Ryouji menunjukkan pakaian dan senjata yang ditemui pada rangka manusia itu kepada Takasaki.
Miura pernah memberitahu Takasaki terdapat cubaan membunuhnya beberapa kali menggunakan fukiya. Namun dia bernasib baik kerana dapat mengelaknya beberapa kali. Disebabkan itu dia banyak berkurung di dalam rumah dan menghabiskan masa melakar kaligrafi.
Takasaki membelek-belek dan mengamati kelongsong fukiya itu. Berdasarkan corak pada kelongsong tersebut dia mengagak ia dibuat di sebuah kedai di Furukawa. Mereka membeli fukiya yang betul-betul sama dan membandingkan jarumnya dengan memori Ryouji, kerana jarum yang membunuh bapanya sedang dalam pemilikan Hamada. Serupa. Kemudian mereka bertanya peniaga itu jika dia dapat mengingat setahun lalu akan sesiapa yang pernah membeli fukiya sedemikian. Dia tidak dapat mengingatinya.
“Takasaki, jika benar itu mayat pembunuh bapaku, tidakkah engkau hairan bagaimana dia dibunuh sejurus membunuh bapaku. Barangkali orang yang mahu bapaku mati ingin menghapuskan bukti.”
“Aku lihat modus operandinya sama seperti Hamada. Aku amat arif akan kaedah sebegitu kerana aku pernah bekerja dengannya. Dia akan menghantar dua pihak yang saling tidak berhubungan untuk membunuh sasaran sama yang pandai bertarung. Satu pihak dihantar untuk mengalih perhatian sementara satu lagi pihak akan membunuh secara sembunyi. Dia fikir cara itu lebih senang dan pantas meskipun itu cara pengecut dan bertentangan dengan pegangan samurai.”
“Jadi engkau fikir penyumpit fukiya itu juga dihantar Hamada, dan Saitou tidak tahu akan hal tersebut?”
“Ya. Kebarangkaliannya tinggi.” Ryouji teringat Saitou yang kebingungan melihat jarum fukiya yang ditunjuknya sewaktu di kuil Furukawa.
Jika benar Hamada yang mengarahkan pembunuhan tersebut, dia hanya mahu satu perkara sahaja; Hamada tunduk dan meminta maaf kepadanya. Hanya itu. Jika dia enggan, aku akan memaksanya melakukan seppuku. Aku bukan samurai, tetapi dia adalah samurai. Bukankah itu cara mereka untuk menebus maruah sendiri yang telah tercalar?
Aku tidak patut membunuh mereka meskipun hatiku perit. Kerana aku tidak mahu menjadi sebahagian dari mereka. Aku bukan samurai dan bapaku tidak pernah menerapkan nilai-nilai bushido dalam diriku. Aku hanya seorang rakyat biasa yang menghargai hidup dan kehidupan.
Sekurang-kurangnya itulah yang Ryouji mahukan. Namun apakah dia mampu tetap dengan pendirian sebegitu bilamana musuhnya itu di depan mata dan dia dikuasai emosinya?
“Ryouji, cuba lihat ini. Aku temui dalam tabinya.” Takasaki menyuguh sekeping sampul kertas yang dilipat dan disisip kemas di dalam tabi kalis air.
Ryouji mengambil sampul tersebut. Dia menarik sekeping kertas dari sampul itu dan membukanya. Ia seperti surat kontrak, dengan cap darah ibu jari.
“Takasaki, aku masih tidak dapat membaca sebahagian besar kanji. Boleh engkau bacakan?”
Takasaki membacakan surat itu. Ia adalah surat kontrak upah membunuh Miura antara pengupah dengan penyumpit. Di bawah cap jari itu ialah nama pengupah dan nama penyumpit.
Takasaki membacakan nama pengupah itu. “Son-zae-mon.”
Ryouji tersentak mendengarkannya. Sonzaemon yang membunuh bapanya!
“Takasaki-san, aku harus pergi sekarang.”
“Ryouji, tunggu. Engkau hendak ke mana?”
“Ke utara. Aku mahu menjejaki Sonzaemon.”
“Ryouji, bersabar.” Ryouji menoleh memandangnya. Matanya penuh kesakitan. Air matanya mengalir. Mukanya merah. Giginya berlaga. Dia menahan marah. Sonzaemon, orang yang telah menyerangnya di Furukawa. Sonzaemon si gemuk itu, rupanya!
“Ryouji!” Ryouji berlalu tanpa menghiraukan Takasaki.
Takasaki pantas mengejar Ryouji, cuba menahannya dari terlalu mengikut perasaan.
“Ryouji! Bertenang. Pandang aku.” Takasaki menahan Ryouji, memegang bahunya, melihat tepat ke wajahnya.
“Aku tidak tahu siapa Sonzaemon ini, tetapi engkau harus berwaspada. Engkau telah dua kali diserang. Engkau sasaran banyak musuh.”
“Dia petani yang berjiran dengan bapaku! Dia yang menyerang aku di Furukawa tempoh hari dan mencederakan Hisamiko. Aku tidak akan memaafkannya. Tidak sekali-kali. Jangan menghalangku, Takasaki-san.”
Takasaki terkesima mendengarnya.
“Ryouji!”
Kobato dan Shinji sedari tadi mencuri dengar perbualan mereka di pejabat. Mereka mengekori Ryouji sebaik dia keluar dari pejabat itu.
“Ryouji!” Kobato memanggilnya.
“Aku faham perasaanmu.” Kobato berdiri di depan Ryouji, menghalangnya dengan mendepangkan tangan.
“Ke tepi Kobato.”
“Engkau biadap dengan Takasaki-san!” tengking Kobato.
“Bagaimana dengan Chisato? Bagaimana dengan adikmu Hisamiko? Musuhmu bukan dia seorang. Hamada juga sedang mencarimu. Mujur sahaja dia tidak menyerangmu ketika engkau pulang ke kampung.”
“Ryouji, bertenang. Fikir. Jangan terlalu mengikut perasaanmu. Kita atur dahulu strategi. Mungkin Sonzaemon itu diarahkan seseorang atau mungkin dia bersekongkol dengan Hamada.”
Ya, fikir. Bertenang, Ryouji. Fikir. Benar kata-kata Kobato. Bagaimana dengan mereka nanti jika aku diapa-apakan? Dan aku juga tidak mahu menumpahkan darah. Bukankah aku tidak mahu menjadi seperti Sonzaemon dan Hamada, yang membunuh sewenangnya?
Namun masaku terlalu suntuk. Aku harus lekas! Aku harus bertemu Sonzaemon secepat mungkin. Aku perlu pergi sekarang! Aku tidak akan mati sebelum aku berjaya menangkap pembunuh otou-san!
Ryouji kebingungan. Dia melutut, sambil matanya memandang bumi. Apakah aku perlu mengingkari Takasaki-san dan menurut gerak hatiku? Namun bagaimana dengan Hisamiko, Chisato dan rakan-rakanku di sini? Sumpah hayabusa itu satu kesialan! Moyangku tidak sepatutnya membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami (semangat hayabusa)!
“Kobato, tolong aku. Kita bertarung di hutan buluh.” Masih dalam duduknya, Ryouji meminta dari Kobato dalam nada perlahan dan mendatar.
“Ryoukai!” Kobato menyahut. Shinji mengikuti mereka.
Ryouji bertarung dengan Kobato bagi merungkai kekusutannya. Shinji hanya melihat dan kagum. Dia tidak pernah punya ibu bapa. Dia tidak memahami perasaan mereka, perasaan kehilangan ibu bapa. Sejak dari kanak-kanak lagi, paderi Jesuit di gereja Kyoto itulah yang menjaganya. Kemudian dia menghilang, entah ke mana. Namun dia tidak sedikitpun merasa kehilangan paderi itu suatu kehilangan besar dalam hidupnya. Paderi itu tidak menyayanginya. Dia memberi aku makan, tempat tinggal dan perpustakaan namun dia tidak melayaniku seperti seorang anak.
Mungkinkah sebab yang sama mengapa Ryouji menangis di depanku tempoh hari? Aku tidak mahu bertanyakan lebih lanjut, aku tidak tahu sejauh mana pertanyaanku akan melukakan lagi hatinya. Kerana aku amat lemah perkara-perkara berkait dengan emosi. Aku tidak betah akan emosi. Persetankan semuanya berkaitan emosi!
Di akhir pertarungan itu Ryouji akhirnya menangis juga sambil memegang bahu Kobato. Kobato menepuk-nepuk kepala Ryouji. Dia meminjamkan bahu kepada sahabatnya itu.
“Aku tidak mahu menangis di hadapan Hisamiko, Kobato. Terima kasih membantuku.”
“Doumo. Bukankah kita sahabat?” Kobato mengujar begitu mudah. Dia sendiri menyembunyikan sakitnya di tengah malam. Menangisi ibu bapanya sembunyi-sembunyi sedang Ryouji mencuri dengar.
**
Musim sejuk, 1869.
Hari ini adalah hari terakhir Kobato di sini. Dia mengemas barangannya. Baju-baju disimpan dalam buntil kain. Kimononya diselaputi baju jerami tebal bagi menebat sejuk yang mencengkam. Dia memakai topi jerami bagi menyingkirkan salji yang berguguran di atas kepalanya. Pedangnya tersisip kemas di pinggang. Dia akan pergi jauh dari rumah ini dan mungkin tidak akan kembali lagi ke sini. Dia tidak pasti ke mana hala tujunya. Mungkin kampung halamannya dahulu?
Halaman rumah perlindungan itu memutih dilapisi salji yang turun lebat malam sebelumnya dan masih lagi tidak berhenti turun, meskipun tidak selebat malam itu. Pepohon di taman bonsai sudah gondol. Burung hayabusa masih setia bertenggek di atas pohon shirakaba yang tinggi dan sudah tidak berdaun, sekali sekala dia mengibas kepalanya membuang salji yang berkumpul di atasnya.
Semua penghuni rumah telah berkumpul di tepi dataran. Masing-masing menggigil. Nafas mereka berasap-asap. Mata merah menahan sejuk. Semua mereka berpakaian tebal.
“Ki wo tsukete, Kozue-san (jaga dirimu, Kobato).” Takasaki berpesan.
Saki menyerbu Kozue dan menghulurkan sesuatu, sambil menunduk wajahnya.
“Terimalah pemberianku yang tidak seberapa ini.” Tutur Saki sambil wajahnya menunduk.
“Terima kasih Funazuki-san.” Saki menitiskan air mata, namun tidak disedari Kobato.
“Kobato, jaga dirimu.” Ryouji berpesan. “Mudah-mudahan engkau dapat mencari pembunuh ibu bapamu dan menuntut bela kematian mereka.” Ryouji berbisik. Dia memeluk Kobato, matanya mula berkaca.
“Aku pasti akan dapat menjejaki mereka, Ryouji. Engkau pun jaga dirimu. Jangan terlalu mengikut perasaan. Aku yakin, Hamada pasti terlibat sama dan bersekongkol dengan Sonzaemon. Engkau harus berhati-hati jika memutus bertemunya nanti. Jangan curi-curi keluar dari sini pula. Jangan bertindak melulu, Ryouji.”
“Pasti, Kobato. Kobato, seperkara lagi, jangan terlalu memendam. Jika engkau tiada sesiapa untuk luahkan, hubungi aku.”
Kobato hanya tersenyum, sambil berkata “Engkau pun! Pesanan begitu seperti engkau abangku pula.” Mereka ketawa.
Kobato hilang dari pandangan selepas mengucapkan ‘ittekimasu’, disusuli dengan teriakan mereka ‘itterasshai’.
Saki terduduk dan menangis. Azusa memujuknya. Yang lain-lain masuk ke dalam. Pantas. Sejuk di luar mencengkam.
Ryouji menerawang mengingati kembali pertemuan pertama dengan Kobato. Serasa baru semalam mereka bertemu, meskipun telah setahun berlalu. Dia seorang yang peramah dan sangat gigih berlatih. Namun Ryouji merasakan dia belum benar-benar mengenali Kobato. Kobato bijak menyembunyikan kesakitan di dalam jiwanya di balik keramahan dan kepetahan berbicara. Jiwanya sakit. Dia tidak sempat merasa kasih sayang ibu bapa secukupnya. Ryouji pernah mendengar esak tangis Kobato di malam hari ketika dia berpura-pura tidur sementara menunggu untuk berlatih dengan Chisato.
Takasaki berasa sedikit lapang di dadanya. Semakin lama Kobato di rumah itu, hatinya menjadi semakin tidak tenteram. Dirinya masih dihantui dosa-dosa lama, malah terbayang-bayangkan perkara buruk. Kobato mungkin telah tahu dan menunggu untuk membalas dendam.
Mungkinkah dosa-dosaku hanya boleh ditebus dengan nyawa? Tiadakah cara lain untuk mengampuniku? Penghuni-penghuni di sini masih memerlukanku. Dia menerawang jauh. Dingin di luar seolah-olah tiada kesan padanya. Ryouji memerhatikan Takasaki tanpa disedarinya.