Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 30

Chisato merenung wajah Ryouji lama, seraya mengalirkan air mata. "Baka! (bodoh!)" dia menjerit lalu meninggalkan Ryouji, berlari menuju ke hutan buluh sambil menekup mata dengan lengannya, sambung tangis di sana.


Maafkan aku Chisato! Hontou ni!


Mendengarkan jeritan Chisato itu, seorang demi seorang mula berkumpul di teratak kerikil. Hisamiko sedang duduk di taman bonsai dan tidak berganjak sedikitpun, merenung Ryouji dari jauh. Ryouji memandangnya. Namun Hisamiko pantas memalingkan mukanya sambil mendengus ‘huh!’ penuh meluat, merajuk nampaknya. Aku akan memujuknya nanti, bilang Ryouji. Namun bagaimana harus aku memujuk Hisamiko yang sudah berusia sebelas tahun itu? Dia bukan lagi budak kecil, mungkin lebih sukar.


Tsuneki yang mula-mula keluar dari rumah lalu memeluk Ryouji. "Ryouji engkau ke mana? Mengapa engkau tidak memberitahuku?"


"Maafkan aku Tsuneki. Nanti kita berbual panjang di bilik, ne?" Ryouji membuat janji dengan Tsuneki.

 

Shinji pula tercegat seperti batu sambil menyilang lengannya. 


"Panjang umurmu Ryouji. Bagaimana kakimu?" mata Shinji pantas menangkap luka berbalut di kaki Ryouji.


"Hanya luka kecil."


"Ditembak? Atau dihiris?"

"Nanti aku kisahkan."

 

Azusa mengintai dari dataran luas. Dalam hatinya menjerit ‘baka’ juga, namun masih ada buih-buih kegembiraan. Aku sudah dapat meneruskan hidupku sehari-hari seperti biasa, hanya dengan melihatmu Ryouji!

 

Ryouji datang berjumpa Takasaki di pejabat.

 

“Takasaki-san, maafkan aku. Aku terlalu mengikut emosi. Adakah engkau masih marah denganku?”

 

“Aku masih marah. Amat! Ryouji, ke sini sedikit muka engkau. Mari!” Takasaki meminta Ryouji menyuakan mukanya sedikit. Mereka sedang duduk bersila di dalam pejabat, sambil dipisahkan sebuah meja. Takasaki mahu menampar mukanya menggunakan kedua-dua belah tangan seperti memukul gendang taiko.

 

Dia mengangkat tangannya. Ryouji bersedia menerima hukuman, seraya menadah muka dan memejamkan matanya. Dia sedar kesalahannya. Hukuman sebegini lebih baik dari seppuku.

 

“Pap!” kedua-dua tangan Takasaki itu hinggap di bahu Ryouji. Dia memandang Ryouji tepat ke dalam anak matanya. Air matanya mengalir menuruni wajah tua yang hanya berkedut sedikit.

 

“Bodoh engkau Ryouji. Aku amat risaukan engkau!”

 

Ryouji tersentak melihatkan Takasaki. Pertama kali dia melihat Takasaki menangis. Patutlah dia mahu berjumpa aku di dalam pejabat sahaja!

 

Setelah keadaan kembali reda, Ryouji memulakan bicara tentang kejadian di Furukawa.

 

“Sonzaemon mengaku dia terlibat membunuh bapaku. Motifnya dengki. Namun aku tidak membunuhnya meskipun aku mampu. Aku hanya mahu dia meminta maaf dan menyedari kesalahannya.”

 

Aku sudah agak, getus Takasaki di dalam hati. Disebabkan itu aku amat mempercayaimu Ryouji. Aku tahu benar engkau tidak akan melakukannya. Aku mempercayai pertimbanganmu.

 

“Takasaki, aku mahu siasat Hamada lebih lanjut. Kesemua perniagaan keluarga Yoshitsugu. Mereka sebuah keluarga yang amat membingungkan. Mengelirukan. Bahkan jaringan orang-orang mereka di mana-mana.”

 

“Mengapa Ryouji? Adakah kerana didorong oleh kematian bapamu?”

 

“Ia salah satu sebab. Namun aku dapati sejak menghuni di sini, ramai di antara kami menjadi mangsa mereka. Ogasawara, Kobato, Tsuneki, dan juga kami Okuhida. Bahkan bukan setakat mereka, orang-orang di kampung Tsuneki juga menjadi mangsa taun. Aku juga mendengar berapa banyak rumah petani di wilayah Shinagawa dibakar atau mereka dihalau kerana tidak menjelaskan cukai kepada Hamada.”

 

Takasaki terpegun mendengarnya sendiri dari Ryouji. Dia peduli! Dia pedulikan penghuni lain! Aku sengaja meletakkan kesemua hasil siasatanku di dalam perpustakaan itu, yang semuanya disalin dari naskhah asal di Shirasaka-no-Kogen. Dan Ryouji penghuni pertama yang menyuarakan kebimbangannya.

 

“Ryouji, apakah engkau ingin melakukan perubahan?”

 

“Aku tidak pasti lagi, Takasaki. Tetapi bukankah apa yang dilakukan keluarga Yoshitsugu itu salah? Aku tidak faham bagaimana mereka masih dibenarkan melakukan kegiatan mereka tanpa ada undang-undang yang menyiasatnya. Bukankah baru-baru ini Hamada dan anaknya Hagiura dikekalkan sebagai gabenor di wilayah masing-masing? Aku bingung bagaimana mereka masih dikekalkan kuasa masing-masing.” Ryouji memberitahu khabar yang diterima dari Shinji. Takasaki tidak terkejut. Shinji sebenarnya mendapatkan maklumat itu darinya. 

 

“Benar. Kerana mereka bukan lagi daimyo dan hanya gabenor, mereka kini tidak lagi memiliki tanah-tanah di Shinagawa dan Yozehama. Maka para petani sudah sepatutnya boleh menarik nafas lega kerana tiada lagi pemaksaan cukai ke atas mereka. Malah, tanah-tanah di Shinagawa dan Yozehama juga telah disempadankan semula bagi mengurangkan pengaruh mereka. Mereka berdua kini hanya menerima gaji dari istana sebagai sumber pendapatan.”

 

“Namun apa yang ditakuti sekarang ialah, meski kuasa mereka dihadkan dan hanya memakan gaji, bekas-bekas samurai mereka masih berada di segenap pelusuk wilayah-wilayah tersebut, memerhati masyarakat dan memeras ugut mereka agar menjelaskan ufti senyap-senyap tanpa diketahui istana. Para petani ini pula tidak berani mengadu kerana bimbang nyawa mereka diancam. Mereka perlu hidup. Sesetengah dari  mereka menjaga tanggungan yang ramai dan sukar melarikan diri. Maka, keadaan tidak banyak berubah berbanding sebelum ini. Kecuali jika istana memindahkan Hamada dan Hagiura ke Kyushu, seperti yang telah dilakukan kepada Taishii Kimura.” Takasaki menerangkan panjang lebar keadaan semasa kepada Ryouji. Dia merasakan sudah tiba masanya menyerap masuk Ryouji ke dalam pasukan penyiasat pertubuhannya.

 

“Namun jenayah-jenayah lepas yang mereka telah lakukan atau terlibat tidak boleh semudah itu ditutup."

 

“Maka apa strategi engkau dan pertubuhanmu, Takasaki-san?”

 

“Hamada adalah penguasa. Dia melakukan jenayah seperti pembunuhan, pembakaran dan sebagainya adalah dengan menggunakan boneka-bonekanya, iaitu samurai-samurainya yang setia. Mencari bukti jenayah hanya membawa kita kepada bonekanya, bukannya dia. Seperti dalam kes engkau, bukti itu hanya membawamu kepada Sonzaemon. Tidak menuding kepada Hamada. Dan...”

 

“Dan?” Ryouji tidak sabar.

 

Takasaki hampir menceritakan kisah Kobato, dan dia sempat menahan dirinya. Dia adalah boneka Hamada dahulu, dan kata-katanya itu dirasakan sungguh memilukan hatinya, atas apa yang telah dilakukan terhadap Kobato. Dia cuba menahan sakit di jiwa, dan menyambung penerangannya.

 

“Tidak ada apa-apa. Jika engkau mengumpul segala bukti yang engkau ada sekalipun, kebarangkalian untuk berjaya mempersalahkan Hamada di atas jenayahnya amat tipis. Strategi kami di Kogen ialah dengan melobi Maharaja, agar Hamada keluar dari kepompongnya.”

 

Takasaki menelan air liur, kemudian menyambung.

 

“Kekuatan penguasa adalah orang bawahannya. Untuk mengeluarkan penguasa, kita melemahkan orang bawahannya. Dorongan orang bawahan Hamada, iaitu pada masa ini bekas-bekas samurainya, ialah wang.”

 

“Dengan melobi Maharaja, kami mendapat kepercayaan baginda, dan dengan kepercayaan, baginda akan mula mendengar kami. Pada masa itulah kami akan membongkarkan kepada baginda aduan petani dan nelayan yang diugut menjelaskan wang perlindungan atau ufti oleh bekas-bekas samurai Hamada yang masih setia dengannya.”

 

“Kami jangkakan dari aduan itu, Maharaja akan menyiasat dan menekan Hamada bagi mendapatkan sokongan orang kampung yang teraniaya dan juga bagi mengukuhkan Pembaharuannya. Hamada akan mengurangkan aktiviti-aktiviti pungutan ufti, sawah demi sawah, dan kampung demi kampung. Dengan itu, pendapatannya berkurang dan dia akan mula culas membayar bekas-bekas samurainya. Tanpa bayaran, bekas-bekas samurai ini akan meninggalkan Hamada. Tanpa mereka, petani dan nelayan tidak akan diugut lagi bahkan mereka akan lebih berani melawan Hamada yang semakin kurang pengugut. Ketika ini kami akan membantu golongan petani dan nelayan ini, dan jika perlu, melatih mereka bertarung dan membekalkan senjata.”

 

“Semakin kurang orang bawahannya, semakin kuranglah kuasa Hamada. Dia akan keluar akhirnya dari ‘istana’ persembunyiannya dan melarikan diri. Pada ketika itu, kami akan mengejar dan menangkapnya dan membawa dia ke Tokyo di hadapan Maharaja untuk diadili.”

 

“Semudah itu? Mengapa Kogen tidak melakukan sejak dahulu lagi?”

 

“Sistem sudah berubah, Ryouji. Dahulu, Hamada adalah daimyo. Dia ada hak mengutip cukai dari petani. Sekarang, perbuatan itu dikira jenayah oleh Maharaja dan Hamada hanya berhak ke atas gajinya sahaja, tidak lebih dari itu. Kami menggunakan sistem baru ini sebagai alat bagi mendakwa Hamada. Itulah gunanya Pembaharuan. Membaharui sistem yang menindas, yang digunakan oleh sebahagian daimyo untuk mengambil kesempatan di atas kesusahan para petani.”

 

“Maksudku, mengapa kita kekal dalam sistem sebegini berkurun lamanya? Mengapa baru sekarang Pembaharuan itu berlaku?”

 

“Telah ada beberapa pembaharuan yang berlaku dalam masa seribu tahun lepas. Namun ia tidak lebih dari pemulangan kuasa kepada Maharaja, atau penyatuan wilayah kepada seorang daimyo tunggal yang digelar shogun. Kuasa bertukar tangan dari Maharaja ke shogun, kembali ke Maharaja, kembali ke shogun, kemudian ke shogun yang lebih berpengaruh, dan yang terbaru, kembali kepada Maharaja. Hanya yang terakhir itu, yang kulihat bakal membawa perubahan besar kepada masyarakat kita.”

 

“Jelaskan mengapa Takasaki-san. Mengapa engkau berfikir begitu?”

 

“Pembaharuan yang terakhir itu menghapuskan sama sekali sistem samurai. Bererti cara hidup kita yang sudah sebati berkurun lamanya di tanah Yamato ini akan berubah. Tiada lagi samurai yang berkuasa. Kita semua sama. Hanya yang berusaha keras akan mendapat ganjaran setimpal. Hanya yang benar-benar berbakat dalam kepimpinan dan seni pertarungan akan diterima memasuki pasukan keselamatan dan tentera. Sesiapapun kini boleh menjadi seperti ‘samurai’, maksudku seorang yang tahu bertarung, asalkan dia berusaha dan memiliki bakat. Dan yang paling penting, hanya Maharaja dan kerajaannya yang berhak memungut cukai. Selain dari itu, mereka tidak layak dan akan diperangi.”

 

Ryouji khusyuk mendengar kuliah Takasaki. Takasaki terlihat bayang-bayang Shinji sedang duduk di pintu gelangsar di luar. Takasaki tidak kisah, dia melastik dua burung dalam satu lastikan. Dia juga mahu Shinji mengetahuinya. Bahkan aku sendiri akan memanggilnya kelak dan menerangkan kembali apa yang tidak dia fahami. 

 

Maka, untuk memerangkap dan membawa keluar Hamada dan keluarganya, aku perlu menyertai Kogen, fikir Ryouji.


Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov