Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 18

Harum bunga-bungaan mewarnai suasana di hutan sekitar kuil Furukawa. Putik-putik sakura gugur menghampar perkarangan kuil yang sunyi itu. Angin sekali-sekala berhembus menghasilkan bunyi daun dan dahan-dahan bergeser yang menyeramkan. Cahaya matahari menerobos kanopi hutan seperti jarum-jarum.

 

Ada dua ke tiga pelawat dari pekan Furukawa baru sahaja beredar. Penjaga kuil itu sedang asyik menyapu bunga-bunga sakura yang gugur. Tatsuya bertemu dan menyapa penjaga kuil yang masih muda itu, dan bertanyakan sesuatu. Lagak Tatsuya seperti sudah lama mengenalinya. Penjaga kuil itu ialah penjaga yang baru bekerja di situ menggantikan penjaga lama, Wataru, yang dibunuh Saitou. Tatsuya menunduk hormat seraya menuju ke satu lokasi berhampiran pintu masuk kawasan kuil.

 

Tatsuya duduk berhadapan busut bertanda kayu dengan nama Wataru. Dia memejam mata bertafakur di hadapan kubur adik iparnya itu. Ketika bertafakur, dendam di hati membara. Segala gerakan ketika berlatih berpedang jurus tinggi kaminari menjadi jelas dan lancar di kepala.

 

Dia bangun perlahan-lahan menyusunatur gerakan-gerakan itu dalam benaknya, mengeluarkan pedang dan menzahirkan gerakan tersebut dalam separa sedar. Rasa cemburu, marah terhadap Ryouji mendorong gerakan-gerakan dan melancarkan sendi dan urat-urat. Juga rasa tercabar oleh ketewasannya bertarung dengan Chisato. Juga dendam yang sudah lama membahang. Dendam yang menuntutnya membela kematian Wataru.

 

Dia berpusingan, dari jurus naik ke jurus. Sehingga jurus kelapan dicapainya, dia teruskan menumpu tenaga kepada pedang yang baru ditempa Mitsuhide menggunakan resin aomomiji itu. Sedikit demi sedikit, dia merasakan satu kekosongan, satu keringanan. Tubuhnya seolah-olah terapung bersama-sama bunga-bunga di pepohon hutan. Dia berasa seolah-olah dia diangkat tinggi ke angkasa bertemu cahaya mentari. Sekelilingnya seolah-olah memperlahan dan dia dapat mengamati kibasan sayap beburung dan serangga hutan, bahkan mendengar bunyi bayu yang membisik kata dendam dan membakar bara api amarah dalam sanubari. Dia tahu, bahawa dia kini di jurus rahsia itu. Dia perlahan-lahan turun dan memusingkan badan demi menyingkirkan tenaga berlebihan ke persekitarannya.

 

Dia tersenyum sinis. Pedang yang ditempa Mitsuhide menggunakan resin itu telah berjaya digunakan bagi mencapai jurus kesembilan tanpa dia diancam rusuhan tenaga. Keyakinannya menewaskan Ryouji meningkat. Dia sudah tidak gentar lagi dengan apapun halangan yang melintas di hadapan.

 

Engkau akan mati di tanganku, Okuhida Ryouji!

 

 

**

 

Awal musim luruh 1875.

 

Kiku dan Ryouji kini sudah lima bulan menjadi pasangan suami isteri. Mereka bahagia hidup di Gero. Ibu Kiku sudah meninggal dunia dua minggu selepas mereka berkahwin. Bapa Kiku pulang sebentar ketika ibu mereka meninggal, kemudian kembali menyambung kembara dagangnya. Kiku sekali-sekala akan ke rumah lamanya demi menghantar makanan kepada Takeru. Takeru sudahpun tahu berdikari. Namun dia enggan tinggal di rumah Ryouji, barangkali kerana segan. Lagipun, rumah Kiku masih berfungsi sebagai tempat penternakan ulat sutera dan masih berperanan penting kepada perniagaan Tokizawa.

 

**

 

“Takeuchi-sanKimi Takeuchi-san jyanai?” Tegur Hisamiko dengan mata mencerlang memandang seorang pemuda berdiri berlenggang di laman rumah. Tangan Hisamiko masih memegang penyapu. Daun-daun kering sudah berlonggok disapu di tepi pokok.

 

“Ya, Okuhida-san. Ohisashiburi. Aku Shinjilah. Di mana abangmu?” Soal Shinji selepas menunduk hormat. Hisamiko membalas tunduk.

 

“Mengapa...mengapa engkau datang ke sini? Apakah engkau berseorangan?”

 

“Ya, aku berseorangan. Aku menumpang kereta-kereta kuda ke sini. Di mana abangmu?”

 

“Tunggu sebentar. Aku akan memanggilnya.”

 

Hisamiko berlari anak memanggil Ryouji.

 

Onii-san, Shinji datang mencarimu!”

 

Ryouji yang sedang membaca buku di anjung tersentak.

 

“Apa maksudmu, Miko? Shinji katamu?”

 

“Sungguh itu Shinji. Dia datang ke sini mencarimu. Ayuh!”

 

Hisamiko menarik tangan Ryouji. Ryouji bingkas mengambil capal dan bergerak ke arah yang ditunjukkan Hisamiko. Mereka tiba di satu sudut menghadap sawah yang terbentang luas, yang baru sahaja dituai.

 

Ohisashiburi, Ryouji.”

 

“Shinji!” Pantas Ryouji menerkam dan memeluk sahabatnya itu.

 

“Apakah engkau curi-curi keluar lagi?” Soal Ryouji sedang masih memeluk sahabatnya.

 

“Ya.”

 

“Shinji, omae...”

 

“Aku telah meminta kebenaran Koichi mulanya. Namun mereka berkeras tidak membenarkan. Lantas aku mengambil keputusan sendiri ke sini.”

 

Ryouji mengeluh menyedari betapa bodohnya tindakan Shinji. Sah-sahlah dia akan digantung terbalik lagi di Kogen sepulangnya nanti. “Engkau ni... Bagaimana engkau mengetahui kami tinggal di sini?” Soal Ryouji.

 

“Mudah. Inoue-san yang memberitahuku.”

 

Sou-ka...” Rupanya aku diintip Inoue-san! Getus Ryouji. Jika Inoue, pastinya Koichi yang mengarahkannya. Aku tahu aku pasti diintip, lagipun rumah yang aku duduki ini pun hak milik Kogen. Ah, mereka ini langsung tidak membiarkan aku aman sedikitpun dari pemerhatian mereka!

 

“Di mana isterimu Ryouji? Aku dengar engkau sudah berkahwin...” Shinji terjenguk-jenguk laman rumah Ryouji di belakang.

 

“Nanti aku bawakan engkau bertemunya. Dari surat-suratmu melalui merpati engkau memberitahuku engkau berkahwin dengan Shiori bukan? Apakah dia tahu engkau keluar curi-curi begini?”

 

“Dia tahu. Aku tidak mahu dia mengikutku. Disebabkan itu aku curi-curi keluar.”

 

Ryouji mengisyaratkan Hisamiko agar menyediakan minuman. Hisamiko mengangguk seraya berpatah balik ke rumah. Mereka mengambil tempat duduk di atas pangkin di bawah sebatang pokok keyaki.

 

“Aku risaukan engkau. Mengapa engkau membalas suratku sedikit-sedikit?” Soal Shinji.

 

“Aku tidak mahu engkau ke sini. Namun sia-sia, engkau tetap berdegil juga datang ke sini bukan?”

 

Shinji tersengih-sengih mendengar perlian itu.

 

“Koichi ada memberitahuku tentang sumpahan hayabusa. Aku bilang engkau telah pergi selama-lamanya tidak lama selepas engkau keluar dari Kogen.”

 

“Sumpahan itu terlerai sewaktu kami menumpaskan Hamada di Kobe.”

 

Shinji mencuri pandang tanda hitam pada pergelangan tangan Ryouji. Tanda itu sudah lagi tiada.

 

Shinji menampar bahu Ryouji. “Mengapa engkau tidak memberitahuku tentang sumpahan itu?!”

 

“Maafkan aku. Aku tidak mahu engkau mengikutku ke Yokuma. Jika kautahu aku akan mati sudah pasti engkau akan mengejarku bukan?”

 

Jeda seketika.

 

Arigatou, Ryouji.”

 

“Kenapa?”

 

“Kerana membalas dendamku. Kerana membunuh Hamada untukku.”

 

“Dia dendam ramai insan lain juga Shinji. Itu karmanya. Namun ingin aku jelaskan, aku hanya menahannya di tenshuu itu dari melarikan diri.”

 

“Apa maksudmu?”

 

“Dia mati kerana karmanya.” Ryouji menerang lanjut kemalangan yang menimpa Hamada saat dia cuba mencuri serang Ryouji.

 

Hidoi...(Dahsyat)” Gumam Shinji mengulas penerangan Ryouji.

 

“Shinji, aku mohon usah engkau bongkarkan tentang terlerainya sumpahanku itu kepada Chisato.”

 

“Mengapa? Oh, kerana engkaupun sudah berkahwin...”

 

“Itu salah satu sebabnya. Namun sebab lain ialah aku tidak mahu dia keliru. Pada fikirannya, aku sepatutnya telah mati sekarang. Dia telah lama tahu tentang sumpahan itu, sejak dari rumah Takasaki lagi. Dia telah bersedia melepaskanku pada hari kami meninggalkan Kogen.”

 

“Baiklah. Namun buat pengetahuanmu Ryouji, Chisato masih belum berkahwin.”

 

Sou ka...”

 

“Oh, maaf! Haha, engkau pun sudah berkahwin.” Shinji menepuk-nepuk belakang Ryouji sambil ketawa.

 

“Bagaimana dengan hidupnya sekarang?” Soal Ryouji.

 

“Dia nampak biasa-biasa sahaja, menjaga rumah perlindungan bersama Nariko-san. Namun di hati siapa tahu keperitan yang disimpan. Ah, tiada gunanya aku memberitahumu! Engkau pun telah bertemu jodohmu bukan? Aku harap engkau bahagia.”

 

Angin musim luruh bertiup menghentikan perbualan mereka sebentar. Masing-masing menggeletar kesejukan.

 

“Harap tidaklah ribut pula di sini.” Gumam Shinji.

 

“Apa sebenarnya hajat engkau bersusah-payah ke sini?”

 

“Sengaja. Aku bosan di Kogen. Sejak engkau dan Tsuneki pergi, aku tiada rakan berbual. Ryouji, bagaimana Tsuneki mati?”

 

Ryouji kelu. Dahinya berkerut. Shinji menyedarinya.

 

“Maaf, aku tak memaksa. Engkau boleh kisahkan kemudian.”

 

Sou.” Ryouji hanya mengiyakan. Dia tidak mahu bercerita bahawa Tsuneki mati kerana melindunginya. Kerana ia sungguh memalukan.

 

“Tentang ramalan perangmu itu, apakah ia bakal terjadi dalam masa terdekat?” Ryouji tiba-tiba mengubah topik.

 

“Oh ya! Mujur engkau mengingatkanku. Aku sebenarnya ingin memberitahumu sesuatu.”

 

Shinji mendekatkan mulutnya sedikit dengan Ryouji.

 

“Aku dengar, Saisho Takanori bakal meninggalkan Tokyo.”

 

“Saisho?”

 

“Samurai dari Satsuma yang membantu Maharaja melakukan Pembaharuan dahulu. Dia salah seorang dari elit kazoku yang menganggotai majlis penasihat diraja. Aku dengar dia kerap berbalah dengan ahli lain. Wataknya pun sedikit konservatif, tidak hairanlah. Dia tidak berapa berkenan dengan nilai-nilai kebaratan mendadak yang dibawa masuk Maharaja.”

 

Shinji menambah, “Sekarang ini pun, aku dengar ura-ura yang Saisho sedang mendirikan sekolah tentera di Satsuma. Nama sahaja sekolah, namun dalam sukatan pelajarannya diterapkan seni berpedang dan menggunakan senjata api. Jika dibiarkan, aku bilang Saisho bakal menjadi ancaman kepada Kogen dan Maharaja. Aku ramalkan Saisho bakal meninggalkan Tokyo dan pulang ke Satsuma (Kyushu) dalam tahun depan (1876).”

 

“Maka perang itu akan mungkin meletus dalam 1877...” Duga Ryouji.

 

“Itulah yang aku fikirkan juga. Haih, tak habis-habis berperang. Dan aku dikerah bersama saintis lain di Kogen demi menambahbaik senjata-senjata kami.”

 

“Bagaimana dengan senjata yang mereka sorok di bawah tanah itu?”

 

“Oh, bom-bom dan mesingan Gatling itu?”

 

“Ya, dan guni-guni berisi garam Chile.”

 

“Ia semua masih di situ. Belum disentuh sekali pun. Aku mendapat tahu senjata itu dipungut oleh Koichi sejurus sebelum hab Yozehama ditutup, agar tidak jatuh ke tangan keluarga Hamada.”

 

Sou ka...”

 

“Ryouji, aku bilang, Koichi akan memanggilmu pulang semula ke Kogen tidak lama lagi.”

 

“Untuk apa?”

 

“Ayame-san. Hanya kalian yang mampu menewaskannya. Engkau dan Hisamiko.”

 

“Ayame-san? Apa telah berlaku, Shinji?” Mata Ryouji membulat seolah mahu menelan Shinji.

 

“Ayame-san telah mengembangkan Skuad Sakura di luar Kogen senyap-senyap, namun masih dapat dihidu Koichi. Tatsuhiro dan Inoue-san seringkali mengekori dan mengintip pegawai Kogen yang bersekongkol dengan Ayame, di luar Shirasaka-no-Kogen.”

 

Ryouji mengelus jari-jemarinya, sedang memikirkan kata-kata yang sesuai.

 

“Aku tidak tahu sama ada aku akan menuruti arahannya. Aku mahu terus tinggal di sini. Aku tidak mahu Hisamiko menyertai misi-misi Kogen lagi.” Ryouji memaklumkan.

 

“Kerana ramalan Amaguri itukah?”

 

“Ya.”

 

Hisamiko datang benar-benar selepas Ryouji menghabiskan kata-katanya. Dia menghembus nafas lega. Rahsianya masih kejap. Dia mengisyaratkan Shinji agar berhenti sejenak dengan isyarat tangan yang dibuat sembunyi-sembunyi agar tidak disedari Hisamiko. Shinji faham seraya diam sejenak. Hisamiko meletakkan dulang berisi dua cawan teh hijau.

 

“Jemputlah minum, onii-san. Takeuchi-san. Takeuchi-san tahniah. Aku dengar dari onii-san engkau sudah berkahwin.”

 

“Oh, arigatou Okuhida-san.”

 

Shinji mengerling tatkala Hisamiko berlalu pergi.

 

“Semakin cantik adikmu. Apakah dia sudah berkahwin?”

 

“Belum. Sejak pemergian Tsuneki, dia tidak memikirkan perkara itu.”

 

“Musang itu...” Gerutu Shinji. Dia menggumam perlahan dan tidak didengari Ryouji, “Mengapa dia begitu bodoh mengikutmu ke Yokuma.” Shinji tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan Tsuneki kerana Ryouji masih belum bersedia berbicara tentangnya. Dia sempat memandang Ryouji. Ryouji tunduk, jelas dari wajahnya nestapa dan rasa bersalah yang masih bersarang di lubuk hati.

 

Shinji meluahkan meskipun dia tahu dia tanpa sedar cuba membuka kisah Tsuneki. Bila lagi dia dapat bertemu Ryouji?

 

“Aku tidak menyangka Hisamiko ada hati dengannya. Dan aku sendiri tidak menyangka dialah kunci utama, waris Higashihara yang disebut-sebut Amaguri itu.” Ujar Shinji.

 

“Aku pun langsung tidak menyangka. Aku tidak faham bagaimana dia yang nampak seperti budak-budak itu begitu kejap menyimpan rahsia. Bagaimana dia dididik ibu bapanya masih menjadi misteri.”

 

“Haih, Tsuneki. Begitu singkat masamu bersama kami.” Shinji meluahkan rasa terkilannya, sambil merenung sawah padi nan luas yang terbentang di hadapannya, yang sudah dituai hasilnya. Seolah roh Tsuneki masih di awang-awangan berterbangan di atas sawah padi itu menggamit memori lama mereka di rumah perlindungan.

 

Ryouji pantas memotong dengan perkara lain agar mereka tidak menumpu kepada kisah Tsuneki. Kerana dalam kisah Tsuneki itu terselit perkara yang boleh menimbulkan pergaduhan, salah-menyalahkan. Tsuneki mati kerana melindunginya, itu adalah hakikat. Ryouji harus berasa serba-salah dan sedikit malu jika dia menceritakan kisah begini kepada kenalannya, kepada ahli keluarganya. Rasa bersalah dan malu itu tidak mudah untuk dihindari.

 

Ryouji menjemput Shinji ke rumahnya. Di sana Shinji diperkenalkan kepada Kiku dan dijamu makan tengahari.

 

Ketika hari hampir petang, seorang lelaki dengan kereta kuda datang tidak jauh dari tempat mereka duduk-duduk.

 

“Ryouji, aku minta diri dahulu. Musashi-san sudah pun sampai.”

 

“Engkau menumpang pengangkut barangan Kogen rupanya.”

 

“Selalu. Aku pernah curi-curi ke penjara Kogen menggunakan khidmatnya. Ryouji, berutuslah surat selalu denganku! Aku bosan di Kogen.” Shinji memegang kedua-dua bahu Ryouji dan menekannya kuat-kuat sambil merenung wajahnya.

 

“Pasti.”

 

“Pasti? Heh, engkau tulislah panjang-panjang! Engkau tulis singkat seperti memesan makanan di kedai ramen!”

 

“Haha. Aku malas benar menulis. Usah bimbang, aku akan melawat Kogen nanti.”

 

“Selamat jalan. Jaga Kiku-chan baik-baik. Ryouji, cantik binimu!” Shinji mengenyit sebelah matanya mengusik Ryouji.

 

“Gatal ya, nampak ini?” Ryouji menayang penumbuknya.

 

Berderai ketawa dua sahabat itu, disusuli Shinji berjalan meninggalkan laman rumah itu bersama Musashi.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov