2
PUAN SARLINA, SI
WARTAWAN BERGERAK!
Bun’s
Girl Bakery House seperti biasa dipenuhi dengan penggemar roti dan kek. Natasha
bagaikan tidak menang tangan membantu papa dan mamanya menguruskan para
pelanggan.
“Terima kasih. Datang lagi.” Senyuman
sentiasa terukir di bibir Natasha dan ada kalanya lambaian tanda mesra diberikan
juga.
“Dahlah tu Natasha. Natasha pergi
rehat dulu. Sejak balik dari sekolah sampailah sekarang, tak henti-henti tolong
papa dan mama.” Lembut Bakri mengarahkan anaknya itu.
“Tak apalah papa. Lagipun tadi
Natasha dan tambah energy dah.”
Berkerut dahi Bakri. Tidak mengerti
dengan kata-kata akhir anaknya itu.
“Anak kesayangan awak tu dan bulun
habis dah roti coklat dekat dapur tu. Tu yang dia bersemangat sangat tu,” omel
Sarlina.
Semerta senyuman terukir di bibir
Bakri. Dia sudah faham benar dengan fiil anaknya itu.
“Patutlah tadi papa tengok dekat
dapur, habis satu doh roti coklat tu lesap. Rupa-rupanya ada orang tu makan
senyap-senyap,” gurau Bakri.
“Mana ada. Papa jangan nak tipu ya.
Natasha makan 6 ketul je tau roti coklat tu. Mana ada sampai satu doh.”
“6 ketul? Ya Allah… Natasha, papa
bukannya nak larang tau. Tapi, Natasha kena ingat-ingat sikit makan roti coklat
tu. Jangan nanti badan Natasha tu jadi macam badan mama dahlah.”
“Amboi… sedapnya mengata orang.
Macamlah badan dia tu kurus sangat.” Jelingan tajam Sarlina lemparkan kepada
suaminya itu.
Namun seperti biasa hanya senyuman
yang dibalas oleh Bakri dan Natasha pula sudah lali dengan gurau senda serta
rajuk sayang kedua ibu bapanya itu. Melihatkan telatah kedua orang tuanya itu, hilang
sebentar bebanan perasaannya pada Malik.
Ting… Tong… Ting… Tong…
Loceng berbunyi. Tanda ada pelanggan
yang masuk ke Bun’s Girl Bakery House. Semerta Sarlina beriak natural. Menyembunyikan sakit hatinya.
Bakri pula sudah sibuk di kaunter pembayaran.
Natasha menghampiri lelaki bertubuh
tinggi lampai itu. Senyuman tidak lupa dihadiahkan kepada pelanggannya itu.
Namun senyuman dan kemesraan bagai tidak diendahkan oleh lelaki itu.
“Boleh saya tolong. Encik nak cari
apa?” mesra Natasha.
Diam. Lelaki itu langsung tidak
bersuara. Mukanya juga masih masam mencuka.
“Encik nak cari kek hari jadi ke?”
soal Natasha kemudiannya.
“Tak.” Sepatah jawapan lelaki itu.
“Habis tu, encik nak cari apa?”
Masih lembut suara Natasha.
“Kawan saya cakap dekat kedai ni ada
jual roti yang boleh buatkan seseorang itu menjadi gembira. Betul ke?” Kali ini
lelaki itu memusingkan tubuhnya. Memandang tepat ke arah Natasha.
Semerta mata Natasha membulat. Dia
kenal! Dia kenal dengan lelaki itu.
“Kenapa diam?”
Mendengarkan persoalan itu, Natasha
membetulkan semula emosinya. “Emm… boleh saya tahu, roti yang kawan encik
maksudkan tu… macam mana ya bentuknya?”
“Roti tu berbentuk empat segi.
Perasa coklat.”
Agak lama Natasha mendiamkan diri,
sambil otaknya ligat berputar dan akhirnya... “Ooo… roti coklat tu. Maaflah
encik, roti tu dah habis dijuallah.”
Terdengar keluhan dari bibir lelaki
itu dan semerta wajahnya menjadi sayu.
“Tak apalah kalau macam tu.” Lelaki
itu berpaling dan ingin memulakan langkah. Namun langkah sulungnya terhenti
saat terdengar kata-kata Natasha.
“Nanti dulu. Tak silap saya, ada
lagi seketul roti coklat tu.” Natasha pantas memboloskan dirinya ke dalam
dapur.
Bakri hanya membiarkan sahaja
tindakan anaknya itu dan Sarlina pula tidak henti-henti mengerling ke arah
pelanggannya itu. Ada gosip yang hendak disampaikan kepada suami dan anaknya
sebentar lagi.
“Nah. Ambillah.” Natasha
menghulurkan plastik yang mempunyai logo Bun’s Girl Bakery House kepada
pelanggannya itu.
“Dalam tu ada seketul lagi roti
coklat yang encik mahukan,” maklum Natasha.
Lelaki kacak itu menerima huluran
Natasha dan melihat sebentar isi di dalam plastik tersebut sebelum pembayaran
dilakukan.
Hilang sahaja kelibat lelaki itu…
“Natasha, budak tu anak Dato Sri
Jasir, kan? Dia satu sekolah dengan kamu, kan? Betul ke pasal gosip yang
tersiar dalam surat khabar tu?” Bertalu-talu soalan diutarakan kepada Natasha.
Namun tiada satu pun yang dijawab anaknya itu.
“Awak ni… dah mengalahkan wartawan
bergerak dah saya tengok perangai awak tu. Cubalah jangan nak jaga tepi kain
orang sangat.” Peringatan Bakri sampaikan kepada isterinya itu.
“Awak diamlah. Awak tu bukannya tahu
apa. Saya hantar si Natasha ni ke sekolah private
tu sebab nak suruh dia ni bergaul dengan anak-anak orang kaya tu. Biar minda
dia ni terbuka sikit. Taklah macam awak tu… macam katak bawah tempurung,” bidas
Sarlina.
Bakri hanya menggeleng-gelengkan
kepalanya. Malas dia hendak bertengkar dengan isterinya itu. Natasha pula masih
mendiamkan dirinya. Jawapan terhadap persoalan mamanya sebentar tadi juga masih
belum diberikan.
“Natasha, dengar tak mama tanya ni?”
“Dengar.” Sepatah jawapan Natasha.
“Jadi betul ke yang budak tu anak
Dato Sri Jasir?”
“Betul.” Masih malas Natasha hendak
melayan mulut becok mamanya itu.
“Pasal gosip tu pula, betul ke?”
“Manalah Natasha tahu mama. Natasha
datang ke sekolah tu untuk belajar. Bukannya nak jaga tepi kain orang.” Biarpun
lembut bicara Natasha, tetapi ada sedikit perlian berbaur ingatan ‘dihadiahkan’
kepada mamanya itu.
Sarlina yang mendengarkan jawapan
akhir anaknya itu mencuka wajahnya. Sikap tidak suka ambil peduli anaknya itu
saling tak tumpah seperti suaminya. Malas hendak melayan perangai suami dan
anaknya, dia akhirnya melangkah ke dapur.
Natasha pula kian melayang fikirannya
memikirkan perihal gosip yang menimpa Danish, pemuda kacak yang menjadi buah
mulut mamanya sebentar tadi. Rasa simpatinya terhadap anak Dato Sri Jasir dan
Datin Sri Mastura itu kian menggunung. Siapa sangka sebuah keluarga ahli
korporat yang ternama di Malaysia ini dilanda juga dengan gosip yang luar biasa
impaknya. Namun persoalannya, benarkan seperti apa yang diadu dombakan oleh
wartawan di dada akhbar tentang keluarga yang tampak bahagia itu?