah sangat pada dia?” soal Dilaila sambil melarikan wajahnya. Dia
gerun hendak menatap wajah ibunya.
Salimah menempelak, “Dah kena rogol pun
kau masih nak pertahankan dia?”
Dilaila terkejut, “Mak, dia tak buat macam
tu!”
“Tapi dia ada masuk dalam bilik kau kan?”
“Memanglah ada. Tapi dia tunjuk ‘anu’ dia
pada Dilaila. Bila Dilaila jerit, dia ugut supaya diam. Lepas tu dia keluar
dari bilik.”
“Kalau dia tak rogol buat apa dia
tunjukkan ‘anu’ pada kau?”
“Dia tuflasher. Mak pun dah pernah
dengar cerita tentang perangai jahat dia tu kan? Dia dah pernah kena tahan
pasal tu, tapi mak jamin dia. Mak percaya sangat pada dia.”
Salimah terkesima. Fikirannya berkecamuk.
Memang perbuatan Gaban itu jahat tetapi belum sampai tahap meragut kesucian
Dilaila. Ternyata Salimah sudah tersilap perhitungan. “Betul dia tak rosakkan
kamu?”
Gadis itu mengangguk.
Serta-merta tubuhnya lemah. Salimah
terjelepok di situ. Kesalahan Gaban bukan seberat yang dia sangka. Berat
hatinya waktu itu. Nafasnya terasa sesak. Dia sudah membuat tuduhan melulu pada
Gaban dan akhirnya lelaki itu terlanggar ibu mertuanya. Ah, apakah dia punca
kemalangan itu berlaku? Rasa bersalah menusuk-nusuk ke sanubari Salimah.
Melihat keadaan ibunya, Dilaila panik. “Mak,
sabarlah. Insya-ALLAH nenek dan Gaban akan selamat.”
Menangis tidak, bersuara pun tidak.
Salimah terus membisu. Terkial-kial Dilaila memapah ibunya agar dapat
melabuhkan punggung di kerusi. Seketika kemudian, barulah Salimah boleh
bernafas dengan tenang.
SUASANA
di wad ICU kembali tenang. Hanya tinggal sekelompok keluarga sahaja yang berada
di situ. Yang lain mungkin sudah kembali ke rumah masing-masing atau yang
dinanti sudahpun dijemput ILAHI. Itulah rutin kehidupan. Yang lahir diraikan,
manakala yang pergi ditangisi.
Dilaila terpandang ibunya yang sudah tercongok sambil tunduk
merenung lantai. Pantas dia mendapatkan ibunya. Merasakan seseorang sedang
menghampirinya, Salimah menoleh. “Kamu ke mana lama sangat?”
“Telefon Pak Razak tanya fasal Luqman.”
“Buat apa kau sibukkan dia? Patutnya kau duduk sini tunggu nenek
kau!” sergah Salimah tidak gemar mendengar nama itu.
“Sekejap saja. Manalah tahu kalau dia hilang ke? Mujur anak Pak
Razak bawa dia balik rumah. Pak Razak lupa nak bagi tahu kita tadi.”
Salimah bungkam. Rasa serba salah membuatkan dia cuba mengalih
tajuk perbualan. “Ni ada nasi bungkus, kau pergi makan dulu.”
“Mak dah makan?”
Salimah mengangguk. “Makan kat tepi tangga sana. Tak ada orang.
Basuh tangan dulu!” ujar Salimah sambil menunding jari menunjukkan pintu dengan
tanda KELUAR.
Dilaila bangkit lalu ke tandas sebelum menuju ke tempat yang
dinyatakan. Dia membuka bungkusan. Lauknya sederhana, ikan tilapia goreng cili
dan sayur tauge goreng.
Tiba-tiba, perlahan-lahan Dilaila terdengar derap kaki
menghampirinya. Dia mengangkat wajahnya lalu bersatu dengan wajah Salimah. Mata
wanita itu berkaca-kaca. Dilaila bangkit. Dia dapat merasakan sesuatu yang
menakutkan sedang berlaku.
“Doktor panggil.” Getar suara Salimah bagaikan halilintar ganas berdentum
menyentap gegendang telinganya.
Tanpa menunggu si ibu, Dilaila berlari masuk ke dalam wad. Di sisi
neneknya ada seorang jururawat dan seorang doktor.
“Ajarlah nenek awak mengucap.” Saranan doktor itu sukar untuk
diterima.
Esakan Dilaila memenuhi ruang. Lengan orang tua itu digenggamnya.
Dia membisikkan kalimah syahadah di tubir telinga neneknya. Gadis itu terkilan
kerana baru semalam mereka bertemu dan bergurau senda. Semalam wanita tua itu
sihat waalafiat. Tetapi hari ini, tubuhnya kaku tak bermaya.
Seketika kemudian, mesin penunjuk nadi tidak lagi menari
sebaliknya hanya membentuk garisan infiniti. Dilaila memandang wajah jururawat
yang terpaku di hadapannya untuk mencari jawapan. Anggukan lemah daripada
jururawat ini cukup untuk memberi isyarat yang Nek Tijah sudah meninggal dunia.
Salimah hanya memerhati di pintu. Renungannya berat, fikirannya
berat, gerak langkahnya berat, riak wajahnya berat. Serta-merta bagaikan ada
batu besar menimpa pundaknya. Dia tidak mampu berfikir atau merasa. Jiwanya
kosong tatkala itu. Pandangannya berbalam-balam.
Jururawat mula menanggalkan peralatan di tubuh Nek Tijah manakala
doktor sudah pun pergi dari situ selepas mengesahkan yang Nek Tijah sudah tiada
lagi.