Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
59,686
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 9


Elika memandang Uyana dan Nana silih berganti.

“Elika, saya gembira bertemu kamu dalam ujian terakhir ini,” kata Uyana ikhlas dengan senyuman lebar. Elika menarik lengan gadis itu untuk menjauh daripada Nana. Nana hanya mendengus geram melihat telatah kedua-dua gadis itu.

“Uyana, awak mesti menang. Saya akan bantu awak menang dalam ujian ni. Saya janji,” kata Elika dengan riak wajah yang serius.

“Tapi kenapa?” tanya Uyana agak hairan.

“Sebab awak layak. Saya tak yakin dengan Nana tu. Biasanya kalau dalam drama tv, bila watak jahat kahwin dengan anak raja akan huru hara jadinya,” Elika memberi alasan.

“Tv?” soal Uyana dengan kening berkerut. Elika menggaru kepalanya. Memang sejak dia sampai di tempat itu, tidak pernah dia melihat televisyen. Dia pernah bertanya hal tersebut dengan ayahnya namun orang tua itu turut menunjukkan reaksi terkejut.

“Saya sebenarnya tidak menjangka akan sampai hingga tahap ini. Biar saya jujur dengan kamu. Saya bertungkus lumus mahu menyertai pertandingan ini bukan lah semata-mata sebab mahu berkahwin dengan putera,” beritahu Uyana kini dengan riak wajah yang serius. Elika terkejut mendengar pengakuan jujur gadis itu.

“Tapi sebab apa?” soalnya ingin tahu. Uyana tersenyum sambil menepuk bahunya.

“Kalah atau menang saya akan beritahu kamu bila sudah tiba masanya. Elika, saya suka jika kamu yang jadi puteri negara ini. Kamu dan putera memang sepadan sejak kecil lagi,” katanya.

“Awak kenal saya ke? Maksud saya, awak...,”

“Sila ikut pengawal yang bertugas,” arah Varna yang datang tiba-tiba. Elika mengeluh perlahan.

“Jumpa lagi,” kata Uyana sebelum berlalu. Elika hanya mengangguk dengan senyuman hambar.

                                *****

Firdaus memandang agak lama perigi yang ada di hadapannya. Dalam negaranya, hanya itu satu-satunya perigi yang tinggal. Pada mulanya dia tidak faham mengapa semua perigi yang ada di negara itu telah dimusnahkan 10 tahun yang lalu. Namun setelah mendengar cerita neneknya, dia keliru dan jujur tidak percaya. Firdaus mengeluh perlahan.

“Buat apa seorang saja di sini?” soal Pamela yang sedang berjalan menghampiri. Firdaus hanya tersenyum melihat bondanya itu.

“Ibu, sudah jumpa dengannya?” soal Firdaus pula. Pamela tersenyum. Melihat saja dari riak wajah lelaki itu sudah jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang sudah menang dalam pertandingan itu.

“Ibu cuma lihat dari jauh. Sekarang Elika dengan nenek,” beritahunya sambil memandang perigi di hadapan mereka. Firdaus mengangguk faham. Dia lega kerana neneknya memilih Elika.

“Ibu, pasal perigi ini. Ibu percaya?” soalnya perlahan. Sudah bertahun lamanya dia menyimpan soalan itu. Dia bukannya tidak mahu bertanya. Memang seisi keluarganya dilarang untuk bertanyakan soalan tersebut.

“Apa kamu sudah lupa? Tidak sepatutnya soalan itu keluar dari mulut kamu,” Pamela mengingatkan. Firdaus diam tahu akan kesilapannya. Namun soalan Elika masih terngiang di telinganya.

“Elika ada tanya pasal perigj dalam negara ini,” katanya.

“Semua orang memang mahu tahu pasal sejarah perigi ini. Ibu harap kamu nasihatkan Elika supaya tidak bertanya soalan itu lagi. Jika ayah kamu dengar, ibu tidak mampu tolong kamu,” nasihat Pamela sebelum berlalu. Firdaus hanya memandang langkah wanita itu berlalu. Dia mengeluh perlahan.

                                  *****

Waheda hanya tersenyum memandang gadis di hadapannya itu. Elika membalas ragu-ragu.

“Nama?” tanya Waheda.

“Elika. Ne...nek tak tahu?” soal Elika agak takut. Mustahil Varna tidak memberitahu wanita itu mengenai dirinya. Senyuman Waheda menghilang perlahan saat mendengar soalan gadis itu. Elika mula berdebar.

Aku salah tanya ke?

“Tak, nenek saja nak usik Elika” jawab Waheda mula tersenyum semula. Elika menarik nafas lega.

“Nek, saya nak tanya boleh?” soalnya semula dengan perasaan berdebar. Waheda menggelengkan kepalanya.

“Elika simpan dulu soalan tu. Kita buat ujian dulu. Jom ikut nenek,” ajaknya sambil melangkah ke arah taman miliknya. Elika menggigit bibir. Dia menurut dengan berat hati. Elika tergamam sebaik sahaja dia melangkah masuk dalam kawasan taman milik wanita itu.

“Cantiknya,” pujinya tanpa sedar. Senyumannya lebar memandang sekeliling. Pelbagai jenis bunga yang berwarna-warni menghiasi taman tersebut. Waheda hanya tersenyum melihat telatah gadis itu.

“Duduk sini Elika,” ajaknya. Elika menurut. Dia menarik kerusi di sebelah wanita itu.

“Umur berapa?” soal Waheda sambil menatap wajah gadis itu. Elika agak terkejut mendengar soalan tersebut. Inikah ujian yang dimaksudkan oleh wanita itu?

“26,” jawab Elika dengan nada perlahan. Waheda mengangguk.

“Muda lagi. Kenapa nak kahwin dengan putera?” soalnya lagi. Elika terdiam sejenak mendengar soalan tersebut.

“Sebenarnya saya tak nak,” jawabnya jujur sambil membalas pandangan Waheda. Dia takut jika orang tua itu mengamuk dengan jawapannya. Namun Elika lega apabila melihat wajah tenang Waheda.

“Saya tak nak kahwin dengan putera. Kalau nenek nak tahu, saya dah banyak kali gagal ujian sebelum ni. Tapi putera tu tetap nak saya datang ujian seterusnya. Sampai lah tahap ni. Memang tak adil pada peserta lain,” sambung Elika separuh merungut. Tiba-tiba Waheda tergelak kecil. Berkerut kening Elika melihat reaksi wanita itu.

“Nenek suka dengan Elika. Jujur dan baik hati,” kata Waheda ikhlas.

“Firdaus tu tak ada kawan. Sejak kecil abangnya asyik merantau tinggalkan dia seorang. Selain sibuk belajar untuk persediaan menggantikan ayahandanya, Firdaus juga akan menyibukkan diri dengan bersukan. Aktiviti selebihnya dia hanya akan berkurung dalam bilik. Dia kurang bercampur dengan orang jika bukan majlis diraja,” sambung Waheda. Elika hanya diam mendengar cerita wanita itu.

“Nenek percaya kalau Elika boleh jadi kawan baik yang boleh bahagiakan cucu nenek,” kata Waheda lagi sambil menyentuh jemari gadis itu. Elika terkedu.

“Nek, saya...,”

“Elika, nenek pun dah mula sayang kamu. Tapi masih belum terlambat untuk kamu kembali,” pintas Waheda kini dengan riak wajah yang serius. Elika terkedu.

“Ma...,maksud nenek?” soalnya dengan suara tersekat. Waheda tersenyum hambar.

“Nenek tahu kamu bukan asal sini,” balasnya. Elika seperti hendak menangis. Dia pantas memeluk wanita itu.

“Saya dah putus harapan. Saya tak tahu macam mana sampai kat sini. Sebenarnya saya masih kebingungan. Apa yang pasti, ni bukan tempat saya,” kata Elika dengan suara serak. Dia tidak sedar bila air matanya mula mengalir. Dia terlalu gembira kerana sudah nampak jalan keluar dari tempat itu. Waheda membalas pelukan gadis itu dengan senyuman hambar.

“Maaf menganggu, tapi putera ada di luar,” beritahu seorang dayang yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Elika melepaskan pelukannya sambil memandang Waheda.

“Tak apa. Elika jumpa putera dahulu. Lepas ni nenek akan jumpa Elika lagi,” katanya separuh menyuruh.

“Janji?” soal Elika. Waheda mengangguk sambil menyapu air mata gadis itu. Elika tersenyum sebelum berlalu.

                                   *****

Agak lama Firdaus merenung wajah gadis itu. Mata Elika yang masih merah menarik perhatiannya.

“Kamu nangis?” soalnya dengan riak wajah yang serius.

“Bukan urusan awak,” kata Elika tanpa memandang lelaki itu. Firdaus menarik nafas perlahan.

“Maafkan saya,” ucapnya perlahan. Elika mula membalas pandangan lelaki itu.

“Saya sudah paksa kamu,” kata Firdaus dengan perasaan bersalah. Elika tersenyum sinis.

Tahu pula salah.

Dia mendengus perlahan. Teringat semula perbualannya dengan Waheda sebentar tadi. Wanita itu sudah tahu siapa dirinya. Mesti wanita itu juga tahu jalan untuk kembali. Mungkin esok atau lusa dia pasti akan kembali semula ke dunianya. Memang tidak patut dia bermasam muka lagi dengan lelaki itu. Lagipun dia sebenarnya agak simpati selepas tahu yang Firdaus tidak pernah ada kawan sebelum ini. Jadi Elika yang wujud di dunia ini siapa sebenarnya di hati lelaki itu? Firdaus berdehem agak kuat cuba mengejutkan gadis itu dari lamunannya.

“Ingat siapa?” soalnya dengan kening terangkat. Elika mula tersenyum. Firdaus terkesima sejenak melihat senyuman gadis itu. Ini merupakan kali pertama dia melihat gadis itu tersenyum ikhlas padanya. Selama ini hanya jelingan tajam yang dia dapat daripada gadis itu.

“Jom, awak nak buat apa hari ni? Saya boleh temankan awak,” kata Elika separuh mengajak. Firdaus agak ragu-ragu dengan ajakan gadis itu. Wajahnya jelas berkerut. Elika menghulurkan tangannya.

“Mungkin awak dah tahu nama saya. Tapi saya tetap nak perkenalkan diri sekali lagi dengan awak. Saya Elika Farhana. Salam kenal,” katanya dengan senyuman lebar. Firdaus memandang huluran tangan gadis itu. Tiba-tiba perasaan sebak menyelubungi diri.

“Hei Firdaus, mula hari ni kita kawan. Awak dan saya kawan baik,” sambung Elika apabila melihat lelaki itu hanya terpaku memandang tangannya. Firdaus mula tersenyum. Dia menyambut huluran tangan gadis itu.

“Firdaus. Panggil saya Daus. Mula saat ini, saya dan kamu kawan baik,” balasnya. Elika tersenyum mengangguk. Firdaus menarik gadis itu dalam pelukannya. Elika tergamam. Terasa belakang badannya ditepuk lembut oleh lelaki itu.

“Kawan baik harus sentiasa bersama,” kata Firdaus dengan nada perlahan namun masih jelas di telinga Elika.

                                    *****

“A...,pa?!” Elika pantas menutup mulut Gloria.

“Kau jangan bising sangat,” katanya sambil memandang sekeliling. Risau dia jika ada yang  mendengar jeritan gadis itu.

“Sorry. Aku cuma terkejut. So, nenek tu tahu cara kita nak balik?” soal Gloria dengan perasaan berdebar.

“Tak sempat aku nak tanya. Daus datang jumpa aku. Tapi nenek tu dah janji nak jumpa aku esok,” jawab Elika dengan senyuman lebar. Gloria ikut tersenyum . Dia pantas memeluk Elika.

“Syukur kita dapat kembali. Terima kasih Elika. Aku sangat gembira,” ucapnya dengan perasaan sebak. Elika membalas pelukan gadis itu erat.

“Tapi sebelum tu, aku ada soalan. Nenek tu..., maksud aku nenda putera tu tak kisah ke kau panggil dia nenek? Lagi satu, ujian kau macam mana? Soalan terakhir, sejak bila kau panggil putera tu dengan nama singkatan?” soal Gloria bertalu. Elika tergelak besar.

“Aku serius lah,” balas Gloria dengan kening berkerut.

“Nenek tu tak kisah. Aku pun takut juga. Rasa bersalah panggil nenek sebab nenek tu nampak masih muda. Tapi aku dah tak tahu nak panggil apa. Pasal ujian, aku rasa nenek tu tak bagi kot. Buat apa aku nak ujian lagi. Kita dah nak balik lah,” balas Elika dengan senyuman. Gloria menepuk dahinya.

“Ya tak ya juga,” katanya.

“Kau ni tak nak balik ke?” usik Elika.

“Ishh, tak lah. So, pasal putera? Maksud aku panggilan tu?” soalnya dengan senyuman nakal.

“Aku dah buat keputusan. Aku akan berkawan baik dengan Daus sebelum balik. Lagipun tak salah kan? Lepas ni kita dah nak balik. Aku dengar, sejak kecil Daus selalu sendiri. Aku tak dapat bayangkan macam mana Daus lalui hari-harinya tanpa someone yang dia boleh kongsikan something,” balas Elika. Gloria berdehem perlahan.

“Baik lah kalau kau dah buat keputusan. Tapi ingat, jangan pula kau jatuh sayang dengan putera tu. Kita tak mungkin akan kembali kat sini semula Elika. Ni bukan tempat kita,” dia mengingatkan. Elika hanya tersenyum mendengar kata-kata gadis itu. Dalam diam dia mengeluh perlahan.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.