Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
19,447
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 9

Elika memandang Uyana dan Nana silih berganti.

"Elika, saya gembira bertemu kamu dalam ujian terakhir ini," kata Uyana ikhlas dengan senyuman lebar. Elika menarik lengan gadis itu untuk menjauh daripada Nana. Nana hanya mendengus geram melihat telatah kedua-dua gadis itu.

"Uyana, awak mesti menang. Saya akan bantu awak menang dalam ujian ni. Saya janji," kata Elika dengan riak wajah yang serius.

"Tapi kenapa?" tanya Uyana agak hairan.

"Sebab awak layak. Saya tak yakin dengan Nana tu. Biasanya kalau dalam drama tv, bila watak jahat kahwin dengan anak raja maka akan huru hara jadinya," balas Elika memberi alasan.

"Tv?" soal Uyana dengan kening berkerut. Elika menggaru kepalanya. Memang sejak dia sampai di tempat itu, dia tidak pernah melihat televisyen. Dia pernah bertanya hal tersebut pada ayahnya namun orang tua itu turut menunjukkan reaksi terkejutnya.

"Saya sebenarnya tidak menyangka akan sampai tahap ini. Biar saya jujur dengan awak. Saya bertungkus lumus mahu menyertai pertandingan ini bukan semata-mata sebab mahu berkahwin dengan putera," beritahu Uyana kini dengan riak wajah yang serius. Elika terkejut mendengar pengakuan jujur gadis itu.

"Sebab apa?" soalnya ingin tahu. Uyana tersenyum sambil menepuk bahunya.

"Kalah atau menang saya akan beritahu awak bila sudah tiba masanya. Elika, saya suka jika awak yang jadi puteri negara ini. Awak dan putera memang sepadan sejak kecil lagi," katanya.

"Awak kenal saya ke? Maksud saya, awak...,"

"Sila ikut pengawal yang bertugas," arah Varna yang datang tiba-tiba. Elika mengeluh perlahan.

"Jumpa lagi," kata Uyana sebelum berlalu. Elika hanya mengangguk. Dia agak kecewa kerana tidak mendapat penjelasan daripada Uyana.

*****


Firdaus memandang agak lama perigi yang ada di hadapannya. Dalam negaranya, hanya itu satu-satunya perigi yang tinggal. Pada mulanya dia tidak faham mengapa semua perigi yang ada di negara itu telah dimusnahkan 10 tahun yang lalu. Namun setelah mendengar cerita neneknya, dia keliru dan jujur tidak percaya. Firdaus mengeluh perlahan.

"Buat apa seorang saja di sini?" soal Pamela yang sedang berjalan menghampiri. Firdaus hanya tersenyum melihat bondanya itu.

"Ibu, sudah jumpa dengannya?" soal Firdaus pula. Pamela tersenyum. Melihat saja dari riak wajah lelaki itu sudah jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang telah menang dalam pertandingan itu.

"Belum lagi. Lepas ini ibu akan jumpa dia. Nenek beritahu ibu yang dia akan pilih Elika," beritahunya. Firdaus mengangguk faham. Dia lega kerana neneknya memilih Elika.

"Ibu, pasal perigi ini. Ibu percaya?" soalnya perlahan. Sudah bertahun lamanya dia menyimpan soalan itu. Dia bukannya tidak mahu bertanya. Memang seisi keluarganya dilarang untuk bertanyakan soalan tersebut.

"Apa kamu sudah lupa? Tidak sepatutnya soalan itu keluar dari mulut kamu," Pamela mengingatkan. Firdaus diam sedar akan kesilapannya. Namun soalan Elika masih terngiang di telinganya.

"Elika ada tanya pasal perigi dalam negara ini," beritahunya.

"Semua orang memang mahu tahu pasal sejarah perigi ini. Ibu harap kamu nasihatkan Elika supaya tidak bertanya soalan itu lagi. Jika ayah kamu dengar, ibu tidak mampu tolong kamu," nasihat Pamela sebelum berlalu. Firdaus hanya memandang langkah wanita itu berlalu. Dia mengeluh lagi.

*****


Elika hanya menundukkan wajahnya. Ini merupakan kali pertama dia bertemu dengan Pamela. Walaupun wanita itu murah dengan senyuman, namun dia masih tetap segan membalas pandangan Pamela.

"Tahniah kerana sampai tahap ini. Ibu sudah agak sejak awal lagi. Dari dulu Elika memang tidak pernah menyerah jika ia melibatkan Daus," kata Pamela dengan senyuman. Elika mengangkat wajahnya membalas pandangan wanita itu.

Ibu? Aku salah dengar ke?

Elika mula tidak sedap hati.

"Terima kasih," ucapnya dengan senyuman hambar. Pamela tersenyum. Dia sering mendengar cerita daripada Safiq mengenai gadis itu. Safiq memberitahunya yang Elika sudah lama mahu menjadi isteri Firdaus. Hanya Firdaus saja yang tidak mahu melayannya. Dia tidak tahu apa yang membuat Firdaus tiba-tiba berubah hati. Pamela melihat anaknya itu seperti sudah tidak sabar mahu menjadikan Elika sebagai isterinya.

"Ibu memang tidak rapat dengan Elika. Tapi ibu kenal Elika sejak kecil. Ibu harap selepas ini ibu dan Elika dapat meluangkan masa bersama. Ibu juga harap impian Elika sejak kecil akan tercapai," kata Pamela ikhlas. Elika terdiam mendengar kata-kata wanita itu. Dalam diam timbul rasa cemburu pada Elika yang dimaksudkan oleh wanita itu. Nampaknya semua orang sayangkan gadis itu. Bukan dirinya.

"Terima kasih," ucap Elika lagi. Dia tersenyum cuba menyembunyikan rasa kecewa yang tiba-tiba mengganggunya.

Kenapa dengan aku ni?

*****


Waheda hanya tersenyum memandang gadis di hadapannya itu.

"Nama?" tanya Waheda.

"Elika. Nenek tak tahu?" soal Elika agak takut. Mustahil Varna tidak memberitahu orang tua itu mengenainya. Senyuman Waheda menghilang saat mendengar soalan gadis itu. Elika mula berdebar.

Aku salah tanya ke?

"Tak, nenek saja nak usik Elika" jawab Waheda sambil tersenyum semula. Elika menarik nafas lega.

"Nek, saya nak tanya boleh?" soalnya semula dengan perasaan berdebar. Waheda menggelengkan kepalanya.

"Elika simpan dulu soalan tu. Kita buat ujian dulu. Jom, ikut nenek," ajaknya sambil melangkah ke arah taman miliknya. Elika menggigit bibir. Dia menurut dengan berat hati. Elika tergamam sebaik sahaja dia melangkah masuk dalam kawasan taman milik Waheda.

"Cantik," pujinya tanpa sedar. Senyumannya lebar memandang sekeliling. Pelbagai jenis bunga berwarna-warni menghiasi taman tersebut. Waheda hanya tersenyum melihat telatah gadis itu.

"Duduk sini Elika," ajaknya. Elika menurut. Dia menarik kerusi di sebelah Waheda.

"Umur?" soal Waheda. Elika agak terkejut mendengar soalan tersebut. Inikah ujian yang dimaksudkan oleh wanita itu?

"26," jawab Elika dengan nada perlahan. Waheda mengangguk.

"Muda lagi. Kenapa nak kahwin dengan putera?" soalnya lagi. Elika terdiam sejenak mendengar soalan tersebut.

"Sebenarnya saya tak nak," jawabnya jujur sambil membalas pandangan Waheda. Dia takut jika orang tua itu mengamuk dengan jawapannya. Namun Elika lega apabila melihat wajah tenang Waheda.

"Saya tak nak kahwin dengan putera. Kalau nenek nak tahu, saya dah banyak kali gagal ujian sebelum ni. Tapi putera tu tetap nak saya datang ujian seterusnya. Tak sedar dah sampai tahap ni. Tindakan putera memang tak adil untuk peserta yang lain," sambung Elika separuh merungut. Tiba-tiba Waheda tergelak kecil. Berkerut kening Elika melihat reaksi orang tua itu.

"Nenek suka dengan Elika. Jujur dan baik hati," puji Waheda ikhlas.

"Daus tu tak ada kawan. Sejak kecil abangnya asyik merantau tinggalkan dia seorang. Selain sibuk belajar untuk persediaan menggantikan ayahandanya, Daus juga akan menyibukkan diri dengan bersukan. Aktiviti selebihnya dia hanya akan berkurung dalam bilik. Dia kurang bercampur dengan orang jika bukan majlis diraja," sambung Waheda. Elika hanya diam mendengar cerita orang tua itu.

"Nenek percaya Elika boleh jadi kawan baik yang boleh bahagiakan cucu nenek," kata Waheda lagi sambil menyentuh jemari gadis itu. Elika terkedu.

"Nek, saya...,"

"Elika, nenek pun dah mula sayang kamu. Tapi masih belum terlambat untuk kamu kembali," pintas Waheda kini dengan riak wajah yang serius. Elika terkedu.

"Ma..., maksud nenek?" soalnya dengan suara tersekat. Waheda tersenyum hambar.

"Nenek tahu kamu bukan asal sini," balasnya. Elika terkedu. Dia ingin menangis saat mendengar kata-kata Waheda. Tangannya pantas memeluk orang tua itu.

"Saya dah hampir putus harapan. Saya tak tahu macam mana sampai kat sini. Jujur saya masih kebingungan. Apa yang pasti, ni bukan tempat saya. Saya sangat gembira bila nenek tahu siapa saya kat sini. Ni maksudnya saya masih ada harapan untuk kembali. Betul tak?" soal Elika dengan suara serak. Dia tidak sedar bila air matanya mula mengalir. Dia terlalu gembira kerana sudah melihat jalan keluar dari tempat itu. Waheda membalas pelukan gadis itu dengan senyuman hambar.

"Maaf menganggu, tapi putera ada di luar," beritahu seorang pembantu yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Elika melepaskan pelukannya sambil memandang Waheda.

"Tak apa. Elika jumpa putera dulu. Lepas ni kita akan jumpa lagi," katanya separuh mengarah.

"Janji?" soal Elika. Waheda mengangguk sambil menyapu air mata gadis itu. Elika tersenyum sebelum berlalu.

*****


Agak lama Firdaus merenung wajah gadis itu. Mata Elika yang masih merah menarik perhatiannya.

"Awak nangis?" soalnya dengan riak wajah yang serius.

"Bukan urusan awak," kata Elika tanpa memandang lelaki itu. Firdaus menarik nafas perlahan.

"Maafkan saya," ucapnya. Elika mula membalas pandangan lelaki itu.

"Saya paksa awak," kata Firdaus dengan perasaan bersalah. Elika tersenyum sinis.

Tahu pula salah.

Dia mendengus perlahan. Kata-kata Pamela dan Waheda mula terngiang semula di telinganya. Sejak awal lagi Elika memang sudah lama mencuri perhatian keluarga diraja itu. Dia hanya meminjam sekejap watak gadis itu. Jika dibandingkan dengan Elika yang ada di dunia ini, sudah pasti dia akan kalah. Tanpa sedar Elika mengeluh.

Mengapa aku perlu fikir pasal ni pula!

Elika membalas pandangan Firdaus semula. Waheda sudah tahu siapa dirinya. Mesti dia juga tahu jalan untuk kembali semula ke dunianya. Mungkin esok atau lusa dia pasti akan pergi. Memang tidak patut jika dia bermasam muka lagi dengan lelaki itu. Lagipun dia sebenarnya agak kasihan dengan kisah hidup Firdaus. Mesti lelaki itu sentiasa rasa keseorangan sama seperti apa yang dialaminya sebelum ini. Sejak Jaim berkahwin semula, dia tidak nafikan yang hidupnya sunyi dan kosong. Firdaus berdehem agak kuat cuba mengejutkan gadis itu dari lamunannya.

"Ingat siapa?" soalnya dengan kening terangkat. Elika tersenyum. Firdaus terkesima sejenak melihat senyuman gadis itu. Ini merupakan pertama kali dia melihat Elika tersenyum ikhlas padanya. Selama ini hanya jelingan tajam yang dia dapat daripada gadis itu.

"Jom, awak nak buat apa hari ni? Saya boleh temankan awak," kata Elika separuh mengajak. Firdaus agak ragu-ragu dengan ajakan gadis itu. Wajahnya jelas berkerut. Elika menghulurkan tangannya.

"Mungkin awak dah tahu siapa saya. Tapi saya tetap nak perkenalkan diri sekali lagi. Saya Elika Farhana," katanya dengan senyuman lebar. Firdaus memandang huluran tangan gadis itu. Tiba-tiba perasaan sebak menyelubungi diri.

"Firdaus, mula hari ni kita akan jadi kawan," sambung Elika apabila melihat lelaki itu hanya terpaku memandang tangannya. Firdaus mula tersenyum. Perasaannya berbaur. Dia menyambut huluran tangan Elika.

"Panggil saya Daus," balasnya. Elika tersenyum mengangguk. Firdaus menarik gadis itu dalam pelukannya. Elika tergamam. Terasa belakang badannya ditepuk lembut oleh lelaki itu.

"Kawan baik harus sentiasa bersama," kata Firdaus dengan nada perlahan namun masih jelas di telinga Elika.

*****


Elika melangkah perlahan untuk kembali ke biliknya. Kata-kata Firdaus terngiang-ngiang di telinganya.

"Kawan baik harus sentiasa bersama."

Apa maksud lelaki itu? Adakah Firdaus juga sudah tahu siapa dirinya?

"Elika," tegur Uyana yang sedang berjalan menghampiri. Elika berhenti melangkah. Dia tersenyum menyambut kedatangan gadis itu.

"Hendak ke mana?" soal Uyana.

"Saya nak balik bilik. Awak pula?" soal Elika semula.

"Saya juga mahu kembali ke bilik. Bagaimana dengan ujian awak?" tanya Uyana yang ingin tahu.

"Setakat ni tak ada masalah. Oh ya, soalan saya hari tu awak tak jawab lagi," balas Elika. Uyana terdiam sejenak. Dia cuba mengingat semula apa yang dikatakan oleh gadis itu.

"Awak kenal saya sejak kecil?" tanya Elika yang tidak sabar. Uyana tergelak kecil.

"Rupanya itu soalan yang awak maksudkan."

"Uyana, saya nak tahu," balas Elika dengan riak wajah serius.

"Sudah pasti saya kenal awak. Walaupun kita bukan kawan baik tapi saya kenal awak sejak kecil. Awak selalu berkunjung ke kampung saya semata-mata hendak melihat keindahannya. Awak pun selalu bercerita dengan budak-budak sana. Mesti awak tidak perasan yang saya juga selalu dengar cerita awak. Cerita awak semuanya mengenai putera," beritahu Uyana. Giliran Elika pula terdiam.

"Kenapa Elika? Ada yang mengganggu awak?" soal Uyana. Elika menggeleng sambil tersenyum hambar.

"Kalau macam itu saya pergi dulu. Nanti kalau awak perlu seseorang untuk bercerita, awak boleh cari saya. Selamat malam," ucap Uyana sebelum berlalu meninggalkan gadis itu. Elika mengeluh berat sebelum melangkah semula.

*****


"Apa?!" Elika pantas menutup mulut Gloria.

"Kau jangan bising sangat," katanya sambil memandang sekeliling. Risau dia jika ada yang mendengar jeritan gadis itu.

"Sorry. Aku cuma terkejut. So, nenek tu tahu cara kita nak balik?" soal Gloria dengan perasaan berdebar.

"Dia tak sempat jawab soalan aku sebab Daus datang jumpa aku. Tapi nenek tu dah janji nak jumpa aku esok," jawab Elika dengan senyuman lebar. Gloria ikut tersenyum. Dia pantas memeluk Elika.

"Syukur kita dapat kembali. Terima kasih Elika. Aku sangat gembira," ucapnya dengan perasaan sebak. Elika membalas pelukan gadis itu.

"Tapi sebelum tu, aku ada soalan. Nenek tu, maksud aku nenda putera tu tak kisah ke kau panggil dia nenek? Lagi satu, ujian kau macam mana? Soalan terakhir, sejak bila kau panggil putera tu dengan nama singkatan?" soal Gloria bertalu. Elika tergelak besar.

"Aku serius," balas Gloria dengan kening berkerut.

"Nenek tu tak kisah. Aku pun takut juga. Rasa bersalah panggil nenek sebab nenek tu nampak masih muda. Tapi aku dah tak tahu nak panggil apa. Pasal ujian, aku rasa nenek tu tak bagi kot. Buat apa aku nak ujian lagi. Kita dah nak balik lah," balas Elika dengan senyuman. Gloria menepuk dahinya.

"Ya tak ya juga," katanya.

"Kau ni tak nak balik?" usik Elika.

"Mana ada. So, pasal putera? Maksud aku panggilan tu?" soalnya dengan senyuman nakal.

"Aku dah buat keputusan. Aku akan berkawan baik dengan Daus sebelum balik. Lagipun tak salah kan? Lepas ni kita dah nak balik," balas Elika. Gloria berdehem perlahan.

"Baik kalau kau dah buat keputusan. Tapi ingat, jangan pula kau jatuh sayang dengan putera tu. Kita tak mungkin akan kembali kat sini semula Elika. Ni bukan tempat kita," dia mengingatkan. Elika hanya tersenyum mendengar kata-kata gadis itu.

Aku juga harap macam tu Gloria.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.