KEENAKAN ikan baung bakar membuatkan Luqman makan
dengan lahapnya. Perutnya yang kempis terasa penuh. Badannya berpeluh dek
kepedasan sambal belacan buatan Dilaila. |
Usai membasuh tangan, Luqman melangkah
keluar untuk menyejukkan badan. Lalu tersandar di perdu manggis. Di situ ada
pangkin tempat melepaskan lelah selepas penat bekerja atau sekadar ingin lari
daripada bahang panas yang terkuap dalam rumah. Di situlah juga menjadi tempat
dia sering bermain guli sewaktu kecil.
Batuk Luqman semakin menjadi-jadi.
Sekali-sekala perlahan dan sekali-sekala melengking-lengking. Demamnya pun
belum kebah. Paru-parunya sesak lebih-lebih lagi jika malam terlalu dingin.
Setiap kali batuk pasti lendir cair akan keluar dari mulutnya.
Di dalam bilik, Dilaila sedang bersiap
hendak ke rumah Jessila kerana mahu bertemu dengan Jessila yang sudah seminggu
pulang ke kampung. Tidak sabar dia hendak ke sana lagi untuk melepaskan rindu
yang terbuku.
“Man, aku ke rumah Jess. Kau jangan duduk
sini lama sangat. Macam nak hujan ni. Lepas hilang rasa panas, kau mesti masuk
rumah. Kau tak boleh kena hujan. Nanti demam dan batuk kau bertambah teruk!”
ujar Dilaila separuh menasihati dan separuh mengarah.
Luqman hanya menyeringai. Kemudian
mengangguk sambil mengibas-ngibas tubuhnya dengan baju. Tangannya berpeluh dan
badannya menggigil. Sesekali dia batuk panjang sebelum mengeluarkan kahak hijau
pekat. Dadanya berombak kuat. Kelibat adiknya sudah tidak kelihatan.
“Dah kenyang?” soal Salimah perlahan.
“Dah. Baung bakar cicah kicap... sedap,”
balas Luqman sambil menyeringai.
“Kalau dah kenyang, bolehlah kerja lebih
sikit. Kau nampak tak rumput-rumput tu dah panjang. Kau ambil sabit ni. Aku nak
kau sabit semuanya. Selagi tak habis kau jangan masuk rumah. Faham?”
Luqman mengangguk. Salimah sudah ghaib.
Sabit pula terletak di depan Luqman. Sambil merenung ke langit dia meletakkan
bajunya di atas pangkin lalu mencapai sabit.
‘Kat mana nak mula ni? Baik dekat dengan
pagar sana tu. Rumput dia lebih tinggi,’ getus Luqman dalam hati.
Sambil terhincut-hincut dia berjalan.
Sesekali tubuhnya bergegar digoncang batuk yang kuat melengking. Dia takut
hendak membantah cakap Salimah. Dia tidak mahu lagi menjadi mangsa kayu api.
Kalau dia enggan, tubuhnya akan lebam dan calar-balar apabila digasak dengan
kayu api oleh ibu kandungnya sendiri.
Tiba di tepi pagar, dia mencangkung. Lalu
mengayunkan sabit itu perlahan-lahan. Pergerakannya terbatas kerana kedua-dua
belah tangannya sedikit bengkuk. Jadi, dia tidak boleh memegang sabit dengan
kemas. Untuk mengukuhkan pegangannya. Luqman akan memegang sabit dengan
kedua-dua belah tangan dan mengayun bersama dalam satu masa.
Sedang galak dia mengayun, rintik-rintik
hujan menujah ke wajah dan badannya. ‘Tadi Dilaila suruh masuk dalam rumah
kalau hujan. Tapi nanti mak marah. Mak kata sampai semua rumput ni disabit.
Macam mana ni? Man nak buat apa ni?’ Lelaki itu menggaru-garu kepalanya.
Dia berpaling dan ternampak Salimah sedang
mengintai dari tingkap.
“Hujan sikit saja tu. Jangan berhenti.
Rumput basah lagi senang kau nak sabit. Teruskan!”
Mendengar arahan ibunya, Luqman akur. Lalu
dia meneruskan lagi kerjanya meskipun batuk semakin berat dan badan semakin
lesu. Ada kalanya tangan tidak mampu diangkat. Apatah lagi hendak menebas.
Kilat dan petir semakin galak. Hujan
semakin lebat. Luqman berpaling lagi. Dia nampak pintu dan tingkap sudah
ditutup. Tiada lagi kelibat ibunya. Dia bangkit tetapi terduduk semula. Dadanya
sempit. Tercungap-cungap dia hendak bernafas. Akhirnya dia tewas di laman.
DI RUMAH Jessila, Dilaila dan rakannya itu
sibuk bercerita tentang perkembangan hidup masing-masing dan sekali-sekala
bergurau senda. Bilik yang sederhana besar menjadi saksi persahabatan mereka
yang sudah bermula sejak kecil lagi.
“Kenapa tak bagi tahu aku nenek kau dah
meninggal?” soal Jessila dengan nada merajuk.
Dilaila pantas memberikan alasan, “Kalau
aku bagi tahu pun kau bukan boleh balik. Kau sibuk kan?”
“Sekurang-kurangnya kau maklumkan. Ini
tidak, senyap aje. Terkejut aku bila sampai rumah tadi, mak aku bagi tahu yang
Nek Tijah dah tak ada. Kesian Luqman terpaksa tinggal dengan mak kau.”
“Itu yang paling buat aku susah hati. Mak
aku tak berubah langsung. Sekarang ni makin menjadi-jadi dia kenakan Luqman.
Sedih aku tengok dia terseksa macam tu. Aku tak fahamlah kenapalah mak aku
benci sangat dengan dia? Patutnya dia kena lebih simpati pada Luqman yang tak sempurna
tu.”
“Nenek kau tak ada cerita ke kenapa mak
kau jadi macam tu? Luqman bukan anak kandung mak kau ke?”
“Hish... tak baik tau kau kata macam tu.
Luqman abang aku dunia dan akhirat!”
“Maafkan aku. Sebenarnya aku tak sangka
yang ada ibu sanggup layan anak kandung sendiri macam tu.”
“Nenek aku ada beri tahu yang mak tak
boleh terima Luqman sejak lahir lagi. Dia kena kahwin paksa dan buat perangai.
Lepas berlaku perselisihan faham dengan nenek, ayah aku keluar rumah dan tidak
pulang sampai sekarang.”
“Bila ayah kau tinggalkan kau sekeluarga?
Masa kau kecil?”
“Aku tak pasti. Mungkin dia tinggalkan
kami masa mak mengandungkan aku. Bila nenek dah tak ada, cerita tentang ayah
aku pun turut sama berkubur sebab mak akan mengamuk kalau aku tanya fasal
ayah.”
“Hmm... benci betul dia pada ayah kau.
Mungkin sebab tu dia kenakan Luqman. Manalah tahu kalau muka Luqman mirip ayah
kau. Semakin kuatlah dendam dia kan?”
“Entahlah tapi mungkin ada kebenarannya
juga.”
“Kau tak nak cari ayah kau?”
Dilaila mengangkat bahu. “Untuk apa? Dia
pun tak pernah ingat tentang kami.”
Jessila merenung wajah temannya. Kasihan
benar dia dengan nasib Dilaila yang terbelenggu dengan masalah keluarga. “Habis
tu... macam mana kalau kau nak bernikah nanti? Kau kena cari dia juga.”
Dilaila tergelak kecil. “Gilalah kau ni.
Aku baru nak ambil SPM, lagipun belum tentu aku kahwin. Siapalah yang nak aku
budak kampung yang selekeh dan miskin ni.”
“Hei, jangan cakap macam tu. Aku pun budak
kampung juga. Tapi kau tengok aku ni,” ujar Jessila sambil bangkit dan
memusing-musingkan badannya seperti lagak seorang peragawati.
Dilaila tertawa melihat gelagat rakannya.
“Wah, pandainya kau bergaya. Benda macam ni ada diajar di universiti ke?”
Gadis berkulit putih gebu itu menggeleng.
“Tak ada, tapi di sana kita kena cepat belajar dari persekitaran. Di sana ada
macam-macam manusia daripada latar belakang berbeza. Kalau rasa nak jadi macam
orang kaya, tengoklah gelagat anak-anak orang kaya. Kalau rasa nak jadi budak
pandai, tengoklah gelagat budak-budak pandai.”
Dilaila melongo. Sukar untuk dibayangkan
suasana yang dimaksudkan oleh Jessila, tetapi hatinya melonjak hendak berada di
tempat yang gah itu. Patutlah universiti diumpamakan sebagai menara gading. Ia
merupakan satu tempat yang sangat istimewa dan hanya mampu dihuni oleh
orang-orang yang bijak dan bertuah sahaja.
Kemudian, orang-orang inilah nanti akan
keluar dan menjadi pemimpin syarikat, organisasi dan dunia. Ah, betapa hebatnya
tempat yang bernama universiti itu, bisik hati kecil Dilaila. Dia mula berangan.
“Kau nak tahu tak satu lagi perkara yang
paling seronok kat sana,” soal Jessila sambil merebahkan semula tubuhnya ke
tilam.
“Apa dia?” balas Dilaila seraya merapatkan
tubuhnya ke sisi Jessila.
“Lelaki... di sana ada ramai pelajar
lelaki yang tampan dan hebat.”
“Hish... malulah nak cerita fasal lelaki.”
“Come on, Dilaila. Zaman sekarang
dah berbeza. Perempuan sudah tidak perlu malu berbicara tentang lelaki kerana
kita pun boleh memilih lelaki mana yang kita mahu.”
Gadis itu melongo lagi. Air liurnya hampir
meleleh, “Wah, boleh pilih?”
“Mestilah, kau tahu tak di sana ramai
lelaki yang lebih senang kalau perempuan yang mulakan dulu.”
“Hee... malunya. Tapi ada tak yang rupa macam
Korea?”
Jessila tertawa nyaring. Sekalipun UiTM
untuk pelajar bumiputera tetapi Shah Alam sendiri menjadi tumpuan warga asing
untuk belajar di kolej swasta sekitarnya termasuk University of Madinah yang
terletak di Plaza Masalam.
“Dilaila, jangankan Korea, Negro, Nepal,
Arab pun ramai,” Jessila tergelak besar sebelum menyambung semula kata-katanya,
“Kalau nak berjaya dan dapat apa kita nak, hal malu kena tolak tepi. Kita kena
bersaing dalam segala hal. Termasuk soal lelaki.”
“Wah, hebatnya kau.” Dilaila tidak
putus-putus menyuarakan kekagumannya kepada perkembangan rakannya yang baru dua
tahun berada di universiti, tetapi cara pemikirannya jelas berubah. Daripada
gadis yang introvert, dia kini semakin ekstrovert dan berkeyakinan.
Dilaila pantas membuat serkap jarang,
“Hmm... dah ada ke calon yang menarik hati kau?”
Terdengar saja soalan Dilaila, mata
Jessila terus bersinar-sinar dan dengan senyum yang terukir di bibir dia
membuat pengakuan, “Hatiku sudah dimiliki.”
Dilaila tertawa menggelekek. Bagaikan
hilang segala kesedihan yang bermukim di hati, “Siapa? Kacak? Kaya? Bijak?”
“Mestilah... kalau tak, takkan aku nak
jatuh cinta,” Jessila menjawab sambil mengenyit mata.
“Ceritalah siapa dia?” Dilaila semakin
teruja.
Sambil menggentel-gentel bucu bantal,
Jessila bercerita, “Dah lama juga aku kenal, tapi tidak mesra. Aku tak tahu apa
yang buat aku gila sangat pada dia. Bukan tak ada pelajar lelaki yang cuba
pikat aku tapi aku tetap suka dia. Aku ni dah macam gila bayang sebab asyik
teringatkan dia.”
“Eee... angaulah ni! Melayu?”
“Melayulah beb. Fuhh kalau kau tengok muka
dia, mesti kau pun cair! Yang paling tak boleh lupa bibir dan rambut dia.”
Dilaila berteriak sambil tertawa
menggelekek. “Hish... tak kuasalah aku nak syok kat pakwe kau!”
Jessila tersenyum sambil menganguk-angguk
mengiakan kata-kata rakannya. “Baiklah, kalau aku cerita pun tak guna. Bila kau
tengok sendiri nanti, barulah kau tahu. Yang lebih mengejutkan sebenarnya dia
budak kampung ni juga. Tapi aku tak pernah tengok dia. Aku rasa kau pun tak
kenal dia.”
“Dia baru pindah kat tanah lot sana kot,”
Dilaila pantas memberikan andaian.
Gadis itu mengangguk. “Bapa dia dulu
askar. Dah pencen dan baru tinggal di kampung ni sejak beberapa tahun lepas.
Dia pula belajar di Maktab Tentera, habis SPM terus masuk UiTM. Sebab tu kita
tak pernah nampak dia.”
“Siapa nama ayah dia? Manalah tahu kot aku
kenal.”
“Eh... biarlah jadi dulu. Kalau tak jadi
nanti malu aje. Aku yakin naik semester depan dia mesti jadi kekasih aku.”
“Yakinlah sangat.” Dilaila sempat
menyindir namun, fikirannya terus berlegar pada perkataan ‘askar pencen’ yang
disebut oleh Jessila.
“Hidup kena ada keyakinan barulah berjaya!
Okey kita berhenti dulu bercerita tentang aku. Nanti kita sambung Episod 2.
Sekarang ni cerita kau pula. Kau macam mana? Apa cerita Fitri yang suka kacau
kau dulu?”
“Hmm... budak sewel tu? Entah aku malas
nak layan. Tapi baru-baru ni ada seseorang yang dah buat hati aku gelabah.”
“Ha? Ya ke siapa? Ada budak Korea ke di
kampung kita ni?” perli Jessila sambil tertawa mengekek.
Ada getar dalam hati Dilaila. Dia sendiri
cakap tak serupa bikin. Bibir dan hati tidak seiring. Kelibat Amer terbayang di
layar matanya. Tiba-tiba dia berasa malu hendak meneruskan.
“Eh, aku acah saja. Tak ada apa-apa yang
menarik nak aku kongsi. Jess, fasal budak kampung kita tu, takkan tak ada
gambar dia? Mesti kau ada ambil gambar curi.” Dilaila pantas mengalih tumpuan.
Jessila tertawa lagi. Bahagia benar
hatinya kini, “Pandailah kau ni. Elok jadi penyiasat persendirian. Kejap ya aku
tunjuk gambar dia dalam telefon aku ni.”
Dilaila mengangguk penuh teruja. Dia
segera merapatkan kepalanya dengan kepala Jessila.
“Janji tau. Ini rahsia. Hanya kau dan aku
saja. Kau jangan cerita dengan sesiapa waima Luqman pun.”
Dilaila segera mengangkat tangan, “Janji,
sumpah!”
Jessila tertawa menyeringai.
Perlahan-lahan dia segera membuka telefonnya. Kemudian selepas beberapa turutan
gambar maka keluarlah gambar sekumpulan pelajar sedang berkumpul. Lalu
dihulurkan pada Dilaila.
Senyuman masih terukir di bibir gadis itu.
“Ni ada lima orang. Tekalah yang mana satu?”
“Aku tak pandai tekalah.” Suara Dilaila
sedikit kendur. Ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya.
“Yang pakai Ray-Ban hitam, baju Melayu
merah. Ada rambut terjuntai kat dahi.”
Bum! Bagaikan sebiji bom meledak di atas
kepalanya. ‘Ah, kenapa yang itu? Kenapa kau pun suka dia?’ getus gadis itu
dalam hati. Dilaila terpaku tanpa sebarang reaksi yang mengujakan.
“Kenapa? Kau macam terkejut aje? Kau tak
berkenan ke?” soal Jessila yang terkejut melihat reaksi negatif rakannya.
Kemudian dia menyambung semula kata-katanya, “Walaupun kau rasa dia tak kacak,
tapi pada aku dialah lelaki idaman Malaya.”
“Oh ya ke? Tak kacak mana pun,” balas
Dilaila dengan suara bergetar.
“Dengkilah tu, tapi yang penting dia baik
sangat. Lebih-lebih lagi bila tahu aku ni junior sekampung. Dia selalu ambil
berat pada aku. Sampai kakak senior pun cemburu.”
Dilaila mengeluh, “Aku peninglah. Aku nak
balik.”
“Eh, kau belum jawab lagi. Okey ke tidak
mamat tu dengan aku?”
“Okey kot.”
“Takkan okey saja? Entah-entah kau pun
kenal dia kan?” Saat itu mata Jessila bulat memandang sahabatnya. Dia pelik
dengan reaksi kurang memberangsangkan Dilaila terhadap pemuda pujaan hatinya
itu.
“Ermm... hujan dah teduh ni. Mak aku marah
kalau aku lambat. Aku balik dulu ya,” Dilaila masih berusaha untuk mengelak.
Gadis berambut panjang itu melompat lalu
mendepakan tangan dengan niat mahu menahan Dilaila daripada pergi.
Tetapi segera ditepis keras oleh si gadis,
“Aku nak balik! Tak faham ke?”
“Adoi!” tempik Jessila sambil berkerut
menahan sakit. Tepisan tadi menyebabkan dia hilang keseimbangan dan terdorong
ke tepi. Bahunya berlaga dengan bucu almari. Dia menyeringai menahan sakit.
Dilaila sudah tidak peduli apa-apa. Yang
penting dia mahu segera ghaib dari situ. Terasa jantungnya pedih bagai ditusuk
sembilu.
Jessila berasa pelik melihat perubahan mendadak
rakannya itu. Namun, dia tidak kuasa hendak menegah lalu dibiarkan sahaja
kehendak Dilaila. Sambil menggosok lengannya yang merah, dia merungut, ‘Buang
tabiat agaknya budak ni!’