WAJAH Salimah
kemerah-merahan menahan malu. Entah mengapa sejak kebelakangan ini, acap kali
dia dan keluarganya menyusah-kan-- lelaki itu. Walaupun berstatus saudara
tetapi- dia tidak mahu terus-terusan mengharapkan bantuan Razak. |
“Minta maaf, Razak.
Kalau kau tak ada tadi, entah apa-lah jadi pada anak aku.”
“Tak apalah. Bukan aku
yang tolong pun. Mujur Amer baru balik dari masjid. Dia nampak ada orang
terbabas masuk longkang. Bila dia cuba tolong, barulah dia tahu yang itu
Dilaila.”
“Terima kasih Amer,
mak cik terhutang budi pada kau.”
“Perkara kecil saja
mak cik. Yang penting Dilaila selamat.”
Salimah mengangguk.
Kalau boleh dia mahu mereka segera pulang. Malu dia kalau mereka tahu kenapa
anak gadisnya menunggang basikal sendirian dalam keadaan gelap gelita.
“Err... anak kau tu
nak ke mana sebenarnya? Kenapa kau biarkan dia menunggang basikal seorang diri?
Dia tu anak dara. Kalau jadi perkara buruk pada dia, kau yang menyesal nanti,”
soal Razak yang memang mengambil berat terhadap keluarga Salimah.
“Kalau dia tak sedar
juga sekejap lagi, kau beritahu aku. Kita kena bawa dia ke hospital. Manalah
tahu kalau ada pendarahan dalaman.” Razak bersuara penuh prihatin.
“Ha... yalah.
Harap-harap tak ada apa-apa. Nanti aku kejutkan dia. Err... Amer ni cuti
panjang ke? Atau dah habis belajar?” Salimah sengaja berbasa-basi dengan
sedikit rasa cuak kerana beberapa hari ini kerap dia ternampak pemuda itu lalu
lalang di depan rumahnya.
“Oh, belum habis lagi
makcik. Sekarang ni saya buat praktikal.”
“Oh, praktikal di
mana?”
“Di syarikatOil & Gas di bandar,” balas
Amer sambil termalu-malu. Entah kenapa hatinya kembang kuncup bila ditanya
begitu oleh Salimah. Debarannya bagaikan sedang disoal siasat oleh bakal
mertua.
Kemudian, Razak pula
menyampuk. “Praktikal sekejap. Lepas tu sambung belajar balik setahun lagi. Dua
bulan lagi habislah praktikalnya.”
“Baguslah kalau macam
tu. Nanti dapatlah bantu mak dan ayah ya,” ujar Salimah perlahan. Kalau Luqman
sihat tentu dia pun sudah mampu berdikari seperti Amer. Hatinya tergores luka.
Pemuda itu mengangguk
perlahan. Dia sendiri belum tahu apakah dia akan cepat mendapat pekerjaan atau
tidak. Tapi memang itulah azamnya. Dia mahu membantu bapanya yang sedang
bertungkus lumus membesarkan perniagaan memproses tempe.
Yang pasti hatinya pun
sudah terbetik sesuatu yang sukar diungkapkan. Dia sudah memasang niat untuk
meminang Dilaila apabila dia sudah mendapat pekerjaan tetap kelak.
TERKEBIL-KEBIL mata
Dilaila mendengar suara di luar bilik. Dipandangnya sekeliling. Dia berada di
dalam biliknya sendiri. Segera dia menyingkap selimut dan bangkit. Dia merapati
daun pintu dan menguaknya sedikit. Dari celah pintu dia nampak Razak dan Amer
duduk sambil meneguk teh O.
Dilaila terus memasang
telinga. Terdengar ibunya menyalahkan dia. Keluhan berat dilepaskan. Bukan dia
sengaja. Yang dia ingat dia jatuh ke dalam longkang. Lepas tu dia tidak ingat
apa-apa. Hinggalah bila dia sedar tadi, dia sudah berada di katil.
Sebaik tetamunya
pulang, barulah dia bangkit. Baru sahaja dia hendak mencapai pintu, ibunya
sudah pun tercegat di situ. Terkebil-kebil Dilaila memandang ibunya yang sedang
menyinga.
“Ha, dah sedar pun
kau. Itulah degil sangat. Sanggup hantar budak bodoh tu ke kebun. Tak
fasal-fasal jatuh basikal. Lepas tu ponteng sekolah! Dahlah nak periksa tahun
ni. Ingat, Dilaila, kalau kau tak lulus aku kahwinkan kau. Tak kuasa aku nak
jaga anak dara degil macam kau ni. Memalukan orang saja!” Salimah terus
mengherdik tanpa memberi peluang pada Dilaila menceritakan kejadian yang
berlaku.
Gadis itu hanya tunduk
tercegat macam patung cendana. Setelah ibunya selesai bersyarah, dia segera
melabuhkan punggung di sofa di ruang tamu. Teko dan cawan yang digunakan oleh
tetamu tadi masih ada di situ. Dia bangkit lalu mencapai dulang dan menyusun
teko serta cawan di atasnya.
Sebaik sahaja
menyentuh cawan yang digunakan oleh Amer, senyumannya tiba-tiba terukir. Hilang
terus rasa sakit di badan dan hati. Dia mula membayangkan wajah pemuda
berhidung mancung dan beralis tebal itu sedang meneguk cawan yang dipegangnya.
“Yang tersengih-sengih
macam kerang busuk tu kenapa? Bawa cawan tu ke dapur!” Nyaris terlepas cawan
yang dipegangnya bila disergah oleh ibunya yang memerhatikan gelagatnya penuh
geram.
Segera Dilaila bangkit
dan menuju ke dapur. Tetapi di dapur, dia terus memasang angan-angan tanpa
mempedulikan kemarahan ibunya. Biarpun dia mempunyai persepsi negatif terhadap
lelaki Melayu sebelum ini, namun jika Amer yang meminangnya, dia mungkin akan
terima.
‘Ah, bolehlah
dipertimbangkan tapi kalau janji tinggal janji, bagaimana? Amer mungkin takut
hendak meminangnya. Andartulah aku kalau tunggu si Amer tu,’ getus hati sambil
tersengih.
Sedang asyik berkhayal,
barulah dia tersedar yang hari semakin tinggi. Sebentar lagi Luqman akan
pulang. Jadi, dia mahu memasak hidangan istimewa untuk Luqman. Pantas dia
membuka peti sejuk dan mengeluarkan ayam.
“Kau nak buat apa
dengan ayam tu?” soal ibunya yang tiba-tiba muncul dari belakang.
“Nak goreng kunyit,”
balasnya perlahan.
“Goreng seketul saja.
Aku tak mahu.”
“Lebih sikit ya mak,
nanti Luqman balik lapar. Seketul tak cukup.”
“Seketul untuk kau
bukan dia! Untuk dia kau goreng saja ikan kering.”
“Ikan kering tak ada
khasiat. Biarlah dia makan ayam. Dah lama dia tak makan ayam. Dulu hari-hari
nenek gorengkan dia ayam.”
“Itu dulu. Sekarang ni
nenek dia dah tak ada. Aku bukan senang macam nenek dia. Kalau hari-hari makan
ayam, orang kaya pun boleh bankrap.”
Mendengarkan
kata-katanya ibunya itu, dia melepaskan keluhan sambil menyimpan semula ayam
tadi ke dalam peti sejuk. Patah niatnya untuk membuat ayam goreng kunyit.
Dicapainya pula ikan kering. Sejak tinggal di situ, itulah hidangan harian
Luqman. Kadang-kadang ikan kering pun tak diberikan. Luqman hanya makan nasi
dengan sayur sahaja.
Periuk nasi dicapai
lalu didekatkan ke hidung. Sudah ada bau yang menyengat. “Mak, masak nasi baru
ya, nasi ni dah nak basi.”
“Masak setin saja.
Nasi tu kau letak tepi jangan buang,” balas ibunya yang sedang asyik menyapu
lantai.
Dia mengangguk. Nasi
semalam disenduk keluar kemudian periuk dibersihkan. Tong beras dibuka lalu
dimasukkan satu tin beras ke dalam periuk. Dia terhenti sambil mengerling ke
arah ibunya, dia segera menambah setengah tin lagi sebelum segera menutup tong
dan membasuh beras.
Siap menjerang nasi,
dia mencari cili hidup untuk membuat sambal belacan. Buah bacang yang
dikutipnya semalam sudah ranum. Enak kalau dicampurkan sekali sebagai ramuan
sambal belacan. Senyuman terukir bila dia membayangkan Luqman makan dengan
lahapnya.
Siap memasak, dengan
berseluar trek dan berkemeja-T, dia melangkah menuju ke reban ayam. Di situ ada
joran yang disisip pada bumbung reban. Kemudian dia mencapai cangkul lalu
menuju ke tepi longkang.
Berkerut wajahnya
menahan tangan yang sakit dia mengobak tanah lembut. Sebaik tanah terkobak,
beberapa ekor cacing mengerekot cuba menyembunyikan diri. Dengan pantas dia
menarik cacing-cacing itu lalu dimasukkan ke dalam plastik. Puas hati dengan
habuan yang diperoleh, dia bangkit lalu bergerak menuju ke baruh.
“Kau nak pergi mana
tu?”
Suara melengking di
pintu dapur membuatkan dia hampir melompat kerana terkejut. Dia berpaling lalu
bertentang mata dengan ibunya yang sedang menyinga dengan penyapu tersisip di
celah ketiaknya bagaikan polis pencen dengan selaras senapang patah.
“Nak pergi baruh, cari
ikan.”
“Baru aje jatuh
basikal dah nak ke baruh pula. Hari dah tinggi. Kau jangan nak cari fasal.
Nanti keteguran, aku juga yang susah.”
“Kejap aje. Tengah
hari nanti Dilaila balik.” Gadis itu sudah pun berpaling kembali dan tetap
meneruskan hasratnya.
Salimah mendengus.
Pintu dapur dihempasnya dengan keras. Hatinya panas. Semenjak Luqman ada di
rumah mereka, Dilaila semakin berani melawan cakapnya. Setiap kali dia mahu
melakukan sesuatu pada Luqman, anaknya itu akan membela abangnya. Itulah yang
membuatkan hati Salimah semakin terbakar. Dendam kesumatnya semakin bergelora.
‘Mesti nak cari ikan
untuk anak tak guna tu.’ Salimah membuat kesimpulan dalam hati. ‘Kau ingat kau
bijak, siaplah kau nanti. Luqman takkan hidup lama!’
LANGKAH dilajukan.
Sebelum ini dia tidak pernah pergi ke baruh seorang diri. Biasanya dia akan
bersama Jessila atau pun mencuri-curi keluar dengan Luqman kerana dia geli pada
cacing. Tetapi pada hari ini, demi mendapatkan ikan baung untuk Luqman dia
menguatkan hati untuk memegang cacing.
Musim hujan sudah
bermula dan cuaca tidak menentu. Keadaan sungai akan berubah sekelip mata.
Kebetulan hari ini air sungai naik ke paras tebing. Biasanya kalau musim
begini, saiz ikan akan lebih besar sekali ganda daripada biasa. Walaupun
Dilaila hanya membawa cacing sebagai taruhan, dia berharap yang dia tidak akan
pulang dengan tangan kosong.
Gadis itu kenal dengan
jenis-jenis ikan sungai yang sememangnya sedap kalau digoreng kunyit atau
dibakar begitu sahaja. Ikan-ikan itu ada tabiat umpan yang digemari
masing-masing. Misalnya ikan lampam yang nama saintifiknyapuntius schwnenfeldii gemarkan umpan buah
sawit. Baung ataumystus nemurus
pula gemarkan umpan tapa kemboja (umpan jeruk campuran anak ikan, cacing udang
dan sebagainya).
Manakala puyu, haruan
dan keli pula gemarkan umpan anak tebuan goreng tanpa minyak. Tapi semua itu
memerlukan persiapan rapi. Sedangkan dia tidak ada masa. Jadi, umpan semula
jadi ialah pertaruhan terbaik buatnya. Cacing pasti tidak akan mengecewakannya.
Semakin hampir Dilaila
dengan sungai, semakin galak hujan menitip di wajahnya. Namun, demi Luqman dia
tetap meneruskan langkahnya. Biarlah suluh senduduk melelas lengan hingga
timbul garisan merah atau agas mengerumuni luka di lengannya, dia tega meredah
belukar.
Tiba di tepi tebing,
dia terus meniti batang kelapa tanpa rasa cuak untuk menyeberangi sungai.
Selamat meniti, matanya melingas pula mencari lokasi strategik. Akhirnya hati
dan akal sepakat untuk memilih perdu pokok petai untuk melabuhkan punggung
sementara menanti kail dimakan ikan.
Dia meletakkan pancing
di sisinya lalu membuka plastik berisi cacing. Dengan tangan terketar-ketar dia
menusuk badan cacing itu ke mata kail. Bila terputus disambung lagi.
Menggeletik cacing yang kesakitan akibat dikorbankan demi menewaskan seekor
baung. Perasaannya usah ditanya, rasa geli geleman terpaksa ditahan kerana
semangatnya begitu membara.
Setengah jam berlalu,
akhirnya dia terasa yang pancingnya direntap-rentap keras. Dengan penuh
debaran, Dilaila menahan pancing agar ikan yang mengganas tidak terlepas.
Akhirnya baung bersaiz lengan budak dapat ditewaskan. Memang rezeki
menyebelahinya. Baung tadi ditarik keluar dari mata kail lalu dipasangnya
cacing yang baru.
Semangatnya semakin
berkobar-kobar. Cukuplah kalau dapat seekor lagi baung, lampam, puyu, haruan
atau sebarau dan sememangnya kalau dapat ikan ini bererti hari ini dia dapat
rezeki harimau. Malangnya sudah setengah jam berlalu, umpan hanya menjadi
makanan ikan kecil. Setiap kali ditarik hanya mata kail sahaja yang kelihatan.
Dilaila semakin kecewa.
‘Semua ikan dah
kenyang agaknya atau ada orang lain yang pasang umpan lagi sedap?’ Gumam si
gadis sendirian sambil menoleh ke sekeliling. Tidak nampak orang lain melainkan
dirinya seorang sahaja di situ. Lagipun siapalah yang bodoh sangat nak
memancing waktu hujan.
Selepas hujan beransur
teduh dan bayang-bayang sudah berada di bawah kaki bererti matahari sedang
mencarak langit. Sambil mendongak dengan mata dikedipkan, dia bermonolog, ‘Ah,
baik aku pulang. Biarlah walau seekor asalkan Luqman dapat makan daripada dia
pulang dan aku pula masih lagi kat sini menunggu pancing yang tidak diragut
ikan.’
Sebaik berkemas dia
terdengar sesuatu di belakangnya. Pantas bulu romanya meremang. Kejadian subuh
tadi segera menular ke benaknya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kenyang. Dengan
bunyi ranting patah yang semakin dekat, dia sudah tidak mampu berfikir apa-apa
melainkan bangkit dan mengambil langkah seribu menuju ke titi batang kelapa
untuk menyeberang semula.
“Tunggu!” Laungan satu
suara garau membuatkan jantungnya melonjak dan tatkala itu dia sudah pun berada
di tengah-tengah titi. Tanpa dapat berpaut pada apa-apa, dia hilang
keseimbangan. Langkahnya tewas dan dia tergelincir lalu berdebur ke dalam
sungai yang keruh. Seluruh tubuhnya tenggelam bagaikan anak gajah jatuh ke
dalam sungai meninggalkan gelang-gelang air melingkar di atas permukaan.
Satu saat, dua saat,
tiga saat... fikirannya kosong. Empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan...
tubuhnya ditarik lalu kepalanya keluar dari air dan dia menggelupur untuk
bernafas semula. Mujur pinggangnya dipaut erat jika tidak tentu dia akan
tenggelam semula.
Dia tidak mampu
berpaling untuk melihat siapa di belakangnya yang masih memaut pinggangnya.
Ironinya dia tetap memegang pancing dan plastik berisi baung. Ertinya dia tidak
melepaskan kedua-dua pegangannya meskipun dia sepatutnya berusaha untuk timbul
di permukaan air demi menyambung nyawa!
“Maafkan saya!” ujar
suara itu sambil melepaskan pelukannya sebaik Dilaila sudah mampu mengapungkan
diri.
Tanpa mempedulikan
lelaki itu, dia cuba naik ke tebing dengan meranduk air. Perlahan-lahan Dilaila
meredah arus sungai setinggi paras dagunya. Kaki dan tangannya masih
menggeletar. Akhirnya dia tiba di tepi tebing dan mencampakkan pancing serta
plastik ke atas tebing.
Lelaki tadi hanya
memerhati dan berjaga-jaga takut kalau si gadis hilang keseimbangan dan dibawa
arus. Dengan berpaut pada akar-akar kayu, Dilaila memanjat tebing itu hingga
sampai ke atas. Di situ dia melabuhkan punggung dan terkedu dengan tubuh yang
lencun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Lelaki itu memandang
ke arahnya. Dilaila pantas menarik bajunya yang melekat dan menonjolkan benda yang
tidak sepatutnya dilihat. Apatah lagi dia memakai kemeja-T putih. Pantas
tangannya disilangkan ke dada. Amer segera mengalihkan pandangan sambil
tersengih nakal.
“Bahaya datang sini
seorang diri.” Perlahan lelaki itu berbicara sambil menahan mengah.
“Tak bahaya kalau tak
ada yang ganggu!” tempelak Dilaila yang masih marah kerana yakin bahawa Amer
merupakan punca dia jatuh.
Jejaka itu tersenyum.
Beberapa helai rambut terjuntai-juntai menutupi sebahagian daripada matanya.
Tangannya yang sasa pula meraup sisa-sisa air di wajahnya sambil bersuara,
“Saya minta maaf. Saya tak berniat nak buat awak terperanjat.”
Dilaila mengerling,
“Bodoh! Siapa yang tak terperanjat kalau disergah di tempat sunyi seperti ini?
Hari ni hari Isnin, awak tak kerja ke?”
Serta-merta
senyumannya hilang. Tidak pernah seumur hidupnya dicerca begitu. Dia tahu
memang gadis itu sangat marah. Lalu dia berpatah balik menyeberang sungai
sebelum kembali dengan segugus karung plastik di tangannya.
“Maaf ya, saya tahu
saya salah. Sebenarnya saya demam tapi bosan duduk rumah, saya pergi menjala.
Dari tadi saya nampak awak memancing seorang diri, tapi takut nak tegur. Awak
pun tak perasankan saya. Sebenarnya, saya nak beri awak ikan-ikan ni. Tak
sangka pula awak terjatuh. Ambillah ni. Ada haruan, baung dan lampam. Cukuplah
untuk awak sekeluarga.”
Ah, indahnya saat dia
menghulurkan satu karung plastik mengandungi beberapa ekor ikan kepada Dilaila.
Bulat mata Dilaila memandang karung itu tanda tergoda. Ini bukan lagi rezeki
harimau tapi rezeki gajah! Hatinya berteriak!
Lantas dia menjerit,
“Yahuu...Dum spiro, spero!”
“Apa? Dumspero?”
Giliran lelaki itu pula terkejut.
“Dum spiro, spero! Bila aku bernafas,
aku berharap!” Pantas Dilaila menarik karung yang dihulur lalu dengan pantas
berlari meninggalkan si lelaki itu terpinga-pinga.
Bukan dia tidak mahu
berlama-lama tapi dia terlalu malu hendak menatap wajah Amer. Lelaki itu telah
membuatkan hatinya gundah gulana dan sering muncul pada waktu yang tidak
disangka-sangka.
‘Hai, dahlah tak
berterima kasih, dia blah macam tu aje? Memang bodohlah lelaki yang syokkan
dia... macam aku,’ Amer merungut sambil tersenyum. Puas menghantar langkah
Dilaila dengan renungan matanya, dia segera berpaling untuk mengambil
barang-barangnya yang terdampar di tepi tebing sebelah sana.
‘Bila aku bernafas, aku berharap. Hmm...
maknanya dia mungkin mengharap ikan yang banyak hari ini,’ getus hati kecil
Amer sambil tertawa sendirian. Tatkala itu matanya turut melingas melihat
kalau-kalau ada barang Dilaila yang
tercicir. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, sekali lagi dia tersenyum
bila nampak pancing yang terdampar di sisinya. Ertinya dia masih ada peluang
untuk berkeliaran di rumah gadis itu lagi.