Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
121,070
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 01

| 01 |

SEMAKIN hari semakin kabur pandangannya walaupun cermin mata yang tersangkut pada batang hidungnya sudah semakin tebal. Faktor usia, katanya. Semakin meningkat usia, semakin tidak berapa jelas pandangan. Kata orang, semakin antik sesuatu barang itu, semakin tinggi nilainya. Tetapi, dia bukan barang. Dia manusia. Lima bulan lagi, genaplah usianya 50 tahun. Barang lama, banyaklah kerosakan di mana-mana.

Jika dulu jari-jemarinya ligat menjahit manik-manik pelbagai warna, bentuk dan jenis. Dalam seminggu dia boleh menyiapkan lebih 10 tempahan baju berserta dengan sulaman manik sekali untuk pelanggannya. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kudratnya semakin berkurangan. Mata yang kabur semakin menyukarkan dia untuk bekerja lebih laju seperti sebelum ini.

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-RjrlguWQAi8/Uz6lwGrRqUI/AAAAAAAAEro/-9syrtBlR4o/s1600/Pak-Saad.png" /></div>

Dari upah menjahit baju dan maniklah dia menyara dirinya dan satu-satunya anak tunggalnya untuk terus hidup. Isterinya sudah meninggal dunia sejak 27 tahun yang lalu. Meninggal dunia ketika melahirkan cahaya matanya yang kini sudah berusia 26 tahun dan sedikit masa lagi akan menginjak usia 27 tahun.

“Apalah nak jadi dengan aku ni. Sampai ke tua ke, aku kena jahit baju? Ada anak, macam tak ada anak. Membuta aje kerjanya. Suruh kerja, malas!” bebel Pak Saad geram.

Hampir setiap hari dia membebel hal yang sama. Naik muak dibuatnya.

“Eh Shak, mana kawan baik kau ni? Berjam-jam aku tunggu dia, tak sampai-sampai lagi,” ujar Pak Saad pada satu-satu pekerjanya yang sedang memotong kain.

Mujurlah ada Shakir, anak jiran sebelah rumah yang sudi bekerja di butik kecilnya yang terletak di tengah-tengah pekan kecil ini. Berkuranglah sedikit beban kerjanya.

Shakir yang sedang memotong kain tidak jauh dari Pak Saad memandang lelaki tua itu sekilas. Dia yang mempunyai diploma dalam bidang rekaan fesyen dan pembuatan pakaian lelaki dan wanita, cukup senang bekerja di butik milik Pak Saad ini. Walaupun gajinya tidak sebesar mana, tetapi cukuplah untuk menampung sara hidupnya. Tinggal di kampung tidak tinggi kos sara hidup berbanding hidup di bandar.

“Eh, apa hal pulak tanya saya? Bukan ke Pak Saad yang lebih tahu?”

“Kalaulah aku tahu, tak adanya aku tanya kau Shak oi...” balas Pak Saad sambil membetulkan letak duduk bingkai cermin mata.

Tangan dan mata Pak Saad masih fokus pada manik dan jarum di tangan.

“Dia ingat butik ni bapak dia punya agaknya. Suka hati aje nak datang lambat,” sambung Pak Saad lagi.

Shakir tergelak.

“Bukan ke, ni memang butik bapak dia?” soal Shakir hairan lalu tergelak lagi.

“Ha, ya ke?” soal Pak Saad dengan wajah dungu.

“Aku lupa, kawan baik kau tu, anak aku. Aduhai... macam manalah aku boleh lupa dia tu anak aku?”

“Biasalah Pak Saad, faktor usia. Tak lama lagi nyanyuklah tu,” tutur Shakir dengan selamba.

“Amboi...” ujar Pak Saad sambil memandang Shakir.

“Sedap mulut kau mengata aku dah nak nyanyuk. Ada jugak yang aku jahit mulut tu dengan labuci ni,” ugut Pak Saad sambil menggayakan aksi.

Personaliti Pak Saad memang sedikit lembut. Kadang-kadang bukan sedikit, banyak. Sungguhpun begitu dia tetap seorang lelaki sejati walaupun tak berapa nak jadi. Macam bancuhan simen terlebih air. Lebih kurang seperti itu.

Shakir sudah tahan gelak.

“Saya gurau ajelah Pak Saad. Gurau sikit pun nak sentap.”

“Gila tak sentap? Kau carut aku, kan?”

“Hisy, mana ada!” nafi Shakir sambil tersenyum.

Pak Saad merengus benci sambil menjeling tajam ke arah Shakir sebelum menyambung kerjanya semula.

Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi enjin motosikal menghampiri butik kecil itu.

“Ha, baru sekejap tadi Pak Saad tanya fasal kawan baik saya merangkap anak kesayangan Pak Saad, tu dia dah pun sampai,” ujar Shakir.

Dia memang sudah kenal sangat dengan bunyi enjin motosikal jenama Honda EX5 itu. Sah! Milik Syahirah.

“Nasib sampai, aku ingatkan dah tergolek dalam longkang depan kampung tu.”

“Hisy, apalah Pak Saad cakap macam tu? Tak baik tau? Macam mendoakan pulak,” pintas Shakir, kurang senang dengan kata-kata Pak Saad itu.

Sudah sah-sah Syahirah itu anaknya, boleh pulak orang tua itu kata begitu. Bukankah setiap apa yang keluar dari mulut ibu dan ayah itu satu doa?

“Aku cakap kat mulut aje, tak sampai ke hati,” tegas Pak Saad tidak mahu kalah.

Beberapa saat kemudian, muncul Syahirah di muka pintu butik yang serba merah jambu itu. Shakir hanya mencebik lalu menyambung kerjanya memotong kain.

“Ha, baru nak tunjuk muka,” perli Pak Saad sambil mencebik bibir.

Syahirah tidak mengendahkan kata-kata papanya itu. Dengan riak muka selamba dan tidak bersalah dia melabuhkan punggungnya di atas sofa yang berhadapan dengan papanya. Topi di kepala yang dipakai secara terbalik dibetulkan.

“Nasib Syah nak tunjuk muka, pa. Ikutkan hati Syah yang membara ni, Syah memang takkan datang ke butik ni. Apa barang, nak datang butik ni? Tak rocklah pa, Syah kerja kat sini,” ujar Syahirah dengan selamba.

“Amboi... amboi... amboi...” balas Pak Saad geram.

Hati Pak Saad panas. Baju di tangan sudah dicampak di atas meja. Dia bercekak pinggang sambil menggeleng-geleng. Gaya rasminya sejak dulu.

“Sedap-sedap kau kata kerja kat butik papa yang vogue ni tak rock? Kau nampak dinding butik papa ni tak? Semua diperbuat daripada batu-bata tau? Cuba kau hentak kepala kau kat dinding tu, sakit tak?”

“Isy, papa ni. Kenapa nak suruh Syah hentak kepala kat dinding pulak?”

“Dah kau kata tak rock kerja kat butik papa, kan? Hasil dari butik nilah papa besarkan kau, tau. Hantar kau ke sekolah. Cuma kau tu aje, bebal. Papa hantar pergi sekolah suruh kau belajar pandai-pandai. Apa kau buat? Memonteng aje kerja kau, kan? SPM pun gred 3, ada hati nak berlagak diva!” bebel Pak Saad.

Pantang hati dia dicuit, gerenti akan meletup!

“Ha, dah mulalah papa aku ni.”

Seperti biasa Syahirah akan buat tak dengar sambil duduk santai dan membaca Majalah Mingguan Wanita yang ada di atas meja.

“Umur kau tu dah nak cecah 27 tahun. Dari habis SPM sampailah sekarang, satu kerja pun kau tak pernah dapat, kan? Kerja kau duk menghadap PS3 kau tu dari malam sampai ke subuh. Esoknya, matahari dah tegak, baru nak celik mata. Kau ingat, dengan perangai kau macam tu, ada orang nak ambil kau kerja, ke? Malasnya, mengalahkan kambing gurun. Nasib baik papa ni baik hati nak gajikan kau kerja kat butik papa yang vouge ni.”

Shakir hanya tahan gelak melihat gelagat dua beranak itu. Babak yang berlaku hampir setiap hari. Yang si papa lembut semacam, pakej dengan mulut laser dan kuat membebel. Si anak pula kasar semacam, persis lelaki. Mujur Syahirah berambut panjang. Kalau berambut pendek, memang sudah macam tomboi. Personaliti mereka seolah-olah tertukar. Namun, hal itu agak unik di matanya. Sungguhpun Syahirah berpersonaliti sedemikian, tetap ada kecomelan di wajahnya yang membuatkan hatinya terusik.

“Papa ni, kan Syah dah datang ni, masih nak membebel lagi. Telinga Syah ni kalau boleh tercabut, dah lama larikan diri, tau. Stres dengar papa membebel setiap hari. Papa tak penat ke? Cubalah tukar hobi membebel papa tu pada hobi lain. Mengumpul setem ke. Buat origami ke,” balas Syahirah.

“Apa? Syah? Geli papa dengar nama tu, tau? Kau tu perempuan Irah oi... Jangan nak berangan guna nama Syah tu. Syah tu nama lelaki tahu tak? Tak fasal-fasal papa keliru nak sebut nama kau dengan si Shak tu. Sebutannya hampir sama aje.”

“Eee... papa ni. Nama Irah tu, tak glamor langsung. Macam nama nenek-nenek. Papa pun satu, bagi nama entah apa-apa aje. Cuba dulu papa bagi Syah ni nama yang best-best sikit. Rihanna ke? Britney ke? Tak pun Rozita Che Wan, barulah glamor!”

“Rihanna papa kau! Sedap-sedap mulut kau kata nama kau tak sedap. Kan nama Irah tu unik. Tak ramai guna nama tu. Sepatutnya kau berterima kasih kat papa ni, sebab bagi nama kau, Irah. Kalau jadi artis, gerenti meletup satu Malaysia!”

“Pleaselah papa.”

Syahirah mencampak majalah di tangannya di atas meja.

“Sila panggil orang dengan nama Syah! Jangan nak panggil Irah!” tegas Syahirah.

“Ada papa kisah? Irah, Irah,” balas Pak Saad sambil menjegil mata memandang anaknya.

Baju di atas meja kembali dicapai lalu Pak Saad menyambung kerjanya yang tergendala tadi.

Syahirah hanya merengus. Mereka diam seketika, menahan bengang.

“Memandangkan papa bakal berusia 50 tahun tak lama lagi, papa ada hajat yang perlu ditunaikan,” luah Pak Saad selepas beberapa minit diam.

Syahirah yang sedang membelek telefon pintarnya berkerut dahi memandang Pak Saad.

“Hajat? Hajat apa pa? Papa nak naik haji ke?”

“Bukanlah!”

“Papa nak kahwin lagi ke?” soal Syahirah lagi sambil tersengih.

“Kau gila? Tak kuasa papa nak berbini lagi di usia senja macam ni.”

“Ala pa, Syah tak kisah kalau papa nak kahwin lagi. Bak kata orang, lelaki ni lagi tua lagi saham tinggi.”

“Choi! Tu orang lain. Bukan papa. Papa nak menantu sebelum atau selewat-lewatnya ketika usia papa 50 tahun, boleh?” soal Pak Saad sambil memandang tajam.

“Boleh aje pa. Siapa pun pilihan papa, Syah tak kisah,” balas Syahirah sambil lewa.

Dia menatap semula telefon pintarnya. Seolah-olah apa yang diperkatakan Pak Saad itu tiada kena-mengena dengan dirinya.

Shakir yang mendengar permintaan Pak Saad itu terus terhenti dari melakukan kerjanya. Dia terkejut mendengar jawapan Syahirah. Dia tidak sangka Syahirah menerima cadangan Pak Saad dengan acuh tak acuh.

“Ha? Nak menantu?” soal Syahirah kembali.

Dia baru terfikir tentang permintaan Pak Saad itu. Seperti baru tersedar dari tidur.

Shakir menepuk dahi. Slow gila Syah ni, bisik Shakir di dalam hati.

“Yalah, papa ada kata nak hantu ke?”

Syahirah mula menggelabah.

“Menantu tu, maksudnya papa nak Syah kahwin?” soal Syahirah, ingin kepastian.

“Kalau papa yang kahwin, takkan kau pulak yang dapat menantu? Kau ni sewel ke apa? Ting tong ek?”

“Papa nak Syah kahwin?” soal Syahirah, terkejut.

“Yalah. Kalau papa suruh si Shakir tu kahwin, bukan papa yang dapat menantu. Mak Cik Timah kau yang dapat menantu. Memandangkan kau memang tahap malas nak kerja, papa nak kau cari suami. Kahwin! Biar suami kau ajar kau sikit erti sebuah kehidupan. Papa dah letih. Papa nak menantu sebelum usia papa 50 tahun!”

“Apa papa ni? Main paksa-paksa kahwin pulak. Kliselah pa, cerita kahwin-kahwin paksa ni. Nanti mulalah papa nak kata ada penyakitlah, umur tak panjanglah, nak wasiatkan hartalah. Semua tu dah basilah papa!”ujar Syahirah, tidak boleh menerima cadangan itu.

“Klise ke, apa ke, papa tak kira. Papa nak menantu jugak sebelum atau selewat-lewatnya usia papa 50 tahun,” tegas Pak Saad dengan hasratnya.

“Kalau Syah tak nak?”

“Kalau kau tak nak, papa akan nikahkan kau dengan Pak Mat jual tempe kat kedai runcit depan tu. Walaupun cucu dah berderet, masih elok lagi orang tua tu. Badan pun ketak-ketak. Kalau kau tak nak, kau cari suami kau sendiri. Apa-apa pun, papa nak menantu sebelum atau selewat-lewatnya papa berusia 50 tahun. Ada faham?”

“Apa? Pak Mat Tempe?” Serentak Syahirah dan Shakir bertanya dengan memek muka terkejut beruk.


Next: BAB 02

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.