PINTU pagar dibuka.
Dilaila melangkah deras, namun matanya sempat menangkap sebatang sabit yang ada
di bawah pokok rambutan. Serta-merta dadanya berombak, matanya meliar sebelum
menangkap sepasang kaki yang terlunjur di celah pasu. Dilaila bergegas ke
rimbunan pokok bunga di sudut kanan pagar rumah. |
“Luqman!” Dilaila menjerit.
Lelaki yang sudah hampir biru itu segera
dikejutkan. Luqman batuk dengan kuat bagaikan hendak terkeluar segala isi
perutnya dengan matanya yang terjojol. Pada bahagian abdomennya, segala-gala
sudah tidak terkawal lagi. Dia terkencing-kencing setiap kali batuk kerana
pundinya ditekan oleh usus. Akhirnya dia termuntah dan segumpal lendir
bercampur darah keluar dari tekaknya.
“Mak! Mak! Luqman sakit!” Dilaila menjerit
bagaikan orang gila.
Dia memapah Luqman hingga ke beranda.
Kemudian berlari masuk ke rumah. Dicapainya kain pelekat, tuala dan sebaldi
air. Ibunya mengekori dari belakang sambil menunjukkan wajah cuak. Dia tidak
tahu apa yang telah terjadi kepada Luqman kerana asyik menggunting cili kering
di dapur.
Luqman masih batuk dengan teruk. Paru-parunya
kembang dan dipenuhi lendir. Batuk ialah usaha biologi untuk mengeluarkan
lendir dari dalam paru-paru. Yang pastinya tiada siapa pun yang sanggup batuk
seperti itu. Dada bagaikan diragut malaikat maut setiap kali ia batuk.
Kesakitannya sudah tidak tergambar.
Luqman cuba bernafas. Berdehit-dehit bunyi
nafasnya sebelum dia batuk lagi lalu keluar lendir putih likat bertali tanpa
putus dari mulut. Dilaila segera menyapu lendir itu dengan kain tudungnya yang
sudah ditanggalkan. Badan abangnya yang berlengeng ditutup dengan tuala.
Dilaila mencurahkan air ke punggung Luqman
untuk menghalau bau hancing air kencing yang sudah bersatu dengan seluarnya.
Tanpa segan silu, dia melonggarkan seluar cerut abangnya sebelum menyarungkan
kain pelekat pada tubuh lelaki itu.
Kain pelekat diikat paras dada lalu
ditariknya seluar itu agar terpisah dari punggung Luqman. Kerjanya sangat
pantas. Luqman disuruh bangkit lalu duduk pada anak tangga yang kering sambil
tangan Dilaila menarik kain pelekat yang bergulung tadi agar menutup sebahagian
kaki abangnya.
Seluar yang basah segera ditanggalkan
terus melalui hujung kaki Luqman lalu dicampak ke dalam baldi. Kemudian dia
memapah Luqman ke dalam rumah. Fikirannya pantas berfikir cara untuk memanaskan
badan Luqman. Dia segera mengelap rambut Luqman dengan tuala.
Luqman masih batuk dan tuala tadi menjadi
tempat lendirnya ditadah pula. Sebotol minyak kayu putih diambil lalu disapu di
belakang badan Luqman. Fikiran si gadis berputar seligat tangannya bekerja. Dia
bergegas ke dalam bilik mencapai selimut tebal dan diselubungkan pula ke tubuh
Luqman.
Haba yang terperangkap dalam selimut akan
membantu memanaskan tubuh lelaki yang hampir separuh mati itu. Suhu sejuk akan
membuatkan batuknya semakin teruk jadi dengan memanaskan tubuh Luqman, dia
berharap agar batuk abangnya itu akan berkurangan. Dia pernah lihat Nek Tijah
melakukan hal yang sama sewaktu Luqman kecil dulu.
Salimah pula sudah kembali ke dapur.
Membantu tidak, bersuara pun tidak. Sengaja dibiarkan sahaja Dilaila berhempas pulas
menyelamatkan abangnya. Jauh di sudut hatinya dia tidak tergamak menyaksikan
betapa Dilaila bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan abangnya. Kalau gadis itu
tahu bahawa mereka sebenarnya bukan saudara kandung, apakah tindakan Dilaila
tetap sama?
DI RUANG TAMU, Dilaila masih tega
bersama pemuda malang itu. Suaranya tersekat-sekat, “Man, kau kena kuatkan
semangat. Lepas reda hujan ni, kau tentu akan rasa lebih sihat.”
“Aku dah nak mati,
Dilaila,” ujar Luqman bercampur dengan batuk.
“Jangan jadi bodoh. Kau
ingat kau siapa? Mati tu kerja TUHAN!”
“Aku tahu, aku dah nak
mati. Janganlah kau risau.”
“Tak, kau tak boleh
tinggalkan aku. Kau tak boleh mati. Kau mesti hidup! Ingat tak janji kita dulu?
Kau nak tengok aku berjaya dan bina mahligai untuk kau kan?”
“Kaulah yang teruskan
hidup. Aku nak mati, nak nenek...”
“Sekali lagi kau sebut
fasal mati, aku akan hantar kau ke hospital!”
“Eh, jangan Dilaila. Aku tak nak pergi
hospital,” kata-kata Luqman terputus oleh batuk yang semakin kuat, sebelum
menyambung, “Itu tempat orang mati!”
“Ha, tau pun takut kan?”
“Nanti doktor cucuk aku, lepas tu aku
mati!” Luqman batuk lagi.
“Bukan ke tadi kau sendiri cakap yang kau
nak mati?”
“Aku nak mati di sini!” Tercungap-cungap
nafasnya meminta nyawa sebelum menyambung. “Tak kena cucuk.”
“Huh, kau ingat kau boleh pilih di mana
kau nak mati? Banyak cantik muka kau!”
Luqman tersengih. Hingusnya disapu dengan
hujung kain. Senang hati bila melihat adiknya cemas begitu. Dia tahu Dilaila
sayangkannya.
“Kau baik pada aku, tak macam mak.” Luqman
akhirnya bersuara lagi sambil berselang seli dengan batuk keras.
“Mak tu nampak aje keras tapi hati dia
baik. Dia sayang kau, cuma dia tak nak tunjuk sebab kau bodoh!”
“Betullah aku bodoh, tak boleh kerja kuat.
Orang bodoh tak boleh duduk di rumah ni kan?”
“Kalau kau bijak kenapa kau berhujan macam
ni? Ni kerja orang bodoh, tau tak?” Si gadis terus menempelak abangnya tanpa
belas kasihan. Marahnya meluap-luap di atas kebodohan Luqman yang tidak tahu
menjaga diri.
“Mak marah kalau aku berhenti.”
Jantung Dilaila tersentap apabila
mendengar kata-kata Luqman. Kenapakah ibunya tergamak berbuat begitu pada
Luqman? Mengapakah ibunya sanggup mendera Luqman? Tidakkah serik ibu dengan
kematian Gaban dan Nek Tijah?
Dilaila bangkit kembali lalu menuju ke
dapur. Dia mencari sudu plastik dan botol madu di atas para. Matanya sempat
menjeling ke arah ibunya yang sedang menjerang air.
Setelah menemukan benda yang dicarinya dia
segera mendapatkan kembali Luqman yang masih batuk terkokol-kokol. Nafasnya
turun naik dan nampak kesakitan setiap kali terbatuk.
“Man, minum madu ni dapat melegakan sikit
dada kau. Esok pagi-pagi kita pergi hospital.”
“Tak mahu pergi hospital!”
“Okey, kalau macam tu kau kena minum madu
ni setiap pagi dan malam. Faham?”
Luqman mengangguk. Dilaila menyuakan sudu
yang penuh dengan cecair likat keemasan ke mulut Luqman. Terimbau kembali di
benaknya kenangan sewaktu kecil bila dia sering meminta nenek menyuapkan
makanan ke mulutnya.
“Man, kau ingat tak masa kita kecil dulu?
Aku merajuk sebab nenek tak suapkan nasi pada aku. Dia asyik layan kau saja.
Aku ingat nenek tak sayang aku.”
Melihat Luqman diam, gadis itu menyambung
semula kata-katanya, “Aku menyorok bawah katil. Seorang pun tak dapat cari aku.
Mak dan nenek panik. Ramai jiran yang datang tolong cari sampai ke baruh. Ada
yang kata aku disorok bunian.”
Sambil tercungap-cungap, Luqman segera
menyampuk, “Man dah tahu tempat Dilaila nyorok.”
“Yalah, mula-mula kau diamkan sebab takut
aku marah. Tapi kau cakap juga akhirnya kan? Aku kena pukul teruk dengan mak.
Masa tu aku memang marah kau dan bersumpah tak nak kawan dengan kau sampai
bila-bila. Kelakarnya, esok kita main pondok-pondok bersama. Dah lupa dah fasal
semalam,” ujar Dilaila sambil tersengih tanpa diduga ada air jernih bergenang
di tubir matanya.
Luqman masih diam. Dia hanya memasang
telinga dan matanya sahaja yang terkebil-kebil memandang adik yang dikasihi.
Dilaila menarik nafas panjang. Luqman tidak
bersalah, malah Luqman telah menyelamatkannya. Kalau Luqman tidak memberitahu
Nek Tijah di mana dia tentu dia akan tertidur di situ sampai keesokan harinya
dengan perut kosong.
Kini gadis itu faham kenapa Nek Tijah
sangat mengambil berat terhadap Luqman. Nek Tijah kasihan pada Luqman kerana
dia tidak pernah meminta dilahirkan cacat. Meskipun ramai yang membenci tetapi
sebahagiannya pula akan mengasihi. Itulah makna manusia istimewa seperti
Luqman. Simpati terhadap nasib abangnya membuatkan dia mahu membela lelaki
malang itu. Sudah menjadi tanggung jawabnya menyambung tugas Nek Tijah.
Perlahan-lahan dia menyeka air matanya
yang tergenang. Luqman tidak berdosa pada sesiapa. Luqman tidak pernah
menyakiti hati sesiapa. Tetapi kenapa Luqman dibenci oleh ibu kandung sendiri?
Mustahil hanya kerana Luqman cacat! Gadis itu belum dapat memahami sikap ibunya.