Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 9

 Kiku

 

Hari ini aku berpeluang berdua dengan Ryouji. Hisamiko sibuk membantu Kogen di kelas membaca. Dia mengambil peluang mengajar anak-anak di sekitar Gero membaca dan menulis, dan diberikan upah oleh Kogen. Ini kerana dia dan Ryouji tidaklah terlalu sibuk kini. Semua padi sudah ditampi dan dibungkus. Musim luruh sudah semakin hampir ke penghujungnya. Hisamiko bercadang mahu meluangkan masa mengajar di kelas membaca Kogen sebelum dingin musim sejuk tiba dan menyengat tubuh.

 

Atau mungkin Hisamiko sengaja memberikanku peluang mendekati abangnya? Aku harus berterimakasih dengannya kelak jika benar begitu.

 

Ryouji mengajak aku keluar mengikutnya ke pekan Gero. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku menurut. Bila lagi aku berpeluang berdua dengannya? Namun tidak pula aku bertanya apa perancangannya.

 

Kami menyertai satu kerumunan. Pada malam ini akan diadakan pesta bunga api bagi meraikan limpah kurnia hasil padi yang menjadi tahun ini. Pesta ini juga menandakan musim luruh sudah hampir ke penghujungnya.

 

Kerumunan itu bernaung di bawah bumbung kulit yang besar. Di hadapan mereka ialah pentas kabuki. Satu pertunjukan kabuki akan dipersembahkan pasukan bergerak. Pasukan bergerak ini kecil dan hanya terdiri dari lima orang. Semuanya lelaki kerana perempuan tidak dibenarkan menyertainya sejak era Tetsugawa. Semua pentas dan bumbung kulit ini didirikan pasukan tersebut dan akan dibawa mereka ke mana-mana tempat di mana mereka akan melakukan persembahan.

 

Tatkala kami sedang leka menonton kabuki, mulutku ditekup oleh seseorang dan leherku diacu pisau. Seorang lagi rakannya mengisyaratkan agar aku diam. Aku kaget, dan hanya menurut arahan mereka demi keselamatanku. Ryouji masih tidak menyedari aku sudah meninggalkannya. Ryouji, aku berdoa agar engkau segera menyedarinya dan menyelamatkanku!

 

**

 

Ryouji ketawa pada satu babak yang dilakonkan pasukan kabuki itu.

 

“Kelakar bukan, Kiku?”

 

“Kiku?” Ryouji mengulang tegur sebaik menyedari tiada sahutan.

 

Dia menoleh ke kiri. Kiku lesap. Dia menoleh ke kanan. Pun tiada. Ryouji memusing ke belakang. Hanya wajah-wajah yang tidak dikenali memenuhi panorama. Semua pasang mata menumpu ke pentas. Ryouji meredah kerumunan itu untuk keluar ke bahagian belakangnya.

 

“Kiku! Kiku!”

 

Ryouji melihat-lihat di gerai. Hari sudah petang. Gerai-gerai belum dibuka sepenuhnya. Dia mengambil keputusan melihat di kawasan tandas.

 

Dia menunggu. Bayang Kiku masih gagal dikesan. Ryouji mengatur langkah ke kuil Shinto kecil. Barangkali Kiku sedang bersembahyang.

 

Namun hampa. Kiku juga tiada di situ. Tidak semena-mena, sebatang panah melayang hinggap pada batang tiang kuil. Ia bersisipkan surat. Menyedari ia dipanah agak rapat dengan lokasinya, Ryouji menganggap surat itu untuk dirinya, lantas dia mengambil dan membukanya.

 

Benar. Kandungan surat itu menerangkan lokasi Kiku. Ryouji diminta membawa senjatanya dan datang ke lokasi berseorangan. Ryouji menggenggam penumbuk. Dia menyedari, dia diekori musuhnya sehingga ke sini. Mungkin berpunca dari kelananya ke rumah Takasaki tempoh hari. Dia mula menyalahkan dirinya kerana Kiku turut dilibatkan.

 

Tanpa berlengah dia segera ke lokasi tersebut.

 

Lokasi itu berupa sebuah bangunan terbiar, mungkin gudang. Ia diperbuat daripada batu, tidak seperti kebanyakan bangunan di situ yang diperbuat daripada kayu. Ia terletak jauh di pinggir Gero, terlindung dari kesibukan pekan tersebut. Ryouji membuka pintu bangunan itu dan mendapati Kiku sedang diikat pada sebatang tiang.

 

“Ryouji...” Ujar Kiku lembut. Wajahnya pucat ketakutan. Namun tiada tanda-tanda dia diapa-apakan.

 

Dari kegelapan dalam bangunan itu perlahan-lahan merekah wajah Saitou dan Tatsuya.

 

“Kita bertemu lagi, Ryouji.”

 

“Apa yang kalian mahu?!” Bentak Ryouji.

 

“Bertenang Ryouji. Aku hanya mahu bertarung denganmu sekali lagi.”

 

“Engkau tidak perlu melibatkan rakanku!”

 

“Aku mahu engkau bertarung sepenuh hati, kerana aku juga akan bertarung sepenuh hati. Ryouji, jika engkau memenangi pertarungan ini, rakanmu akan dibebaskan dan aku akan melakukan seppuku.”

 

Tatsuya tersenyum tatkala mendengar perkataan seppuku itu. Jika engkau benar-benar melakukannya Saitou, aku menghormatimu sebagai seorang samurai dan aku akan abadikan namamu.

 

“Ketika pertarungan lepas, aku menggunakan pedang Mariko. Pedang itu janggal, jujurnya. Kali ini aku menggunakan pedangku. Dan aku bilang itu pedangmu, Ryouji?” Saitou menuding ke arah pedang tersarung di pinggang Ryouji.

 

“Ya. Ingin kuperjelaskan pedangku ini tidak bermata. Namun ia boleh mematahkan tulang kalian dengan kaedah yang kupelajari. Engkau harus bersedia dengan risiko itu. Dan bagaimana jika aku tewas?”

 

“Jika engkau tewas, engkau akan kubunuh kerana menjadi saksi perlakuanku di kuil Furukawa, dan Kiku akan kujual. Setuju?”

 

“Aku setuju... dan aku akan pastikan Kiku tidak akan dijual!” Ada getar keraguan di balik nada jawapan Ryouji. Namun dia punya perancangannya sendiri.

 

“Ryouji...” Kiku menegur Ryouji. Ryouji memandangnya.

 

“Usah risau Kiku. Engkau tidak akan dijual. Aku pasti akan menyelamatkanmu.”

 

Kiku tunduk malu, meski dia amat gusar akan nasib yang bakal menimpanya. Dia amat mengharapkan Ryouji pada saat ini.

 

“Dan seperkara lagi Saitou, jika engkau melarikan diri dari seppuku, aku akan memberkasmu dan membawamu ke Kogen untuk dibicarakan.” Ryouji menambah permintaan kepada Saitou.

 

Saitou ketawa. “Baiklah, aku setuju. Aku bukanlah pengecut seperti sangkaanmu. Dan aku akan buktikannya sekarang bahawa aku seorang samurai sejati.”

 

Mereka berdua bergerak berpusingan, menanti gerakan serangan pemula. Ryouji menghunus dahulu, Saitou mengelak. Saitou menghunus menyusulinya, dan Ryouji mengilas dengan pedangnya. Suasana kelam di dalam bangunan batu itu diterangi pelita yang dibawa mereka beserta cahaya matahari petang yang menerobos dari lubang-lubang di dinding dan atap. Lantai bangunan ini seperti sengaja dibersihkan mereka demi pertarungan ini. Perabot-perabot usang dialihkan ke tepi. Di bahagian atas tiang dan bumbung masih berselirat tumbuhan-tumbuhan liar menjalar.

 

Aku merasakan pedang Saitou ini baharu. Ia berat. Pastinya dari bijih terbaik. Yalah, dia di Kyushu, hampir amat dengan Shimagane yang hanya terletak di utara di seberang Selat Shimonoseki. Shimagane itu tempat bijih terbaik diperolehi, berdasarkan pembacaanku.

 

“Engkau menempa baru pedangmu Saitou?”

 

“Ya, aku tempa ia khas untuk menewaskan lawan sepertimu.”

 

“Maka ia bukan pedang yang membunuh penjaga kuil itukah? Mengapa Saitou? Engkau tidak mahu dihantui roh mangsa bunuhmu itu?” Soal sinis Ryouji.

 

Tatsuya menahan amarah. Kata-kata Ryouji kepada Saitou itu mengingatkannya kembali kepada iparnya, penjaga kuil Furukawa itu. Bila-bila masa sahaja dia mampu membaling pisaunya ke arah Saitou demi dendamnya, namun ditahan. Dia harus menumpu kepada pertarungan ini. Pertarungan ini sungguh mengujakan bukan? Dia harus membiarkan Saitou sendiri menebus dosa-dosanya dengan seppuku. Sehingga ke saat ini dia sudah mampu bertahan, sedangkan setiap saat dia bersama Saitou sebelumnya sudah sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk tujuan dendamnya. Mengapa dia harus tewas dengan kata-kata Ryouji? Mengapa perlu dia biarkan air tenangnya dikocak oleh kata-kata remaja ini?

 

Pertarungan menuju kemuncaknya.

 

Memori-memori pertarungan lalu menerpa benak. Paling mengesani Ryouji ialah memori di Narai-juku beserta Yokuma. Nyawa-nyawa yang telah diambil di sana, dalam keadaan terpaksa. Kerana pada ketika itu jika dia tidak membunuh, dia akan dibunuh, kerana Hamada amat pantang akan sesiapa jua yang cuba menyerang pangkalan kuasanya di Yokuma, maka dia harus menghapuskan mereka di Narai-juku. Para penyerang, sekutu Hamada itu sudah pun membakar Narai-juku dan menyebabkan kehilangan nyawa yang ramai sekali.

 

“Aku tidak menyindirmu Saitou. Aku turut merasakannya. Meskipun aku membunuh dengan mandat Kogen ketika di Narai-juku dan Yokuma, ia tetap nyawa, Saitou. Nyawa. Mereka yang dibunuhku itu punya keluarga, anak, isteri, rakan dan adik-beradik. Apakah engkau tidak merasakannya? Hantu-hantu sesalan yang menyentap jiwamu itu saban hari?”

 

“Aku merasakannya.”

 

“Maka engkau masih manusia. Namun salahmu tetap salah. Bushidou tidak menghalalkannya. Aku tidak tahu celah mana bushidou mewajarkan perbuatanmu. Jika engkau arif, maka cerahkan kepadaku sekarang.”

 

Tatsuya melopong. Bangsat ini merasakannya? Bohonglah! Saitou ini samurai Hamada yang paling kejam. Dia telah memancung banyak kepala di hadapanku, demi menurut arahan Hamada. Hatinya telah keras seperti batu.

 

“Salah? Salah menurut Kod Kogen maksudmu?”

 

“Ya. Dan juga salah kerana langsung tidak setimpal dengan kesalahan penjaga kuil itu.”

 

“Dari pengalamanmu, Ryouji, apakah masih belum jelas? Sedang engkau menggunakan mandat Kogen bagi mewajarkan pembunuhanmu, aku pula menggunakan bushidou.”

 

“Saitou, aku membunuh demi melindungi diriku. Juga sememangnya mandat Kogen membenarkannya, kerana mereka yang kubunuh itu berbahaya kepada masyarakat dan jika aku tidak membunuh mereka, mereka akan membunuhku. Mereka akan membakar Narai-juku yang merupakan kawasan persinggahan pedagang. Mereka bakal meneruskan jenayah Hamada yang cuba menculik anak gadis kita. Sedang penjaga kuil itu menipumu demi menyelamatkan kami, dan dia langsung tidak bersenjata. Engkau begitu cepat menghukumnya. Engkau menurut amarahmu dan menggunakan bushidou sebagai alasan. Engkau membunuh seorang manusia yang tidak bersenjata, seperti seorang pengecut!”

 

“Benarkah begitu? Bagaimana pula dengan Kod Kogen yang menghalalkan darah penoda wanita? Juga mengapa penjaga rumah perlindungan kalian yang mengkhianati dihukum bunuh?”

 

“Ia demi memberi pengajaran kepada orang ramai. Dosa-dosa mereka setara, setimpal dengan hukuman itu. Penoda-penoda dan pemerdagang wanita, mereka telah ‘membunuh’ maruah wanita-wanita kita. Saitou, undang-undang difahami dengan hati, bukan difahami buta-buta dari warisan mulut ke mulut atau dari buku catitan. Kod Kogen tertulis. Sedangkan bushidou itu hanya warisan mulut ke mulut. Ia boleh dipersoalkan!”

 

“Ryouji, mungkin kerana engkau terlalu muda, maka engkau belum melihatnya. Semua undang-undang di dunia ini punya kelebihan dan kekurangan, tiada yang sempurna. Hatta kesamuraian atau bushidou yang kupegang ini. Dan aku masih berpegang dengannya. Ia yang diajarkan kepadaku.”

 

“Aku tidak akan berpegang dengan undang-undang yang meremehkannya nyawa!” Bentak Ryouji.

 

“Siapa yang mengajar engkau Ryouji? Ia kebaratan, sungguh kebaratan. Seperti agama Katolik juga yang dibawa para Jesuit itu. Mitsuo-kah yang mengajarkannya kepadamu? Pasti Mitsuo bukan?”

 

Mereka mulai naik ke jurus tinggi. Saitou dan Ryouji kini masing-masing di jurus lapan.

 

Mustahil! Getus Ryouji. Dengan pedang biasa sahaja dia mampu naik ke jurus lapan? Apakah ini sebenarnya tahap samurai terbaik Hamada? Tidak, aku perlu membawanya ke luar. Di sini terlalu kelam. Petang semakin ke penghujungnya.

 

Ryouji sedikit demi sedikit mulai menganjak ke luar bangunan. Saitou menurut sama. Tatsuya keluar demi mendapatkan gambaran jelas pertarungan. Fikirnya dia tidak harus melepaskan peluang menyaksikan pertarungan yang mendebarkan dan paling dinanti-nantikannya ini. Pertarungan yang telah lama dirancangnya. Pertarungan di mana dia mengharapkan Saitou tewas, dan melakukan seppuku, dan dia akan membantu seppuku-nya, sekaligus melunaskan dendam iparnya.

 

“Mitsuo pernah menulis dalam bukunya agar mengurangkan beban emosi. Sehingga aku kembali semula ke sini aku masih belum faham akannya.” Ujar Saitou.

 

Tak sangka dia pernah membuka buku tulisan Takasaki dan bapaku! Getus Ryouji dalam hangat pertarungan.

 

“Sekarang baru kufaham. Apakah aku perlu mengabaikan memori-memori pembunuhan yang kulakukan selama di bawah Hamada? Rasa-rasa gusar dalam hatiku?”

 

“Separa benar. Engkau fikir engkau telah memahaminya, namun engkau silap. Engkau gagal melihat kesilapan tulisan bapaku, Saitou.”

 

“Apakah tulisannya ada kesilapan?”

 

Sa ne. Dia juga manusia biasa. Sekarang baru kufaham mengapa dia memanggilnya beban. Engkau tidak akan mampu mengabaikan ‘hantu-hantu’ dosamu itu Saitou. Engkau hanya mampu berikrar menebusnya, jadikan ‘hantu-hantu’ itu pendorong agar engkau tidak lagi mengotorkan tanganmu.”

 

“Pendorong?”

 

“Tatkala engkau dihantui roh-roh mangsamu, engkau berikrar akan menggunakan pedangmu untuk tujuan membela individu seperti rakanku yang kauculik itu. Bukan lagi terus membunuh dan membunuh dan mengabaikan ‘hantu-hantu’ itu demi arahan tuanmu.”

 

“Jadi, bapamu silap menulis berkenaannya?”

 

“Barangkali dia juga melihat sepertimana engkau melihat ‘hantu-hantu’ itu. Kerana dia pernah bertuankan Hamada sepertimu.”

 

Pedang terus berdenting. Tatkala mata mereka bertembung di bawah cerah mentari petang, Saitou menyoal.

 

“Jadi bagaimana orang-orang kami yang kaubunuh di Narai-juku dan Yokuma itu mendorongmu?”

 

“Setiap kali aku bertarung, aku kejapkan tujuanku pada menegakkan undang-undang Maharaja dan Kogen. Aku tidak menafikan rasa bersalahku. Jika aku mengabaikannya, aku akan dimamahnya sedikit demi sedikit. Aku akan mabuk darah kelak. Aku perlu menanganinya sebelum terlambat.”

 

Ryouji menyambung, sebaik menepis libasan Saitou, “Dan itu hanya berlaku jika engkau yakin dengan peganganmu. Aku yakin dengan kod Kogen. Apakah engkau yakin dengan bushidou? Jika bushidou hanyalah tungganganmu, aku jamin engkau pasti akan goyah.”

 

Saitou mengundur. Ryouji turut sama. Masing-masing berhenti dan memegang pedang, bersedia menyambung bila-bila masa.

 

“Saitou, usah menggunakan bushidou demi mewajarkan perbuatanmu. Engkau hanya dikuasai marah pada ketika itu bukan?”

 

“Diam!!” Saitou meluru ke arah Ryouji, cuba mencuri peluang menyerang mengejut. Ryouji pantas menepis tatkala pedang Saitou hampir sahaja mengenainya. Ryouji menepis kemudian menghentak pada bahagian lemah pedang Saitou.

 

Pedang Saitou pecah. Saitou tergamam. Dia mencampakkan bilah itu, seraya melutut merenung bumi.
Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov