Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 49

Ryouji membawa Chisato menunggang kuda bertemu Kotobuki malam itu juga. Mereka sampai di kuil Furukawa yang beronsen ketika fajar mula menyingsing.

 

“Kotobuki-san! Kotobuki-san!” Ryouji melaung-laungkan nama sami itu.

 

Keluar seorang gadis berusia dua puluhan.

 

Otou-san tiada. Okuhida-san! Ada apa yang boleh kubantu?”

 

“Kami telah diserang Tsugiyama dan orang-orangnya. Chisato disuntik aotsuyu. Kami perlukan bantuan Kotobuki-san.”

 

“Chisato!” Ayame meluru ke arah Chisato dan memaut tubuhnya turun dari kuda Ryouji. “Mari, aku akan cuba merawatnya sendiri dahulu. Otou-san di Kogen atas urusan mustahak.”

 

Ayame membantu mengeluarkan racun tersebut dari tubuh Chisato menggunakan teknik akupunktur yang diajarkan Kotobuki namun belum pernah dipraktikkan. Chisato muntah darah, namun masih belum reda sepenuhnya. Dia masih dalam keadaan separa sedar.

 

“Okuhida-san, aku fikir dos suntikan ini lebih tinggi dari yang pernah disuntik pada Azusa dahulu. Aku berjaya mengeluarkan separuh sahaja dari Chisato. Maafkan aku. Engkau perlu menghantar Chisato ke Kogen. Di sana Kotobuki-san akan menyambung merawatnya.”

 

“Shirasaka-san...”

 

“Panggil aku Ayame sudah mencukupi.”

 

“Terima kasih sungguh-sungguh, Ayame-san!” Ryouji menundukkan kepalanya mengadap Ayame.

 

“Ryouji, sebentar. Adakah Tsugiyama berjaya memasuki rumahmu?”

 

“Ya, dua orang pengikutnya telah aku berkas.”

 

“Ryouji, mereka semua dalam bahaya.”

 

“Mengapa engkau fikir begitu?

 

“Jika mereka sudah menceroboh, bererti tama-no-iwa kalian sudah runtuh.

 

Tama-no-iwa? Di situ juga ada tama-no-iwa?"

 

“Ya, batu semangat atau penanda. Aku bilang puakmu juga ada satu di lembahmu, dan engkau pernah dibawa bapaku melihatnya, di lembah Okuhida?”

 

Benar, Kotobuki pernah membawa aku ke sana. Tiang batu itu ialah penanda yang ditanam di tengah-tengah lembah Okuhida oleh moyangku Zenzaburo.

 

“Tiang batu itu ialah tama-no-iwa bagi puakmu. Lembah Okuhida berpusat di tiang itu. Puak kami juga memilikinya. Tanah tinggi Shirasaka berpusat pada tiang batu kami. Tiang ini hanya akan lenyap sekiranya tiada lagi ahli puak berkaitan yang masih hidup.

 

“Apa kaitannya dengan Takasaki dan rumah perlindungan itu?”

 

“Semua rumah perlindungan Kogen memiliki satu potongan batu ini yang ditanam di dalam kawasannya bagi menghalang penceroboh termasuk binatang buas. Tuan atau penjaga rumah, dalam kesmu Takasaki-san, telah membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami secara tambatan dengan puak kami. Ia secara tambatan, kerana kami itu tidak lagi menerima perjanjian baru seperti nenek moyang kita.”

 

Maka fahamlah Ryouji mengapa hanya orang-orang tertentu yang dapat memasuki rumah perlindungan itu, dan juga hanya orang-orang tertentu yang dapat memasuki lembah Okuhida.

 

“Jika Takasaki mati, tiang itu akan runtuh dalam masa tiga bulan atau kurang. Setelah runtuhnya tiang itu, maka rumah perlindunganmu akan terdedah kepada pencerobohan.”

 

“Di mana letaknya tiang itu di rumahku? Ada sesiapa selainmu yang tahu berkenaan perkara ini, Ayame-san?”

 

“Ia terletak di kawasan puing kuil Shinto lama di situ. Buat masa ini, hanya Mariko-san sahaja yang tahu selain kami. Ryouji, Mariko-san sudah menghubungi Kogen?”

 

“Aku sudah memintanya memberitahu Kogen agar menghantar bantuan.”

 

“Menghantar bantuan sahaja? Ryouji, kalian harus melarikan diri segera. Aku tidak tahu sejauh mana kekuatan Tsugiyama.”

 

“Aku tidak fikir Tsugiyama akan mengulangi serangannya dalam masa terdekat. Dia cedera teruk selepas bertarung malam tadi denganku. Aku bilang kita masih boleh mencuri sedikit masa. Tambahan pula sudah ada beberapa orang Kogen sedang mengawasi rumah itu.”

 

Mereka bergegas ke kuda masing-masing, selepas Ayame berpesan sesuatu kepada penjaga kuil itu. Chisato diikat di belakang Ryouji dengan kain pengendong yang Ryouji selalu gunakan sewaktu dia mengendong Hisamiko dahulu. Mereka akan bergerak ke utara menuju pergunungan Tateyama, di dalam Wilayah Kodama, yang diperintah oleh gabenornya Yoshitsugu Hagiura.

 

“Orang-orang Yoshitsugu telah menambahbaik racun aotsuyu dengan meningkatkan dos dan kesannya. Ramai mangsa-mangsa baru tidak dapat disembuhkan dengan penawar kami dan otou-san telah dipanggil Kogen ke sana bagi merawat mereka.” Ayame memberitahu sebab Kotobuki tiada di kuil.

 

“Di Kogen terdapat sebuah pusat rawatan racun. Apabila pasukan kami menyelamatkan gadis-gadis yang akan dijual sebagai karayuki, kami akan merawat mereka yang diracun dengan aotsuyu di pusat rawatan tersebut.”

 

Hari hampir tengahari dan mereka melintas pesisir pantai perkampungan Onuma, Wilayah Kodama mengadap Laut Jepun. Inilah kampung halaman Tsuneki si musang itu, getus Ryouji sambil tersenyum mengingati Tsuneki, namun dibayangi kesedihan dan kerisauan melihatkan perubahan sikapnya yang mendadak selepas kematian Takasaki. Harapnya Tsuneki dan yang lainnya selamat di rumah itu sementara menanti bantuan Kogen.

 

Hari itu cerah dan dapat dilihat nun jauh dari pantai tersebut berbalam-balam kelibat banjaran pergunungan Tateyama berwarna kelabu dan puncaknya dilitupi salji memutih.

 

Shirasaka-no-kogen terletak di tengah-tengah banjaran itu.” Ayame menunjuk ke arah pergunungan Tateyama, masih memimpin mereka menunggang kuda.

 

Mereka sampai di Kogen hampir tengahari.

 

Shirasaka-no-kogen e youkoso, Ryouji. (Selamat datang ke tanah tinggi Shirasaka, Ryouji)” Ayame mengalu-alukan Ryouji.

 

Tanah tinggi Shirasaka ialah sebuah lembah yang ditumbuhi bungaan liar, sama seperti lembah Okuhida. Bezanya Shirasaka terletak di tanah tinggi dan suhunya lebih rendah meskipun di musim panas. Salji-salji yang mencair dapat dilihat pada dedaunan di situ, barangkali turun pada malam sebelumnya. Sekeliling lembah itu dipagari bukit-bukau yang dilapisi lumut dan puncaknya dilitupi salji yang tebal. Meski salji yang tebal di puncak itu sentiasa mencair mengairi tanah tinggi tersebut, ia tidak pernah lenyap dan senantiasa memutihinya, memberi julukan 'salju yang tidak pernah mencair hanya di Shirasaka-no-kogen', iaitu sebaris ayat pengesahan yang pernah digunakan Miura sewaktu bertemu Takasaki di Furukawa dahulu.

 

Mereka tiba di sebuah kawasan yang dipenuhi rumah-rumah berbumbungkan jerami tebal. Ryouji terpegun dan tidak menyangka terdapat masyarakat yang membina perkampungan di atas gunung begini. Jika difikirkan, Furukawa itu juga di celah-celah gunung. Namun apa yang menghairankan ialah masyarakat ini tinggal di lembah yang tinggi di tengah-tengah banjaran Tateyama, tidak seperti Furukawa yang didirikan di lurah di antara pergunungan Hidagawa.

 

Kampung tersebut berlatarkan sebatang air terjun yang mengalir dari salah sebuah bukit yang memagari lembah itu. Airnya jernih, kerana datang dari salji yang mencair di puncak gunung berdekatannya. Sungai itu mengalir merentasi perkampungan dan menjadi sumber pengairan kepada pelbagai jenis tanaman, termasuklah padi yang dapat dilihat di mana-mana di situ.

 

Lembah ini nampak lebih hidup berbanding Okuhida, fikir Ryouji.

 

“Ayame-san!” Seorang petani membongkokkan badannya tanda hormat sebaik melihat Ayame melintas dengan kudanya. Ayame menundukkan kepalanya membalas.

 

“Kouga-dono. Di manakah bapaku? Seorang lagi mangsa aotsuyu perlu dirawat segera.”

 

“Kotobuki-san masih di bangunan rawatan sejak awal pagi tadi lagi. Ayame-san, ingatkan dia sarapannya. Aku bimbang dia kerap melangkau waktu makannya sejak datang ke sini. ”

 

“Terima kasih Kouga-dono memberitahuku. Aku pasti akan mengingatkannya itu. Ayuh lekas Ryouji!” Ayame tunduk meminta diri kepada petani bernama Kouga itu kemudian menoleh memandang Ryouji.

 

Mereka memecut kuda mengikut sebuah denai di tengah-tengah bendang. Beberapa orang petani di kiri dan kanan mereka terus membongkok tunduk sebaik melihat Ayame melintas. Ryouji faham Ayame bukan sembarangan manusia di sini, dia ahli keluarga Shirasaka, iaitu puak yang mengasaskan Kogen.

 

Ryouji terfikirkan apakah dia akan berkesempatan bertemu dengan Shirasaka Omi, pengasas Kogen yang pernah dikisahkan Takasaki itu?

 

**

 

“Ryouji. Panjang umurmu.” Kotobuki menyambut Ryouji dengan menunduk hormat. Ryouji membalas tunduk.

 

“Rakanku telah disuntik aotsuyu oleh Tsugiyama."

 

“Aku cuba mengeluarkan racun itu seperti ajaranmu, namun hanya separuh berjaya dikeluarkan. Dosnya tinggi kali ini.” Ayame menambah.

 

“Bukan dos, Ayame. Ia racun aotsuyu dengan ramuan baru. Aku bimbang darah yang keluar dari akupunktur engkau ke atas Chisato tidak langsung mengeluarkan racun itu. Keluarga Yoshitsugu menambahbaik ramuannya setelah mengetahui penawar ciptaanku menyembuhkan ramai gadis-gadis yang menjadi mangsa mereka.”

 

“Takamine si bangsat pembuat aotsuyu itu mensia-siakan kebijaksanaannya, menggunakannya untuk menghancurkan wanita-wanita di negara ini.” Kotobuki melepaskan geram yang terbuku di hatinya, mengepal penumbuknya. Jelas dia sedang marah, namun wajahnya masih tenang. Dia tertekan, kerana bilangan mangsanya semakin ramai sedangkan dia tidak dapat berbuat apa-apa.

 

Ryouji melihat di belakang mereka deretan katil-katil yang dihuni oleh gadis-gadis yang merupakan mangsa-mangsa aotsuyu. Mereka dalam keadaan sasau. Ada yang duduk di atas katil, matanya terbuka luas, anak matanya membesar dan termenung sasau. Ada yang terbaring lemah sambil menangis dengan lolongan kecil, tidak tahu apa yang ditangiskan. Mereka semua adalah mangsa-mangsa baru, Kotobuki memberitahu, seawal seminggu yang lepas. Mereka dibawa ke sini setelah diselamatkan oleh Kogen. Yang tidak disuntik akan diletakkan di rumah anak yatim Kogen, manakala yang disuntik aotsuyu akan dihantar ke sini untuk rawatan. Mereka yang disuntik ini selalunya adalah gadis-gadis yang degil dan kerap melawan, maka orang-orang Yoshitsugu akan menyuntik aotsuyu bagi menundukkan mereka.

 

“Kotobuki, tolong, lakukan sesuatu!” Ryouji mengalirkan air mata, dia tidak sanggup melihat Chisato menerima nasib yang sama.

 

“Ryouji, aku sedang berusaha. Beri aku sedikit masa.”

 

Masa. Apakah ada cara yang lebih pantas untuk memperolehi penawarnya?

 

Ryouji duduk di atas lantai menenangkan fikiran. Kotobuki melihatnya aneh. Apakah nasihatku ketika di Okuhida sudah meresap ke dalam dirinya?

 

“Kotobuki, barangkali mereka sudah ada penawarnya.”

 

“Siapa?”

 

“Tsugiyama dan orang-orangnya. Ketika mereka menyerang aku semalam, rakannya juga disuntik. Barangkali Chisato melawan mereka dan menyuntiknya. Jika rakannya itu sudah tidak lagi berguna, Tsugiyama pasti akan membunuhnya. Namun tidak, dia membawa rakannya itu pulang bersamanya.” Ryouji mula menyedari mengapa baru sekarang dia terfikirkan perkara tersebut. Kemudian dia terfikirkan dua orang rakan Tsugiyama yang ditahan di rumah itu. Mungkin aku boleh mendesak mereka mendedahkannya.

 

“Apakah engkau pasti?”

 

“Ya. Dua orang rakannya telah kutahan di rumahku.”

 

“Takamine selalunya mencipta racun namun tidak penawarnya. Mungkin kali ini berbeza.” Kotobuki menyuarakan pandangannya.

 

“Ryouji, tinggalkanlah dahulu Chisato di sini sementara untuk dirawat. Penawar aotsuyu yang lama berkesan melambatkan kesan aotsuyu baharu ini. Harapnya dengan cara ini aku dapat membeli masa untuk mencipta penawar baru.

 

Selain itu, Ryouji, disebabkan engkau sudah di sini, aku bilang engkau patut bertemu bapaku, Shirasaka Omi. Dia sudah lama menyuarakan keinginannya mahu bertemumu.”

 

“Shirasaka Omi? Pengasas Kogen itu?” Ryouji cuba mengingat maklumat dari Takasaki dan Chisato.

 

“Benar. Seperti yang mungkin telah engkau dengari dari Takasaki-san, Omi bapaku adalah pengasas Kogen. Anakku Ayame bekerja bersama pasukan-pasukan Kogen menyelamatkan anak-anak yatim. Sementara aku ditugaskan sebagai pengintip dan sami di kuil Furukawa beronsen yang engkau pernah lawati itu.”


Previous: Bab 48
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov