Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 32

Awal musim bunga, 1871 (lapan bulan selepas Ryouji pulang dari lembah Okuhida)


“Ryouji, setakat ini sahaja kesemua lapan jurus kaminari-no-kaze.” Takasaki mengujar selamba. Dia baru sahaja menghabiskan separuh kedua dari sukatan jurus kelapan yang rumit itu. Separuh pertama telah dikuasai Ryouji selepas dia pulang dari Kisennuma awal tahun lepas.


Ryouji terkejut beruk mendengar kata-kata Takasaki.

 

“Takasaki-san, bukankah ada sepuluh semuanya? Bagaimana dengan dua lagi?”

 

“Miura tidak memberitahumukah?”

 

Ryouji cuba mengingat. Ya! Aku baru teringat.

 

“Aku tidak mampu mengajarnya. Dua jurus terakhir adalah eksklusif, hanya dapat dicapai puakmu disebabkan kepantasan hayabusa yang kalian miliki. Namun untuk mencapai itu, engkau perlu menguasai lapan jurus pertama itu terlebih dahulu.”

 

“Ryouji, carilah dua jurus terakhir itu melalui kembara. Aku akan menghantar kamu dan Shinji untuk satu tugasan Kogen.”

 

Antara Shinji dengan Kobato, aku lebih cenderung memilih Kobato kerana dia lebih pandai bertarung. Namun aku bilang aku tiada pilihan sekarang. Tsuneki terlalu muda. Kobato tiada lagi di sini, fikir Takasaki. Lagipun aku ada sesuatu yang aku ingin Shinji lakukan untuk Ryouji.

 

Takasaki menarik sesuatu dari dalam kabinet di belakangnya. Dia meletakkan di atas meja di depan mereka sebilah pedang yang lengkap bersarung.

 

“Nama pedang ini Saishi-tou (benang halus). Aku telah meminta Shinji membuatkannya untukmu. Ia tidak bermata, dan bukan untuk membunuh. Ia pedang paling ringan namun paling kuat dan keras di dunia, setelah dicampurkan sejenis resin yang aku beri kepada Shinji. Tetakannya jika dilakukan betul, mampu mematahkan tulang dan memecahkan pedang lawan. Namun engkau harus kuat dan cukup pantas. Ia hanya bergantung kepada kekuatan dan impak dari kepantasanmu kerana ia amat ringan.

 

Ambil pedang ini, Ryouji dan jayakan misimu.”

 

**

 

Takasaki memanggil Shinji masuk dan menyambung penerangannya.

 

“Ryouji, Shinji, dalam misi ini engkau mungkin perlu membunuh jika mereka terlalu berbahaya, demi melindungi nyawa kalian. Namun aku tidak menggalakkannya. Mengelak selagi boleh.”


"Aku menghantar kalian di bawah mandat Kogen yang secara rasmi sekarang menjadi proksi Maharaja. Maka jika kalian membunuh kerana melindungi diri, Kogen akan melepaskan kalian meskipun kalian belum menjadi ahli rasminya. Namun itu semua bukanlah alasan untuk kalian membunuh sewenang-wenangnya. Kekal berpegang kepada matlamat misi, itu lebih utama. Dan kalian juga tidak akan terlepas dari perbicaraan kami jika kalian membunuh."

 

“Ryouji, Shinji, nyawa kalian juga mungkin melayang dalam misi ini.” Takasaki mengingatkan mereka akan risiko yang bakal dihadapi. Dia memandang mata Ryouji dan kemudian Shinji, mengamati reaksi mereka.

 

Shinji mula gelabah. Aku tidak mahu mati sebelum ke Eropah! Ryouji melihat Shinji gugup. Takasaki membaca mereka.

 

“Shinji, engkau takutkah?” Takasaki bertanya selepas membaca Shinji. 


“Aku tidak memaksamu Shinji. Terpulang kepada engkau. Ryouji, kamu pun. Jika kamu tidak bertindak, kanak-kanak perempuan itu akan dilacurkan. Mahukah kalian membiarkannya begitu sahaja? Ryouji, bagaimana jika Hisamiko menerima nasib sedemikian?” Takasaki cuba memancing mereka.

 

E to...aku bukannya takut, Takasaki-san. Cuma aku risau aku tidak berkesempatan melihat benua Eropah jika aku mati dalam misi ini.” Shinji memberitahu. Itu adalah impian seumur hidupnya.

 

“Aku pasti akan menjayakan misi ini!” Ryouji tiba-tiba bersemangat. Api kemarahan membakar dalam matanya. Hisamiko, atau mana-mana kanak-kanak perempuanpun, aku pasti akan menyelamatkan mereka! Pasti!

 

Takasaki tersenyum. Kemudian dia mengalih pandangan kepada Shinji.

 

“Shinji, aku faham cita-citamu. Namun, sanggupkah engkau membiarkan Ryouji berseorangan?”

 

Shinji memusing-musing jarinya. Dia berbelah bahagi.

 

“Mana satu yang lebih kau pentingkan? Cita-cita seumur hidupmu, atau persahabatan di sini? Fikirkan Shinji. Bagaimana jika Ryouji terbunuh? Engkau akan menyesal nanti.”

 

“Takasaki-san, terima kasih. Beri kami sedikit masa.” Ryouji memohon, seraya meminta diri keluar. Dia merasakan Takasaki agak keterlaluan memancing Shinji. Shinji dan Ryouji meninggalkan pejabat itu lalu bergerak ke taman bonsai.

 

Takasaki duduk, termenung. Meskipun dia menyerahkan kepada Shinji sama ada mahu menyertai misi itu ataupun tidak, dia tidak memaksa. Namun dia memerlukan Shinji menyertainya. Ada sesuatu pada Shinji yang diperlukan Ryouji dalam misi tersebut. Takasaki sedang mencari sesuatu pada Ryouji. Namun dia mungkin merisikokan nyawa kedua-dua mereka. Berbaloikah mengambil risiko begini?


Takasaki tidak mahu kehilangan Ryouji, pelapis berkepimpinan yang akan diserap masuk ke dalam Kogen. Bahkan Ryouji dan Hisamiko adalah wasiat rakan baiknya Miura. Dia tidak mahu menghampakan Miura. Mereka berdua adalah kunci kepada penghapusan kuasa Hamada.


Takasaki juga tidak mahu kehilangan Shinji, bahkan dia juga tidak mahu Shinji meninggalkan Jepun. Shinji adalah permata yang amat berharga, untuk pertubuhannya, untuk bangsa ini. Bagaimana jika orang-orang Eropah mengambil dia dan menggunakan dia untuk manfaat mereka? Aku perlukan Shinji di sini. Jika dia mahukan kapal terbang, lokomotif atau apa sahaja, aku akan berusaha mendapatkannya, meskipun tidak masuk akal. Atau apa sahaja yang dia minat mengkajinya. Aku akan cuba melobi pertubuhanku. Shinji diperlukan untuk pembaharuan yang sedang dilakukan Maharaja ketika ini.

 

Atau, mungkin aku boleh mencadangkan nama Shinji untuk rombongan yang akan dihantar Maharaja ke Barat? Namun dia harus pulang dan tidak menetap di sana. Jika aku memutus sedemikian, aku juga harus memastikan dia pulang.

 

Apapun, aku akan fikirkan lanjut kemudian. Selepas misi ini.

 

**

 

“Ryouji, sudah lama aku ingin bertanyakan sesuatu. Harap engkau tidak memarahiku.”

 

“Ya Shinji."

 

“Mengapa engkau menangis ketika itu?” Shinji merujuk tangisan Ryouji ketika dia meminta mengajarkannya seni membuat bilah katana. Setelah lebih setahun soalan itu dipendamnya. Dia gagal menemukan jawapan hanya dengan memerhati Ryouji.

 

E...to.... Betsu ni (Tiada apa-apa). Aku risau, jika aku tidak memiliki katana yang sesuai untuk jurus ketiga dan keempat." Ryouji sebenarnya ingin mencipta bilah yang sesuai dengan Hisamiko, sendiri, selepas kejadian di hutan pinggir Furukawa itu. Namun selepas berkali-kali diajar Shinji, dia masih gagal. Lantas, dia bercadang meminta Shinji sahaja membuatnya untuk Hisamiko. 

 

“Engkau tidak perlu risau. Bahkan aku telah menempa katana yang sesuai denganmu. Saishi-tou itu...” Shinji berkata seraya menunjuk ke arah Saishi-tou yang disisip Ryouji di pinggangnya. “Harapnya ia juga sesuai untuk jurus kesembilan dan kesepuluh.”

 

“Ya Shinji. Ketika kejadian di hutan pinggir Furukawa, aku hampir kehilangan Hisamiko. Disebabkan itu aku perlukan katana yang sesuai secepat mungkin.” Ryouji cuba menipu dengan alasan yang paling boleh diterima Shinji. Dia tidak mahu membuka cerita sumpah hayabusa yang memendekkan umurnya.

 

Shinji mengangguk, nampak logik. Hisamiko amat penting dalam hidupnya. Hisamiko cedera di kepala agak teruk pada ketika itu setahu aku. Lima hari dia dirawat di kuil.


Namun aku masih tidak berpuas hati. Aku yakin Ryouji menyembunyikan sesuatu. Menangis untuk minta diajar menempa pedang? Aneh. Dia tunduk ke paras pinggang pada hari itu. Sebentar. Mengapa aku benar-benar mengambil berat tentang Ryouji? Sejak bila aku jadi begini?

 

“Shinji, engkau tidak perlu mengikutku jika engkau keberatan. Aku pasti dapat menumpaskan mereka.” Ryouji sebenarnya agak keberatan untuk membawa Shinji bersama kerana dia bimbang tidak mampu melindunginya.

 

“Ryouji, aku ingin mengikutmu. Bukankah kita sahabat? Engkau, Tsuneki dan lain-lain, kalian sahabatku. Aku tiada sesiapa di dunia ini melainkan kamu semua.” Shinji memutus. Dia mahu memerhati Ryouji. 

 

“Bagaimana jika engkau mati dalam misi ini? Sebelum engkau sempat mengejar cita-citamu?”

 

“Aku tidak tahu, Ryouji. Aku memang bercita-cita untuk ke Eropah. Memang itu cita-citaku sekian lama."


"Sejak engkau hadir ke sini, aku semakin kurang memikirkan cita-cita itu. Malah aku lebih terdorong melakukan penyelidikan di dalam bengkel kerana engkau. Penembak edamame itu, tidak akan ditambah baik jika engkau tidak memintanya. Bilah Saishi-tou itu, meskipun Takasaki-san yang meminta aku membuatnya, tidak akan terhasil jika tiada pendorong seperti engkau yang bersungguh meminta aku membuatkan satu untukmu.”

 

Ryouji tergamam. Dia tidak pernah menyangka perlakuannya yang dianggap kecil itu menjadi dorongan besar kepada Shinji, memberi makna kepadanya.

 

“Aku mahu melindungi mereka, bersama engkau, Ryouji. Aku tahu menggunakan senjata api.”

 

Ryouji hanya tersenyum. Aku hanya bimbang aku tidak mampu menyelamatkan kamu Shinji.

 

Ryouji masih teringat kata-kata Takasaki sebelum memanggil Shinji masuk ke pejabatnya.

 

“Ryouji, engkau memerlukan Shinji meskipun engkau mungkin berfikir dia kurang betah bertarung berbanding Kobato. Penglihatan Shinji tajam, dia juga mahir menggunakan senjata api. Aku amat pasti dia akan membantumu dalam misi ini.

 

Engkau juga perlu melindunginya. Kamu dan Shinji saling memerlukan. Percayai aku, Ryouji.”

 

Takasaki-san, terima kasih. Aku akan melindungi Shinji!

 

**

 

Takasaki tidak memberitahu Mariko, Hisamiko dan Chisato. Chisato dan Mariko amat marah dengan Takasaki seraya menyerbunya di pejabat.

 

“Takasaki-san!” Chisato menempik di dalam pejabat. Dia berdiri, sedang Takasaki duduk di hadapan mejanya.

 

“Aku faham kerisauan kalian. Aku tidak boleh selamanya menahan Ryouji dan Shinji di sini. Aku yakin, mereka akan melepasi ujian ini."

 

“Bagaimana jika penyerangnya memiliki senjata api? Bagaimana jika dia dicederakan lagi?” Chisato bertanya dengan sedikit meninggi suara.

 

“Ogasawara-san, engkau pun telah melihatnya mengelak tembakan edamame di gelanggang. Aku yakin dia mampu mengelak. Kecederaannya selepas pulang dari Furukawa itupun tidaklah terlalu teruk.”

 

“Penembak edamame itu perlahan!” Chisato keluar dari pejabat. Mariko mengekorinya.

 

Takasaki tidak berganjak. Apakah dia mengambil keputusan yang tepat?

 

**


Ketika ini, Ryouji berumur enam belas tahun. Shinji pula berumur lima belas tahun. Tinggi Shinji hampir menyamai Ryouji ketika ini, iaitu lima kaki lapan inci. Mereka berdua berbadan kurus dan Ryouji pula tegap. Shinji sedikit bongkok dan bahunya jatuh, mungkin kerada tabiat duduk terlalu lama di bengkel dan perpustakaan.

 

Misi mereka satu. Iaitu menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak perempuan yang akan dijual sebagai karayuki.

 

Mereka bersedia di atas sebuah bukit, di bahagian selatan pergunungan Hidagawa. Tidak lama lagi akan lalu sebuah kumpulan pedagang dan di dalamnya terdapat tiga orang anak gadis. Mereka diberitahu Takasaki salah seorang darinya adalah remaja. Dua orang lagi adalah adiknya, gadis sebaya Hisamiko.

 

Mereka menunggu di atas bukit, memerhati laluan berumput jarang di bawahnya yang menghala ke pelabuhan terdekat. Ia laluan menuju jeti terdekat dengan perkampungan Kisennuma, juga jeti di mana Chisato menyelamatkan adik-adiknya. Namun laluan ini lebih dekat dengan Hidagawa, dan mereka mengambil masa separuh hari untuk tiba ke situ.

 

Ryouji lengkap memakai yukata kelabu dengan haori hitamnya dan umanori biru gelap, dan membawa sebilah pedang sahaja iaitu Saishi-tou, dan sebilah pisau pendek disisip di pinggang. Ya, amat berisiko dan dia juga tidak berperisai demi mengurangkan beratnya. Beg makanannya dikongsi dengan Shinji. Mereka hanya berjalan kaki ke situ. Shinji pula membawa tantou dan pistol separa automatik, disisip di pinggangnya dan sebilah Saishi-tou. Dia memakai yukata berwarna biru muda dan haori hitam dengan umanori biru gelap.

 

Tidak lama kemudian, lalulah kumpulan yang dimaksudkan. Di tengah-tengahnya ada kereta roda yang ditarik oleh dua ekor kuda dan dikawal rapi oleh tiga orang penjaga bersenjatakan katana yang panjang. Dan berbanding mereka yang kurus kering, tiga orang pengawal itu berbadan sasa dan nampak seperti amat berpengalaman, melihat dari wajah mereka yang berumur dan pakaian mereka. Salah seorang dari mereka berbadan tinggi dan kepalanya berlilit kain.


**


Hisamiko tidak dapat menyembunyikan lagi kebimbangannya. Ini kali kedua Ryouji keluar tanpa memberitahunya.

 

“Miko-chan!” Chisato mengejarnya dari belakang, mahu menahannya. Dia pantas mengelak.

 

“Maafkan aku nee-chan, aku mahu mengejar onii-san. Aku risau. Aku tidak mahu kehilangannya lagi. Maafkan aku!”

 

“Miko-chan!”

 

Chisato amat risau, seraya mengejarnya. Namun Hisamiko terlalu pantas dan telah hilang di celah-celah hutan itu. Chisato sebenarnya tidak mahu keluar mengejar Ryouji meskipun dia amat tidak bersetuju dengan Takasaki. Namun melihatkan Hisamiko berdegil dan keluar menghilangkan diri, dia terpaksa juga mengejarnya lantas keluar dari rumah perlindungan itu.

 

Hisamiko sebenarnya sedang bersembunyi di atas sebatang pokok. Dia melihat Chisato dan menunggunya beredar, sebelum meneruskan perjalanannya.


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov