TATKALA azan maghrib berkumandang, barulah
Dilaila menjejakkan kaki di ambang pintu rumahnya. Biarpun dia berusaha untuk
tidak bertembung dengan ibunya tetapi wanita itu terlebih pantas mencium bau
kehadirannya. |
“Kau dari mana, Dilaila?”
Wajah bujur dengan dagu berlekuk itu
terkejut dan dengan gugup dia menjawab, “Rumah Jessila...” Kata-katanya
tergantung di situ sahaja kerana seboleh mungkin dia tidak mahu menipu.
“Kenapa lambat?”
“Hujan lebat. Dilaila tunggu hujan teduh
baru balik.”
“Pergi mandi. Lepas tu kau tanak nasi dan
panaskan lauk. Mak ada kenduri kat rumah Mak Cik Leha.”
“Habis tu mak tak makan kat rumah?”
“Tak.”
Dilaila hanya mengangguk. Lega kerana ibunya
mahu keluar dan tidaklah akan memanjangkan soal selidik tentang pemergiannya
petang tadi. Mungkin ibunya sudah berpuas hati dengan jawapannya. Memang benar
hujan lebat dan atas alasan itu dia terselamat.
Usai mandi, dia melakukan kerja yang
diarahkan ibunya. Perutnya masih kenyang dan dia tidak berhasrat hendak makan.
Selesai memanaskan lauk dan menanak nasi, dia menutup lampu dapur agar tidak
membazirkan elektrik.
Cuma lampu ruang tamu dan lampu luar
sahaja yang terpasang. Bila bersendirian begini, gadis bermata galak ini lebih
gemar memerap di dalam bilik sambil mendengar radio.
Sambil meniarap di atas katil Dilaila
mencapai begnya lalu mengeluarkan buku-buku rujukan yang dipinjam daripada
Jessila. Buku itu sudah tidak digunakan oleh Jessila yang dua tahun lebih tua
daripadanya. Jessila sudah pun masuk UiTM. Manakala dia pula bakal menduduki
SPM tahun ini.
Dilaila mahu mengikut jejak Jessila. Malah
kalau boleh dia mahu ke luar negara. Dia mahu belajar di Korea Selatan. Biarlah
orang lain sibuk ke Amerika Syarikat, Australia atau Eropah, namun si gadis
periang, cekal dan bercita-cita tinggi itu tetap mahu ke negara Asia Timur yang
semakin popular.
‘Kalau kahwin dengan orang Korea pun apa
salahnya,’ fikiran nakal terlintas di benaknya. Malah, setakat ini pun belum
ada jejaka Melayu yang berjaya mencuit hatinya.
‘Ah... lelaki Melayu tak boleh
dipercayai,’ suara dalamannya terus berperang. Contoh terdekat yang melekat
dalam fikirannya ialah bapanya sendiri dan Gaban, adik angkat a.k.a kekasih
ibunya sekarang.
‘Tetapi bagaimana dengan jejaka yang duduk
di sebelah Razak tadi? Bukahkah dia tampan mengalahkan Aaron Aziz? Kulitnya
putih, alis matanya tebal, bibirnya merah. Ah, rambutnya... yang jatuh menutup
dahinya nan luas. Aduh... boleh buat hidup tak keruan bila mengenangkannya.’
Dia terus berangan.
Seketika mengelamun, akhirnya dia tersedar
dan mengeluh keras sambil menepuk-nepuk kepalanya sendiri, ‘Hish, apa yang aku
mengarut ni? Fokus Dilaila, fokus! Kau nak periksa!’
Gadis beralis mata tipis runcing itu
pantas mencapai buku latihan Matematik. Matanya sengaja dibulatkan dengan
harapan dia akan lebih fokus. Diselaknya halaman buku itu sehelai demi sehelai.
Setelah tiba di bahagian Statistik, dia segera memulakan latihan untuk
memperbaiki kelemahannya. Dilaila tidak mahu mengalah sebelum berjuang, sesuai
dengan bentuk alisnya yang melambangkan dia seorang yang kuat semangat dan pada
masa yang sama, tegar berdebat.
Hampir sejam dia mengulang kaji, kelopak
matanya terasa berat dan dia mula menguap tidak henti-henti. Akhirnya si gadis
mengalah. Otaknya meminta direhatkan. Sebaik kepalanya disorong pada bantal dia
terus terlelap keletihan.
PINTU yang tidak berkunci dikuak. Derap
kaki diperlahankan dan terhendap-hendap memasuki ruang tamu. Matanya melingas
ke kiri dan kanan sebelum tertarik pada daun pintu berjurai manik. Pintu yang
sedikit ternganga segera ditolak perlahan. Dia mengintai. Kelihatan sekujur
tubuh meniarap dengan buku-buku sekolah yang berserakan.
Senyuman terukir di bibir. Raut wajah itu
merona merah menahan nafsu. Anak matanya rakus meratah tubuh yang masih kaku di
situ lalu berhenti pada kaftan batik yang terselak hingga mendedahkan paha nan
putih gebu.
Dia melangkah masuk. Memerhatikan dengan
penuh asyik panorama di depannya hingga merangsang suatu perasaan aneh dalam
dirinya. Semakin lama, nafasnya semakin deras. Tangannya pula merayap ke celah
pahanya sendiri.
Terdengar bunyi merengus yang kuat di
sisi, Dilaila terjaga. Perlahan-lahan dia cuba mencari dari mana datangnya
bunyi ganjil itu. Seketika kemudian, matanya bulat merenung wajah penuh nafsu
Gaban. Saat matanya jatuh ke tangan pemuda itu, terus dia menjerit tetapi
dengan pantas sebelah lagi tangan sasa itu menekup mulutnya hingga suaranya
tenggelam kembali.
Dia cuba meronta dan mencakar pipi lelaki
itu dengan kukunya yang agak panjang. Namun, dia tidak mampu meloloskan diri,
tenaga jantan Gaban begitu kuat menindih tubuhnya.
“Kau jangan beritahu mak kau. Kalau hal ni
bocor, aku kerjakan kau!” Dengan nada keras pemuda itu memberikan amaran
sebelum segera menghilangkan diri.
Melihat Gaban pergi, Dilaila bangkit
sambil tangannya terketar-ketar mengunci pintu. Dalam keadaan masih panik, dia
sedar yang tubuhnya terkena sesuatu yang melekit. Dengan pantas dia mengesat
lengannya dengan selimut daripada lendir putih yang menjijikkan. Baunya yang
asing membuatkan tekaknya mual dan loya.
Dilaila menggigil dan mula seram sejuk.
Kehormatannya sebagai wanita telah dicabul! Dia malu! Ironinya, bolehkah ibunya
mempercayai ceritanya itu? Bukankah lelaki itu kekasih ibunya?
Pada Salimah pula, 1001 janji manis
ditaburkan oleh Gaban. Benar Gaban memang cakap tak serupa bikin. Gaban hanya
mahu mempergunakan Salimah yang dahagakan perhatian dan kasih-sayang.
Salimah menjadi ‘pelindung’ buat Gaban.
Tidak suka kalau ada yang berprasangka pada Gaban. Dia sanggup mempertahankan
lelaki itu dan menempelak sesiapa sahaja yang
cuba bercerita tentang hal buruk Gaban termasuk Nek Tijah.
Dilaila buntu. Kejutan yang diterima sebentar
tadi benar-benar membuatkan jiwanya separuh melayang. Bermacam-macam perasaan
berlegar-legar dan berlari-lari keluar masuk ke dalam benaknya.
DI LUAR bilik,
gelombang frekuensinya pun tidak kurang hebat. Gaban gelisah menunggu Salimah.
Dia tidak berganjak dari sofa. Wajahnya menghadap kaca televisyen tetapi ekor
mata mengawasi pintu bilik. Sesekali dia berdehem keras sebagai isyarat amaran
buat Dilaila yang masih berteleku di biliknya.
Akhirnya suara Salimah
memberi salam mengejutkan tetamu tanpa diundang itu yang sejak tadi membisu
melayan perasaan. Wanita itu menguak daun pintu hadapan dan sebaik terjengul,
hatinya berombak bila ternampak Gaban sedang duduk di depan televisyen. Jarang
lelaki itu berada di rumahnya kalau tanpanya di sisi.
Salimah mengerling ke
arah bilik anak gadisnya. Gelap! Biarpun agak pelik, namun dia membuat andaian
yang Dilaila sudah tidur. Lalu dia menuju ke dapur dan meletakkan bungkusan di
atas meja makan.
“Kamu dah makan?” soal
Salimah sekadar berbasa-basi.
“Dah,” balas lelaki
itu bersahaja.
“Dah lama kamu sampai?”
“Baru,” jawab Gaban
sepatah sedang mata tetap tidak berkalih dari televisyen.
Salimah berasa cuak.
Rasa kurang enak melihat perangai lain macam lelaki itu. Selalunya dia mesra
dan mengada-ngada. Dijelingnya lelaki itu, terlihat rambutnya yang agak panjang
tidak terurus sebelum jatuh ke pipi dan matanya tertancap pula pada kesan
palitan merah yang agak panjang.
Hati kecil Salimah
terdetik, ‘Kenapa pipi dia bercalar ni?’ Malangnya, tidak dilayannya rasa
sangsi itu sebaliknya dia terus masuk ke bilik untuk menyalin pakaian lalu
keluar semula di ruang tamu, namun Gaban sudah ghaib. Bunyi enjin motosikal
seketika kemudian memberikan isyarat pemergiannya.