Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 18

18


"MNGGU depan? Ayah long pun pergi ya, nek?” soal Faizul Ikhwan.

“Ya, ayah long akan temankan nenek di sana. Nenek pergi pun tak lama. Insya-Allah, nanti bila nenek balik kita semua pergi jalan-jalan ya,” kata Juriah sambil memandang satu per satu wajah cucunya.

Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan Wardina Amni mengangguk faham.

“Tak lama tu berapa lama, nek?” tanya Mardiah Amna.

“Insya-Allah. Dalam sebulan lebih. Nenek buat haji sekali dengan umrah. Nenek sambut raya haji di sana,” sambung Juriah lagi. Hiba rasa mahu meninggalkan cucunya apatah lagi baru empat bulan Osman meninggal dunia.

“Belikan Diah gelang ya, nek?” pesan Mardiah Amna.

“Ha’ah, nek. Dina pun nak,” kata Wardina Amni menambah kata-kata kakaknya.

“Insya-Allah... nanti nenek belikan gelang yang boleh gulung-gulung tu ya?” jawab Juriah sambil tersengih.

“Yeay!” Mardiah Amna dan Wardina Amni bersorak.

“Budak lelaki takkan nak pakai gelang, nek?” tanya Faizul Ikhwan melihat kegembiraan kakak dan adiknya.

Juriah, Mardiah Amna dan Wardina Amni tergelak mendengar kata-kata Faizul Ikhwan.

“Nanti nenek belikan Zul kopiah ya?” janji Juriah.

Faizul Ikhwan mengangguk faham akan kata-kata nenek seraya mengucapkan terima kasih.

“Suri, Suri nak kirim apa mak nak ke Tanah Suci?” soal Juriah sambil matanya memandang tepat ke wajah Suriyana.

Dari tadi menantunya itu tidak menyampuk perbualan mereka. Suriyana nampaknya asyik menatap majalah yang berwarna-warni di sofa sedangkan Juriah dan cucu-cucunya di beranda rumah.

Suriyana memanggung kepala sekilas, membalas pandangan ibu mertuanya.

“Suri nak kirim doa supaya orang yang tamak dan ambil harta anak yatim cepat-cepat sedar diri. Biar orang tu dapat balasan setimpal di dunia ini sebelum dia mati,” kata Suriyana selamba. Dia mencampakkan majalah di meja kopi dan mengangkat punggung ke biliknya. Wajahnya nampak tegang.

“Astaghfirullah, Suri…” Juriah terkejut besar. Kata-kata Suriyana ringkas, namun cukup menyiat-nyiat hatinya.

‘Ya Allah! Suri, kau masih marahkan mak? Kau masih berprasangka buruk yang mak makan harta cucu-cucu mak? Subhanallah, Suri. Sungguh, mak tak ada ambik walau satu sen pun harta anak-anak ni.” Juriah bercakap lirih dalam hati.

Dia kemudian melepas pandang ke wajah Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan Wardina Amni dengan mata yang berkaca-kaca. Cucu-cucunya itu memandang sayu wajah Juriah seperti mengerti akan sengketa yang wujud di antara emak dan neneknya.

“Nenek faham, mak masih sedih. Pesan nenek, jangan tambahkan kesedihan mak ya? Diah, Zul, Dina… jadi anak yang baik. Selama nenek ke Mekah, kalau ada apa hal minta aje tolong Mak Cik Ainon mahupun Mak Long Kasnah. Nenek dah pesan kat mereka agar tengok-tengokkan kau orang.” Suara Juriah sebak menahan segala rasa di dada.

“Yalah, nek...” jawab Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan Wardina Amni serentak. Juriah memeluk tubuh ketiga-tiga cucunya kejap- kejap.

“Malam ni, tidur rumah nenek ya? Sebelum tu, kita jalan-jalan pusing KL, nak?” ajak Juriah kepada cucu-cucunya.

“Yeay! Nak, nak, nak!” jawab ke tiga-tiga mereka dengan sorak riang.

“Tapi, pergi mintak izin emak dulu ya,” kata Juriah membuatkan ketiga-tiga mereka mengangguk faham.



SUDAH hampir sebulan Juriah ke Mekah. Hampir sebulan lebih juga Wardina Amni hanya terkurung di rumah besar itu. Cuti sekolahnya hanya dihabiskan dengan membaca buku dan terperap di dalam bilik. Mujurlah juga kebosanannya terubat dengan buku cerita dan komik peninggalan Osman.

Sebelum Osman meninggal, dia menghadiahkan Wardina Amni sekotak besar komik dan buku cerita untuk kanak-kanak dan remaja. Sedikit sebanyak, hadiah peninggalan arwah ayahnya itu mengubat lara rindu buat insan tersayang, yang telah pergi selama-lamanya.

Semalam, Wardina Amni ke sekolah menengah, sama sekolah dengan Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan untuk kemasukan pelajar tingkatansatu. Sekolah menengah itu cuma bersebelahan dengan sekolah rendahnya. Keputusan peperiksaan UPSR yang didudukinya tempoh hari telah menunjukkan yang dia memperolehi 5A. Wardina Amni mendapat tawaran masuk ke sekolah berasrama penuh di Kelang, namun tiada reaksi daripada Suriyana sama ada bersetuju dia dimasukkan ke sana atau tidak.

Wardina Amni langsung tidak berani bertanya memandangkan moodSuriyana kebelakangan ini sentiasa tidak baik. Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan yang rapat dengan emak mereka pun tidak berani hendak membuka mulut bertanya itu ini. Mujurlah sewaktu dia ke sekolah menengah semalam, Mardiah Amna sudi menemaninya. Segala urusan pembiayaan persekolahan pula diambil daripada tabungnya.

Mujurlah juga sebelum Juriah ke Mekah tempoh hari, segala keperluan sekolah mereka adik-beradik diuruskan neneknya. Pakaian sekolah menengahnya juga sudah siap dibeli Juriah. Juriah turut meninggalkan wang tunai dan menabung duit di dalam bank untuk mereka adik-beradik. Nenek mereka telah memasukkan duit sebanyak seribu seorang di dalam bank Tabung Haji tanpa pengetahuan Suriyana.

“Jangan beritahu emak dulu yang nenek ada masuk duit dalam Tabung Haji tau. Buku akaun tu simpan elok-elok. Tak payah tunjuk kat emak tau,” pesan Juriah.

“Kenapa nek?” tanya Mardiah Amna akan syarat neneknya itu. Faizul Ikhwan dan Wardina Amni berkerut dahi, serentak memandang nenek mereka.

“Biar nenek saja yang bagitahu sebab moodemak Diah masih tak baik,” jawab Juriah. Sebenarnya Juriah tak mahu Suriyana tahu kerana bimbang duit itu akan disalah guna oleh menantunya.

“Yalah nek,” jawab mereka tiga beradik seakan mengerti akan niat baik neneknya.

“Kalau ada masalah dan terdesak nak guna duit, nenek izin guna duit tu. Tapi manfaatkan betul-betul. Kalau rasa tak penting nak beli sesuatu barang, tak usah membazir.”

Mardiah Amna, Faizul Ikhwan dan Wardina Amni mengangguk faham.

“Hah, untuk Dina sebab dapat 5A, nenek hadiahkan jam ni ya? Dina suka?” soal Juriah sambil menghulurkan seutas jam tangan sebaik saja mereka berempat masuk ke sebuah kedai jam dan aksesori.

“Wah, cantiknya! Ada gambar tweety lagi. Terima kasih, nek. Dina suka sangat.” Wardina Amni bersuara dengan penuh rasa teruja. Jam tangan pemberian Juriah dikenakan di tangannya.

“Wow! Merah campur kuning, kombinasi yang sangat menarik.” Mardiah Amna pula memuji.

“Diah dan Zul dah ada jam, kan? Ambiklah barang apa yang perlu, nanti nenek bayarkan,” kata Juriah menyedari air muka Mardiah Amna mengharapkan dibeli sesuatu buatnya. Faizul Ikhwan sekadar menggeleng kepala.

“Hmm… tak apalah, nek. Lagipun banyak dah nenek beli tadi. Kain, baju, beg sekolah baru, kasut baru, semua baru. Terima kasih, nek sebab belanja kami.” Mardiah Amna menolak tawaran Juriah.

“Betul ni tak nak apa-apa dah?” tanya Juriah bersungguh-sungguh.

“Betul, nek. Dah banyak nenek berhabis untuk kami,” kata Mardiah Amna sambil mengangkat tinggi plastik berisi barang yang dibimbitnya tadi.

“Zul pun nak ucap terima kasih, nek.”

“Sama-sama. Nenek berbelanja pun untuk cucu-cucu nenek juga. Kalau dah tak ada apa-apa nak beli, jom nenek belanja makan. Nak makan apa, ya?” tanya Juriah gembira melayani cucu-cucunya selesai saja membayar harga jam tangan yang dibeli untuk Wardina Amni tadi.

“Ayam KFC!” sorak Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan serentak.

“Ayam KFC? Okey, jom, jom!” ajak Juriah.

“Yeay!” Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna bertepuk tangan. Mereka berdua sudah berlari ke premis makanan segera itu yang terletak hanya 20 meter di depan mereka.

Juriah hanya menggeleng kepala mengenangkan cucu-cucunya. Namun, tidak bagi Wardina Amni. Perkataan KFC itu seperti sebilah pedang yang menghunus tajam ke dadanya. Tanpa sedar, pedang itu telah menikam tepat ke jantung dan hatinya. Kala itu juga rasa sebak menggunung di jiwa. Air mata berjuraian lebat. Menyebut perkataan KFC, bayang wajah Osman datang lagi.

“Eh, Dina! Kenapa tercegat kat situ lagi?” laung Juriah menyedari Wardina Amni masih di depan kedai jam tadi.

Mendengar laungan Juriah, Wardina Amni segera mengelap air mata.

Sepanjang berada di dalam premis KFC tu, hati Wardina Amni bergelojak hebat. Mujurlah Juriah bagai mengerti perasaannya. Juriah seperti dapat membaca segala apa yang berkocak hebat di tasik hati Wardina Amni. Juriah bijak menenangkan perasaannya biarpun kata-kata nenek tak mampu mengubat seleranya yang sudah ranap.

Petang itu, rasa gembira bersama Juriah lenyap dalam sekelip mata. Rasa hiba bertandang tanpa dipinta. Di sinilah hari-hari terakhir dia menghabiskan waktu bersama Osman. Osman melayaninya makan ayam goreng. Osman menyuapnya dan mereka bergelak ketawa, berkongsi cerita. Osman turut memohon maaf kerana dia benar-benar sibuk untuk meluangkan waktu bersama Wardina Amni sekeluarga.

Selesai makan, mereka pulang dengan membawa bungkusan ayam goreng untuk emak, kakak dan abangnya. Sayang seribu kali sayang, musibah menimpa mereka tanpa dipinta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Seraut wajah Osman yang kesakitan ketika ditikam dengan sebilah pisau oleh perompak, cukup mengganggu fikirannya. Dia ketakutan. Setiap kali tidur, mimpinya dibayangi wajah perompak itu. Suara perompak yang menengking kuat, meminta rantai berlian, masih tergiang-giang di corong telinga. Cukup mengganggu ketenangan perasaannya.

Arghhh, betapa payah untuk dia melupakan itu semua! Wardina Amni teringat lagi. Peperiksaan UPSR yang didudukinya dua bulan selepas kematian Osman. Kalau diikutkan semangat yang kian berkubur bersama jasad ayahnya, dia hampir-hampir tidak mahu menghadiri peperiksaan itu. Namun syukurlah, Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan begitu menyokongnya. Juriah, Mahmud dan Hafiz, sepupunya begitu memberi semangat kepadanya.

“Dina nak hadiah apa kalau dapat 5A UPSR?” tanya Osman ketika mereka dalam perjalanan ke bandar membeli ayam goreng KFC.

“Hmm… Dina tak nak apa-apa ayah. Dina cuma mahu ayah dan mak bangga dengan Dina. Cukuplah hadiah buku dan komik yang bertimbun tu. Terima kasih banyak-banyak ya, ayah. Dina sayang ayah,” kata Wardina Amni sambil mencium pipi Osman bertalu.

“Okey, ayah sayang Dina juga. Ayah bangga dengan anak ayah yang comel dan bijak ni. Ayah yakin, suatu hari nanti, Dina pasti berjaya. Insya-Allah, semoga cita-cita Dina nak jadi pengacara tv akan berjaya. Berusaha dan belajarlah bersungguh-sungguh,” pesan Osman.

Amanat terakhir Osman itu disemat erat di dadanya. Meskipun hatinya walang mengenangkan pemergian Osman, Wardina Amni tetap tabahkan hati.

“Eh, dik! Kau baca buku apa tu sampai menangis bengkak-bengkak macam ni?” soal Mardiah Amna sebaik saja melabuhkan punggung di sisi adiknya. Wardina Amni tersentak. Dia cepat-cepat mengesat sisa air mata di pipi.

“Hisy, mana ada kak! Tak nangis pun,” balas Wardina Amni akan teguran kakaknya tadi. Dia bangun daripada perbaringan dan duduk rapat di sisi Mardiah Amna.

“Yalah tu. Takkan baca buku penyiasatan dan thriller macam ni boleh buat kau menangis teresak-esak,” komen Mardiah Amna sambil mencapai buku cerita di tangan Wardina Amni.

“Dina teringatkan ayah, kak. Bukan sebab buku ni,” luah Wardina Amni sambil memandang wajah Mardiah Amna yang sedang membaca sinopsis di belakang kulit itu. Kata-kata Wardina Amni itu membuatkan raut wajah Mardiah Amna berubah sama sekali.

“Kakak pun rindukan ayah juga,” balas Mardiah Amna sebak. Mereka berpelukan erat.

“Ececeh! Siap berpelukan pulak? Apa hal ni?” tanya Faizul Ikhwan sebaik saja hadir di situ. Kereta kawalan jauh bersama remote control dipeluk erat di dadanya.

“Tak ada apalah, Zul. Hal perempuan aje,” balas Mardiah Amna sebaik saja Faizul Ikhwan mendekati tubuh kedua mereka.

“Dina rindukan ayah,” luah Wardina Amni.

“Apahal nak rindu-rindu pulak? Bukan kau ke sabit laki aku mati, hah?!” Satu suara lantang kedengaran dari muka pintu biliknya.

Wardina Amni terkejut bukan kepalang. Menggigil-gigil tubuhnya melihat seraut wajah Suriyana yang mula menyinga. Dipegang kuat tubuh Mardiah Amna mencari kekuatan.

“Mak…” panggil Wardina Amni dengan suara yang terketar-ketar.

“Siapa mak kau? Siapa mak kau, hah?!” marah Suriyana sambil menarik tubuh Wardina Amni daripada pelukan Mardiah Amna.

Mardiah Amna tercengang-cengang dengan perilaku luar biasa Suriyana. Wajah Suriyana yang tegang dan masam mencuka itu membuatkan dia takut untuk mempertahankan adiknya.

“Mak, kenapa ni? Kenapa buat adik macam ni?” soal Faizul Ikhwan cuba membela Wardina Amni.

“Zul, Diah… kalau tak kerana adik kau yang sial ni, ayah kau orang tak mati, tau!”

“Mak, jangan cakap adik macam tu!” Giliran Mardiah Amna pula membela adiknya.

“Hei, Diah! Adik kau ni bukan hari ini aje menyusahkan aku, tapi sejak dia dilahirkan ke dunia ni lagi. Nasiblah kau orang berdua tak mampus sebab tulah dia, faham?!”

“Mak, adik…”

“Kau diam, Zul! Karang dengan kau sekali makan penampar aku!” herdik Suriyana sambil mengheret kasar tubuh Wardina Amni keluar dari bilik itu.

Di tengah ruang tamu, Suriyana menolak tubuh Wardina Amni. Terhenyak tubuh kecil itu. Badannya menggigil-gigil menahan segala rasa yang beraja di tubuh.

“Mak, maafkan Dina kalau Dina ada buat salah.” Wardina Amni merayu, mohon dimaafkan.

“Woiii, kalau aku maafkan kau, rantai berlian tu dapat semula ke kat aku?” bentak Suriyana. Berang nampaknya dia dengan rayuan anak bongsunya itu. Dibalun belakang tubuh Wardina Amni bertalu-talu dengan tangannya.

“Mak, maafkan Dina, mak. Maafkan Dina.”

“Aku benci kau! Kau memang anak tak guna!”

“Mak, sampai hati mak cakap Dina macam ni. Janganlah mak cakap Dina macam ni. Mak, tolonglah jangan benci Dina. Dina sayangkan mak. Dina mintak maaf...” Suara lirih Wardina Amni langsung tak meruntuhkan tembok batu di hati Suriyana yang keras pejal.

“Aku benci kau, Wardina Amni! Aku benci kau.” Muka Suriyana semakin merah padam. Matanya mencerlung marah dan tangannya tak berhenti daripada terus memukul tubuh kurus anaknya itu.

“Sakit, mak! Sakit. Abang, kakak… tolong Dina! Dina sakit!” Wardina Amni merayu lagi.

Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan hanya memerhati tanpa berbuat apa-apa. Masing-masing ketakutan, menikus melihat perubahan mendadak Suriyana. Ternyata emak mereka sudah naik hantu dan mengamuk sakan memukul tubuh Wardina Amni seperti orang tak waras.

“Abang, kakak, tolong Dina...”

“Mak, jangan buat adik macam ni, mak...” rayu Mardiah Amna, memeluk tubuh adiknya.

“Mak, adik sakit tu. Lepaskan adik, mak... lepaskan adik.” Faizul Ikhwan pula menangis mengenangkan kesakitan Wardina Amni. Lengan Suriyana dipegangnya kuat dengan harapan Suriyana akan berhenti daripada terus memukul Wardina Amni.

“Masuk bilik kau orang. Sekarang! Nanti tak pasal-pasal kau orang kena lempang dengan aku!” tengking Suriyana sekuat hati. Kemarahannya kian mendadak melihat Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna mahu membela Wardina Amni.

Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna ketakutan melihat tangan Suriyana yang sudah diangkat tinggi seperti mahu memukul mereka pula. Masing-masing segera bangun dan pergi dari situ. Mardiah Amna dan Faizul Ikhwan hanya mampu memandang dari muka pintu bilik dengan penuh rasa simpati.

“Kau memang menyusahkan aku. Benar-benar menyusahkan. Aku sebenarnya tak pernah berharap untuk kau hidup di muka bumi ini. Kau memang menyusahkan hidup aku!” tempik Suriyana sekuat hati mencaci anak bongsunya itu. Tangannya masih tak berhenti memukul badan Wardina Amni.

Setiap butir kata yang terpacul daripada mulut Suriyana seperti racun yang terpaksa ditelan Wardina Amni. Tubuhnya tiba-tiba menjadi tidak bermaya. Semangatnya melayang-layang entah ke mana. Segala kesakitan yang bermaharajalela di tubuhnya bertambah sakit dengan setiap tutur kata yang dihambur Suriyana.

Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna sudah berlari masuk ke bilik, tidak sanggup melihat keadaan adik mereka.

“Jangan balik lagi ke sini! Aku tak pernah ada dan takkan sesekali ada anak macam kau.” Suriyana mengheret tubuh Wardina Amni keluar dari rumah itu ke beranda.

Wardina Amni terkapai-kapai, berusaha meloloskan pegangan kejap Suriyana di tubuhnya. Kulit mulusnya bertambah sakit dan melecet. Tubuhnya diseret kasar membuatkan kakinya tersepak bendul pintu. Sisa-sisa tenaga masih tinggal sedikit cuma.

“Ya Allah, puan... kenapa dipukul anak ni?” Rokiah yang sedang menyapu dedauan yang berguguran di laman rumah, menerkam naik ke beranda rumah. Suara teriakan Wardina Amni mengejutkannya sehingga tanpa sedar penyapu di tangannya, dibaling entah ke mana.

Rokiah cuba menghalang tindakan Suriyana yang tak sudah-sudah memukul tubuh anak itu. Wardina Amni nampak lemah tak bermaya.

“Sudah puan, sudah! Kasihan anak ini,” rayu Rokiah.

“Hei, Kak Kiah... aku tengah mengajar anaklah! Biar dia tahu susah senang hidup ni. Biar dia tahu betapa aku sengsara punya anak seperti dia! Kau jangan menyibuk, boleh tak?” marah Suriyana.

“Tapi kalau nak mengajar anak pun, takkan macam ni sekali puan pukul dia. Budak ni kecik lagi, puan. Sabarlah...”

“Kak Kiah ke tepi! Nanti dengan Kak Kiah sekali kena balun dengan penyapu ni...” Suriyana mencapai seberkas penyapu lidi di kaki tangga. Penyapu yang digunakan Rokiah tadi.

“Puan balunlah Kak Kiah, kalau puan rasa itu boleh meredakan perasaan marah puan terhadap anak ni.”

“Eeii... Kak Kiah jangan nak sibuk dengan hal keluarga saya boleh tak?! Dah! Dah! Kak Kiah boleh berambus!” Suriyana menolak kasar tubuh Rokiah.

Terhenyak tubuh wanita itu ke lantai. Rokiah mengaduh perlahan sambil meraba tulang punggungnya yang sakit.

Pada masa yang sama, tangan Suriyana masih tak lepas memukul tubuh Wardina Amni. Kini dengan menggunakan penyapu lidi pula. Campur tangan Rokiah itu ternyata menambahkan lagi kemarahan Suriyana.

“Aduh! Sakit mak, sakit! Ampuni Dina, mak. Maafkan Dina.” Wardina Amni merayu dan terus merayu mohon dibelas kasihan. Ternyata, hati Suriyana begitu keras untuk menerima suratan takdir dan melampiaskan segala tekanan terhadap anak itu.

“Sekarang kau keluar, berambus dari rumah ni!” tengking Suriyana sekuat hati.

“Puan, janganlah berkasar macam ni. Kasihanilah anak ni!” Rokiah mendekati tubuh Wardina Amni yang sudah lesu, tak bermaya itu. Didakapnya tubuh Wardina Amni.

“Arghhh! Aku peduli apa kalau dia mampus sekalipun!” Suara Suriyana lantang bak halilintar membelah bumi.

Dalam dakapan Rokiah, Wardina Amni kelelahan. Dia tercungap-cungap menahan nafas. Matanya yang kabur dengan air mata kini bertukar gelap-gelita. Pening kepalanya bertukar menjadi berat bak dihempap objek yang besar.

“Dina, Dina...” Rokiah menggoncang-goncang tubuh Wardina Amni mengharapkan anak itu membuka matanya.

“Puan memang kejam, kejam! Apa dosa anak ini sehingga sebegini buruk layanan puan terhadap dia?!” Rokiah memberanikan diri menentang Suriyana yang sudah menyinga itu.

“Arghhh! Kau berambus, Kiah. Kau berambus dari rumah aku, sekarang juga! Kau tak tahu hujung pangkal cerita, jangan nak tunjuk pandai. Jangan nak bela budak ni!”

“Mengucap, puan... kenapa sampai macam ni puan membenci anak ni? Bukan ke anak ini darah daging puan?”

“Sudah, Kiah! Baik kau berambus! Berambus!” tempik Suriyana macam orang dah kena histeria. Tubuh Wardina Amni yang sudah terkulai di riba wanita itu ditarik kasar dan dihenyaknya ke lantai. Terpinga-pinga Rokiah dengan tindakan Suriyana. Sungguh tak disangka, sezalim itu Suriyana melayan anaknya.

Suriyana masuk ke dalam rumah. Sekejap cuma dia keluar ke beranda itu dengan segugus kunci di tangan.

“Puan! Jangan, puan!” Rokiah meraung kuat apabila Suriyana mengheret tubuhnya ke pintu pagar rumah.

“Dah, berambus! Jangan datang lagi ke rumah aku!” tempik Suriyana sambil menolak kuat tubuh Rokiah.

Rokiah terperosok ke luar pagar, dekat dengan deretan pokok palma.

“Ya Allah, puan. Mengucap puan, mengucap! Saya tak kisah kalau puan layan saya macam ni, tapi kasihanilah anak puan tu...” Rokiah menangis panjang, masih berusaha masuk ke halaman rumah. Namun secepat itu juga, Suriyana memangga pintu pagarnya.

“Puan, buka pintu ni puan. Kasihanilah Dina...”

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.