Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 40

Ayame membawa mereka ke kuil Furukawa beronsen di mana Hisamiko pernah dirawat. Dia memperkenalkan bapanya, sami Shinto di situ bernama Shirasaka Kotobuki.

 

Azusa dibawa untuk rawatan akupunktur oleh Kotobuki diperhatikan Ayame dan Chisato. Azusa memuntahkan darah sebaik semua jarum dicucuk pada titik akupunktur yang ditentukan oleh Kotobuki.

 

“Rakanmu bernasib baik. Dia akan sembuh beberapa hari lagi, selepas memuntahkan darah yang mengandungi racun itu. Jika dia lambat sampai ke sini, racun itu akan meresap ke seluruh tubuhnya dalam masa dua hari, dan selepas itu dia hanya boleh dirawat menggunakan penawar di Kogen. Tanpa penawar, dia akan selamanya berada dalam keadaan separa sedar. Funazuki-san amat bernasib baik.” Kotobuki menerangkan kesan aotsuyu kepada Chisato.

 

Chisato amat terperanjat kerana dia hampir-hampir disuntik bahan sama. Dia akan memberitahu Takasaki dan Ryouji perkara ini.

 

“Kotobuki-san, dari mana racun ini datang?” Chisato terdetik bertanya.

 

“Ia dicipta oleh seorang tabib di selatan. Aku pernah dihantar Kogen berguru dengannya namun selepas menyedari ia dibekalkan kepada Hagiura bagi menundukkan karayuki, aku mencuri formula itu bagi menyelidik penawarnya.”

 

**

 

Chisato duduk di atas batu di depan taman bonsai, sambil termenung melihat shishi-odoshi yang berjongkat-jongket tidak berhenti dan menikmati bunyi aliran air di kolam yang menenangkan. Pelita-pelita minyak ikan paus sudah dinyalakan. Malam itu agak sejuk kerana masih di awal musim bunga. Ayame masih di dalam bilik rawatan bersama Azusa.

 

Chisato baru sahaja selesai makan dan mandi di onsen di kuil itu. Dia akan bermalam di situ dan akan pulang esoknya selepas Azusa selesai dirawat. Chisato masih risau memikirkan Ryouji dan Hisamiko. Dia tidak dapat melelapkan mata.

 

“Ogasawara-san, tidak sejukkah engkau duduk di situ?” Suara seorang lelaki tua bertanya. Chisato menoleh, Kotobuki berada tidak jauh di belakangnya.

 

“Kotobuki-san.”

 

“Engkau tidak boleh tidurkah? Risaukan sesuatu?”

 

“Tidak ada apa-apa, Kotobuki-san. Aku cuma mahu menyejukkan badan. Panas onsen itu masih membekas.”

 

“Jika begitu baiklah. Aku mahu pulang dahulu. Oyasuminasai (selamat malam).” Rumah Kotobuki terletak berhampiran kuil beronsen itu.

 

“Kotobuki-san, sebentar.”

 

“Ya, Ogasawara-san.

 

“Hisamiko pernah menceritakan dia pernah dirawat di sini dua kali olehmu. Aku berterima kasih sungguh-sungguh padamu.”

 

“Okuhida-san desuka? Tidak mengapa, Ogasawara. Itu memang tugasku.”

 

“Dan juga Ryouji ketika dia diserang di Furukawa. Hontou ni arigatougozaimasu (sungguh aku berterima kasih)!” Chisato bangun dan membongkokkan badannya, mengadap Kotobuki.

 

Kotobuki-san tidak menunjukkan sebarang reaksi. Masih di dalam hatinya hanya menganggap itu tanggungjawabnya selaku ahli Kogen, melaksanakan pesan dari Takasaki dengan teliti dan cermat.

 

“Kotobuki-san, bolehkah aku berbincang denganmu sesuatu, jika engkau tidak keberatan?”

 

“Ya, jika aku tidak mengganggumu. Silakan, Ogasawara-san.” Chisato kembali duduk.

 

“Kotobuki-san, engkau tahu apa-apa berkenaan mereka yang menyerang Ryouji?”

 

“Aku tidak tahu banyak, melainkan dia bekas petani di kampungnya dahulu. Dia bersubahat membunuh bapanya.”

 

“Aku risaukan Ryouji. Dia pulang pada hari itu dengan kakinya tercedera ditembak. Aku bimbang jika dia menghadapi nasib yang lebih buruk kali ini. Aku tahu dia sudah menambahbaik kemahiran kaminari, namun penembak yang digunakan semasa berlatih itu berlainan dari pistol sebenar. Dan dia selalu bertindak melulu.”

 

Ogasawara juga risaukan Hisamiko. Namun entah mengapa wajah Ryouji juga yang muncul kerap di benaknya, lalu mempengaruhi ayatnya sebentar tadi.

 

“Ogasawara-san, engkau mencintainya bukan?” Kotobuki bertanya selamba. Wajah Chisato mudah dibacanya.

 

Muka Chisato merah, kemudian menjawab perlahan, “Ya.”

 

“Ogasawara-san, maafkan aku, namun aku terpaksa memberitahumu. Umur Ryouji singkat. Dia mungkin tidak akan hidup melepasi hari lahir kedua puluhnya.”

 

“Kotobuki-san, apa yang engkau cuba perkatakan?” Chisato sukar untuk mempercayai kata-kata Kotobuki yang baru dikenalinya.

 

“Tahukah engkau akan sumpah hayabusa?”

 

“Tidak. Kotobuki-san, jika engkau tidak keberatan menjelaskan...”

 

“Keturunan Okuhida ialah keturunan yang telah membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami. Setiap seratus tahun, seorang akan dikorbankan oleh sumpah hayabusa. Pada kitaran terkini, Ryouji akan dikorbankan.”

 

“Apakah tujuan perjanjian itu?”

 

“Moyangnya memohon kepantasan hayabusa dikurniakan kepada puak mereka dalam pertarungan, membolehkan mereka mencapai jurus kesembilan dan kesepuluh dalam seni kaminari-no-kaze. Seorang pemedang handal juga dilahirkan setiap seratus tahun, iaitu Hisamiko.”

 

Chisato teruja mendengarnya. Patutlah Hisamiko bertarung aneh. Kepantasannya setanding Ryouji, bahkan aku sendiri tidak mampu menewaskannya.

 

“Selain dari Okuhida, puak lain yang membuat perjanjian sama ialah Shirasaka, puakku.”

 

“Maka puakmu juga ditimpa sumpah tersebut?”

 

“Benar. Isteriku datang dari puak yang sama, dia saudara jauhku maka turut membawa nama keluarga Shirasaka. Dia mati akibat sumpah itu.”

 

“Ogasawara-san, aku masih tidak dapat melupakan Tsubomi sehingga sekarang. Aku dijodohkan dengannya oleh orang tuaku. Tanpa cinta, aku dingin terhadapnya, namun dia tetap tersenyum dan melayanku dengan baik, sehinggalah ketika dia terlantar sakit berbulan-bulan. Pada ketika itu, aku sedar aku mula mencintainya dan tidak mahu kehilangannya. Namun, masa terlalu suntuk, dan dia pergi.”


“Kotobuki-sanchigau (bukan), Shirasaka-san, maafkan aku.”

 

“Tidak mengapa, Ogasawara-san, panggil sahaja aku Kotobuki. Ogasawara-san, tujuan aku memberitahumu tentang Ryouji adalah agar engkau menghargai masa yang ada bersama Ryouji, dan tidak mengulangi kesilapanku.”

 

“Ogasawara-san, kita selalunya terlepas menghargai nilai seseorang, sehinggalah mereka pergi meninggalkan kita. Saat itu, kita sudah benar-benar terlambat.”

 

Chisato termenung panjang mendengarkan kata-kata Kotobuki.

 

“Oh ya, Ogasawara-san. Aku menerima pesan dari Takasaki-san, yang Ryouji, Shinji dan Hisamiko sudah selamat pulang.”

 

Chisato lega mendengarnya, namun berita itu masih tidak dapat memadamkan kerunsingan di jiwanya berkenaan sumpah hayabusa.

 

“Terima kasih Kotobuki-san. Hontou ni. Oyasuminasai. (Sungguh. Selamat malam)”

 

Doumo. Oyasuminasai.” Kotobuki membalas, seraya beredar pulang ke rumah.

 

Esoknya, Ayame menghantar mereka kembali ke rumah perlindungan. Sampai di kuil patung Buddha dan dua patung singa, Ayame berpatah balik sambil membawa pulang dua ekor kuda. Chisato berjalan kaki menuju ke rumah perlindungan sambil memapah Azusa yang masih lemah.

 

**

 

Kisah keluarga Shirasaka

 

Kogen ditubuhkan oleh Shirasaka Omi, seorang bekas samurai pada tahun 1800 ketika dia berusia 23 tahun. Oleh itu, pada 1872 dia sudah berusia 95 tahun, amat bertentangan dengan paras rupanya yang kelihatan seperti berada di usia enam puluhan.

 

Di bawah Kogen, dia mempengaruhi dan memimpin bekas-bekas samurai yang lain menyelamatkan anak-anak yatim dan mendidik mereka dengan pendidikan Barat. Wawasan Omi ialah mahu menghapuskan sistem samurai dan membawa pembaharuan dalam sistem politik, sosial dan ekonomi Jepun. Di awal penubuhan Kogen, dia pernah dituduh pemberontak oleh golongan samurai yang kuat berpegang pada adat dan menyokong Maharaja, namun menerima sokongan kewangan dari shogun Tetsugawa. Selepas kejatuhan Tetsugawa pada tahun 1869, Maharaja pada ketika itu menyedari kegiatan kebajikan yang dilakukan Kogen beserta khazanah ilmu dari Barat yang dikumpulkan di serata perpustakaannya. Kogen menerima mandat Maharaja untuk terus berkhidmat, bahkan mendapat bantuan kewangan daripada baginda.

 

Kotobuki, anak tunggal Omi, lahir pada tahun 1810. Kotobuki dibesarkan dengan pendidikan Barat dan tradisi, namun sama sekali tidak dididik dengan peraturan samurai atau Bushido. Kotobuki kemudiannya berkahwin pada usia 35 tahun, pada tahun 1845, setelah didesak Omi. Anak tunggal Kotobuki, Ayame lahir pada tahun 1846 dan isterinya Tsubomi meninggal dunia ketika Ayame berusia 10 tahun, pada tahun 1856.

 

Selepas Tsubomi meninggal dunia, Kotobuki meminta kebenaran Omi untuk meneruskan hidup sebagai sami Shinto. Pada mulanya Omi keberatan kerana dia tiada pewaris, namun memikirkan Kogen bukanlah pertubuhan yang dipimpin secara turun-temurun, dia melepaskan Kotobuki. Kotobuki menjadi sami di Furukawa, namun masih membantu Kogen terutama dalam penghasilan ubat dan juga pengintip di Furukawa. Ayame tinggal bersama Kotobuki di kuil Furukawa, sehingga dia dewasa.

 

Kotobuki gemar berdiam di kuil atau lembah Okuhida mencari zen, disebabkan itu dia arif selok-belok perjalanan ke lembah tersebut dan merupakan pengunjung tunggal sejak pemergian Miura.


**


Kisah Takamine dan Kotobuki

 

Kotobuki adalah anak murid kepada Noguchi Takamine, seorang pakar racun dan ubat. Kotobuki dihantar oleh Omi, pemimpin Kogen, belajar dengannya, dan akan pulang sebagai pakar racun dan ubat kepada Kogen.

 

Sebelum habis belajar dengan Takamine, Kotobuki sempat mencuri ramuan aotsuyu lama. Dia mencuri bagi mencipta penawarnya. Ini kerana dia mendapat tahu Takamine membekalkan racun tersebut kepada keluarga Yoshitsugu bagi menghilangkan kewarasan gadis-gadis karayuki agar mudah dikawal.


Takamine ialah seorang tabib yang memiliki moral yang rendah. Dia berpegang kepada prinsip bahawa dia akan menjual ubat dan racunnya kepada sesiapa sahaja, tanpa memikirkan apa yang akan dilakukan oleh pembelinya. Asalkan ubat dan racun itu boleh mendatangkan hasil, maka dia akan menjualnya.

 

Dengan hasil jualannya dan kebergantungan orang ramai terhadap racun dan ubatnya, maka Takamine sepatutnya sudah menjadi seorang yang kaya-raya. Namun dia tidak mahu memilih gaya hidup orang berada dan lebih gemar hidup di dalam hutan bersama anak-anaknya dan memakai pakaian compang-camping. Isterinya sudah lama meninggal dunia. Sebenarnya, Takamine tidak mahu dijejaki musuhnya, atau dipersoalkan para samurai kerana mempamerkan kemewahannya. Dengan bersembunyi di hutan, dia juga dapat memperolehi dengan mudah sumber tumbuhan liar bagi kegunaannya membuat ubat dan racun.

 

Dia akan menghantar anaknya Nezuko dan Seto merayau-rayau di hutan mencari orang-orang yang tercedera untuk dirawat selain membantunya memetik herba-herba liar di hutan. Dengan merawat orang-orang ini, mereka mendapatkan upah jika tidak dalam bentuk wang, mungkin upah barangan berharga dan khidmat di masa akan datang. Segalanya adalah perniagaan bagi Takamine. Dia adalah contoh kapitalis sejati sebelum kapitalisme benar-benar bertapak di Jepun.

 

Tsugiyama kerap berurusan dengan Takamine bagi mendapatkan bekalan aotsuyu maka lokasi Takamine sudah diketahuinya lama. Oleh itu tidak seperti Shizuo, Tsugiyama mencari sendiri rumah Takamine di dalam hutan Hidagawa itu.

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov