Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 19

Tatsuya menambat kudanya tidak jauh dari rumah Ryouji. Dia berjalan penuh yakin menuju halaman rumah Ryouji. Dia baru sahaja tiba dari Gero. Selepas bertanyakan beberapa orang di pekan tersebut berdasarkan petunjuk dari Tetsuro, dia berjaya menjejaki rumah Ryouji.

 

Tempat ini sungguh terpencil, getusnya. Sesuai untuk seseorang seperti Ryouji bersembunyi.

 

Engkau tidak akan dapat bersembunyi dariku Ryouji. Pengintipku cekap. Tidak sia-sia aku menggunakan Tetsuro. Bahkan kami turut punya pengintip kami di dalam Kogen, di tengah-tengah tanah tinggi Shirasaka itu. Aku tahu, namaku sudah disenaraihitamkan oleh Kogen maka aku sememangnya tidak akan dapat menjejaki lokasi tanah tinggi itu. Akan tetapi Shirasaka tidak akan dapat menyenaraihitamkan semua nama. Tidak semua rahsia mereka dapat simpan kedap. Tidak ada sistem keselamatan yang sempurna di dunia ini. Jika tidak masakan aku dapat memperolehi resin yang hanya terhasil pada pokok di tanah tinggi mistik itu?

 

Dalam berjalan menelusuri denai dan belukar, dia menyeringai. Yakin benar Tatsuya. Dia meraba-raba pedang di pinggang, dan mengeluarkan bilah itu sedikit demi memastikan ia bilah yang ditempa Mitsuhide menggunakan resin aomomiji. Dia senyum. Bilah itu tidak dikesilapkan dengan bilah biasa yang selalu dibawanya. Ia lebih berkilau dan ringan berbanding bilah biasa.

 

Mitsuhide, terima kasih kerana berjaya menyiapkan selepas berpuluh percubaan. Akan aku lunaskan dendammu. Kematian Kobato pasti akan terbela!

 

Dari jauh jelas di mata Tatsuya, Ryouji dan Kiku sedang duduk di atas pangkin berduaan merenung sawah padi yang sudah dituai, berbual entah apa. Kadangkala Kiku tertawa, dan kadangkala Ryouji tertawa. Mesra betul mereka seperti selayaknya pasangan yang baru berkahwin.

 

Meluat Tatsuya melihatnya. Bahagianya mereka. Seolah-olah mereka sudah lupa darah-darah yang terkorban. Adik iparku, Wataru yang dibunuh Saitou kerana berbohong demi melindungimu, Ryouji! Tsugiyama guruku yang Mariko-mu tewaskan. Tak guna! Aku akan pastikan engkau tidak akan mampu tersenyum bahagia lagi selepas hari ini.

 

Angin musim luruh berhembus menghantar kedinginan dan daun-daun kering ke halaman rumah kayu. Sehelai daun kering terbang menampar dahi Ryouji, meninggalkan habuk-habuk. Kiku mengesat habuk-habuk itu penuh teliti.

 

Ohisashiburi, Ryouji.”

 

Tersentak Ryouji seraya menoleh ke belakang. Tatsuya berdiri sambil menyeringai, namun masih tunduk sedikit tanda hormat.

 

Ryouji bangun, menundukkan sedikit tubuhnya membalas tanda hormat. Dia menoleh sejenak memandang Kiku, “Kiku, engkau masuk ke dalam rumah dahulu. Ada perkara yang ingin aku selesaikan.”

 

Kiku tidak berganjak. Dari wajahnya ada garis-garis kerisauan. Matanya yang sepet mengecil, dahinya berkerut. Dia merenung Ryouji. Dia merenung lelaki itu dan terkejut, kerana dia mengenali lelaki itu Tatsuya. Dia tahu jika dibiarkan, Ryouji dan lelaki itu akan bertarung dan melarat sehingga berlaku pertumpahan darah. Dia sedar lelaki ini datang demi dendam tempoh hari.

 

Daijyoubu Kiku. Usah kau bimbang. Beredar, sekarang, aku mohon.” Gesa Ryouji, menolak sedikit bahu dan pinggang isterinya. Kiku berjalan perlahan menuju ke anjung rumah dalam keberatan, namun dia tidak berdaya mengingkari gesaan Ryouji yang sungguh-sungguh. Kiku tidak menghabiskan pergerakannya sehingga ke rumah, namun menunggu sehingga Ryouji tidak menyedarinya. Dia menyorok di balik belukar dan pokok-pokok, memerhati Ryouji melayan tetamu tidak diundang itu.

 

“Tatsuya, apakah engkau mahu melangsaikan hutang antara kita di sini?”

 

“Aku tidak kisah.”

 

“Bagus engkau datang ke mari. Tidak perlu aku penat-penat mencarimu di luar. Seperti pernah kukatakan dahulu, aku akan memberkasmu dan membawamu ke Kogen atas kesalahan membunuh Mariko-san.” Ujar Ryouji separa menyindir.

 

“Aku membawa pedang baru ini dan akan membunuhmu, kerana engkau telah membunuh adik iparku, Tsugiyama dan juga Kobato.”

 

“Kobato? Bagaimana pula dia ada kaitan denganmu?”

 

“Aku menunaikan hasrat seseorang. Iaitu penempa pedang ini. Dia berdendam denganmu kerana membunuh Kobato.” Tatsuya menarik keluar pedang barunya.

 

Apa kaitan penempa pedang itu dengan Kobato? Soal Ryouji dalam hati. Namun soalan itu harus ditangguhkan dahulu.

 

“Aku tidak tahu apa yang penempa pedang itu katakan padamu. Namun ingin aku tegaskan, aku tidak membunuh Kobato. Dia mati kerana rusuhan tenaga. Aku bertarung dengannya kerana dia telah membunuh Takasaki-san, bekas ketuamu juga. Aku mahu menangkapnya untuk dibawa ke Kogen, namun dia diserang rusuhan tenaga.”

 

“Jadi, apakah dengan kata-katamu itu engkau tidak mahu bertanggungjawab di atas kematiannya?”

 

“Aku hanya menyatakan kebenaran. Sedang dia mati itu adalah kerana karmanya. Dia telah membunuh rakan-rakanku dan Takasaki-san.”

 

Ryouji mengeluarkan pedang Saishi-tou yang ditempa Shinji. Pedang Saishi-tou ini ditempa Shinji selepas Saishi-tou yang asal dipecahkan oleh lawannya di Yokuma. Koichi telah menghantar pedang Saishi-tou baru ini kepada Ryouji sejurus sebelum dia menewaskan Hamada di Kobe. Ini bermakna, rekabentuk dan teknologi yang telah ditambahbaik Shinji telah diterapkan ke dalam Saishi-tou baru ini, sama seperti Saishi-tou Hisamiko. Seperti biasa, Saishi-tou baru ini tidak bermata. Namun pedang Tatsuya itu bermata. Jika dilihat, nampak sekali berat sebelah pertarungan ini.

 

Mereka bergerak berpusingan. Serangan julung dilakukan Tatsuya, pantas Ryouji mengelak. Kiku melihat dari jauh, wajahnya mengukir cemas. Dia menahan diri dari menjerit. Dia harus menyerahkan kepada Ryouji. Dia harus yakin dengan Ryouji. Namun kerisauan terhadap suaminya tetap membelenggu diri mencucuk hati.

 

Dentingan pedang berselang-seli dengan tiupan angin musim luruh. Libasan demi libasan menghentam daun-daun perang dan daun kuning yang terbang dibawa angin dari pokok keyaki yang banyak ditanam di situ. Sekali sekala cahaya matahari menjadi begitu terang tatkala awan berarak membuka jendela langit, menyilaukan mata para petarung.

 

Kiku tidak lagi dapat melihat mereka berdua, hanya yang jelas daun-daun kering di tanah berterbangan dihembus angin entah dari mana, dan dahan-dahan pokok terpotong beserta daun-daunnya.

 

Aneh. Kami kini di jurus kesembilan. Tiada tanda-tanda Tatsuya tidak diserang rusuhan tenaga seperti Kobato. Pastinya pedang yang digunakan itu memainkan peranan. Ya, pedang itu ringan sekali. Ingin sekali aku bertanya lanjut, namun pada jurus pantas ini suaraku tidak akan kedengaran.

 

Aku penat benar. Aku sudah berada lama di dalam jurus ini, lebih lama dari kebiasaan dan pertarungan-pertarungan lalu. Tatsuya benar sudah menambahbaik! Namun dia juga nampak penat. Aku fikir aku harus keluar dari pertarungan ini sekarang, jika tidak, aku juga akan turut diserang rusuhan tenaga seperti Kobato. Darah Okuhidaku bukanlah jaminan, lebih-lebih lagi jika aku terlalu lama di jurus kesembilan.

 

Ryouji perlahan-lahan keluar dan berpusingan di atas tanah, menghambur daun-daun kering ke tepian. Melihatkan Ryouji, Tatsuya turut memperlahan.

 

Naze Ryouji?” Tanya Tatsuya sambil mencungap. Dia terduduk di atas tanah.

 

“Aku penat. Engkau pun penat bukan?”

 

Tatsuya tidak membalas.

 

“Aku bimbang aku dan engkau akan diserang rusuhan tenaga. Lantas pertarungan ini akan jadi sia-sia sahaja.”

 

“Diamlah!” Tatsuya membaling sebilah pisau sedang masih duduk. Ryouji berjaya mengelaknya.

 

“Engkau masih bersemangat membunuhku? Sekarang cubalah bangkit. Cubalah.” Ryouji masih tenang mencabar Tatsuya.

 

Tatsuya geram mendengar kata-kata cabaran itu. Dia cuba bangkit, namun hampa. Kakinya kejang. Dia harus menunggu beberapa ketika sehingga perjalanan darah kembali lancar dan dia boleh menggerakkan sedikit kakinya.

 

“Ryouji!” Kiku datang ke arah Ryouji.

 

“Kiku...bukankah sudah aku katakan agar menunggu di dalam rumah?!”

 

“Engkau tak apa-apa? Biar aku bantumu bangkit.”

 

Kiku tidak mengendahkan kata-kata Ryouji, lantas terus memapahnya bangkit. Ryouji terpaksa akur. Dia sememangnya lemah kerana tidak pernah begitu lama berada dalam jurus tinggi itu. Tatsuya bukan lagi sembarangan petarung. Dendamnya terlalu kuat sehingga mendorongnya berlatih dan mampu pula menghasilkan pedang seperti Shinji. Siapa penempa pedang itu? Apakah dia juga Shinji? Tidak, Shinji berada di dalam Kogen. Aku yakin, pasti ada pengintip di dalam Kogen sendiri yang membocorkan rahsia kami kepada penempa pedang Tatsuya. Dan penempa pedang Tatsuya itu ada kaitan dengan Kobato, malah berdendam denganku? Siapakah dia sebenarnya?

 

Tatsuya mengeluarkan satu lagi bilah pisau. Kiku ternampakkannya ketika mengerling ke belakang, seraya menolak Ryouji ke tanah pantas. Ryouji tersentak.

 

“Ryou...ji...” Erang Kiku sedang masih kaku berdiri dengan wajah terkejut.

 

“Kiku...”

 

Kiku rebah di atas tubuh Ryouji tiba-tiba. Di belakangnya sebilah pisau tercacak. Kesan merah darah mencemari belakang yukatanya. Kesan darah itu semakin pekat dan membesar.

 

“Kiku, Kiku!” Ryouji membalikkan tubuh Kiku.

 

“Ryou...ji...” Ujar Kiku lemah, kini di pangkuan Ryouji.

 

Tatsuya tergamam. Dia mahu membunuh Ryouji. Namun rancangannya tidak semena-mena digagalkan perempuan itu.

 

Aku harus melarikan diri sekarang juga. Yoshinobu-sama pasti akan membunuhku! Gadis itu anak Tokizawa. Tokizawa pasti akan mengambil tindakan.

 

Tatsuya mengengsot dalam ketakutan masuk ke dalam belukar. Dia menumbuk-numbuk kepalanya. Namun nasi telah menjadi bubur. Kesilapan lalu tidak boleh diundur kembali. Terlajak kata buruk padahnya, terlajak perilaku buruk natijahnya.

 

Ryouji meletakkan tubuh Kiku di atas ribanya.

 

I-no-chi... mi-ji-ka-shi...ne (hidup ini singkat kan?)” Kedengaran suara Kiku seakan berbisik, sedang wajahnya berkerut menanggung perit sakarat. Bibirnya masih tidak lekang dari senyuman sedang mata merenung Ryouji.

 

“Kiku, Kiku... bertahanlah Kiku. Usah tinggalkan aku.” Ryouji membalas. Tangannya mengelus pipi Kiku dan mengalihkan rambutnya ke tepi ubun-ubun.

 

A-ri...ga-tou..” Suara Kiku terputus-putus. Air matanya mengalir tatkala merenung wajah Ryouji buat kali terakhir. Senyuman itu membeku bersama mata dan raut wajahnya tiba-tiba tatkala angin musim luruh mula bertiup.

 

“Kiku...Kiku, Kiku!” Ryouji menggoncang-goncang tubuh Kiku namun tiada sahutan kedengaran. Hanya deruan angin musim luruh menambahkan seram di petang yang hening itu, dan menampar dahi Kiku dengan daun-daun kering sehingga meninggalkan kotoran debu dan tanah.

 

Ryouji membersihkan kotoran itu sedang air mata berlinangan. Sesungguhnya Kiku tidak menipu. Dia tetap bersama Ryouji, meski sejahat mana sekalipun musuhnya. Kiku adalah kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Kiku adalah cinta yang tidak penghujung.

 

**

 

Tokizawa pulang mengejut sebaik mendapat berita kematian Kiku. Sepulangnya ke Gero, Kiku sudah pun dikebumikan. Ryouji memilih mengebumikan jasad Kiku agar dia punya tempat melawat Kiku saban tahun.

 

Tokizawa bertemu Ryouji selesai kerja-kerja menguruskan kematian Kiku dan upacara memberi penghormatan terakhir.

 

“Ryouji, sebenarnya aku telah merancang perkara ini lama sebelum engkau berkahwin.”

 

Ryouji memandang Tokizawa yang duduk di sebelahnya.

 

“Aku mahu berpindah ke Eropah, membawa engkau dan adikmu sekali. Aku mahu menutup perniagaan suteraku. Aku mahu ke sana kerana aku sudah berputus asa dengan negara ini. Aku tidak dapat melaksanakan perniagaanku dengan aman. Tidak hanya kadar rompakan tinggi, bencana alam juga kerap berlaku. Pampasan dari syarikat insurans sahaja, meski tinggi, tidak cukup menampung kerugianku.”

 

“Namun selepas isteriku meninggal dunia, aku menangguhkan dahulu perancanganku itu. Tidak aku sangka, akhirnya anakku Kiku turut menjadi mangsa.”

 

“Maafkan aku Tokizawa-san kerana menyebabkan kematian Kiku.

 

“Bukan salahmu Ryouji. Semua ini karma. Mungkin kerana aku terlalu sibuk dengan perniagaanku. Dan mungkin ini pembayaran dosa-dosaku.”

 

“Dosa?”

 

“Aku pernah mencarum kepada Furuya. Furuya terlibat dalam perniagaan karayuki, memerdagang anak gadis seperti Kiku. Ini karma Ryouji.” Sugul nada Tokizawa.

 

“Sekarang sudah terhantuk baru tengadah. Sesudah Kiku tiada baru aku sedari nilai kewujudannya. Sesudah Midori pergi baru kusedar nilainya.” Midori ialah mendiang isterinya.

 

“Aku mahu berpindah ke Eropah, dan menutup perniagaan suteraku. Aku ada wang simpanan yang boleh kugunakan untuk kehidupan baru di sana. Untuk pendidikan Takeru dan perniagaan baru. Ryouji, aku amat berharap engkau dapat mengikutku ke Eropah. Kita mulakan hidup baru, dan lupakan negara ini. Engkau boleh menjadi rakan perniagaan baruku di sana.”

 

“Eropah...aku pernah mendengar tentang Eropah namun aku tidak pernah ke sana. Aku hanya tahu berkenaan England dan Belanda.”

 

“Aku bercadang ke sebuah negara bernama Prussia (Jerman). Apakah engkau pernah mendengarnya?”

 

“Prussia?”

 

“Ia terletak di Eropah kebenuaan, di bawah negeri Belanda. Orang-orangnya ramai yang berdagang ke sini di Dejima. Pangkalan utama mereka di Pasifik di pulau-pulau sana. Bahasa mereka juga berlainan. Bahkan Prussia ada hubungan dengan negara kita, di mana Maharaja telah berkenan mempelajari dan mengambil contoh sistem ketenteraan mereka demi membina ketenteraan negara kita.”

 

“Mengapa engkau memilih Prussia, Tokizawa-san?”

 

“Perindustrian di sana sedang berkembang sejak revolusi dan penyatuan oleh Baron Otto von Bismarck. Aku bilang Prussia bakal menjadi salah satu dari kuasa besar dunia, seperti Amerika Syarikat dan England. Kita boleh membina perniagaan di sana. Permintaan pastinya besar dari masyarakat perindustrian.”

 

“Berikan aku sedikit masa, Tokizawa-san. Aku bilang tawaranmu itu cukup besar, namun, berikanlah aku sedikit masa.”

 

“Tidak menjadi masalah, Ryouji. Aku hanya memberitahumu awal-awal agar engkau punya masa lebih untuk berfikir. Kita mungkin akan bergerak ke sana dua bulan dari sekarang.”

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov