Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 35

Shiori sugul sepanjang jalan. Dia menekap muka pada peha sambil melutut berpeluk tubuh, bersandar pada dinding kereta kuda. Sae hanya merenung sayu. Dia faham mengapa Shiori berperlakuan begitu. Shiori telah mengetahui segala-galanya. Pastinya dari mulut budak-budak Kogen itu!

 

Namun lambat atau cepat, Shiori pasti akan tahu juga, getus Sae. Aku hanya mahu dia mengetahuinya hanya pabila kami tiba di Osaka nanti. Maafkan aku Shiori. Engkau harus mengikutku. Andai engkau tinggal di kampung itu, siapa yang akan menjagamu dan Sumire? Dan aku perlu keluar, demi membayar mereka ini. Maka kalian harus mengikutku juga, mahu atau tidak.

 

“Kalian semua, kita sudah sampai di Kisennuma.” Laung Saiki di hadapan. Kereta kuda berhenti. Sae menyelak jendela. Kedengaran bunyi hingar keramaian. Orang ramai ke sana ke sini mengusung barangan untuk didagangkan di Osaka, masuk ke dalam feri yang sedang menunggu di jeti.

 

Yada, yada, yada (tak mahu!)” Shiori tiba-tiba meronta sebaik ditarik keluar dari kereta kuda oleh Suneo dan Takeo. Sae tidak dapat berbuat apa-apa, dia sudah jauh di hadapan bersama Sumire dan dikelilingi orang-orang Suneo, Shizuo dan Takeo menuju ke feri. Shiori dengan perangainya masih terkandas di belakang.

 

Sae berhenti sejenak sedang tangannya masih memimpin Sumire seraya melaung, “Shiori, hentikan. Ayuh lekas ke sini.”

 

Yada!” Erang Shiori makin kuat dan sayu. Kedua belah tangannya dipegang dua orang lelaki. “Kakak pergilah! Aku tidak akan ke Osaka! Aku tidak mahu dilacurkan!” Shiori melaungkan.

 

“Hei budak perempuan.” Shizuo, lelaki tinggi dan kulit gelap dengan lilit di kepala, menegur Shiori. “Jika engkau bising lagi, aku akan suntik engkau dengan ini.” Shizuo menunjukkan picagari berisi cecair warna biru, jelas dari silindernya yang diperbuat daripada kaca itu.

 

Shiori memandang lelaki itu tanpa gerun, hanya api kebencian mewarnai matanya sehingga merah menyala, dahinya berkerut seribu. Dia meludah ke wajah Shizuo. Shizuo mengesat wajahnya, amarah bangkit.

 

“Bangsat. Aku tidak akan maafkan bangsat sepertimu. Andai engkau dibasuh neraka untuk seribu tahun sekalipun, aku tidak akan memaafkan engkau!” Teriak Shiori dengan renungan penuh kebencian.

 

“Baiklah, jika ini yang kaumahukan. Kalian, pegang dia erat-erat.” Arah Shizuo pada dua pemuda yang sedang memegang kedua belah tangan Shiori. Shiori lagi teriak, nyaringnya bergema sehingga hampir semua yang berada di jeti itu memandang ke arah Shizuo dan orang-orangnya. Shizuo tidak mengendahkan mereka, jeritan Shiori seolah tiada kesan pada jiwanya, seolah dia tidak punya anak perempuan seperti Shiori demi memahami kebencian itu.

 

Dia menyuntik Shiori dengan cecair biru itu. Shiori masih meraung, namun raungannya kian perlahan dan akhirnya dia tertidur. Sae mengalirkan air mata, dan kerana tidak sanggup melihat adiknya diperlakukan begitu, dia pantas menoleh dan menarik tangan Sumire menuju ke dalam perut feri.

 

Aotsuyu barukah itu, Shizuo-san?” Soal Suneo.

 

“Ya. Aku dapatkan sampel percubaan dari Noguchi-senseiSensei memintaku mengujinya ke atas mereka yang degil. Budak perempuan ini ialah percubaan pertamaku.”

 

Aotsuyu baru... bukankah ini aotsuyu yang hanya boleh dirawat dengan penawar ciptaan sensei sahaja?”

 

“Ya. Jika budak perempuan ini diberkas Kogen dan dibawa ke tempat mereka, Koichi boleh cuba merawatnya.” Shizuo tersengih. Suneo dan Takeo ketawa kecil.

 

Usah ingat engkau boleh merawat semua racun, Koichi. Shizuo berbisik dalam hati.

 

Namun sejurus selepas Shizuo, Takeo dan Suneo beredar dari jeti, Kogen tiba-tiba muncul dan menahan feri itu. Semua gadis-gadis yang dihantar masuk ke feri ditahan dan dibawa ke Shirasaka-no-Kogen.

 

Shiori sembuh sendiri selepas dua tahun sasau di perbaringan di sana. Selepas Shiori sembuh pada 1873, dia berkahwin dengan Shinji dan tinggal di rumah lain di sana, masih di Kogen-no-shita. Namun Shiori masih memendam rasa marah terhadap kakaknya Sae, dan dia langsung tidak bersua muka meskipun Sae kerap cuba menegurnya.

 

**

 

1873, Kogen-no-shita

 

Ketika ini Shiori sudah sembuh dahulu dari suntikan aotsuyu sebelum Chisato, dan berkahwin dengan Shinji tidak lama kemudian. Chisato sembuh menyusulinya.

 

“Shiori nee-chan, Shiori nee-chan!” Sumire menjerit-jerit di luar rumah Shiori. Shinji membuka pintu gelangsar.

 

“Ada apa Sumire?”

 

“Shinji-kun, kakakku di mana?”

 

“Dia sedang menyiang ikan. Mengapa denganmu Sumire?”

 

“Sae nee-chan sudah sehari tidak pulang. Semalam dia pergi ke atas (Shirasaka-no-Kogen) namun tidak pulang sehingga sekarang. Aku naik ke atas dan bertanya orang-orang di atas, mereka tak nampak pun nee-chan!” Sumire memaklumkan dengan tergesa-gesa.

 

“Dia ada tinggalkan pesan?”

 

“Tak ada. Dia pergi ke atas setiap hari, namun kali ini dia tak pulang-pulang.”

 

“Ada apa? Oh Sumire.” Shiori tiba-tiba muncul di muka pintu.

 

“Shiori nee-chan! Sae nee-chan tak pulang sejak semalam!”

 

Wajah Shiori berubah kelam. Ada janggal juga menggeletek wajah kerana sudah lama dia mengabaikan Sae. Sejak dia sembuh dahulu, sudah enam bulan dia mengabaikan Sae. Setiap kali Sae menegurnya dia memaling muka. Sae seolah tidak wujud dalam hidupnya. Dia memulaukan Sae jiwa dan raga. Dia tahu Sae kecil hati. Namun hatinya lebih terluka. Sae harus dihukum fikirnya. Sehingga luka di hati ini benar-benar sembuh, Sae harus dipinggirkan, kata Shiori dalam hati.

 

Adakah Sae nee-chan merajuk denganku? Mengapa tiba-tiba saja? Mengapa nee-chan tidak merajuk sebelum ini sepanjang aku memulaukannya?

 

Shiori bergegas mengambil sepatu dan keluar dari rumah, rasa risau menjalar merayap ke tengkuk. Baru Shiori sedar akan kerisauannya dan betapa pentingnya Sae dalam hidupnya. Shinji mengekorinya.

 

Ramai sudah mendengar berita kehilangan Sae dari mulut Shiori, Sumire dan Shinji. Masyarakat gunung itu keluar menyisir semua laluan-laluan penting keluar masuk lembah atas dan bawah, sehingga ke Gaung Maut. Sae tidak akan berkuda keluar, kerana dia tidak tahu berkuda, itu yang dilaporkan Shiori. Dia pastinya hanya berjalan kaki. Jika dia berjalan kaki, dia perlu melalui Daratan Titian dan pastinya pengakap Kogen akan menemuinya. Namun jika dia gelincir di salah satu lereng Gunung Kogen, dia akan terperangkap dalam Gaung Maut, mungkin mati di situ akibat wasap beracun dari tindakan seismik atau dihempap batu-batu gunung.

 

“Bagaimana Shinji? Apakah kakak sudah gelincir ke Gaung Maut?” Soal Shiori penuh getar.

 

“Lancang mulutmu! Usah difikir yang bukan-bukan, Shiori. Kakakmu pasti selamat.” Shinji cuba mententeramkan isterinya.

 

Nee-chan pasti selamat, Shiori-nee chan.” Tambah Sumire pula.

 

Angin bertiup perlahan dan berterusan sejak mereka tiba di sini, menyebabkan Shinji tidak dapat mendengar bunyi-bunyi halus yang selalu dapat ditangkap telinganya. Bau busuk dari Gaung Maut yang penuh mayat itu hinggap ke hidung mereka kala kabus yang melitup gaung ditiup angin dan bubar, Sumire naik loya dan mencari tempat tersorok di bawah satu tebing tinggi untuk muntah. Shiori tidak terkecuali. Hanya Shinji yang masih berdiri selamba seolah menikmati bau busuk itu pula. Bahkan Shinji lagi merapat ke tebing dan memejamkan mata, menghayati bau busuk itu. Dia teringat beberapa tahun dahulu Tsuneki hampir terjatuh ke dalam Gaung Maut itu sebelum ditarik Ryouji. Mujur panjang umurmu musang, getusnya.

 

Apa yang berada di dalam gaung itu masih menjadi misteri yang menagih dirungkaikan, namun aku terlalu sibuk dengan perkara lain yang disuguh pengurusan Kogen agar diutamakan menyelidik. Aku ingin sekali memahami bagaimana gaung ini berfungsi, tentang bau busuk itu bagaimana ia dihasilkan, dan bagaimana wasap kabus putih ini sentiasa melitupi gaung ini dari membebaskan bau busuk itu. Barangkali ada ilmu yang boleh dimanfaatkan kami.

 

Sedang Shinji menghargai gaung di hadapannya, isteri dan adik iparnya pula sedang muntah-muntah di kaki tebing tinggi.

 

“Mengapa engkau muntah ke bajuku, hah?!” Tengking seorang gadis.

 

Suara gadis itu amat dikenali, baik Shinji, mahupun Shiori dan Sumire. Shinji menoleh. Sumire dan Shiori menekup mulut.

 

Gomen ne... bukankah ini rumput?”

 

Gadis yang menengking itu mengalihkan rumput-rumput dan daun-daun dicemari muntah yang melitup belakang badannya, dan bangkit dari duduk menunduk. Dia berdiri, menyerlahkan rupa wajah dan susuk tubuhnya. Cerlang mata Shiori dan Sumire.

 

“Dan kalian muntah di tempat yang sama! Apa salahnya muntah di tempat lain-lain? Habis kotor bajuku tahu tak?!” Tengking gadis itu lagi.

 

“Sae nee-chan!” Jerit mereka berdua. “Mengapa engkau di sini? Puas kami cari tahu tak?!” Sumire menengking seraya menerkam Sae.

 

“Kalian... engkau Sumire dan ... Shiori? Kalian mencariku?” Soal Sae dengan menonjolkan wajah kebodoh-bodohan.

 

Nee chan Nippon ni ichiban baka jyanai (kakak paling bodoh di Jepun)!” Jerit Sumire sambil menangis meraung-raung dan memukul kakaknya.

 

Shiori menunduk, rasa janggal merayap membelai-belai tengkuk. “Engkau merajuk denganku, nee-chan?” Soal Shiori masih menunduk. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan kakak kandungnya yang dipulaukan sudah enam bulan itu.

 

“Pertama kali aku mendengar suara kau Shiori, sejak kau sembuh. Aku gembira dapat bercakap denganmu semula.”

 

“Jadi?”

 

“Aku faham engkau marah denganku. Aku hanya mahu meminta maaf. Namun bagaimana jika engkau asyik memulaukan dan mengabaikan aku?”

 

“Itu hukuman.” Balas Shiori perlahan, dia masih tunduk dan rasa janggal memulas-mulas tangkai hati dan menghalang pandangannya dari menatap Sae.

 

“Ya, aku sudah dihukum. Berapa lama lagi aku harus terima hukumanmu? Beritahu aku Shiori. Berapa lama lagi engkau mahu pulaukan aku sehingga puas hatimu? Aku sanggup menunggu.”

 

“Aku tidak tahu. Aku sangat benci dengan perbuatanmu, nee-chan. Namun bagaimana aku mampu menerima jika engkau hilang di Gaung itu.”

 

“Engkau fikir aku akan bunuh diri?”

 

“Memang aku fikir begitu.”

 

“Bodoh! Aku tidak akan melakukannya.”

 

“Habis mengapa engkau di sini? Semua orang mencarimu tahu tak?”

 

“Aku mahu menguji. Andai aku tidak diperlukan lagi, buat apa aku kekal di sini? Aku mahu menunggu di sini tiga hari. Selepas tiga hari jika aku tidak mendengar sesiapa memanggil namaku, aku akan keluar dari sini.” Jelas Sae sambil menuding ke arah Daratan Titian yang merentas Gaung Maut, menuju ke hutan sugi di mana para pengakap Kogen berkawal seperti monyet-monyet.

 

“Bodoh!” Shiori membentak.

 

“Maafkan aku Shiori. Kerana aku engkau disuntik aotsuyu dan sasau dua tahun.” Sae memandang Shiori dengan linangan air mata.

 

“Berjanji denganku kakak tidak akan ulanginya lagi.” Shiori merenung Sae dengan dahi berkerut.

 

“Aku berjanji, Shiori. Aku terpaksa mengambil jalan itu demi otou-san dan okaa-san. Aku harap engkau faham.”

 

Mereka tidak menyedari Shinji sedang berdiri dekat dan mendengar perbualan mereka. Shinji hanya tersenyum melihat hubungan adik-beradik itu kembali ditaut.

 

Mereka melonggarkan diri dengan duduk di kawasan berumput di tepi bukit yang terlindung dari Gaung Maut dan baunya. Sumire mengambil daun dan menggosok kesan muntah pada belakang Sae.

 

“Nanti aku basuhkan yukatamu nee-chan.” Tawar Sumire.

 

Arigatou Sumire.”

 

“Bagaimana dengan otou-san dan okaa-san?” Soal Shiro yang duduk di sebelah.

 

“Engkau memang mahu bertanyakan soalan ini sejak sekian lama bukan? Namun engkau tahan diri sebab mahu memulaukan aku?” Soal Sae sengaja memprovokasi Sumire. Sumire merah muka, kerana sedar Sae menyindirnya.

 

“Aku ada tanya Sumire juga, namun dia kata mereka berdua dah sihat. Aku hanya mahu mendengarkannya darimu.”

 

Nee-chan tak percayakan aku?” Soal Sumire dengan nada hampa.

 

“Bukanlah! Engkau terangkan tanpa rincian.” Balas Shiori sambil menepuk bahu Sumire yang sedang menggosok belakang Sae.

 

“Kaki mereka sudah sembuh. Tahun depan mereka sudah boleh pulang ke Yarimura. Kogen katanya berjaya mencipta ubat baru untuk penyakit itu.” Jelas Sae.

 

“Apakah kau akan mengikut mereka pulang?” Soal Shiori kepada Sae.

 

“Aku tidak pasti. Aku hanya mahu tinggal di sini, kemudian ke bandar lain di luar. Aku tidak mahu lagi pulang ke kampung.”

 

“Mengapa? Kerana rasa bersalah dengan otou-san dan okaa-san?”

 

“Aku memang mahu hidup di luar kampung itu. Bagaimana dengan engkau? Mahu tetap di sini?”

 

“Shinji bertugas di sini, dan aku pastinya akan tinggal di sini.” Shiori memandang Shinji dan Shinji mengangguk kecil.

 

“Nampaknya hanya Sumire yang akan pulang ke Yarimura.”

 

“Aku tak mahu balik kampung. Aku mahu mengikut nee-chan!” Tegas Sumire.

 

“Mengapa engkau begitu mahu keluar, nee-chan?” Soal Shiori kepada Sae, tidak menghiraukan Sumire.

 

“Aku tidak minat bertani. Aku hanya mahu mengembara.” Jelas Sae terus-terang.

 

“Seperti buku-buku yang kaubaca di perpustakaan Saori itu?”

 

“Begitulah. Sejak ke sana, aku fikir duniaku terbuka luas. Sebelum buku-buku itu tiba di kampung kita, aku ingat dunia kita hanya apa yang kita nampak di Yarimura. Namun ternyata dari buku-buku Saori itu, ada seribu satu macam dunia lain di luar. Aku mahu mengembara, Shiori. Jika aku kembali ke Yarimura, pasti otou-san akan menambatku di sana dan tidak akan membenarkan lagi aku keluar. Lagi pula, dia sudah boleh berjalan kini.”

 

“Patutlah nee-chan begitu berani dulu... kerana otou-san tak boleh berjalan, kakinya bengkak besar.” Seloroh Shiori.

 

Sae mengekek, begitu juga Shinji.

 

Nee-chan aku tak mahu pulang. Aku mahu ikut kau mengembara.” Tegas Sumire lagi dengan suara merayu mendayu.

 

“Yalah, yalah Sumire. Ke mana kakak pergi, kakak akan membawamu, usah kau risau Sumire.”

 

“Hmm. Nampaknya hanya otou-san dan okaa-san sahajalah yang akan pulang ke Yarimura.” Keluh Shiori. “Siapalah yang akan menjaga mereka di sana.”

 

“Andai mereka ada anak lelaki pasti lebih senang.” Tambah Shinji.

 

“Oh ya. Apa kata jika kita upah pengawal menjaga otou-san dan okaa-san?” Cadang Shiori.

 

“Aku cadangkan kita bawa sahaja mereka tinggal di sini, Shiori.” Balas Sae. “Kita boleh carikan mereka pekerjaan. Di sini lebih selamat dari berdua sahaja di kampung sana.”

 

“Betul juga.” Ujar Shiori sambil memandang Shinji.

 

Sae dan Sumire turut sama memandang Shinji. Shinji kepingaan.

 

“Mengapa kalian semua memandangku?”

 

“Tolonglah kami Shinji. Bukankah engkau rapat dengan Koichi-san? Lagipun ibu bapa kami sudah menjadi ibu bapamu juga.”

 

“Erk.”

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov