Penghujung musim luruh, 1866.
Pada ketika ini, Chisato baru beberapa bulan menghuni rumah itu. Dia mahu mencari tempat bersendirian, dan melayani perasaannya, jauh dari adik-beradiknya. Dalam mencari, dia mendengar suara seorang remaja lelaki, suara itu cukup dikenalinya. Namun intonasinya berlainan sama sekali seperti yang biasa didengarinya.
“Bangsat engkau Takasaki. Bangsat, bangsat, bangsat...!” Kobato memukul-mukul pokok buluh itu dengan kayu kendo.
“Hanya kerana satu peristiwa itu, engkau terus menghukumku. Aku cuma mahu belajar jurus ketujuh dan kelapan sahaja. Engkau terus mendiamkan diri. Bangsat orang tua itu. Orang tua mandul!” Dia mencarut-carut dan memaki Takasaki.
Selepas penat memaki, dia duduk dan ketawa berseorangan. Tempat itu ialah tempat di mana dia akan bertarung dengan Takasaki dan membunuhnya beberapa tahun kemudian.
Di balik celah-celah buluh itu, Chisato mengintainya, kemudian meninggalkan tempat itu dalam keadaan menggigil ketakutan. Mengapa Takasaki menyimpan orang gila di sini?
**
“Dia pernah menawarkan cintanya kepadaku, namun kutolak mentah-mentah. Aku fikir dia tidak waras.” Chisato menamatkan imbas kembalinya.
“Engkau tidak memberitahu Takasaki-san?”
“Aku sudah memberitahunya. Namun dia berdegil mahu mengekalkan Kobato di sini. Aku tidak pasti apa alasannya.”
Dan mengapa Takasaki-san tidak memberitahuku? Takasaki-san, aku benar-benar tidak memahamimu.
Malam itu, Ryouji mendengar tangisan Mariko di dalam pejabat, yang sengaja dibiarkan gelap.
Hisamiko, dan kembar Ogasawara juga bersedih. Namun memori mereka dengan Funazuki bersaudara dan Takasaki tidaklah banyak.
Shinji bertanya kepada Ryouji bagaimana rumah ini diteruskan tanpa Takasaki.
“Aku tidak tahu, Shinji. Aku dan Mariko-san menunggu arahan dari Kogen. Takasaki-san juga mungkin ada mewasiatkan sesuatu kepada Mariko-san.”
Shinji juga merasa kehilangan Takasaki namun tidak sekuat Tsuneki. Mungkin kerana dia sudah biasa tanpa ibu bapa. Tsuneki pula, memandang Takasaki sebagai pengganti bapanya. Maka kehilangan Takasaki lebih berat dirasakan oleh Tsuneki.
Shinji sekali-sekala teringat akan Saki. Saki kerap berbual dengannya belakangan ini, di perpustakaan, dan di bengkel relau. Namun tidak pula dia tahu sebabnya. Rasanya baru semalam dia berbual denganku di perpustakaan, dan bengkel relau. Dan hari ini, dia sudah pergi selama-lamanya. Bagaimana dengan pertemuan sesingkat ini memberi kesan padaku? Apakah aku kesunyian?
Suasana suram menyelubungi rumah perlindungan itu selama seminggu lebih, sebelum emosi penghuninya masing-masing mulai beransur reda. Namun sebahagian dari mereka mula berubah ketara sikapnya.
Yang paling ketara adalah Tsuneki.
**
Mariko pergi ke lokasi tama-no-iwa milik Takasaki di kuil Shinto lama, mahu melihat keadaannya. Meskipun Takasaki sudah tiada, batu itu masih di situ, cuma sedikit terhakis.
Dia berdiri lama, mengingati pesan Takasaki. Ketika mendengar pesan itu beberapa tahun lalu ketika mereka baru menempati kawasan itu, Takasaki berdiri di sebelahnya, menunjuk ke arah batu mistik itu.
“Mariko, selepas aku mati, batu ini juga akan beransur-ansur reput dan runtuh. Selepas ia runtuh sepenuhnya, rumah perlindungan ini akan terdedah kepada penceroboh dari dunia luar. Jika aku mati dahulu sebelummu, hubungi Kogen segera dan berpindah lekas dari sini, demi keselamatanmu dan penghuni lain.”
Dia masih tidak berhajat untuk berpindah kerana tidak mahu lagi tinggal di Kogen. Dia juga telah memohon melalui keluarga Shirasaka akan bantuan tambahan dari Kogen, bagi membantu melindungi mereka semua sekiranya tama-no-iwa runtuh tiba-tiba dan penceroboh mula menemui rumah tersebut.
**
Kisah Mariko.
Shinohara Mariko lahir pada tahun 1827. Dia adalah anak seorang pedagang Jepun dan dia pernah menetap dan belajar di England sehingga umurnya mencapai 18 tahun, ketikamana ibu dan bapanya bercadang berpindah ke negara asal mereka.
Dalam perjalanan pulang, kapal dagang mereka dipukul taufan. Ibu dan bapanya hilang tanpa dapat dikesan. Mariko terselamat dan terdampar di sebuah pantai dekat Osaka. Dia dibantu orang-orang kampung nelayan berdekatan.
Dipendekkan cerita, Mariko berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di kampung nelayan itu. Dia mendirikan sekolah mengajar bahasa Inggeris dan buku-buku dari Barat dengan bantuan sebuah gereja Jesuit.
Namun ia tidak kekal lama. Pada suatu hari ketika umurnya 20 tahun pada tahun 1847, ketika dia sedang berjalan menuju sekolahnya untuk memulakan pengajaran, dia mendapati sekolahnya terbakar. Tsugiyama dan pengikutnya lalu di sebelahnya dan memberitahu mereka diarahkan oleh Hamada dan samurai-samurai anti-Barat untuk memusnahkan sekolahnya kerana mereka tidak mahu anasir Barat dibawa masuk ke Jepun.
Tsugiyama dan pengikutnya juga mahu menangkap Mariko, namun seorang ahli Kogen pantas menyelamatkannya dan membawa Mariko ke lembah Shirasaka di utara. Mariko kemudiannya tinggal di Shirasaka dan bekerja sebagai penterjemah karya-karya dari Barat di perpustakaan di sana dan mengajar para penghuninya.
Mariko bosan dengan kehidupannya di sana yang pasif. Dia mahu menyebarkan ilmunya ke seluruh Jepun dan mendirikan kembali sekolah yang pernah didirikan di kampung nelayan itu. Dia mahu memperkenalkan ilmu Barat kepada anak bangsanya sejauh mungkin. Bukan hanya bertumpu kepada masyarakat di lembah itu sahaja.
Takasaki yang baru menyertai Kogen, menaruh hati terhadapnya. Namun, ia hanyalah cinta yang bertepuk sebelah tangan, Mariko tidak memiliki perasaan langsung terhadapnya. Mendengarkan Takasaki akan ditugaskan sebagai penjaga rumah perlindungan Kogen selepas tamat tempoh percubaannya di Shirasaka selama dua tahun, Mariko menipu perasaannya terhadap Takasaki, dengan harapan Takasaki akan mengahwininya dan dia dapat keluar dari situ. Kogen tidak membenarkan Mariko keluar kerana keluarga Yoshitsugu melalui Tsugiyama masih memburunya, kecuali jika Mariko memiliki pasangan yang mampu melindunginya. Takasaki adalah petarung yang handal bahkan dia membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami secara tambatan dengan Shirasaka. Selepas mereka berkahwin, Kogen membenarkan Mariko keluar dari lembah itu dan mengikut Takasaki.
Mereka pada mulanya masih tinggal di Kawamoto berdekatan tempat tinggal Hamada. Takasaki merahsiakan perkahwinannya dari Hamada bahkan dia menempatkan Mariko di rumah yang lain buat sementara waktu. Mariko juga agak gentar kerana lokasinya kini lebih dekat dengan Hamada, ahli keluarga Yoshitsugu yang sedang memburunya. Namun Hamada masih gagal menjejakinya disebabkan tama-no-iwa yang ditanam Takasaki di situ.
Selepas dua tahun mereka berkahwin, mereka berpindah dari Kawamoto di Shinagawa ke tapak rumah perlindungan yang ditetapkan Kogen, pada tahun 1855. Mereka mengubahsuai kuil Shinto lama peninggalan keluarga Funazuki sebagai rumah perlindungan, dan Takasaki meletakkan tama-no-iwa sebagai penanda perjanjiannya dengan hayabusa-no-kami secara tambatan dengan Shirasaka, dan sejak itu rumah itu dilindungi dari penceroboh yang tidak pernah penat menjejakinya, terutama orang-orang Tsugiyama yang dihantar keluarga Yoshitsugu.
Mariko menghargai kehidupan barunya. Di sini dia dapat kembali mendidik anak bangsanya, bahkan dia juga diajar bertarung oleh Takasaki. Mariko berjanji kepada dirinya yang dia akan menjadi lebih kuat dan tidak lagi menyerahkan tempat mendidik anak bangsa untuk dimusnahkan musuhnya.
Maaf Nakatsu, aku tidak akan meninggalkan rumah ini, meskipun diarahkan Omi-san. Aku akan mempertahankan rumah ini, dan meneruskan pengambilan ahli-ahli baru rumah tanpa bantuan Kogen, dan tanpa perlindungan dari tama-no-iwa.
Mendidik adalah jiwaku dan aku mempertaruhkan nyawaku untuknya!
**
Pertengahan musim bunga, 1872.
Goro, hayabusa berderia hidu tinggi itu, berteriak nyaring sambil terbang berlegar di udara, mengejutkan unggas dan binatang liar di rimba pergunungan Hidagawa pada malam yang sederhana dingin itu.
Seorang lelaki berbadan sedang, bertatu burung sagi di lehernya dan memakai happi biru muda bersimbol burung sagi di atas yukatanya, meranduk belukar yang berselirat mengekori Goro. Di belakangnya kelihatan tiga orang pengikut setianya.
“Tsugiyama-san, jauh lagikah?”
Tsugiyama tidak menjawab. Dia sedang menumpu perhatian kepada Goro.
Goro turun ke bawah, seperti cuba mengesan sesuatu berhampiran kaki Tsugiyama. Dia berteriak meminta Tsugiyama mengalihkan kakinya. Tsugiyama menurut. Terpampang di depan matanya seutas kain pengikat rambut. Tsugiyama pernah melihat tali ini, ia dipakai oleh Kobato bagi mengikat rambutnya yang panjang.
Apakah Kobato sudah mati? Mengapa kain ini di sini? Apapun, yang pasti dia berada berdekatan kawasan ini.
“Dia tidak jauh dari sini. Kita harus terus mengikut Goro.” Tsugiyama berkata kepada pengikutnya yang tiga orang itu, sambil menggoncang-goncangkan kain itu bagi membuang kesan tanah. Dia menyimpan kain tersebut di dalam yukatanya.
Malam sudah larut. Bagaimana harus aku temui rumahnya?
Mujur sahaja malam itu bulan mengambang. Goro hanya terbang dari pokok ke pokok kerana bau Kobato semakin lama semakin jelas, maka dia tidak lagi perlu terbang tinggi untuk mengimbas kawasan yang luas bagi mengesaninya.
Mereka sampai di sebuah hutan buluh yang padat.
“Tsugiyama-san, engkau yakinkah mahu merentas hutan ini? Aku fikir ia sekadar hutan buluh yang tebal.”
“Aku percayakan Goro, Tatsuya. Dia ‘melihat’ apa yang kita tidak mampu, dengan deria hidunya yang peka.”
Seketika selepas berjalan meredah buluh yang rapat-rapat itu, mereka tiba di kawasan lapang. Kelihatan seorang gadis sedang duduk di atas longgokan buluh-buluh tua sedang menunggu seseorang. Tsugiyama mengamati gadis cantik itu. Sah, dia Chisato.
“Ohisashiburi. Aku fikir ini pertemuan ketiga kita, Chisato-chan. Apakah engkau dan aku telah ditakdirkan bersama?” Tsugiyama memulakan bicara sinisnya. Pengikut-pengikutnya tertawa.