Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
58,138
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 10


Elika hanya menurut langkah Firdaus dari belakang. Firdaus berhenti melangkah. Dia berpaling menoleh ke arah gadis itu. Elika turut berhenti.

“Kamu tidak sudi berjalan dengan saya?” Soal Firdaus dengan wajah tenang.

“Ek, tak ada lah. Mana ada,” jawab Elika sambil berjalan menghampiri lelaki itu. Kini dia berdiri di sebelah Firdaus. Elika memandang sekeliling.

“Ini merupakan tempat kegemaran saya. Taman ini memang yang paling cantik dalam kawasan istana ini,” beritahu Firdaus apabila melihat senyuman lebar Elika.

“Sejak saya masuk dalam kawasan istana, memang banyak taman yang saya lawati. Tapi yang ni memang cantik. Ingatkan taman nenek awak yang paling cantik. Rupanya ada lagi,” balas Elika. Dia berjalan menghampiri sebuah bangku yang tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

“Kerusi ni diperbuat daripada emas ke?” soal Elika apabila melihat warna kerusi tersebut.

“Betul,” jawab Firdaus sambil duduk. Terangkat kening Elika mendengar jawapan lelaki itu.

“Nasib baik dalam istana ni. Kalau kat luar, dah lesap kerusi ni,” katanya sambil duduk di sisi Firdaus. Firdaus tersenyum. Dia menatap gadis itu. Sebenarnya banyak persoalan yang ingin dia tanyakan pada gadis itu.

“Boleh saya tanya?” soal Elika sambil tersenyum membalas pandangan lelaki itu. Firdaus mengangguk. Dia membatalkan niat untuk bertanya apabila Elika terlebih dahulu menyoalnya.

“Awak dah kenal saya sejak kecil. Apa komen awak?” soal Elika dengan perasaan sedikit teruja. Dia ingin tahu juga perasaan lelaki itu terhadap Elika. Jika benar cerita yang dia dengar mengenai lelaki itu dan Elika yang rapat sejak kecil, mengapa pula Waheda mengatakan yang lelaki itu sering sendiri sedari kecil?. Firdaus tersenyum.

“Masa kecil saya tak kenal sangat dengan kamu. Jujur saya beritahu yang saya tak suka kamu sejak kecil. Saya rasa sangat tidak selesa apabila kamu sering ekori saya. Sampai satu saat itu saya buat kamu menangis. Masa itu saya fikir kamu akan serik. Tapi saya silap. Kamu seorang yang tidak mudah berputus asa. Bila lihat kamu semakin bersemangat, saya mula larikan diri. Selepas kelas, saya akan berkurung dalam bilik dan tidak mahu jumpa dengan sesiapa,” beritahu Firdaus dengan senyuman. Elika tergelak kecil.

“Jahatnya awak ni. Apa yang awak tak suka sangat dengan gadis cantik ni?” soalnya separuh mengusik. Firdaus pula tergelak.

“Tidak ada kurangnya Elika. Dia seorang gadis yang baik dan cantik. Cuma saya yang tidak terbuka hati untuk menerimanya. Tapi bila bertemu dengan kamu buat pertama kalinya, saya rasa lain,” kata Firdaus kini dengan riak wajah serius. Elika terkedu.

“Lain? Maksud awak?” soalnya dengan perasaan berdebar. Firdaus menyentuh jemari gadis itu.

“Kamu lain sebab sejak dari awal kamu sudah curi sesuatu milik saya tanpa izin,” balasnya.

“Awak ni, buat saya terkejut aje. Curi apa? Hati awak?” soal Elika separuh bergurau. Firdaus tersenyum. Dia menggenggam lembut jemari gadis itu.

“Hidup saya. Kamu dah curi hidup saya Elika. Maksudnya, saya tidak mungkin mampu teruskan hidup tanpa kamu,” jawabnya. Elika yang terkejut dengan kata-kata lelaki itu pantas menarik tangannya.

“Awak jangan buat saya takut. Daus, kita dah janji akan jadi kawan buat selamanya. Maksudnya, saya tak boleh jadi isteri awak. Awak faham? Sebagai kawan, saya nak nasihatkan awak. Dalam ujian terakhir ni, saya nak kamu pilih calon yang tepat. Ingat, calon awak bukan hak awak seorang. Rakyat awak juga perlu setuju dengan pilihan awak. Sebab awak bakal raja mereka,” kata Elika separuh menasihati. Firdaus terdiam memdengar kata-kata gadis itu. Cuma mata redupnya yang masih memandang wajah Elika.

“Kamu memang pandai mengelak. Sepatutnya saya tidak terima kamu jadi kawan hari itu,” balasnya perlahan. Elika tergelak kecil. Tanpa sedar dia memeluk lengan lelaki itu lalu melentokkan kepalanya pada bahu Firdaus.

“Awak tahu tak kenapa sekarang saya rasa selesa sangat dengan awak? Sebab kita dah jadi kawan. Saya tak nak jadi isteri awak,” kata Elika dengan nada tegas. Firdaus hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata Elika.

                                 *****

Waheda tersenyum melihat wajah riang Elika. Dia faham akan perasaan gadis itu.

“Dah sarapan?” soalnya. Elika mengangguk. Tadi Uyana ada mengajaknya untuk sarapan bersama.

“Tadi dah sarapan dengan Uyana. Uyana tu baik orangnya nek,” puji Elika. Terangkat kening Waheda membalas pandangan gadis itu. Elika tergelak kecil.

“Sesuai sangat dengan Daus,” sambungnya sebelum menutup mulutnya. Waheda tergelak kecil.

“Pandai sangat. Biar Daus tentukan siapa pilihannya. Kalau dia pilih Elika, nenek tak nak masuk campur,” kata Waheda selamba.

“Nenek,” balas Elika sambil menyentuh jemari wanita itu. Dia sengaja menunjukkan wajah sedihnya. Waheda tergelak semula.

“Nenek jangan lah takutkan Elika,” sambung Elika dengan kening berkerut.

“Nenek gurau aje. Seperti yang nenek janjikan, malam ni nenek nak bawa Elika melawat tempat ni. Di tempat ni Elika akan kembali semula ke dunia Elika. Tapi kena tunggu bulan penuh dulu. Tak silap nenek, menurut ramalan ada tiga hari lagi baru lah bulan penuh semula,” balas Waheda.

“Ramalan cuaca ke?” soal Elika agak kebingungan.

“Bukan sayang. Ramalan ahli nujum,” balas Waheda separuh bergurau. Elika tergelak kecil.

“Dulu, masa nenek remaja nenek suka ikut ayah pergi memburu. Suatu hari, masa dalam perjalanan pulang tiba-tiba ada seorang pemuda datang menghampiri kumpulan nenek. Kata pemuda tu dia sesat. Wajahnya kebingungan. Pakaiannya kotor bersalut lumpur. Ayah mengambil keputusan untuk bawa pemuda tu balik ke istana. Pemuda tu memperkenalkan dirinya sebagai Yusuf,” cerita Waheda tanpa memandang wajah Elika. Pandangannya terarah pada satu foto yang terletak di atas meja. Elika turut mencuri pandang ke arah foto tersebut. Dia agak terpegun melihat kejelitaan Waheda semasa muda. Kelihatan seorang pemuda tampan berdiri di sisinya. Waheda kelihatan sedang memangku bayi kecil.

“Nenek berkahwin dengan Yusuf. Ayah Daus adalah satu-satunya anak kami. Yusuf seperti Elika. Dia bukan asal sini. Dia seorang ahli arkeologi yang terjatuh di sebuah perigi lama lalu masuk ke dunia ni. Nenek memang degil. Biarpun tahu yang suatu hari nanti mungkin nenek akan kehilangannya, tapi nenek tetap nak kahwin juga dengan Yusuf,” sambung Waheda dengan perasaan sebak. Elika terkedu mendengar cerita wanita itu.

Biar betul?

“Yusuf ada kehidupannya sendiri di dunia kamu. Ada keluarga. Yusuf memang dah ceritakan semuanya tapi nenek tak kisah. Nenek tahu dah lama yusuf berhasrat untuk kembali namun bila fikirkan yang dia dah terhutang budi dengan keluarga nenek, maka dia simpan niat tu. Tapi nenek tak lah sejahat tu. Selepas ayah Daus lahir, nenek suruh Yusuf kembali. Yusuf masih berbelah bagi untuk kembali kerana tak nak berpisah dengan nenek dan ayah Daus. Tapi nenek paksa. Yusuf tak akan hidup lama jika terus menetap di dunia ni. Tu adalah ramalan. Ramalan dunia ni tak pernah silap,” cerita Waheda lagi.

“Maksudnya, saya pun tak akan hidup lama jika terus tinggal dalam dunia ni?” soal Elika dengan riak terkejut. Waheda mengangguk dengan senyuman hambar.

“Dunia kita tak sama Elika. Ketahanan tubuh kita berbeza,” balasnya. Elika mengangguk perlahan.

“Apabila Yusuf kembali, ayah nenek arahkan semua perigi dalam negara ni dimusnahkan. Kecuali satu perigi. Perigi di mana tempat Yusuf kembali ke dunia kamu. Perigi tu terletak dalam istana ni. Nenek merayu dengan ayah nenek supaya tidak menghapuskan perigi tu. Jujur nenek masih berharap suatu hari nanti Yusuf akan kembali jika perigi tu tak dimusnahkan. Tapi sampai saat ni, Yusuf tak pernah kembali lagi. Kekecewaan nenek tidak lah teruk sangat sebab nenek dah jangka perkara tu. Tapi tak salah sekiranya nenek simpan sedikit harapan. Nenek banyak belajar benda baru daripada Yusuf mengenai dunia kamu. Bermula dari bahasa, makanan, tempat dan banyak lagi. Yusuf adalah memori paling berharga dalam hidup nenek,” sambung Waheda dengan senyuman hambar. Elika mula sebak mendengar cerita wanita itu.

“Nenek tak pasti macam mana kamu boleh sampai sini. Keluarga kamu masih ada perigi?” soal Waheda kini memandang tepat wajah Elika. Elika terdiam mendengar soalan wanita itu. Seingatnya dia tidak pernah melihat perigi di rumahnya. Atau Cuma dia yang tidak perasan?

“Tak pasti. Tapi seingat Elika, tak ada,” jawabnya dengan ragu-ragu.

“Tapi kamu memang terjatuh dalam perigi lama ke?” soal Waheda.

“Ya betul. Saya dan Gloria sebenarnya sedang mengikuti rombongan untuk melawat tapak lama. Apabila kami sedang meronda kawasan, tiba-tiba kami ternampak sebuah perigi lama. Saya terdengar bunyi seperti orang sedang bercakap dalam perigi tu. Tak tahu macam mana, bila saya nak dengar dengan lebih dekat bunyi tu tiba-tiba tergelincir pula. Gloria yang nak tolong saya pun ikut terjatuh. Ingatkan dah mati. Tapi bila buka mata, tak sangka boleh sampai sini. Susah nak percaya. Tapi dah berlaku dengan diri sendiri memang tak tahu lagi nak cakap apa,” balas Elika dengan senyuman hambar. Waheda tersenyum mengangguk.

“Satu lagi perkara pelik yang Elika lalui. Mama Elika dah meninggal sejak Elika masih kecil. Tapi, dalam dunia ni Elika masih berpeluang jumpa mama. Keluarga Elika sekarang ni memang keluarga sebenar. Maksud Elika, mama yang ada di dunia sebenar adalah mama yang sama dalam dunia ni. Kecuali papa Elika. Papa Elika di dunia sebenar tak sama dengan dunia ni. Elika memang keliru tapi dalam masa yang sama Elika tak kisah. Bagi Elika, dunia ni dah tunaikan permintaan terakhir Elika. Elika memang nak sangat jumpa mama,” beritahu Elika. Waheda terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Elika rasa, orang-orang kat dunia ni sama dengan orang-orang kat dunia Elika. Cuma tak semuanya kita jumpa lagi. Nenek tak fikir macam tu ke?” soal Elika ingin tahu pandangan wanita itu. Waheda tersenyum.

“Nenek tak pasti sayang. Tapi kalau tu betul, nenek harap dapat jumpa Elika lagi lepas ni,” balasnya dalam penuh makna. Elika tersenyum lebar. Dia memeluk wanita itu.

“Terima kasih nek. Kalau betul tekaan Elika ni, Elika akan cari nenek,” katanya dengan perasaan sebak. Waheda membalas pelukan gadis itu. Jika benar telahan gadis itu, dia berharap sangat Yusuf mencarinya di sana.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.