Elika memandang dirinya pada cermin besar di hadapannya. Gaun warna putih yang dipakainya itu sangat cantik.
“Suka?” soal Hana dengan senyuman lebar. Melihat sahaja senyuman wanita itu membuatkan Elika seperti hendak menangis. Jika benar dia sedang bermimpi, dia sangat berharap tidak ada sesiapa yang mengejutkannya daripada lena. Dia masih belum puas menatap wajah wanita yang selama ini dirinduinya itu.
“Gaun ni sangat cantik. Saya nak ke mana lepas ni?” soal Elika dengan senyuman.
“Elika akan ke istana. Jangan risau, ayah akan menemani kamu. Elika tidak perlu takut. Ramai calon ada di sana. Tapi mereka bukan kawan tapi lawan. Mereka juga mahu menjadi isteri putera Firdaus,” jawab Hana sambil mengelus rambut panjang Elika yang sudah disanggul kemas.
“Isteri? Siapa? Saya? Kenapa?” soal Elika cemas. Hana agak kebingungan dengan reaksi gadis itu. Sebelum ini Elika sendiri yang beria mahu menyertai pencarian calon isteri untuk putera Firdaus.
“Ibu tidak tahu. Kamu sendiri yang mahu mencuba nasib. Elika sudah berubah hati? Bukankah selama ini putera Firdaus itu calon suami idaman kamu?” soal Hana dengan kening berkerut. Elika terkedu.
Aku?? Firdaus tu siapa??
*****
Apabila sampai di pekarangan istana, Idham dan Elika turun dari sebuah Motorwagen. Elika memandang semula kenderaan tersebut. Sepanjang perjalanan dia melihat ramai yang menggunakan kenderaan seperti itu. Dia turut pelik kerana tidak melihat bangunan di sepanjang jalan. Apa yang dia lihat hanya rumah penduduk kampung yang diperbuat daripada kayu namun kelihatan seperti gaya rumah orang Inggeris.
“Elika, mari cepat. Kita sudah lewat. Ayah tidak mahu kamu dihukum,” kata Idham sambil mula berjalan.
“Dihukum? Maksud? Gantung ke?” soal Elika mula cemas semula. Dia gembira berada di tempat itu kerana bertemu dengan ibunya. Namun dalam masa yang sama dia juga rasa takut. Tempat itu sangat asing. Dia terfikir juga adakah dia benar-benar telah mati?
“Bukan. Ayah tidak tahu. Putera Firdaus itu memang tidak suka orang yang datang lewat ke majlisnya. Nampak pengawal itu? Elika ikut pengawal itu. Dia akan bawa kamu bertemu dengan yang lain. Ayah akan tunggu sehingga kamu selesai,” kata Idham separuh mengarah. Elika yang kebingungan hanya menurut. Sebelum berlalu dia sempat menoleh semula memandang Idham. Dia agak kekok apabila lelaki itu membahasakan dirinya sebagai ayah. Dia tidak punya ayah yang bernama Idham. Ayahnya adalah Jaim. Elika melangkah semula dengan seribu satu persoalan. Dia setuju untuk mengikut kemahuan ibunya dan Idham hanya kerana satu sebab. Dia inginkan jawapan. Apa sebenarnya yang sedang berlaku pada dirinya.
*****
Elika masuk ke dalam sebuah dewan yang agak luas dan besar. Dia dapat melihat beberapa orang gadis sedang duduk di kerusi yang telah disediakan. Para gadis itu turut memandang Elika. Tidak ada senyuman yang terukir pada bibir masing-masing kecuali seorang gadis yang duduk di sudut dewan. Gadis itu tersenyum lebar memandang Elika. Melihat saja kerusi kosong di sebelah gadis itu, Elika pantas menghampiri. Dia menarik kerusi lantas duduk.
“Hai, aku Elika,” sapanya sambil menghulurkan tangan. Gadis itu menyambut dengan senyuman.
“Uyana,” jawab gadis itu. Tiba-tiba seorang wanita dalam linkungan 40-an melangkah masuk melalui pintu di hadapan mereka. Wajah wanita itu agak serius.
“Saya Varna. Sepanjang proses pemilihan ini, saya adalah orang yang akan menemani kamu. Hari ini merupakan hari pertama ujian. Untuk hari yang pertama, seperti yang telah kamu ketahui kita akan menjalani ujian makanan pada hari ini. Sila bergerak ke tempat masing-masing mengikut pembantu yang kami telah sediakan di sini,” katanya sambil memandang ke arah pintu. Beberapa orang gadis melangkah masuk dengan kepala yang sedang tunduk memandang lantai. Bulat mata Elika apabila melihat salah seorang daripada gadis itu.
Gloria!
*****
Elika memandang Gloria dari atas ke bawah.
“Kau jangan lah pandang aku macam tu,” balas Gloria dengan kening berkerut.
“Kita dah mati ke?” soal Elika. Dia hanya menurut langkah Gloria masuk ke sebuah bilik. Bilik tersebut agak besar. Di dalamnya sudah tersedia alatan dan bahan-bahan untuk masakan.
“Kita masih hidup,” balas Gloria sambil mencapai apron lalu dihulurkan kepada Elika.
“Aku masih tak faham. Kita kat mana? Lagi satu, sekarang ni kita sebenarnya buat apa? Kau tahu tak? Sepanjang perjalanan aku datang tempat ni tadi, aku tak nampak satu bangunan pun kat luar. Aku rasa macam tengah mimpi sekarang ni,” beritahunya separuh menyoal dengan riak wajah yang jelas kebingungan. Gloria yang sedang menyusun alatan yang akan digunakan nanti menoleh ke arah gadis itu.
“Semuanya sebab perigi tu. Kau tak ingat kita jatuh dalam perigi?” soal Gloria kini dengan kening berkerut.
“Perigi?” soal Elika kembali. Dia mula teringat detik dia dan Gloria terjatuh ke dalam perigi.
“So, sekarang ni kau nak kata kita ni dalam perigi?” soal Elika semula sebelum tergelak kecil.
“Kau ingat aku sedang buat lawak? Terpulang kau nak percaya atau tak. Aku nak keluar dari sini. Aku nak cari perigi tu semula,” balas Gloria dengan nada tegas. Elika mengeluh berat. Dia menarik kerusi yang berhampiran lantas duduk.
“Kau tolong tampar pipi aku. Aku takut sedang bermimpi sekarang ni,” katanya. Tanpa berfikir panjang Gloria menurut permintaan gadis itu.
Pang!
Elika terkedu. Tangannya menyentuh pipi yang terasa perit.
“Kau dah percaya? Aku pun pada mulanya tak percaya. Aku buka mata aje tup tup dah jadi pembantu kat sini. Aku ada tanya juga kawan-kawan yang lain dah berapa lama mereka kenal aku. Kau tahu mereka jawab apa? Sejak kecil. Mereka kata sejak kecil aku dah tinggal kat tempat ni menjalani latihan sebagai pembantu. Pelik kan?” kata Gloria dengan perasaan sebak.
“Aku nak balik. Aku tak nak tinggal kat tempat pelik ni,” sambungnya.
“Kalau betul apa yang kau kata, maksudnya kita ni jatuh dalam perigi lalu sampai kat tempat ni? So, kita kena cari perigi tu semula untuk balik? Kita nak cari kat mana?” soal Elika. Gloria menggeleng tanda tidak tahu.
“Kau kat mana? Macam mana kau boleh jadi salah seorang calon yang nak jadi isteri putera kat tempat ni?” soal Gloria pula.
“Aku pun tak tahu. Ibu aku…,” Elika terdiam sejenak.
“Apa?” soal Gloria dengan kening terangkat.
“Aku jumpa ibu kandung aku kat sini. Ibu kandung aku dah meninggal sejak aku masih kecil. Tapi kat sini aku jumpa semula dengan dia,” jawab Elika dengan senyuman hambar. Gloria tergamam.
“Kita dah mati ke?” soalnya mula keliru. Elika menggeleng turut kebingungan.
“Tapi pipi aku sakit bila kau tampar tadi,” katanya.
“Sorry,” ucap Gloria agak rasa bersalah melihat pipi merah gadis itu.
“Tak sangka pula kau pandai minta maaf kat sini,” balas Elika sebelum tersenyum. Gloria ikut tersenyum. Betul kata gadis itu. Dia sebenarnya bukan bencikan gadis itu. Cuma cemburu dengan prestasi akademik Elika yang sentiasa mendahuluinya. Tiba-tiba kedengaran loceng berbunyi.
“Alamak! Kau kena cepat,” kata Gloria sambil menarik pisau lalu dihulurkan kepada Elika.
“Buat apa?” soal Elika keliru.
“Kau tak tahu? Kau kena masak dalam ujian pertama ni. Lantak kau lah nak masak apa. Yang penting boleh menarik hati si putera tu. Cepat lah loceng dah bunyi,” gesa Gloria.
“Aku tak pandai masak,” balas Elika selamba.
“Kau nak putera tu murka? Kau ni nama aje budak pintar. Takkan masak telur pun tak reti?” soal Gloria mula geram.
“Telur? Kalau telur senang lah,” balas Elika sambil mula berdiri. Dia mula mencapai telur dan mangkuk. Gloria tergelak kecil.
“Aku rasa kau ni peminat kat putera tu. Kalau tak, mustahil kau ada kat sini hari ni,” guraunya.
“Jangan nak mengarut lah. Tapi ibu aku pun kata macam tu. Kononnya aku ni dah lama terhegeh kat putera tu,” balas Elika sambil tergelak kecil. Gloria ikut tergelak. Tanpa mereka sedar kehadiran Firdaus yang sudah berdiri di muka pintu.