| 04 |
SEPERTI biasa, sementara menunggu Shakir
membeli segala manik yang dipesan oleh Pak Saad, Syahirah duduk melepak
sendirian di sebuah kerusi kayu yang ada di dalam pusat membeli-belah itu.
Dia mahu memilih manik? Itu bukan jiwanya. Dia
bimbang jika dia yang disuruh beli manik, bukan manik yang akan dibelinya.
Benda lain pula yang akan dibelinya nanti. Lebih baik dia menyerahkan tugas itu
kepada Shakir. Shakir pakar dengan semua itu. Memang bidang dia.
Demi menghilangkan bosan, dia main permainan
Candy Crush di telefon pintarnya sementara menunggu Shakir selesai membeli
manik.
“Syah!”
Panggilan itu merencatkan fokusnya. Dia
memandang ke arah suara itu.
“Eh Fariq, kau buat apa kat sini? Kau tak
kerja ke?” tanya Syahirah.
Dia memberi ruang pada kawan baik sekampungnya
itu duduk di sebelahnya.
Fariq tidak terus menjawab.
“Aku lari sekejap. Lagipun, tak banyak kerja
kat bengkel. Ada masa sikit ni, aku pergi gunting rambut kat salun depan tu,”
jawab Fariq.
Dia mengemaskan rambutnya yang sudah dipotong
di bahagian tepi kiri dan kanan dengan hujung jari.
“Fulamak! Gunting rambut kat salun. Dah naik
pangkat ke? Biasa kau gunting rambut kat kedai mamak aje?”
Fariq duduk di sebelah Syahirah.
<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" imageanchor="1" style="margin-left: 1em; margin-right: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" /></a></div>
“Sesekali kenalah ubah selera. Aku dah bosan
dengan mamak tu. Gunting rambut aku tak pernah nak ubah gaya. Dari aku
tingkatan satu sampailah sekarang, macam tu jugak gayanya. Gunting rambut kat
salun tu best sikit. Amoi cantik yang gunting rambut aku tadi,” ujar Fariq
sambil tersengih-sengih.
“Aku dah agak dah. Tak adanya tiba-tiba kau
tergerak hati nak gunting rambut kat salun tu. Mesti sebab amoi kat kedai tu
cun melecun.”
“Normallah bro, aku lelaki. Pasangannya
perempuan. Aku bukan dua alam macam kau.”
“Woi,” jerit Syahirah, tidak boleh terima
tuduhan Fariq itu.
“Cakap tu baik-baik sikit. Kan ada yang kunyah
kasut busuk saiz tujuh aku ni,” sambung Syahirah.
Fariq tergelak.
“Huii... garangnya. Salah ke aku cakap? Kau
bukan suka perempuan ke?”
“Eh, cakap tu baik sikit ya. Aku tahulah aku
ni kasar. Tapi jiwa aku tetap perempuan bro.”
“Ya ke?”
Fariq mencebik tidak percaya.
“Macam susah aje aku nak percaya. Apa bukti
kau perempuan?” sambung Fariq sambil menggaru-garu dagu dan memandang Syahirah
dari atas ke bawah berulang kali.
“Kau tengok apa?”
Syahirah menutup tubuhnya.
“Kau jangan cari fasal. Aku tumbuk muka kau
nanti,” ujar Syahirah sambil menunjuk penumbuk di hadapan muka Fariq.
Fariq tergelak.
“Aku cari bukti yang kau tu perempuan,” jawab
Fariq dengan wajah selamba.
“Nanti aku tunjuk betul-betul, 40 hari kau
makan guna straw.”
“Eh, boleh ke? Nak tengok?” tanya Fariq sambil
buat muka teruja.
“Gatal punya jantan,” sindir Syahirah sambil
menolak perlahan wajah Fariq.
Fariq tergelak besar.
“Tahu pun takut. Yang kau ni duduk sini
sorang-sorang buat apa? Tak tolong bapak kau kat kedai jahit dia ke?”
“Aku tengah tunggu Shak ni.”
“Shak? Budak sotong tu?” soal Fariq, mahu
kepastian.
“Hisy kau ni, tak baiklah cakap dia macam tu,”
bela Syahirah.
Dia kembali menghadap skrin telefon pintarnya.
Sekadar mahu menyemak akaun Facebook jika ada notification terbaru.
“Eh, betul apa aku cakap? Dia tu lembut, kan?”
soal Fariq lagi.
“Lembut tak semestinya sotong,” jawab
Syahirah, masih membela.
“Okey, faham.”
Fariq malas mahu mengulas lanjut. Dia takut
ada yang tersentap nanti.
Suasana menjadi diam seketika.
“Kau dengan Shak tu ada apa-apa ke?” tanya
Fariq, menukar topik perbualan.
“Hisy, mana ada.”
“Tak adalah, aku tengok kau dengan dia sejak
dari sekolah rendah lagi asyik berdua aje. Apa-apa berlaku pada dia, mesti kau
yang akan bela. Aku tengok kau dengan dia dah macam terbalik. Dia tu awek, kau
pulak pakwe. Macam mana tu?”
“Kau ni, macamlah tak kenal dia macam mana,
kan? Dia kan lembut sikit. Dah dia dilahirkan macam tu, nak buat macam mana,
kan? Apa yang pasti aku dengan dia best friend aje, okey?”
“Okey. Cuma aku tengok kau dengan dia, macam
tertukar personaliti. Cuba kau dengan dia lari laju-laju rempuh antara satu
sama lain. Manalah tahu kau dengan dia boleh tertukar personaliti yang
sepatutnya,” cadang Fariq.
Syahirah tergelak.
“Kau ni, bab mengarut memang terbaik. Boleh
pulak kau duduk lama-lama kat sini. Bos kau tak marah?”
“Eh, haahlah.”
Fariq baru teringat. Jam tangan dipandang
sekilas.
“Aku kena blah dulu. Kalau kau ada masa nak
lepak karaoke ke? Main boling ke? Calllah aku okey?”
“Okey,” akur Syahirah.
Fariq melangkah pergi meninggalkan Syahirah
sendirian di kerusi kayu itu.
“Manalah Shak ni? Dia beli manik ke buat
manik? Ke dia beli tauke manik? Lambat sungguh!” rungut Syahirah, sudah bosan
menunggu.
Dia kembali menatap skrin telefon pintarnya.
Tanpa disedari mereka, perbualan mereka berdua tadi telah didengari oleh Shakir
yang berada tidak jauh dari mereka.
SELESAI Shakir membeli manik, mereka berdua
terus ke restoran makanan segera KFC di aras yang paling bawah di pusat
membeli-belah ini untuk mengisi perut masing-masing yang sudah terasa lapar.
Alang-alang sudah tengah hari, apa salahnya mereka makan tengah hari terlebih
dahulu sebelum balik ke butik.
“Kau ni, macam ada masalah aje. Sejak kau
keluar dari kedai manik tu, muka kau terus ketat semacam. Apa hal?” tanya
Syahirah sambil meletak dulang di atas meja.
Jika sudah di KFC, pastinya ayam goreng tepung
menjadi menu pilihan mereka ketika ini.
“Tak ada apalah,” jawab Shakir malas sambil
meletak straw ke dalam gelas kertas yang ada.
Makanan di atas dulang mula dihidang. Selesai
sahaja menghidang, roti dicapai mereka lalu dikuak menjadi dua bahagian. Sudu
kecil dicapai lalu mashed potatoes dicalit sedikit kemudian disapu di permukaan
dalam roti.
“Ya ke?”
Syahirah tidak percaya. Mulutnya mula
mengunyah roti rakus.
“Yalah,” dalih Shakir.
Dia mencarik sedikit kulit ayam goreng tepung
lalu diletak di atas permukaan roti yang sudah disapu rata dengan sedikit
mashed potatoes tadi. Roti kembali disatunya lalu dikunyah. Jadilah burger
kulit ayam goreng tepung, katanya.
“Okey.”
Syahirah malas mahu bertanya lagi. Bimbang
kawan baiknya itu rimas dengan soalan-soalan cepumasnya. Rotinya sudah habis
masuk ke mulut. Giliran untuk menyuap coslow ke dalam mulutnya pula.
Diam seketika. Masing-masing enak menjamah
makanan.
“So, macam mana? Kau dah fikir masak-masak?”
tanya Shakir sambil menyuap mashed potatoes ke dalam mulut.
Berkerut dahi Syahirah. Laju sungguh dia
makan. Bab makan, dia memang laju. Yang anehnya, banyak mana pun dia makan,
badannya tetap kurus. Macam ada bela saka.
“Fikir nak masak apa? Sejak bila aku pandai
masak?” soal Syahirah hairan.
Tidak pasti sama ada Syahirah mahu loyar buruk
atau memang dia tidak faham apa yang Shakir maksudkan.
Shakir buat muka toya.
“Kau dah fikir masak-masak ke, sama ada kau
nak cari suami sendiri atau terima cadangan papa kau tu?”
“Oh... ingatkan apalah tadi. Aduh kau ni,
spoilkan mood aku nak mencekik ayam KFC ajelah,” keluh Syahirah, tidak senang
dengan topik yang Shakir bangkitkan.
Dalam tidak ada mood, tangan dia tetap laju
mencarik daging ayam goreng tepung lalu disumbat ke dalam mulut. Gaya macam
sudah tidak makan seminggu. Kalau ada mood nak makan, mahu dengan tulang-tulang
sekali dia telan.
“Eleh, spoilkan mood konon. Paha ayam tu dah
tinggal tulang kau baham,” sindir Shakir sambil mencebik.
Syahirah tersengih.
“Sebenarnya, aku ni jarang tak ada mood nak
makan. Kalau bab makan tetap pelahap beb.”
“Tu aku tahu dari dulu dah,” balas Shakir
dengan muka bosan.
Ayam goreng tepung dikunyah lagi.
“So, macam mana?” soal Shakir lagi, kembali ke
topik asal.
“Macam mana apa pulak ni? Macam-macam hallah
kau hari ni. Pening aku.”
“Fasal papa kau nak menantu tulah. Kalau tak
silap aku, lagi lima bulan birthday papa kau yang ke 50 tahun. Kau rasa kau
sempat ke cari suami dalam tempoh lima bulan?”
Syahirah mengeluh berat. Namun, ayam goreng tepung
di tangan tetap juga laju masuk ke dalam mulutnya.
“Aku dah main tawar-menawar semalam dengan
papa aku. Tapi papa aku tetap berkeras nak menantu. Dia ingat, cari menantu
untuk dia tu macam cari sayur kailan kat pasar agaknya. Aku tak naklah
disebabkan ugutan dia tu, aku yang menderita. Cari suami segera ni, ikut untung
nasib aje beb.”
Kasihan pula Shakir melihat kawan baiknya itu.
Ikutkan hati, dia sanggup menjadi suami segera kepada kawan baiknya itu. Dia
ikhlas terima Syahirah sebagai isterinya andai memang jodohnya dengan wanita
itu. Tetapi, apabila kata-kata Syahirah semasa berbual dengan Fariq tadi
kembali bermain di dalam kepalanya membuatkan dia pendam sahaja perasaannya
itu.
“Kalau untung, aku bahagia dengan suami segera
aku tu sampai mati. Kalau tak untung, aku bercerai-berai. Yang menderitanya
nanti aku jugak,” sambung Syahirah.
“Dah tu, kau ada cakap macam tu kat papa kau?”
“Dah.”
Sekarang, baru nampak Syahirah seperti hilang
selera untuk menjamah sisa makanannya.
“Papa kau cakap apa?” soal Shakir lagi.
“Dia tetap berkeras nak menantu sebelum atau
ketika umur dia masuk 50 tahun. Dia kata aku hanya akan berubah kalau aku ada
suami.”
“Mungkin betul jugak kata papa kau tu. Bila
kau dah kahwin nanti, mungkin kau akan berubah jadi wanita sejati. Yang
betul-betul ayu dan sopan. Siapa tahu, kan?”
“Pergh! Kau kutuk aku, kan?”
Hanya luaran Syahirah sahaja nampak keras.
Apabila kena perli sedikit sudah sentap. Jika sudah perempuan, tetap jua
perempuan. Jangan nak rock sangatlah.
“Hisy, mana ada. Biasanya apa yang orang tua
cakap tu, betul tau. Dia orang kan, dah lama makan garam dari kita.”
“Hisy, tak naklah macam tu.”
Syahirah sambung makan sisa ayam goreng
tepungnya.
“Aku ni kalau boleh, nak lelaki yang boleh
terima aku seadanya. Sanggup terima aku yang kasar ni. Kau ingat tak penat, nak
jadi lemah gemalai? Tu bukan diri aku. Aku tak suka hipokrit.”
Shakir mengeluh halus. Buntu terus fikirannya.
Tidak tahu bagaimana mahu menolong Syahirah.
“Kalau macam tu, kau kenalah cari lelaki yang
boleh terima kau seadanya,” ujar Shakir.
Dia hanya mampu beri kata-kata perangsang
kepada kawan baiknya itu ketika ini. Kalaulah kau tahu yang aku boleh terima
kau seadanya, detik hati Shakir sambil mencuri pandang pada Syahirah.
“Serius, aku dah tak tahu macam mana nak
realisasikan impian mengarut papa aku tu. Nasib dia papa aku. Kalau papa orang
lain, memang dah lama aku bom. Stres aku!”
Shakir diam seketika memikirkan idea bernas
untuk membantu kawan baiknya itu. Mungkin dia perlu melupakan perasaannya
ketika ini terhadap Syahirah. Mungkin dia akan lebih gembira andai dia mampu
buat Syahirah bahagia. Siapa tahu, kan?
“Haa... apa kata kau cari bakal suami kau tu
kat Facebook? Kan berlambak-lambak lelaki dalam tu?”
Syahirah memandang lama Shakir sambil otaknya
ligat menimbang cadangan Shakir itu.
“Haahlah, kenapalah aku tak terfikir semua tu
selama ni. Bengonglah aku ni. Thanks Shak. Kaulah sahabat sejati aku. Aku
sayang kau.”
Disebabkan terlalu teruja, dia mencubit manja
hidung Shakir.
“Hisy, apa ni? Berminyaklah,” ujar Shakir
sambil mengelap hidung dengan kertas tisu.
“He...he...he...” Syahirah hanya tersengih
sumbing lalu menyambung makannya.
Shakir tersipu malu. Dalam hatinya dia terasa
bahagia apabila Syahirah mencubit hidungnya tadi. Manisnya!