Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 27

Esoknya dia keluar menuju lebuh Nakasendo. Ketika melintasi simpang di Nagano, dia teringat kembali pedagang yang bernama Tokizawa itu, yang pernah menawarkan pekerjaan sebagai pengawal mereka. Dia menggeledah sakunya, lencana dagang itu ditinggalkan di rumah.

 

Dia bersembunyi di sebalik sebatang pokok matsu di atas bukit, memerhati sebuah kawasan yang menjadi kawasan panas serangan perompak-perompak tersebut.

 

Tidak lama kemudian, datang sebuah kereta kuda membawa tamahaganeTamahagane berharga mahal melihatkan proses penghasilannya yang rumit dan hanya berjaya mengeluarkan dua persepuluh dari kuantiti bijih yang diproses. Disebabkan itu, ia menjadi sasaran utama perompak, selain dari sutera.

 

Lima orang berpakaian ninja berwarna hitam dan menutup muka, keluar mengacukan pedang dari bawah bukit di seberang laluan Nakasendo itu. Mereka menahan dan mengepung kereta itu dan bercakap-cakap dengan pengendera kereta kuda. Pengendera kereta kuda itu gugup. Kemudian pengawal di kiri dan kanannya mula mengeluarkan katana masing-masing. Mereka bertarung.

 

Kobato keluar dari persembunyian dan campur tangan. Mereka berjaya menumpaskan kelima-lima perompak. Kobato mengarahkan para pedagang dan pengawal itu meneruskan perjalanan sedang empat orang perompak terbaring kesakitan.

 

Omae wa dare daKeisatsu ka?! (Engkau siapa? Poliskah?)” Salah seorang dari mereka bertanya Kobato.

 

“Di mana ketuamu melarikan diri?”

 

Belum sempat soalan Kobato berjawab, tiba-tiba sebilah kunai melayang ke arahnya. Kobato sempat mengelak, kunai itu mencacak ke batang pokok matsu di hadapannya.

 

Kobato mengejar pelempar kunai itu, dan berjaya menangkapnya. Dia menindih pelempar kunai itu menggunakan badannya dan menarik kain yang menutupi wajahnya.

 

Kobato tersentak. Dia mengenali wajah lelaki di hadapan matanya itu.

 

“Engkau lelaki yang menyelamatkan aku malam kebakaran itu. Engkau Atsushi, bukan?!”

 

**

 

1854, musim luruh.


Pada ketika ini, Takasaki sudah menyertai Kogen senyap-senyap meskipun masih berkhidmat kepada Hamada. Miura telah meletak jawatan dua tahun sebelumnya, setelah sekian lama menyertai Kogen secara sembunyi. 


Takasaki berharap ini adalah misi terakhirnya dengan Hamada. Dia merasakan sudah cukuplah semua dosa-dosanya. Sekiranya ada anak kecil terlibat, aku akan menyelamatkannya dan menjaganya. 

 

“Bagaimana?” Takasaki bertanya kelangsungan rancangan mereka malam itu kepada Tsugiyama dan pembantunya Tatsuya.

 

“Mudah. Angin kuat telah memarakkan api. Sebelum pagi, semua penghuninya akan tinggal abu, seperti arahan Hamada-sama.” Tsugiyama menjawab tanpa perasaan, rakannya Tatsuya mengangguk sahaja. Modus operandi pasukan Tsugiyama dalam membakar rumah sasaran ialah dengan menyimbah bahan bakar di sekeliling rumah dan kemudian mencampakkan punca apinya, seperti kayu bernyala. Mereka tidak akan memecah masuk rumah sasaran. Maka, ada kebarangkalian penghuni rumah sasaran akan terselamat dari perbuatan mereka, sekiranya mereka sempat melarikan diri. Kelemahan modus operandi ini akan dimanfaatkan Takasaki bagi menyelamatkan anak kecil sekiranya ada di dalam rumah itu.

 

“Kalian boleh beredar dahulu. Tinggalkan kami berdua di sini. Aku akan mengejar kalian kemudian.”

 

“Baik, Takasaki-san.” Mereka beredar.


Setelah jauh dari Takasaki, Tatsuya bertanya kepada Tsugiyama.


"Tsugiyama-san..."


"Aku tahu. Aku tidak akan memberitahu Hamada-sama. Engkau pun tutup mulutmu."


"Baik Tsugiyama-san."


Aneh, Tsugiyama seorang yang sadis, namun malam ini dia bersimpati pula dengan anak kecil itu. Aku hairan dengan tingkah lakunya. Tsugiyama, sihatkah mentalmu? Apa peribadi sebenarmu Tsugiyama? Aku hairan, kerana aku melihat dua peribadi dalam satu jasad di hadapanku ini. Seringkali, dua peribadi itu saling bertingkah merebut hati yang rapuh. Tatsuya menggumam sendirian di dalam hati. 

 

Jauh di belakang mereka, Takasaki mengalih pandangan kepada seorang lagi rakan samurainya yang bernama Atsushi, yang sejak tadi duduk di atas kudanya mendiamkan diri.

 

“Atsushi, lekas!”

 

“Baik Takasaki-san!”

 

Atsushi kembali ke tempat kebakaran. Dia harus lekas, jika tidak budak kecil di dalam rumah itu juga akan mati. 


Takasaki perlu berlakon di hadapan Tsugiyama pembantunya itu, jika tidak, dia pasti akan melaporkan kepada Hamada dan Hamada pasti akan memecatnya kerana tidak melaksanakan perintahnya dengan betul, iaitu membunuh ketiga-tiga ahli keluarga petani yang menggunakan nama keluarga ‘Kozue’ itu.

 

Dia hanya percayakan Atsushi untuk tugasan begini.

 

Takasaki sedang berjudi dengan masa. Antara lakonan bagi mengekalkan jawatannya, atau nyawa budak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu, dia harus memilih. Namun dia memilih yang ketiga, iaitu kedua-duanya. Maka dia harus berjudi dengan masa.

 

Setibanya di depan rumah yang sedang marak dijilat api, Atsushi melihat kanak-kanak dalam usia tiga tahun itu masih menangis di sisi bapa dan ibunya yang mati dihempap kayu. Dia tidak berganjak sedikitpun. Atsushi menarik kesemuanya keluar, termasuk budak itu, berulang-alik meredah api yang marak.

 

Dia meletakkan mayat ibu dan bapa budak itu di tepi batas bendang, kemudian membawa budak itu menaiki kuda ke sebuah rumah. Dia memujuk budak itu dan menerangkan dia datang untuk menyelamatkannya. Mayat ibu bapanya akan dibakar di tempat lain. Budak itu mulai berhenti menangis dan tertidur.

 

Atsushi sampai di sebuah rumah di dekat kota Kawamoto setelah melalui jalan yang terpisah dari jalan yang dilalui Takasaki, Tsugiyama dan Tatsuya.

 

“Mariko-san.

 

“Terima kasih Atsushi.”

 

Budak kecil itu adalah Kozue Kobato, berumur tiga tahun.

 

** 

 

“Kobato, lepaskan aku, ne? Aku terpaksa melakukan perkara ini untuk mencari makan. Hamada telah memecatku.”

 

“Sejak bila engkau berkhidmat kepada Hamada? Adakah sejak sebelum malam itu?”

 

Atsushi mendiamkan diri, lama. Kobato menengkingnya.

 

“Jawab soalanku Atsushi! Atau aku penggal lehermu dengan pisau ini!” Kobato mengambil pisau dari pinggangnya dan meletakkan di leher Atsushi.

 

“Benar.”

 

“Maka engkau yang membakar rumahku bukan? Dan kemudian berpura-pura menyelamatkanku!” Kobato menumbuk Atsushi.

 

Tumbukan bertubi-tubi itu mematahkan beberapa biji gigi. Hidung Atsushi berdarah-darah.

 

Gomen, Kobato. Aku hanya mengikut arahan.”

 

“Atas arahan siapa?”

 

“Ia atas arahan...” Atsushi tidak sampai hati memberitahu perkara sebenar. Kobato dijaga oleh Takasaki sejak kecil.

 

“Atas arahan siapa?! Jangan kau paksa aku ulangi soalanku!”

 

Kobato merenung Atsushi. Atsushi kelihatan menahan untuk menyebut bunyi ‘ta’. Seolah-olah nama itu terlekat di giginya.

 

Kobato seperti sudah dapat mengagak siapa gerangannya, melihatkan wajah Atsushi dan juga dakwaan Tsugiyama dahulu ke atas Takasaki.

 

“Ta...kasaki-san, maksudmu?” Kobato cuba mengagak, menyebut nama itu perlahan-lahan.

 

“Ya.” Atsushi membenarkan.

 

Kobato menerima kejutan besar.

 

“Mengapa Takasaki, Atsushi? Mengapa dia?”

 

“Dia ketua samurai di bawah Hamada. Dia menyelamatkan engkau kerana tidak sampai hati melihat anak kecil yang tidak berdosa dibunuh Hamada. Maafkan dia, Kobato.”

 

Kobato teringat surat yang diberikan Saki yang dibacanya setelah pulang dari Shimagane. Kata-kata Atsushi berpadanan dengan penemuan Saki bahawa Takasaki adalah ketua samurai di bawah Hamada dan dia meletak jawatan beberapa bulan selepas kebakaran itu. Juga benar, aku tinggal dengannya beberapa bulan sebelum kami berpindah ke Hidagawa.

 

Kobato berjalan longlai meninggalkan tempat itu dalam keadaan keliru.

 

“Jangan engkau apa-apakah lagi penghantar tamahagane atau aku bunuh kalian tanpa soal.” Dalam lemah dan nada mendatar dia masih sempat memberi amaran kepada Atsushi.

 

“Takasaki mendidik budak ini dengan baik. Kemahiran kaminari-no-kaze-nya boleh dipuji.” Atsushi mengulas dalam hati, tidak mengetahui bahawa yang banyak mengajar Kobato ialah Ryouji.

 

Malam itu dia duduk termenung di bawah pohon momiji yang sudah berdaun, di belakang kuil Shizen. Dia cuba menghadam maklumat-maklumat mengejutkan yang diterima pada hari itu.

 

Malam itu juga dia kembali ke kedai pedang Mitsuhide senyap-senyap untuk mengambil pemberian Saki dan Kurobato, serta meninggalkan surat kepada Mitsuhide.

 

Dia telah memutus untuk meninggalkan kedai pedang itu.

 

**

 

Musim panas, 1858 (Kobato berumur tujuh tahun, dan tinggal di rumah perlindungan Takasaki)

 

“Kobato! Kobato! Kobato!” Takasaki melaung-laung nama Kobato. Pagi itu mereka keluar berburu. Sengaja Takasaki membawanya sekali kerana dia kebosanan di rumah.

 

Tadi dia di sini. Ke mana pula dia lari? Takasaki termangu. Dia terlalu sibuk menumpukan panahnya ke arah seekor rusa sehinggakan terlupa Kobato.

 

Kobato!

 

Takasaki mengikut denai berpetunjukkan ranting-ranting patah. Harapnya dia selamat.

 

Dari celah-celah semak itu dia dapat melihat kelibat Kobato dari belakang, sedang duduk sambil mengetuk-ngetuk batu besar. Apa yang sedang dilakukan?

 

“Kobato...”

 

Takasaki terperanjat melihat pemandangan di depan mata.

 

Kobato sedang menyiang seekor tupai, wajahnya kering tidak beremosi, menggunakan pisau yang dibawanya. Kesan percikan darah memenuhi dada yukata dan wajahnya.

 

Takasaki memegang bahu Kobato. Kobato terperanjat, seperti baru sahaja sedar dari lamunan, padahal kepatahan ranting ketika Takasaki datang ke situ sepatutnya sudah menyedarkannya.

 

“Kobato, apa yang telah engkau lakukan?”

 

“Aku menyembelih tupai ini.”

 

“Untuk apa Kobato? Apakah engkau ingin memakannya?”

 

“Tidak. Aku hanya kebosanan.”

 

Takasaki tersentak mendengarkan jawapan itu. Dia memarahi Kobato dan membawanya pulang ke rumah. Kobato terdiam membisu sepanjang perjalanan pulang.

 

Sejak peristiwa itu pandangan Takasaki terhadap Kobato berubah. Dia tidak bersedia mengajar Kobato jurus tinggi seni kaminari, meskipun dia melihat Kobato bersemangat dan meminatinya, setiap kali dia melihat Takasaki berlatih berseorangan dan dengan penghuni yang lain.

 

Disebabkan itu, Kobato masih jauh ketinggalan selepas Ryouji tiba. Ryouji mengajar jurus tersebut dan Takasaki membenarkan meskipun hatinya berat. Namun melihatkan perubahan sikap Kobato selepas kedatangan Ryouji, dia sedikit lega.

 

Perwatakan Kobato masih menjadi misteri kepada Takasaki. Kadangkala dia ceria dan kadangkala dia murung. Sejak Ryouji datang ke rumah itu, dia kurang bermurung. Takasaki tidak pasti apakah disebabkan peristiwa pahit yang membunuh ibu bapanya ketika dia kecil, atau disebabkan masalah semulajadi, seperti yang pernah berlaku kepada seorang putera Maharaja pada zaman silam.

 

Bagaimana jika yang pertama itu benar? Bukankah aku pelakunya? Tangan Takasaki terketar-ketar. Terngiang kembali mimpi yang sering berulang-ulang dialaminya. Dia memandang tangannya. Di dalam mimpi itu, dia melihat tangannya dicemari darah. Dan Kobato di hadapannya sedang menghunus pedang dan cuba membunuhnya. Seringkali, pada saat itulah dia akan terjaga.


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov