Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
21,375
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 15

Hana memeluk erat tubuh gadis itu. Idham hanya tersenyum sambil menepuk lembut bahu Elika.

"Tidak mengapa. Bukan jodoh Elika dengannya," pujuk Hana dengan senyuman.

"Bagaimana keadaan Elika?" tanya Idham. Gadis itu dilihatnya sangat tenang. Itu agak merisaukan dirinya.

"Jangan risau. Elika baik ayah," balas Elika dengan senyuman. Idham mengangguk lega.

"Rehat dulu. Ayah hendak masak sendiri malam ini sempena kepulangan Elika," katanya dengan senyuman. Elika mengangguk gembira.

"Mama akan tolong ayah. Elika mandi dulu ya," celah Hana.

"Baik mama," balas Elika sebelum berlalu. Idham dan Hana saling berpandangan sebelum tersenyum.

"Nasib baik saya ikut nasihat abang. Harapan itu tinggal kenangan," kata Hana. Idham hanya tergelak kecil.

*****


"Kamu sudah gila?" marah Rasyid sambil memandang tajam ke arah Firdaus yang tenang berdiri di hadapannya. Safiq yang berdiri di sisi Firdaus mula berdebar. Dia bukan takut dengan ayahnya. Tapi dia takut sekiranya Rasyid membuat keputusan yang tidak diduga pada Firdaus. Permintaan Firdaus agak keterlaluan walaupun ada kebenarannya.

"Saya mohon ayah," rayu Firdaus lantas duduk sambil menundukkan kepalanya. Pamela yang duduk di sisi Rasyid menoleh ke arah Waheda yang duduk tidak jauh dari mereka. Dia berharap orang tua itu dapat melakukan sesuatu untuk menenangkan Rasyid yang sedang marah. Uyana yang duduk di sisi Waheda hanya memerhatikan suasana dengan perasaan berbaur.

"Kenapa tiba-tiba hendak Safiq gantikan tempat Daus semula? Selepas Daus bersusah payah belajar banyak perkara untuk sampai tahap ini, Daus dengan tidak berfikir panjang mahu undur diri macam itu saja?" soal Rasyid tidak berpuas hati.

"Daus minta maaf ayah. Terima kasih dengan tunjuk ajar serta peluang yang ayah sudah beri. Tapi Daus tidak boleh teruskan. Abang bukan saja layak tapi memang tanggungjawabnya untuk gantikan ayah. Tolong tunaikan permintaan Daus," balas Firdaus dengan perasaan sebak. Memang banyak kesukaran yang dia tempuh untuk menggantikan tempat Rasyid. Namun dia tidak akan menyesal dengan keputusannya. Rasyid mengeluh berat. Dia menoleh ke arah Waheda. Waheda hanya tersenyum membalas pandangannya. Rasyid menoleh pula ke arah Safiq.

"Safiq, kamu setuju dengan Daus?" soalnya. Safiq membalas pandangan Rasyid.

"Ya ayah. Saya setuju dan berjanji akan jalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik," balasnya tenang.

"Bagaimana dengan Uyana? Kamu berdua ini memang menyusahkan ayah," kata Rasyid dengan nada keras.

"Saya akan melamarnya ayah," balas Safiq. Berkerut kening Rasyid mendengar kata-kata Safiq. Dia menoleh pula ke arah Uyana. Kelihatan gadis itu hanya mengangguk tersenyum. Rasyid mengeluh lagi.

"Maafkan ayah, Uyana," ucapnya dengan perasaan bersalah. Dia yakin sudah pasti kedua-dua anaknya itu telah merancang segalanya. Pamela berdiri lantas melangkah ke arah Uyana. Dia duduk di sisi gadis itu lantas memeluk bahunya.

"Maafkan anak ibu," ucapnya dengan senyuman hambar.

"Tidak mengapa ibu. Uyana memang sayang abang Safiq," balas Uyana jujur. Pamela menarik nafas lega. Rasyid memandang kedua-dua anaknya semula.

"Baik, ayah tunaikan permintaan itu. Tapi dengan satu syarat. Daus tidak boleh keluar dari istana ini untuk merantau tanpa kebenaran ayah," katanya dengan nada tegas. Firdaus terkedu. Safiq menarik nafas lega mendengar syarat yang dikenakan oleh Rasyid. Dia lega kerana Firdaus tidak mendapat syarat yang berat.

*****


"Apa ini semua sebab gadis itu?" soal Rasyid sambil memandang Pamela. Dia tahu yang Firdaus rapat dengan salah seorang peserta yang bernama Elika.

"Mungkin Daus tidak sanggup gantikan tempat Syid. Beri peluang pada Daus untuk tentukan hala tuju hidupnya. Syid jangan salah faham. Bonda bukan hendak sokong Daus," celah Waheda. Rasyid menarik nafas berat.

"Betul kata bonda. Abang, sejak kecil Daus selalu ikut cakap kita. Dia anak yang menurut perintah. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita beri peluang kepadanya," balas Pamela dengan senyuman. Walaupun pada mulanya dia turut kecewa dengan tindakan Firdaus, namun dia mula sedar yang lelaki itu juga ada kemahuan sendiri. Dia memang tidak tahu apa langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh Firdaus. Namun dia sentiasa berada di belakang lelaki itu jika dia memerlukan seseorang.

"Saya cuma rasa tidak sedap hati. Saya tiba-tiba risaukan Daus," kata Rasyid dengan kening berkerut.

"Dia pasti baik-baik saja," balas Pamela dengan senyuman. Waheda mengangguk setuju. Dalam diam dia juga mula risau.

*****


Elika hanya memandang Hana menghidangkan buah yang sudah siap dipotong.

"Terima kasih mama. Ayah makan malam hari ni adalah makan malam yang paling istimewa," katanya dengan senyuman lebar. Idham ikut tersenyum.

"Mama harap Elika dapat lupakan putera dan mulakan hidup baru," kata Hana dengan harapan. Elika tersenyum.

"Mama jangan risau. Kalau mama nak tahu, Elika bukannya suka sangat pun dengan putera tu," balasnya separuh bergurau. Hana tergelak besar.

"Nak tanya, dalam rumah ni ada perigi ke?" soal Elika sambil memandang Idham. Idham memandang Hana. Hana tersenyum hambar.

"Memang ada. Tapi dulu Elika sendiri yang tidak mahu perigi itu dimusnahkan. Sebab itu kita rahsiakan hal ini. Elika lupa?" soal Idham. Elika terdiam.

Benar tekaan nenek.

"Elika," panggil Hana apabila melihat gadis itu terdiam agak lama.

"Raja tahu yang kita ada perigi itu?" soal Idham risau. Elika menggeleng pantas.

"Tak ayah. Elika ni dah tua kot. Tu yang lupa," balas Elika sambil tersengih. Hana dan Idham menarik nafas lega. Elika menggenggam jemari Hana.

"Mama, Elika gembira sebab berpeluang jumpa mama sekali lagi. Elika nak mama tahu yang selama ni Elika baik-baik saja. Elika sayang mama," ucapnya dengan perasaan sebak. Dia ingin kembali namun pada masa yang sama hatinya berat mahu meninggalkan Hana. Namun Elika sedar ini bukan dunianya. Dia tidak sepatutnya berada di tempat itu. Hana tersenyum membalas genggaman gadis itu.

"Mama pasti Elika akan baik-baik saja. Mama yakin Elika akan jumpa lelaki yang lebih baik lepas ini," balasnya. Dalam diam Idham mengeluh perlahan. Elika beralih memandang Idham.

"Ayah, terima kasih kerana sudah menjaga ibu," ucapnya. Walaupun tidak pernah menemui Idham di dunianya, namun dia yakin Idham adalah lelaki yang baik untuk Hana. Dia percayakan Idham.

"Ayah gembira bertemu dengan Elika," balas Idham dengan senyuman. Elika agak terkejut mendengar kata-kata Idham.

Adakah orang tua itu tahu mengenai dirinya?

"Elika juga gembira ayah," balasnya dengan senyuman. Hana tersenyum gembira melihat senyuman yang terukir pada wajah Elika. Gadis itu memang seorang yang kuat semangat.

*****


"Boleh nenek tanya?" soal Waheda sambil memandang Firdaus yang sedang termenung di hadapannya. Firdaus hanya tersenyum membalas pandangan orang tua itu.

"Kenapa tiba-tiba ambil keputusan untuk berundur?" tanya Waheda.

"Daus takut nek. Daus tidak cukup kuat untuk jalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan," balas Firdaus perlahan.

"Selama nenek kenal Daus, tidak pernah lagi nenek lihat Daus macam ini. Daus seperti orang yang telah putus asa. Tidak ada semangat mahu teruskan hidup," komen Waheda. Firdaus tersenyum.

"Nenek jangan risau. Daus masih boleh teruskan hidup seperti biasa," balasnya.

"Daus macam ini sebab Elika kan? Nenek tahu Daus. Selama ini mata Daus itu tidak pernah pandang wanita lain selain Elika," kata Waheda.

"Sayangnnya tidak mungkin Daus boleh memiliki wanita sehebat dia," balas Firdaus dengan nada perlahan. Riak wajahnya jelas kecewa. Waheda menarik nafas panjang. Nampaknya Firdaus sudah tahu siapa Elika.

"Kita terpaksa terima kenyataan itu. Sakit namun itu adalah realiti," katanya separuh memujuk. Firdaus hanya tersenyum hambar.

*****


Gloria menggenggam erat jemari gadis itu. Elika membalas dengan senyuman.

"Kau dah sedia?" soal Gloria dengan perasaan berdebar. Elika mengangguk.

"Kita cuma perlu lompat dalam perigi ni kan?" soal Gloria lagi yang agak risau.

"Ya. Nenek kata kita lompat dan semuanya akan kembali seperti biasa. Cuma aku tak pasti kita akan kembali kat mana. Mungkin dalam hutan tu ataupun kat rumah. Aku pun tak tahu," balas Elika. Gloria mengangguk faham.

"Selamat tinggal Mataair," ucap Gloria sambil memejamkan matanya. Elika turut memejamkan mata. Kedua-duanya melompat ke dalam perigi.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.